Bab
1
KEMUNCULAN Nurzaiti di pejabat jabatan
kualiti pada sepuluh pagi hakikatnya tidaklah mengejutkan sangat. Tiada apa
yang istimewa lahir dari pertemuan-pertemuan singkat sedemikian sepanjang
hari-hari bekerja. Bukan tidak pernah ada sebarang gadis pekerja bujang yang
bertandang atas sebab-sebab kerja bersama jelingan peribadi tertentu. Bukannya
tiada sebarang hadiran pesona malahan lebih mengancam dari yang dialami lantas
sengaja diresahkan. Kehadiran itu baginya adalah satu pemberian rahmat Tuhan
yang unggul untuknya. Itulah tajuk utama pada dasar keraguan yang telah pun
mendesah.
Peranannya di jabatan SU (Service Unit) itu sedari awal pembabitan lagi sudah
diyakinnya begitu. Diantara tugas utamanya melayani pelanggan yaitu requestor dari pelbagai jabatan produk
pengeluaran yang mahu menjalani tidak kira apa evalution atau pun qualification.
“Yes, Mr
Johnson..What can I do for you?”
“Your package does not
meet requirement..IT’s fail!!!”
“Why?…you
still want to repeat your evaluation?”
“I think,..better you
discuss with your manager…and after that you come back to me..I’ll see what I
can do for you.Okey!.”
Begitulah diantara kata-kata yang
sering diulang-ulang.
Pelanggannya terdiri dari berbagai peringkat
jawatan bermula dari juruteknik biasa yang ingin membuat analisi peribadi
bersifat bodek atau asah mata gergaji2
hinggalah kepada pengurus senior atau lebih dikenali sebagai HOD (Head Of Department) yang menerajui
sesuatu projek pengurangan kos atau peningkatan kualiti yang sudah tentu
memakan belanja berjuta.
Seringkali dirinya dijelmakan sebagai buku
rujukan atau sesekali memiripi kamus dewan apabila ada krisis kualiti melanda.
Aduan kerosakan peranti dari pihak pelanggan syarikat amatlah mudah ditakuti
apatahlagi jika nama-nama yang besar terlibat sama. Nama-nama seperti Nokia,
Ford, Chrysler, AT&T dan Siemens sendiri memang begitu dihormati. Segala
aduan akan diteliti sederas mungkin sebelum jalan terbaik diambil untuk
mengatasi. Dan selepas itu masing-masing dengan peranan tersendiri akan
mendoakan menerusi anutan agama masing-masing agar tragedi memalukan itu agar tidak
berulang kedua kali.
Berbalik pada kisaran tugasnya yang utama
hanyalah untuk memuaskan hati setiap pelanggan dengan keputusan laporan yang
menepati jadual selepas mengamalkan konsep give
and take dalam gelisah pengesyoran. Bicara yang paling rutin dan sinonim
dengan pembentukan kerjayanya adalah sebagaimana yang kerap tertulis di dalam
surat elektronik yang tertuju kepada jurutera-jurutera dan pengurus yang
terkandung dalam Coupler Distribution
List
Dear All, Pls findout
at below attachment for the tranfer qualification for CNY17 pakages. The report
number is IRC213-05, Thanks..
Kekuatan disebalik setiap kata putus adalah penelusuran dari spesifikasi proses
yang sudah menjadi satu kemestian. Segala perjalanan ujian ketahanan (reliability test) perlu telus dan
berlandaskan kebenaran. Ringkasnya setiap keputusan tidaklah memilih bulu, double standard kecuali menuruti konsep first in first out kecuali ada desakan keadaan yang mengentingkan. Dan
selalunya urgent reguisition
datangnya bukanlah dari sebarang orang. Boleh jadi dari pengurus bahagian
pembangunan kejuruteraan atau dari bahagian kejuruteraan dan penyelidikan.
Diantara pelanggan-pelanggan yang mesti
dilayani termasuklah seorang gadis yang baru dikenali. Seorang gadis seperti
Nurzaiti adalah wanita kebanyakan juga. Tiada darah tengku atau pahlawan yang
mengalir ditubuh kental itu. Tiada sebarang bentuk karisma samada fizikal atau
spiritual yang menyelubungi. Perwatakan remaja itu mudah ditemui dimana jua.
Tiada sebarang kecantikan memukau yang terpalit membungkus isi kulit mahkluk
ciptaan tuhan itu. Dia adalah seorang perempuan yang kini berada di puncak
keperawanan terbungkus dalam gumpalan daging sama seperti Hawa. Namun
kewanitaan yang terserlah dari hari ke sehari bukanlah sebarangan. Ada sesuatu yang
teristimewa yang membezakan daripada yang lain.
Wanita
begitu sinonim dengan penghidupan bunga.
Dan bunga yang muncul setelah suburnya induk pohon resam tumbuhnya memanglah
begitu. Kembang bila tiba waktu dan layu bila hilang serinya. Segalanya berlandaskan
pada perjalanan waktu yang berputar telus senantiasa. Dan bunga itu sendiri
tidak kira bunga raya, anggerik, kemboja tidak kira dari mana asal tetap punya
berbagai rupa, warna, wangi dan tabiat tersendiri. Bunga mawar yang tahan diuji
zaman akan kembang dan wanginya adalah yang paling popular. Ianya menjadi
pilihan di majlis keramaian, hiasan meja makan hingga ke kalung percintaan.
Bunga matahari pula sentiasa kembang dan patuh pada pusingan matahari tanpa
sebarang bantahan. Keunikan itu menjadi pilhan penyeri halaman rumah hingga ke
ruang tamu rumah. Bunga seri pagi pula hanya kembang dan kuncup setiap hari
mengikut jumlah cahaya tanpa jemu.
Kesimpulannya, bunga yang berwajah baby face dan berperawakan sosial seperti Nurzaiti adalah suatu
kebiasaan padanya juga. Dia tidak pasti bunga jenis apakah ianya. Gadis bertahi lalat dihujung bibir kiri itu
hanyalah seorang pekerja baru dan sekali lagi baru dengan terhantar ke kilang
semiconduktor tempat Badrul bekerja. Gadis itu telah diposkan oleh majikan barunya
di Pulau Pinang.
Tiga minggu selepas
pertemuan pertama barulah
Badrul mendapat tahu betapa adanya rahsia besar yang mengendap di belakang
takdir pertemuan demi pertemuan. Rahsia itulah yang tidak pernah diduga malah
terfikir akan tiba jua menerpa. Ianya bagaikan satu filem lama yang telah
dilupakan dan kini tertayang semula tanpa diduga. Juga bagaikan sebuah dairi
lama yang tanpa disengajakan terbuka helaian penting yang cukup bermakna
sekali.
Kehadiran itu adalah kehendak kelangsungan
hidup bermasyarakat jua. Pertemuan tanpa dirancang adalah kehendak kudrat yang
Maha Pencipta. Memang dia tidak terduga dengan pemberian akal yang sejengkal
cuma. Sesuatu yang tak terjangkau oleh perasaan yang terlalu kerdil sekali
dalam taman hidupan takdir yang amat luas hijau dan rahsianya. Seolah-olah
kudrat Tuhan yang mahukan naluri kemanusiaan berfikir semula tentang asal-usul
pembentukan sahsiah diri yang terlalu lama membeku dalam igloo kealpaan.
Bukan kerana adanya kelopak mengepak segak dan
harum menguntum. Pertemuan yang menghidupkan rantaian ratusan nolstagia yang
pada hakikatnya walaupun tidak pernah diimbas sedetik pun tetapi masih kekal
sempurna dalam cakera simpanan ingatan. Ianya umpama sebuah folder dari satu directory didalam cakera keras yang langsung tidak pernah di’klik’
sebegitu lama. Ianya bagai sebuah fail usang yang tersimpan berabuk,
terperenyuk buruk di dalam compactor kerana
tidak dijengah lupa.
Fitrah kejadian manusia fikirnya adalah sama
dengan operasi sistem komputer. Beberapa lama pun dipakai ianya perlu diservis
dan diperiksa ketepatan sistem. Ruang memori yang terhad oleh jenis cakera
kerasnya tentunya akan dibuat kemas kini dan segala yang terlalu lama akan
dismpan didalam floppy disk.
Sekiranya rosak atau diserangi virus tentunya memori yang terlalu lama akan
dibuang jauh-jauh demi keselamatan sebuah sistem. Selagi bernama manusia dia
tidak dapat melepaskan diri dari bebanan memori lama yang telah dilalui. Semua
manusia begitu tersentuh dengan kenangan yang tersendiri.
Dia bukanlah dilahirkan terus membesar begini.
Pemberian ruang memori yang kosong ketika lahirnya kini telah sendat terpenuhi.
Bukankah sebelum ini dia adalah seorang
mahasiswa universiti yang bertungkus mencapai keputusan tertinggi di dalam
balutan kepompong kampus? Bukankah dia
juga seorang pelajar cemerlang yang terpilih memasuki MRSM,Raub, Pahang selepas
darjah enam? Bukankah dia jua seorang kanak-kanak yang dibesarkan menerusi
A,B,C dan 1,2,3 juga Alif,Ba,Ta melalui alam tadika? Bukankah dia juga asalnya
seorang anak kecil yang hidup dalam kenangan yang penuh gelak mesra tangis dan
resah. Bukankah dia adalah seorang anak yang mempunyai ibu bapa dan saudara
kandung, saudara mara terdekat dan jauh juga rakan taulan? Bahkan dia adalah
seorang rakyat jelata yang mengalami kebiasaan rutin hidup sebagai seorang
warganegara beriklim khatulistiwa?
Dia tidak bersendirian di dunia ini. Dulu,kini
dan selamanya. Semenjak pecah tangis pertama hinggalah bersemadi diliang lahad.
Dia bukanlah Robinson Crusoe yang terdampar di sebuah pulau sepi ditengah
lautan masin bergelora. Juga bukan seekor Tarzan yang hidup berteman seribu
haiwan yang langsung tidak faham bahasa ibunda. Paling mendukacitakan dia
tidaklah seburuk Elephant Man yang
mengurung diri dari eksploitasi media dan rasa malu pun menyebar rasa paranoid
dihati.
Suatu ketikanya nanti bila roda waktu kian
menua, dia bakal mempunyai empayar keluarga sendiri,di dalam cabang hidup
kemasyarakatan dan ranting politik berbilang. Segala kerja yang dilakukan kini
akan menjadi sejarah lalu dikenangnya nanti? Bukan seperti belalang kunyit,
waktu tidak akan melompat dari satu longkang ke satu busut mengikut sedap rasa.
Mahu atau tidak dia mesti terus mendepani disamping membelakangi hanya pada
sesekali. Tidak sesekali berhenti melawan rutin masa,social dan ekonomi yang
tak mengenal erti perhentian. Seekor katak dewasa pun akan melompat mengikut
kehendak ekosistem, begitu berlandaskan masa. Segerombolan kijang-kijang yang
terkinja-kinja dipadang tenang pun mengikut landasan sendiri juga. Memang pun haiwan
melompat, burung berterbangan dan ikan-ikan berenangan. Segalanya ada landasan yang ditetapkan.
Namun
bongkaran rahsia itu sungguh memeranjatkan. Rupanya ada landasan peribadi yang
sebelum ini langsung tak diterjemahkan. Bulu roma pun meremang bukan hanya
ketikanya musim hujan menggila atau terkejut oleh bayangan hantu disenjakala.
Sejarah hidup yang cukup menyentuh jiwa mudanya
itu serasa bagaikan mimpi yang benar nyata. Kehadiran Nurzaiti cukup bermakna
sekali. Dapatkah dia menafikan betapa hasil pertemuan itu adalah cukup berkesan
sekali. Sekaligus merubah tanggapan dan persepsi diri terhadap hari-hari yang
telah, sedang dan bakal diharungi. Tidakkah begitu seharusnya?
TUHAN Maha Perancang yang turut menganugerahkan satu
kesedaran pada sesetengah insan. Dia mengingati detik asas pertemuan itu
ditubuhkan.
Pagi
isnin bersejarah itulah seorang jurutera berbangsa Serani yang didatangkan
khusus dari Penang tiga bulan lalu telah bertanggungjawab memperkenalkan
pembantu barunya – Nurzaiti Binti Ibrahim. Ketika itu dia baru hendak membuka
pintu pejabat untuk bergegas menghadiri Technical forum di TQM Auditorium. Pesan tentang kemana perginya
telah pun diberitahu pada Lousia jika ada sesiapa ingin mencari.
Sinar
matahari jingga telah lama menempiaskan haba diluar sana. Sementara ditangan
tersemat sehelai kertas agenda forum yang terlipat didalam sebuah dairi catatan
kerja harian.
“Hai Friend!..you looking for me?”
Tanpa
diberitahu dia pasti Johnson baru saja pulang dari BT (Business Trip). Intipati
mesyuarat bulanan di Osram tentunya sedang sarat dalam cepu kepalanya. Dan kini
dia tidak lagi datang seorang atau berpasangan dengan Soon SK. Jurutera Cina
sekurus Hafiz itu rasanya telah pun pulang dan tidak akan menjejakkan kaki ke bumi
Melaka lagi. Gadis yang pertama kali dilihatnya memakai seluar jeans hitam
ketat dengan padanan body suite
berwarna jingga. Penampilan zahir sedemikian rupa tidak pernah diintipnya pada
gadis-gadis kilangnya atau di Melaka. Di Kuala Lumpur penampilan begitu adalah
satu daripada seribu pengaruh besar bagi penghuni alaf baru kononya. Tetapi
mustahil tekaannya boleh tiba pantas ke tahap itu.
“How’s the ILQ55 package result ?” soal
Johnson, tersengih tanpa sebarang intro lagi.
“Fine..everything fine.but the result is
still the same! Moreless like the ealier package… masih ada yang yang tak kena..But it is fine for me.Because I already done the best service for you”
jawab Badrul sambil menggelengkan kepala sebelum meninjau gerak jarum waktu di
tangan kiri.
“Fine?..what do you mean fine?”. Johnson
tersengih lagi dengan menampakkan barisan gigi yang memutih.
“Fine means..I punya service is fine…”
Mereka
berdua ketawa serentak.
Gadis
yang belum diperkenalkan lagi berdiri kaku seperti tiang letrik selain mata
yang merenung tepat 90 darjah kehadapan. Mata bundar itu sama sekali tidak
rimas atau resah sebagaimana maklumnya tentang perlakuan pekerja baru. Memang
tidak dinafikan penampilan pertama dirasakan dari sebuah jiwa yang benar-benar
matang dan moden. Manusia matang dan moden lagaknya diantara garis kesombongan
dan pemalu. Tersenyum hanya sekadar syarat dan bersikap relax dan cool :
seolah-olah tiada kejutan perasaan langsung di dalam kujuran tubuh sepejal itu.
Lipstik
merah pekat hampir menghitam dan bedak dipipi berjerawat kasar terlalu tebal. Realiti wajah yang asli begitu tenggelam
dalam solekan keterlaluan. Namun harum wangian yang meresap pantas mengingatkan
dia sekali lagi akan benarnya suatu gaya penampilan gadis alaf baru.
“Fail?..failure?..”
“Yah!…A very common failure..” jelas Badrul lagi sambil menjeling ke
arah Nurzairti yang diam terpacak macam tiang pencawang di tengah belukar.
Hanya
beberapa detik ada perasaan mengejek timbul. Seperti mentertawakan lagak
seorang rusa masuk kampung yang serba ketidak-tentuan. Gadis itu mengepit
beberapa keping nota di tangan kiri rapat ke ramping pinggang. Kepala yang
sedikit lonjong itu terpacak kaku tanpa menoleh kemana-mana. Kecuali sepasang
mata yang masih asyik menyertai perbualan di tengah laluan pintu masuk. Mata
yang lambat mengerdip itu seperti menggunakan segala keupayaaan untuk melihat
ruang hadapan pada sudut tiga dimensi 180 darjah.
“IR failure somemore?..My god!..but why?…Di
Penang selama ini langsung tiada IR failure..”
“So! that means…your side having a big
problem..May be they were still hiding something. May be Penang never follow
properly what is the spec said!..that’s my opinion..”
“Hei
kawan…I sudah dua tahun di situ…takkan OSRAM tak ikut spec..mana tahu Malacca
yang masih buat salah..”
“Cannot be like that…I lagi suka kalau
semua keputusan cantik dan cun-cun belaka..kerja pun kurang, betul tak?….”
“Bagaimana
dengan chamber set up?…mungkin ada
yang salah agaknya?”
” Tak
mungkin!.. my people sudah check berpuluh kali…..”
Keadaan
begitu memang selalu berlaku bila bertemu dengan jurutera setaraf dengannya.
Baru saja mahu berbahasa inggeris pihak lawan mula bercakap dalam bahasa
ibundanya. Apakah kelayakannya sebagai jurutera dari lulusan universiti
tempatan masih diragui akan kebolehannya berbahasa inggeris? Fikirnya diantara
jurutera-jurutera di jabatannya dialah yang paling betul sebutan grammar dan pronounsation. Kebanyakan pekerja hanya mengambil sikap sambil lewa
janji tahu berbahasa inggeris sudah memadai. Bahasa inggeris pasar - barangkali itulah jolokan yang paling
bersesuaian.
Alangkah
indahnya kalau selepas jeritan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman, semua
orang-orang cina dan India dihantar pulang kenegara masing-masing. Tentunya
sekarang tidak berlaku masalah bahasa pengantaraan. Tetapi malangnya mampukah
negara Malaysia boleh membangun seperti sekarang ini tanpa hasil titik peluh
kebijaksanaan Anandha Krishnan dan kerajinan orang-orang cina berniaga?
“Kalau
begini susahlah…proses transfer mesti
tergendala…”
“So that’s why we have to do
something!..”
“We?..what do you mean ‘we’?”
Johnson
warga India beragama kristian tersengih semacam lagi.
“Saya
rasa saya sudah melakukan apa yang sepatutnya..” sambung Badrul lagi dengan
keyakinan dan anggukan bertalu sebelum mengulangi dalam bahasa inggeris.
“I done my part ready!..your side still
have to do something..”
Johnson
pantas bermuram seolah-olah ingin mencetuskan pertengkaran.
“Tetapi
I memang cukup hairan…sedangkan Yan sendiri tidak menyebelahi I sehingga
kini..” sambung Badrul lagi dengan sedikit sedih.
Memang
sebelum itu lebih jauh dari bersoal-jawab, mereka telah beberapa kali bertegang
leher dalam mesyuarat Optocoupler
Transfer Team yang berlangsung di bilik Q1. Mesyuarat demi mesyuarat
dilaksanakan. Seolah-olah tiada kerja lain perlu dilakukan kecuali menegakkan
benang basah.
Dalam
mesyuarat macam biasalah, masing-masing dengan segala jenis senjata yang ada
akan diacukan ke atas lawan tanpa mempedulikan jenis perisai yang perlu
dipakai. Seingatnya kini sudah sepuluh kali mesyuarat berantaian dan beberapa
kata putus telah dilaksanakan dengan sebulat suara.
MENINGGALKAN jabatan kualiti perbincangan yang
sengaja tidak dilanjutkan tergantungan diudara. Tanpa rasa bersalah, dengan
sekilas bahasa meminta diri, dia terus menuju ke TQM Auditorium dengan minda
berserabut seperti akar pokok kelapa. Nujurlah mindanya belum lagi seteruk
sabut kelapa.
Bukanlah
kerana beban kerja yang kian membara tetapi semacam ada sesuatu yang
mengganggui dari renungan seperti itu. Lalu wajah yang baru dikecam itu pun
terbayang entah kerana sebab apa.
Barangkali
setelah berjarak lima depa perlangkahan telefon bimbitnya berbunyi. Lagi
khabaran dari taukeh kedai barangan elektrik Soon Seng menyatakan peti ais yang
rosak seminggu lalu akan dihantar ke KL untuk kajian punca kerosakan.
“Sekarang
ini bulan puasa…I memang perlukan sangat peti ais..You tak boleh begini…kasilah I peti ais baru yang lain”
“I
terpaksa buat begitu…lagipun kami tak ada kepakaran di sini..”
Badrul
sengaja memutuskan talian telefon tanda geram. Terasa menyesal kerana membeli
perkakas elektrik itu dari kedai yang tidak ramai pelanggan terletak di jalan
gajah Berang hanya atas dasar belas kasihan. Tetapi yang terjadi adalah
sebaliknya. Dan pengajaran yang telah diterima betapa sifat mementuingkan diri
sendiri seharusnya perlu diberikan keutamaan dalam bentuk dunia zaman sekarang.
Begitu
menghampiri pintu belakang Auditorium, wajah Nurzaiti terimbas seketika.
Selepas itu dia teringatkan Mazrul yang bakal berpindah tidak berapa lama lagi
yang menjadi salah satu sebab mengapa dia begitu tergesa-gesa membeli peti ais
baru. Mujurlah peti ais rakannya masih belum diangkut lagi ke rumah sewa
baru. Rumah sewa baru? Bukankh lelaki berambut ikal itu dikehendaki mendiami
rumah mertuanya sesudah berbulan madu nanti?
Dia
kini sudah pun memasuki ruang TQM Audtorium. Para pendengar kelihatan tekun
kaku memenuhi ruang hadapan deretan kerusi. Kelihatan Rony Monteiro, seorang
jurutera berbangsa Serani sedang membentangkan kerja kerja bertajuk
‘Modification on Machine Bending & Testing’ sedang berjalan rancak.
Fikirannya
terganggu lagi oleh wajah gadis yang baru dikenali sekadar nama.
Masakan
seorang gadis yang matang semacam seperti itu berasal dari Pulau Pinang? Warga
negeri nasi kandar bukanlah konservatif sangat tetapi tingkah laku yang
bersifat open minded gadis itu
fikirnya terlalu jauh ke depan. Modennya seseorang tujuh puluh peratus
terserlah pada penampilan dan selebihnya pada pemikiran. Itu saja yang
berbelitan diminda tentang Nuzaiti sebelum kesangsian berlanjutan buat
hari-hari berikutnya. Bukannya dia sengaja mahu merunsingkan sesuatu perkara
yang langsung tiada berkaitan dengan rutin hidupnya. Tetapi entahlah!
Barangkali naluri kelakian itu mulai gelisah.
Serta-merta mengingatkan dirinya yang sudah melepasi alam suku abad. Mengingatkan tentang usia pastinya turut mengenang pula
apakah yang sepatut dilakukan dan bakal ditinggalkan. Perubahan usia sudah
tentunya merubahi juga segala tindak-tanduknya. Apakah yang mesti dicari
selaras dengan kehendak usia yang semakin bertambah ini? Akhirnya dia ketawa
sendiri kerana memikirkan satu perkara yang akhirnya begitu jauh menyimpangkan.
Ianya bagaikan satu pengalaman tersesat disatu jalan lalu memberanikan diri
mengharungi segenap simpang dengan niat bertemu haluan yang yang lebih
sempurna.
Pertemuan dengan gadis dari Pulau Pinang itu
terus meresahkan diri tentang usia dan pasangan hidup. Itulah kesan yang tidak
dapat dielakkan mulai menumpang teduh disudut beranda kosong sanubari.
Hebat sungguh ketrampilan Nurzaiti! Bagai
legenda Mahsuri wujud buat kedua kali.