BAB 10
LIMA hari yang
sudah dia jaki untuk bersahur. Deringan loceng jam dari bilik hadapan memang
turut membantu. Mata terbuka dan telinga terjaga namun pintu mindanya tetap
bermangga, tubuhnya akan sambung berkerekot, tangan kembali menarik ekor selimut.
Tahrim yang berkumandang difantasikan sebagai sepasang tangan yang menepuk
punggung mendodoikan lagu ‘Tidurlah Permaisuri’. Bunyi ayam jantan berkokok
sudah menjadi sebahagian iringan pancaragam mimpi yang diadakan mesra sengaja.
Memang itulah
kelemahannya. Intiusi sikap itu masih diwarisi semenjak di awal bangku sekolah
menengah. Kecuali di dekad sekolah rendah dia mesti mengalas perut terlebih
dahulu jika tidak mahu berpuasa hingga ke tengahari. Dia faham benar kenapa
perubahan itu adalah harus.
Malah lima tahun
yang lalu sejak bergelar jurutera kualiti, kualiti sahur adalah satu kemestian
yang kabur baginya. Sahur itu adalah suruhan sunat bagi pengalas lapar siang
dan kenyataan ini sesiapa pun maklum. Dunia ilmu tanpa sempadan menyukarkan
seseorang untuk menggeleng tanda bebal. Tetapi sekadar tahu dikepala tidak
cukup untuknya mengikut apa yang sepatutnya diamali.
Seingatnya di
tahun yang lalu hanya dua kali dia berlagak hipokrit – pertamanya ketika orang
tua Mazrul bertandang dan tidur dirumah mereka dan keduanya apabila bapa serta
adik perempuan tunggalnya turut melakukan perkara yang sama. Bangun dan membuat
persiapan sahur ketika itu hanyalah satu keterpaksaan. Satu perbuatan yang
tidak ikhlas yang hanya semata-mata ingin menutup keaiban sikap.
Dan ini memang
begitu berlainan sekali dengan tanggapan hidup Mazrul. Atapun boleh diambil
kira falsafah hidup yang berdiri teguh pada lima tiang ajaran islam. Sudah
semestinya itu juga satu warisan hasil asuhan.
Entah bagaimana
kali itu seluruh jiwanya cukup segar terbangun bukan kerana kejutan suara garau
Mazrul yang sudah lali dek cuping telinga. Surah Ar-Rahman yang paling senang
dikecam itu begitu membangkitkan nubari muda. Menerpa dari celahan kekaca
tingkap bilik gegendang telinganya diusik merdu sebuah ngajian. Perantaraannya
adalah suara seorang wanita yang mendayu-dayu bak buluh perindu. Suara itu
telah mencelikkan kelopak mata yang berat lalu ada pergerakan yang meronta -
menolak selimut nipis hingga ke hujung kuku kaki.
Tanpa disedari
emosi diri didapati telah terkebil-kebil didepan cermin muka bilik air
sementara pendengarannya sudah pun merantau diluar perkarangan rumah.
Berkali-kali dia bertindak mencuci muka sebelum menyangap panjang, mengumpul
sebanyak mana oksigen yang diperlukan.
Bermimpikah dia? Atau di alam halusianasikah kini? Interor monolog
ringkas itu menjadi bukti ketidakpercayaan hati yang telah terpaut pada
kemurnian bacaan surah mukjizat Tuhan. Telah lama tak terdengar oleh akal yang
mula ingin menafsir ataupun barangkali oleh nafsu sejati bulan Ramadhan yang
terpikat pada kelunakan intonasi sang pembaca.
Dia mencapai
tuala, mengesat lembap muka lalu mengetatkan tali tracksuit yang longgar. Baju
T putih yang dipakai berbau peluh, menyedarkannya akan kipas siling yang
berputar pada kadar minima gagal menghalau selubung bahang. Langit dipenuhi
awan Nimbus barangkali.
Suara yang
begitu menawan hati kecilnya itu kembali memaksa diri untuk menyelak kekaca
tingkap – mengintip dengan tanda tanya berulang yang meluap-luap - mencari
penghuni yang berani mengejuti menerusi psikologi bertaraf tinggi.
Dalam pejam-celik yang tidak teratur
mindanya hampir celik semua. Walaupun belum seratus-peratus, hasil
penganalisaan milik suara dan rawangan mata liar yang serba kacau telah
dipastikan ianya datang dari rumah arwah Cikgu Harun.
Khabaran dari Mazrul tentang wujudnya
seorang gadis bernama Syuhadah menghambatnya selepas itu sebelum terasa sedikit
janggal dengan aneh laku tiba-tibanya itu. Dapat dirasa dirinya benar-benar
melayu ketika itu.
Kelakuannya itu difikirnya
benar-benar memiripi sebuah kisah yang berlaku di zaman awal pengistiharaan
kerasulan nabi terakhir. Dia masih ingat Hafizlah orang bertanggungjawab
berdakwah tentang itu.
Menurut sejarah tertulis setiap malam
entahkan pukul berapa dan diusia berapa Nabi junjungan SAW. akan membaca
al-quran dengan suara merdu kurniaan Tuhan. Abu Jahal dan dua orang rakannya
yang lain akan menghendap secara sembunyi-sembunyi tetapi berasingan tanpa
diketahui setiap satu diantaranya – dengan tujuan mencuri dengar akan betapa
indahnya surah Al-Quran.
Akhirnya dengan
kehendak Tuhan musyrikin bertiga itu telah terserempak sesama sendiri. Simpang
tiga akhirnya bercantum dibawah bulatan bumbung lantai. Rahsia pun bocor
sehingga masing-masing dihempap rasa malu tak terperi.
Badrul bergerak
ke bilik air untuk mencuci mukanya sekali lagi kerana masih tidak berpuas hati
dengan kesegaran mindanya yang kali ini benar-benar tersindir pula oleh riwayat
zaman awal kebangkitan islam.
Dengusan malas pun mendesah apabila
segar menyusup dicelahan basah. Air paip dilalukan pula keseluruh rambut lurus
halus sambil matanya tertutup. Dalam keadaan sedikit terbongkok tanpa setitis
cahaya, tahulah kini ada segumpal nyala resah yang melanda tidurnya tadi sambil
menyelindungkan berbagai makna. Makna tentang islam dan kemelayuan. Kestabilan
jiwa yang tidak kekal kerana adanya gangguan yang tidak pasti apakah judulnya.
Entahkan bagaimana boleh tercipta. Segalanya bermula dengan suatu kehadiran
itu. Suatu pertemuan yang mewujudkan satu bentuk fluctuation17
dalam jiwa.
Fluctuation?
Sudah lama dia alpa akan wujudnya
erti perkataan itu. Walhal fluctuation itu sering mengganggu
ketidakstabilan mesin-mesin penguji di makmal ujian reliability. Yang
peliknya fenomena ganjil itu hanya kerap terjadi hanya pada mesin-mesin dibawah
jagaannya dan tidak pada Gan SY, Tung SP dan Tan ST. Menghairankan sungguh!
Seperkara lagi perkataan distortion mulai mengambil tempat resahnya kini
dengan satu makna yang kurang ingat tetapi tetap diyakini akan persamaan makna
yang melingkungi.
Arghh…!!
Dia mengeliat panjang. Menghayun
kepala beberapa kali seraya menghalau gangguan situasi kerja, dia diserangi
pula imbasan wajah Nurzaiti sedang tertawa manis dek kelakuan anehnya.
Terbayang pula gadis itu sedang memasak sesuatu yang enak pada pagi-pagi
begini.
Terasa rambut yang melebat lurus itu
seperti berkipas macam sayap helikopter dan menempias kesegenap penjuru jubin.
Dihadapan cermin wajahnya nampak remuk diatas kaca berbintik air. Inilah
wajahnya di waktu imsak. Wajah seorang pemuda muslimkah itu? Dan selepas itu
dia termenung tanpa sebarang fikir untuk waktu hampir lima minit lamanya kecuali degupan jantung
yang cukup kasar berselang-seli dengan dendangan Surah Ar-rahman.
“MIMPI apa kau bangun pagi ini?” soal
Mazrul secara berjenaka setelah terperanjat mendengar bunyi telapak kaki
menderap papan lantai tangga penghubung tingkat.
Badrul tiba di
anak tangga terakhir dengan sedikit gayang, berbantukan palang.
“Misteri mimpi
Syakilla..”
Dia sempat
bergurau sementara Mazrul sudah pun menolong membubuh nasi di pinggan kosong
lalu diletakkan dihadapan Badrul.
Dengan situasi
mengadap ruang meja dan makanan sahur dia fahami lagi betapa sifatnya yang
jarang bersahur itu adalah rentetan dari kehidupan tanpa asuhan seorang ibu.
Sepalitan sejarah yang amat menyebakkan tetapi tidak pernah ditangiskan. Itulah
corak keyatiman hidup yang diwarisi. Kasih sayang seorang bapa juga jarang
mengajari. Orang gaji rumahnya pula malas sekali diteguri. Malah dengan
Badariah hanya bertegur-sapa sekadar syarat bahawa mereka itu bersaudara –
tinggal sebumbung haruslah mengambil tahu sedikit sebanyak perkembangan harian
sesama sendiri. Barangkali dari situlah datangnya ketidak-peramahan diri, kera
sumbang yang hidup dalam dunia yang sumbing.
Itu daripada
sudut sosial pembentukan diri. Itulah juga satu bentuk egois yang merajai hati.
Satu kehidupan yang akhirnya banyak dibantu oleh peralatan moden yang sehingga
kini diterimanya tanpa sebarang komen. Punya kesan negatif ataupun tidak. Corak
kehidupan yang lalu dirasainya tidaklah secocok lagi dengan tuntutan alaf baru.
Satu tuntutan dimana dia perlu memperbaiki jalan hidup agar tidak terus sirna
di alam melayu.
Seperti ada
sesuatu yang tidak kena, tetap statik sampai bila-bila. Sepatutnya dia adalah
manusia berdarah melayu, darah yang mengalir dari sinambungan warisan bangsa –
yang seharusnya tidak tenggelam dalam arus majmuk bangsa dan kebanjiran
sekularisme sarwajagat tetapi mendayunginya tanpa kebasahan apatahlagi kelemasan.
Samalah hakikat seekor ikan yang tak berdaging masin dilautan bergaram. Namun
hakikatnya dia kini telah terumbang-ambing digelorai gelombang globalisasi. Dia
seharusnya menjinakkan arus itu lalu memanfatkannya didalam perjalanan maya
melayu tanpa henti.
Corak
kehidupannya yang lalu masih tetap berpeta didalam mindanya sekaligus menafikan
dirinya bukanlah seorang lelaki intelektual yang tidak mempunyai sebarang
memori dalam simpanan minda.
Umpamanya di
pagi hari mereka sekeluarga menggunakan coffee maker, toaster dan
pembakar roti dan sebotol lady’s choice untuk pengalas perut. Tiada
langsung unsur nasi lemak, lontong atau roti canai yang dicernakannya.
Sementara tengahari barulah nasi disua. Berganjak ke petang dan malam langsung
tidak dijumpai. Dan kini nasi seolah-olah tidak lagi menjadi makanan ruji
padanya walau sehari sekali? Kenapa begitu sekali? Bukankah dia masih lagi
manusia Asia?
Sesuatu yang
menjadi kebiasaannya ialah dia akan jamah hidangan tengahari dengan McChicken
atau Big Mac untuk hari sabtu dan minggu. Jika perasaan bosan mengganggu
kerana kempunan untuk menukar selera cepat-cepat dia menelefon Pizza Hut
atau Kenny Roger’s Roaster untuk dihantarkan segera. Itupun memang tidak
pernah habis ditelan, selebihnya dibuang pada seekor kucing jiran yang
menumpang hidup di halaman belakang.
Dan malamnya dia
lebih berminat untuk menyuap apa saja jenis Mee ke dalam mulut untuk
penghadaman demi secupak tenaga sebelum tidur. Citarasanya memang begitu sejak
dulu lagi dan kini semakin melarat sehinggalah berhari-hari dia tidak lagi
menjamah nasi. Apakah kehilangan makanan ruji itu adalah satu sebab timbulnya
kehilangan jati diri? Nasi begitu sinonim sekali dengan kehidupan melayu itu.
Demikian pula
semasa di sekolah asrama, semakin terpisah dia dari pergaulan masyarakat.
Masyarakat yang ditemuinya hanya terkumpul di dalam buku sejarah dan geografi.
Dengan minda
yang terlalu kacau kini dia merasakan pula bahawa sekolah asrama tidak salah
pembentukannya. Bukanlah satu daerah pengasingan yang berniat jahat. Yang dajal
adalah kealpaan dirinya juga.
Sejarah hidup
dirumahnya dulu, tahap sosial memang tidak berganjak. Mereka sekeluarga hanya
memesrai masyarakat menerusi televisyen, radio, telefon dan ditempat kerja bagi
bapanya. Dengan kehadiran internet tabiat yang semakin memuncak itu kian
dipupuk dengan lebih dahsyat.
Begitu juga yang
terjadi pada Badariah - keluar dari rumah sesudah sarapan lalu diturutkan bapa
dengan S Class di hadapan pagar sekolah dan pulangnya memerapkan diri
didalam mini pustaka mengadap ilmu yang dididik sebagai satu budaya termahal.
Budaya Iqraq telah pun merutini dari kecil oleh bapanya dan kini dia tidak
pasti bagaimanakah bentuk yang pasti akan budaya hidup orang melayu secara
total. Memang iqraq adalah budaya mulia dan semestinya dikekalkan kalau perlu.
Bapanya tidak pernah mengajar sejauh itu. Dan ternyata kini budaya ilmu
sebenarnya lebih menjangkau jauh daripada hanya sekadar menelaah cetakan huruf,
angka atau formula. Masih banyak lagi yang perlu dibaca dalam kehidupan ini.
Alam juga adalah sejenis buku yang tidak terbaca olehnya sehingga kini?
“Waktu imsak tinggal lima minit lagi…”
Mazrul memperingatkan, sengaja
menghentak botol kicap dengan kuat kemudiannya sambil melebarkan senyuman yang
pudar.
Badrul
mengangkat dagu yang tidak berdaya. Sepasang mata kuyu dan tangan lesu mulai
bergerak mencari makanan dengan keserabutan fikiran yang kian. Jarinya tersentuh secawan
air kopi panas lantas cepat-cepat ditarik semula. Satu tindakan refleks yang
bermujarab membantu menyegar ruang pandang, menyedari akan kekinian situasi
dini yang sunyi.
“Kau masak apa
hari ini?”
“Ikan masin dan
telur goreng. Sayur tak ada…tapi kuah kari petang semalam masih ada..aku
panaskan.dan masih boleh dimakan ”
“Berselera
nampak?”
“Inilah yang
terbaik berbanding sahur-sahur yang lepas…lagipun memang dari dulu memang
begini..kau yang tak mahu nak biasakan diri..”
Dihadapan datar
meja itu adalah nasi putih yang sudah lama tidak dilihat. Seolah-olah terbayang
pula akan berkhasiatnya hidangan Yong Tow foo atau Wan Tan Hor atau Yong Chow
atau Wan Tan Mee yang selalu dijamahi sewaktu makan tengahari di waktu bekerja
pada bulan selain Ramadhan. Terbayang juga akan kuih muih dan burger Ramlee
yang begitu menyelerakan pada tiap waktu berbuka puasa.
“Siapa yang mengaji
tadi?”
Tangan yang
menyuap ke mulut itu terhenti kerana mulut itu sudah pun meledakkan tawa penuh
sindiran.
“Syuhadah…bunga
bongsu arwah cikgu yang baru meninggal itu..” jelas Mazrul masih didalam
kegirangan yang menyakitkan hati.
“Syuhadah?”
Dia tidak dapat
menafikan betapa selama tinggal serumah dengan Mazrul sifat dan tanggapan
tentang hidup di alaf baru itu ada sesuatu yang menginsafkan. Kenapa baru
sekarang? Kenapa baru kini dia perlu menganalisa tentang rapuh diri yang
rangup? Dan persoalan jati diri kembali mengambil tempat dalam fluctuation
yang semakin meresahi.
Menyambung tidur
setelah hanya meneguk habis secawan kopi dan sekunyah nasi dengan niat kembali
untuk bangun sembahyang subuh, dia menyakini perubahan yang mendesaki nuraninya
kini ada kaitan rapat dengan kehadiran Nurzaiti. Dia yakin ada sesuatu yang
tinggal misteri masih berahsia disebalik identiti seorang gadis yang baru
dikenal, yang belum dinekadi sepenuh hati.
Dia tidak syak
lagi!
SUBUHNYA
terlepas dari tambatan alarm.
Badrul mengutuk
diri kerana terlalu lena walau mengunci waktu pada telefon bimbit. Tatkala
mencelikkan mata dengan bantuan geseran pagar pintu jiran yang berkeriut
nyaring, diyakini Mazrul telah lesap. Ruang rumah sewa senyap-sepi. Komputer,
televisyen, telefon dan radio disekelilingnya masih tidur lagi. Barangkali
diluar laman pun para manusia masih ramai yang bermimpi.
Ini menyedarkan
lagi sahabatnya itu mengambil kerja lebih masa di syif pagi hari sabtu ataupun
bertandang ke rumah tunang. Satu diantara dua betul duganya mesti tak lari.
Dihadapan meja
tempat tidurnya dikerusi sofa jingga itu terlihat sebuah buku berjudul ‘Mutiara
Perkahwinan’, pastinya milik orang yang ingin berumahtangga. Badrul tersenyum
sendirian, membayangkan sejenak akan intipati buku yang paling berperanan
sebelum mengeliat panjang.
SETELAH siap
berpakaian ringkas dia menutup pintu rumah lalu menghidupkan enjin kereta. Ke
perpustakaan negeri adalah hala tujunya kini
Satu kekecohan
berbisik didengar pula sedang berlaku datangnya dari rumah jiran sebelah kiri.
Di pintu pagar kelihatan seorang gadis tinggi lampai (barangkali Syuhadah)
sedang mengadukan satu perkara pada makcik sebelah rumah dengan wajah yang
cemas dengan gerakan tangan yang tidak kemas. Makcik itu sedang memegang
penyapu lidi bagaikan sedang memegang sepucuk revolver. Gerakan bibir
tidak berhenti berkicau itu menceritakan sesuatu dengan anggukan dan gelengan
silih berganti. Kedua-dua jiran wanita itu dengan anak mata yang membulat besar
akhirnya berpaling ketika dia menjenguk-hampirkan muka.
“Apa yang terjadi?” soal Badrul dalam
hati.
“Nampak ular
tak?..”, jiran sebelah rumah bertanya dengan separuh jeritan dan Syuhadah
tersenyum gelisah.
Pertanyaan hati
terjawab sudah.
“Ular?..”Badrul
bertanya kembali, mematikan enjin kereta, sebelum berganjak beberapa tapak ke
hadapan pintu pagar. Jantungnya berdegup sedikit kencang. Matanya
bergilir-gilir merenung dua wajah dihadapan dalam jarak sepanjang meja ping
pong. Jauh disudut hati yang mulai digeruni oleh kemunculan reptilia berbisa
itu disamping turut kempunan melihat secara dekat wajah gadis yang sedang
hangat digalakkan oleh lelaki yang sudah bertunang. Didapati gadis bertudung itu memiliki
dagu runcing, bulu kening tebal serta pipi putih yang tembam. Kesemuanya
menjelaskan betapa benarlah Syuhadah adalah seorang gadis yang cukup
mengayukan. Teringin juga dia bertanya benarkah gadis itu yang ikhlas mengaji
tanpa malu diawal pagi Ramadhan yang syahdu?
“Nampak dimana?” soal Badrul dengan
lantang kerana jarak bual yang masih jauh.
“Baru sebentar tadi…Syuhadah nampak
seekor ular sedang berlingkar di atas pagar rumah kakak…tetapi sekarang dah
hilang..entah mana perginya..”, terang jiran sebelah lagi sambil mengukuhkan
pegangan penyapu ditangan kanan. Sementara Badrul mula merimaskan gerakan anak
mata ke serata arah.
“Dari mana
datang ular itu?”
“Entahlah…agaknya
datang dari hujung sana”. Tangan jiran itu menunjuk ke arah tenggara. “..tempat pekerja-pekerja sedang membesarkan
tambak untuk membina lebuhraya..”
“Lebuhraya?”
Badrul begitu terkejut kerana setahunya hanya di Kuala Lumpur sahaja ada
lebuhraya didalam kota. Melakakan
bandaraya bersejarah, pintas warasnya pantas, membetulkan tanggapan.
“Takkan awak tak
tahu..sekarang ini heboh betul pasal cerita ini..awak tak ada baca Harian Metro?..Pasal
para penduduk taman mawar yang membuat demonsrasi bantahan terhadapan
penebangan pohon-pohon jati yang terdapat disepanjang jalan yang nak dibina
lebuhraya itu?”
“Pohon jati?”
Jiran wanita dan
Syuhadah ketawa sesama sendiri sebelum Badrul turut ketawakan kejahilan dirinya
tentang perkembangan sekitar perumahan mereka.
“Saya tahu yang
awak berdua cuba membuat kesimpulan yang ular tadi berkemungkinan datangnya
dari kawasan pohon jati yang ditebang itu..saya tahu …Cuma saya agak terlelap
..maklumlah baru terjaga dari tidur..”
“Memang awak
masih tidur..Kakak tak cakap pun pokok-pokok jati itu sudah ditebang…”
Kali ini mereka
bertiga sama-sama ketawa. Seraya melupakan kerisauan tentang ular, Badrul
sempat menjeling asyik ke arah Syuhadah yang sedang membariskan susunan gigi
dan gusi yang secantik wajah dibalik tudung putih.
“Apa salahnya
kalau mereka nak tebang pokok jati itu?..lagipun nak dibina lebuhraya untuk
kegunaan semua juga. Sekarang ini kereta semakin melambak …Lagipun pokok itu
bukannya berguna sangat selain dari membekalkan oksigen kepada
kita..pokok-pokok lainkan ada..”
“Nak bina
lebuhraya itu memng ramai setuju…tapi fasal nak tebang pokok-pokok yang sudah
hidup lebih seratus tahun itulah ramai yang tak puas hati..pokok-pokok itu
berharga sebenarnya, dah beratus-ratus tahun usianya, sayang kalau nak tebang
tinggalan warisan nenek-moyang kita…”
Diruang ingatnya
mula terbayangkan wajah sepohon jati yang tinggi menjulang sebelum terpercik
pada replica pohon yang telah dibonzaikan.
PARA jiran entah
yang dari mana tiba-tiba datang dan kian berlonggok, akhirnya telah pun surut
ke rumah masing-masing apabila soal ular yang halimunan sudah tiba ke tahap
membosankan. Soal keselamatan terus saja diserahkan bulat-bulat kepada Tuhan
dengan kata sepakat yang diambil untuk membuat gerakan kebersihan.
SEHINGGA
setengah jam enjin kereta tidak berjaya dihidupkan semula. Dia kehilangan akal
untuk mencari punca kerosakan. Memandangkan semenjak beli inilah yang kali
pertama. Hendak meminta bantuan jiran dia terasa malu dan kalau ingin telefon
kemana-mana bengkel kereta dia sendiri tidak tahu. Dengan menggunakan konsep begin
with the end in mind18, akhirnya dia mendapat idea – menelefoni
Mazrul meminta jasa baik rakannya itu agar dapat mengirimkan seorang makenik seberapa
segera. Mahu saja berbuat sedemikian baru diingatnya yang prepaidnya
sudah kehabisan sen.
Mahu tidak mahu
dia terpaksa memasuki rumah kembali, menghanyutkan fikir pada berita utama yang
berlangsung didepan mata. Helai demi helai lembaran akhbar dibuka hingga
tibanya pada sebuah cerpen “ Malam di Manchester”. Setelah lima minit membaca,
kisahnya berlegar tentang dilemma seorang siswazah luar negara. Watak utama
mengalami krisis jati diri apabila enggan pulang berhari-raya meskipun sudah
dua tahun tidak pulang. Kisah itu seolah-olah ada nada sindiran terhadap
dirinya. Entahlah kenapa tiba-tiba saja dia beranggapan seyakin itu.
Punggung Mazrul
sememangnya telah tergam pada sofa di rumah tunang. Ini bukanlah kali pertama
berlaku. Sebelum bertunang pun Mazrul sering berlaku demikian. Begitulah yang
difahaminya sejak kebelakang ini. Darah manis yang mengalir seperti tidak sabar
lagi untuk ditawarkan pada tempat yang sepatutnya.
Mazrul akan
sering menghilangkan diri pada setiap hujung minggu – seolah-olah sudah tidak
sabar lagi untuk berumahtangga. Dan yang dimarahi bukanlah itu tetapi kesunyian
yang mengelilingi ruang dan diri. Memerhati sekitar secara jemu dia akhirnya
menyedari inilah yang bakal terjadi apabila berakhirnya cuti hari raya nanti.
Bersendirian adalah tidak lain dari
satu kebosanan. Entahkan mengapa hatinya begitu berat untuk mendekati
komputer dan internet didalam. Tetapi dia tidak mahu oleh dek tindakan Mazrul
untuk berumahtangga menyebabkan hatinya mula gelisah untuk menjejak langkah
penyambung. Dia tidak mahu dipengaruhi kerana selama ini pun dia tidak pernah
mengendahkan soal hidup berpasangan. Haiwan pun hidup berpasangan kecualilah
Harimau. Harimaukah dia?
Badrul ketawa
seorang menyedari fikirannya telah menjangkau sejauh itu. Berkahwin baginya
bila sudah tiba masanya untuk berkeluarga setelah berjaya dalam pengejaran
kerjaya. Tetapi soal kerjaya adalah terlalu subjektif . Tiada titik akhir dan
peringkat kepuasannya tidak berhenti sampai bila-bila.
Dia menelurkan
diri dihadapan TV 21 inci. CD berjudul American Beauty dibuka,
memaparkan satu filem yang telah dinobatkan sebagai filem terbaik oleh pihak Academy
Award. Satu jam berlalu apa yang bermain-main difikirannya ialah, filem itu
seperti tiada langsung yang istimewanya selain satu pendedahan terbaru jiwa
orang Amerika yang berkeinginan berlaku curang. Seolah-olah karyawan Amerika
sudah ketandusan idea untuk menampilkan cerita-cerita yang bermutu dari
persoalan berbentuk negatif. Barangkali itulah sejenis penyakit di alaf baru.
Penonjolan manusia berpenyakit telah banyak dilakonkan diawali oleh Rain
Man, Philadelphia dan Forest Gump
Penyakit alaf
baru?
Nubarinya begitu
terkejut sekali. Terlalu banyak filem-filem yang membelakangkan suruhan agama
dihasilkan.
Kenapa baru
sekarang dia dirasuki pendirian bermutu begitu? Bukankah selama ini filem-filem
sedemikian dan lagu-lagu rancak dari negara barat itu yang disanjungi selalu.
Bukankah lagu-lagu dari Back Street Boy, Boyzone dan Westlife yang menjadi
siulan di bilik mandi dan dikala memandu? Tetapi semua itu masih tidak dapat
melenyapkan kemelayuan diri secara tuntas.
Dia masih melayu
lagi rupanya.
Bagaimana pula
dengan filem Leftenan Adnan yang berlatar belakangkan sejarah perjuangan
kemerdekaan negara dan lagu irama Malaysia yang sering menjadi juara
pertandingan Juara Lagu Malaysia anjuran TV3?
American beauty dan
seangkatannya itu sekadar mengambarkan realiti hidup negara maju yang
menyongsangkan. Dimanakah erti kemajuan yang sering dipertahankan?
TAHAP
kebosanannya sudah tiba pada kemuncak Himalaya. Keretanya dilihat bagaikan tidak
berharga lagi. Untuk meredakan, dia berjalan kaki ke arah kedai Tionghua Ah Sat
hanya semata-mata membeli kad prabayar. Sambil itu dia menggerutu, menyalahkan
diri yang kedekut – bukankah senang kalau dia menggunakan talian ‘online’
sahaja?
“Ada jual maxis prepaid?”
“Ada , tapi baru saja habis, cubalah tanya
kedai disebelah..” Taukeh Ah Sat memberikan saranan.
“Kedai sebelah?”
“Baru buka…orang
melayu punya…cubalah tanya…”
Sedang bercadang
untuk ke kedai sebelah, dihadapannya tiba-tiba muncul Syuhadah.
“Tidak kerja ke
hari ini?” soal Syuhadah.
“Tidak…sabtu
memang hari cuti”
“Kawan saya pun
kerja kilang juga jurutera tapi hari ini dia kerja..”
“Ooo
begitu..maksud saya hanya kilang-kilang yang datangnya dari Eropah dan US saja
yang cuti hari sabtu….kebanyakan kilang Jepun tidak begitu..”
“Tak tahu pula saya tentang
itu..ingatkan semua kilang sama ”
Badrul membelek wajah gadis itu.
“Study dimana?”
“Universiti
Telekom..”
“Berulang-alik?”
“Ya..” jawab
Syuhadah ringkas.
Badrul sedang
memegang telefon bimbit disaku seluar, masih bercadang untuk ke kedai sebelah.
“Awak tak kenal
pak cik yang baru pindah disebelah kedai ini?”
Pertanyaan
Syuhadah kali ini menghentikan langkah teragak-agaknya.
“Tidak..kenapa awak cakap begitu?”
“Saya agak saja..sebab wajah awak
saling tak tumpah dengan pakcik yang buka kedai baru itu..”
“Awak adalah orang kedua yang cakap
begitu..tetapi saya yakin dalam dunia ini ada 7 orang yang berwajah hampir
serupa..”
“Selama ini saya ingatkan awak seorang
pendiam, tetapi rajin bercerita juga ya..”
Badrul tersipu malu. Sindiran itu
bagaikan terlekatnya seterika panas pada sepasang kulit pipi sawo matangnya
itu.
Telefon bimbitnya berbunyi, didapati
Mazrul sedang berada ditalian.
No comments:
Post a Comment