Sunday, August 12, 2012

BAB 1 - SIRNA MELAYU


Bab 1

 


KEMUNCULAN Nurzaiti di pejabat jabatan kualiti pada sepuluh pagi hakikatnya tidaklah mengejutkan sangat. Tiada apa yang istimewa lahir dari pertemuan-pertemuan singkat sedemikian sepanjang hari-hari bekerja. Bukan tidak pernah ada sebarang gadis pekerja bujang yang bertandang atas sebab-sebab kerja bersama jelingan peribadi tertentu. Bukannya tiada sebarang hadiran pesona malahan lebih mengancam dari yang dialami lantas sengaja diresahkan. Kehadiran itu baginya adalah satu pemberian rahmat Tuhan yang unggul untuknya. Itulah tajuk utama pada dasar keraguan yang telah pun mendesah.
Peranannya di jabatan SU (Service Unit) itu sedari awal pembabitan lagi sudah diyakinnya begitu. Diantara tugas utamanya melayani pelanggan yaitu requestor dari pelbagai jabatan produk pengeluaran yang mahu menjalani tidak kira apa evalution atau pun qualification.
Yes, Mr Johnson..What can I do for you?”
“Your package does not meet requirement..IT’s fail!!!”
Why?…you still want to repeat your evaluation?”
“I think,..better you discuss with your manager…and after that you come back to me..I’ll see what I can do for you.Okey!.”
Begitulah diantara kata-kata yang sering diulang-ulang.
Pelanggannya terdiri dari berbagai peringkat jawatan bermula dari juruteknik biasa yang ingin membuat analisi peribadi bersifat bodek atau asah mata gergaji2 hinggalah kepada pengurus senior atau lebih dikenali sebagai HOD (Head Of Department) yang menerajui sesuatu projek pengurangan kos atau peningkatan kualiti yang sudah tentu memakan belanja berjuta.
Seringkali dirinya dijelmakan sebagai buku rujukan atau sesekali memiripi kamus dewan apabila ada krisis kualiti melanda. Aduan kerosakan peranti dari pihak pelanggan syarikat amatlah mudah ditakuti apatahlagi jika nama-nama yang besar terlibat sama. Nama-nama seperti Nokia, Ford, Chrysler, AT&T dan Siemens sendiri memang begitu dihormati. Segala aduan akan diteliti sederas mungkin sebelum jalan terbaik diambil untuk mengatasi. Dan selepas itu masing-masing dengan peranan tersendiri akan mendoakan menerusi anutan agama masing-masing agar tragedi memalukan itu agar tidak berulang kedua kali.
Berbalik pada kisaran tugasnya yang utama hanyalah untuk memuaskan hati setiap pelanggan dengan keputusan laporan yang menepati jadual selepas mengamalkan konsep give and take dalam gelisah pengesyoran. Bicara yang paling rutin dan sinonim dengan pembentukan kerjayanya adalah sebagaimana yang kerap tertulis di dalam surat elektronik yang tertuju kepada jurutera-jurutera dan pengurus yang terkandung dalam Coupler Distribution List
Dear All, Pls findout at below attachment for the tranfer qualification for CNY17 pakages. The report number is IRC213-05, Thanks..
Kekuatan disebalik setiap kata putus adalah penelusuran dari spesifikasi proses yang sudah menjadi satu kemestian. Segala perjalanan ujian ketahanan (reliability test) perlu telus dan berlandaskan kebenaran. Ringkasnya setiap keputusan tidaklah memilih bulu, double standard kecuali menuruti konsep first in first out kecuali ada desakan keadaan yang mengentingkan. Dan selalunya urgent reguisition datangnya bukanlah dari sebarang orang. Boleh jadi dari pengurus bahagian pembangunan kejuruteraan atau dari bahagian kejuruteraan dan penyelidikan.
Diantara pelanggan-pelanggan yang mesti dilayani termasuklah seorang gadis yang baru dikenali. Seorang gadis seperti Nurzaiti adalah wanita kebanyakan juga. Tiada darah tengku atau pahlawan yang mengalir ditubuh kental itu. Tiada sebarang bentuk karisma samada fizikal atau spiritual yang menyelubungi. Perwatakan remaja itu mudah ditemui dimana jua. Tiada sebarang kecantikan memukau yang terpalit membungkus isi kulit mahkluk ciptaan tuhan itu. Dia adalah seorang perempuan yang kini berada di puncak keperawanan terbungkus dalam gumpalan daging sama seperti Hawa. Namun kewanitaan yang terserlah dari hari ke sehari bukanlah sebarangan. Ada sesuatu yang teristimewa yang membezakan daripada yang lain.
Wanita begitu sinonim dengan penghidupan bunga. Dan bunga yang muncul setelah suburnya induk pohon resam tumbuhnya memanglah begitu. Kembang bila tiba waktu dan layu bila hilang serinya. Segalanya berlandaskan pada perjalanan waktu yang berputar telus senantiasa. Dan bunga itu sendiri tidak kira bunga raya, anggerik, kemboja tidak kira dari mana asal tetap punya berbagai rupa, warna, wangi dan tabiat tersendiri. Bunga mawar yang tahan diuji zaman akan kembang dan wanginya adalah yang paling popular. Ianya menjadi pilihan di majlis keramaian, hiasan meja makan hingga ke kalung percintaan. Bunga matahari pula sentiasa kembang dan patuh pada pusingan matahari tanpa sebarang bantahan. Keunikan itu menjadi pilhan penyeri halaman rumah hingga ke ruang tamu rumah. Bunga seri pagi pula hanya kembang dan kuncup setiap hari mengikut jumlah cahaya tanpa jemu.
Kesimpulannya, bunga yang berwajah baby face dan berperawakan sosial seperti Nurzaiti adalah suatu kebiasaan padanya juga. Dia tidak pasti bunga jenis apakah ianya. Gadis bertahi lalat dihujung bibir kiri itu hanyalah seorang pekerja baru dan sekali lagi baru dengan terhantar ke kilang semiconduktor tempat Badrul bekerja. Gadis itu telah diposkan oleh majikan barunya di Pulau Pinang.
Tiga minggu selepas pertemuan pertama barulah Badrul mendapat tahu betapa adanya rahsia besar yang mengendap di belakang takdir pertemuan demi pertemuan. Rahsia itulah yang tidak pernah diduga malah terfikir akan tiba jua menerpa. Ianya bagaikan satu filem lama yang telah dilupakan dan kini tertayang semula tanpa diduga. Juga bagaikan sebuah dairi lama yang tanpa disengajakan terbuka helaian penting yang cukup bermakna sekali.
Kehadiran itu adalah kehendak kelangsungan hidup bermasyarakat jua. Pertemuan tanpa dirancang adalah kehendak kudrat yang Maha Pencipta. Memang dia tidak terduga dengan pemberian akal yang sejengkal cuma. Sesuatu yang tak terjangkau oleh perasaan yang terlalu kerdil sekali dalam taman hidupan takdir yang amat luas hijau dan rahsianya. Seolah-olah kudrat Tuhan yang mahukan naluri kemanusiaan berfikir semula tentang asal-usul pembentukan sahsiah diri yang terlalu lama membeku dalam igloo kealpaan.
Bukan kerana adanya kelopak mengepak segak dan harum menguntum. Pertemuan yang menghidupkan rantaian ratusan nolstagia yang pada hakikatnya walaupun tidak pernah diimbas sedetik pun tetapi masih kekal sempurna dalam cakera simpanan ingatan. Ianya umpama sebuah folder dari satu directory didalam cakera keras yang langsung tidak pernah di’klik’ sebegitu lama. Ianya bagai sebuah fail usang yang tersimpan berabuk, terperenyuk buruk di dalam compactor kerana tidak dijengah lupa.
Fitrah kejadian manusia fikirnya adalah sama dengan operasi sistem komputer. Beberapa lama pun dipakai ianya perlu diservis dan diperiksa ketepatan sistem. Ruang memori yang terhad oleh jenis cakera kerasnya tentunya akan dibuat kemas kini dan segala yang terlalu lama akan dismpan didalam floppy disk. Sekiranya rosak atau diserangi virus tentunya memori yang terlalu lama akan dibuang jauh-jauh demi keselamatan sebuah sistem. Selagi bernama manusia dia tidak dapat melepaskan diri dari bebanan memori lama yang telah dilalui. Semua manusia begitu tersentuh dengan kenangan yang tersendiri.
Dia bukanlah dilahirkan terus membesar begini. Pemberian ruang memori yang kosong ketika lahirnya kini telah sendat terpenuhi.
Bukankah sebelum ini dia adalah seorang mahasiswa universiti yang bertungkus mencapai keputusan tertinggi di dalam balutan kepompong kampus? Bukankah dia juga seorang pelajar cemerlang yang terpilih memasuki MRSM,Raub, Pahang selepas darjah enam? Bukankah dia jua seorang kanak-kanak yang dibesarkan menerusi A,B,C dan 1,2,3 juga Alif,Ba,Ta melalui alam tadika? Bukankah dia juga asalnya seorang anak kecil yang hidup dalam kenangan yang penuh gelak mesra tangis dan resah. Bukankah dia adalah seorang anak yang mempunyai ibu bapa dan saudara kandung, saudara mara terdekat dan jauh juga rakan taulan? Bahkan dia adalah seorang rakyat jelata yang mengalami kebiasaan rutin hidup sebagai seorang warganegara beriklim khatulistiwa?
Dia tidak bersendirian di dunia ini. Dulu,kini dan selamanya. Semenjak pecah tangis pertama hinggalah bersemadi diliang lahad. Dia bukanlah Robinson Crusoe yang terdampar di sebuah pulau sepi ditengah lautan masin bergelora. Juga bukan seekor Tarzan yang hidup berteman seribu haiwan yang langsung tidak faham bahasa ibunda. Paling mendukacitakan dia tidaklah seburuk Elephant Man yang mengurung diri dari eksploitasi media dan rasa malu pun menyebar rasa paranoid dihati. 
Suatu ketikanya nanti bila roda waktu kian menua, dia bakal mempunyai empayar keluarga sendiri,di dalam cabang hidup kemasyarakatan dan ranting politik berbilang. Segala kerja yang dilakukan kini akan menjadi sejarah lalu dikenangnya nanti? Bukan seperti belalang kunyit, waktu tidak akan melompat dari satu longkang ke satu busut mengikut sedap rasa. Mahu atau tidak dia mesti terus mendepani disamping membelakangi hanya pada sesekali. Tidak sesekali berhenti melawan rutin masa,social dan ekonomi yang tak mengenal erti perhentian. Seekor katak dewasa pun akan melompat mengikut kehendak ekosistem, begitu berlandaskan masa. Segerombolan kijang-kijang yang terkinja-kinja dipadang tenang pun mengikut landasan sendiri juga. Memang pun haiwan melompat, burung berterbangan dan ikan-ikan berenangan. Segalanya ada landasan yang ditetapkan.
Namun bongkaran rahsia itu sungguh memeranjatkan. Rupanya ada landasan peribadi yang sebelum ini langsung tak diterjemahkan. Bulu roma pun meremang bukan hanya ketikanya musim hujan menggila atau terkejut oleh bayangan hantu disenjakala.
Sejarah hidup yang cukup menyentuh jiwa mudanya itu serasa bagaikan mimpi yang benar nyata. Kehadiran Nurzaiti cukup bermakna sekali. Dapatkah dia menafikan betapa hasil pertemuan itu adalah cukup berkesan sekali. Sekaligus merubah tanggapan dan persepsi diri terhadap hari-hari yang telah, sedang dan bakal diharungi. Tidakkah begitu seharusnya?

TUHAN Maha Perancang yang turut menganugerahkan satu kesedaran pada sesetengah insan. Dia mengingati detik asas pertemuan itu ditubuhkan.
Pagi isnin bersejarah itulah seorang jurutera berbangsa Serani yang didatangkan khusus dari Penang tiga bulan lalu telah bertanggungjawab memperkenalkan pembantu barunya – Nurzaiti Binti Ibrahim. Ketika itu dia baru hendak membuka pintu pejabat untuk bergegas menghadiri Technical forum di TQM Auditorium. Pesan tentang kemana perginya telah pun diberitahu pada Lousia jika ada sesiapa ingin mencari.
Sinar matahari jingga telah lama menempiaskan haba diluar sana. Sementara ditangan tersemat sehelai kertas agenda forum yang terlipat didalam sebuah dairi catatan kerja harian.
“Hai Friend!..you looking for me?”
Tanpa diberitahu dia pasti Johnson baru saja pulang dari BT (Business Trip).  Intipati mesyuarat bulanan di Osram tentunya sedang sarat dalam cepu kepalanya. Dan kini dia tidak lagi datang seorang atau berpasangan dengan Soon SK. Jurutera Cina sekurus Hafiz itu rasanya telah pun pulang dan tidak akan menjejakkan kaki ke bumi Melaka lagi. Gadis yang pertama kali dilihatnya memakai seluar jeans hitam ketat dengan padanan body suite berwarna jingga. Penampilan zahir sedemikian rupa tidak pernah diintipnya pada gadis-gadis kilangnya atau di Melaka. Di Kuala Lumpur penampilan begitu adalah satu daripada seribu pengaruh besar bagi penghuni alaf baru kononya. Tetapi mustahil tekaannya boleh tiba pantas ke tahap itu.
How’s the ILQ55 package result ?” soal Johnson, tersengih tanpa sebarang intro lagi.
“Fine..everything fine.but the result is still the same! Moreless like the ealier package… masih ada yang yang tak kena..But it is fine for me.Because I already done the best service for you” jawab Badrul sambil menggelengkan kepala sebelum meninjau gerak jarum waktu di tangan kiri.
“Fine?..what do you mean fine?”. Johnson tersengih lagi dengan menampakkan barisan gigi yang memutih.
“Fine means..I punya service is fine…”
Mereka berdua ketawa serentak.
Gadis yang belum diperkenalkan lagi berdiri kaku seperti tiang letrik selain mata yang merenung tepat 90 darjah kehadapan. Mata bundar itu sama sekali tidak rimas atau resah sebagaimana maklumnya tentang perlakuan pekerja baru. Memang tidak dinafikan penampilan pertama dirasakan dari sebuah jiwa yang benar-benar matang dan moden. Manusia matang dan moden lagaknya diantara garis kesombongan dan pemalu. Tersenyum hanya sekadar syarat dan bersikap relax dan cool : seolah-olah tiada kejutan perasaan langsung di dalam kujuran tubuh sepejal itu.
Lipstik merah pekat hampir menghitam dan bedak dipipi berjerawat kasar terlalu tebal.  Realiti wajah yang asli begitu tenggelam dalam solekan keterlaluan. Namun harum wangian yang meresap pantas mengingatkan dia sekali lagi akan benarnya suatu gaya penampilan gadis alaf baru.
“Fail?..failure?..”
“Yah!…A very common failure..” jelas Badrul lagi sambil menjeling ke arah Nurzairti yang diam terpacak macam tiang pencawang di tengah belukar.
Hanya beberapa detik ada perasaan mengejek timbul. Seperti mentertawakan lagak seorang rusa masuk kampung yang serba ketidak-tentuan. Gadis itu mengepit beberapa keping nota di tangan kiri rapat ke ramping pinggang. Kepala yang sedikit lonjong itu terpacak kaku tanpa menoleh kemana-mana. Kecuali sepasang mata yang masih asyik menyertai perbualan di tengah laluan pintu masuk. Mata yang lambat mengerdip itu seperti menggunakan segala keupayaaan untuk melihat ruang hadapan pada sudut tiga dimensi 180 darjah.
IR failure somemore?..My god!..but why?…Di Penang selama ini langsung tiada IR failure..”
“So! that means…your side having a big problem..May be they were still hiding something. May be Penang never follow properly what is the spec said!..that’s my opinion..”
“Hei kawan…I sudah dua tahun di situ…takkan OSRAM tak ikut spec..mana tahu Malacca yang masih buat salah..”
Cannot be like that…I lagi suka kalau semua keputusan cantik dan cun-cun belaka..kerja pun kurang, betul tak?….”
“Bagaimana dengan chamber set up?…mungkin ada yang salah agaknya?”
” Tak mungkin!.. my people sudah check berpuluh kali…..”
Keadaan begitu memang selalu berlaku bila bertemu dengan jurutera setaraf dengannya. Baru saja mahu berbahasa inggeris pihak lawan mula bercakap dalam bahasa ibundanya. Apakah kelayakannya sebagai jurutera dari lulusan universiti tempatan masih diragui akan kebolehannya berbahasa inggeris? Fikirnya diantara jurutera-jurutera di jabatannya dialah yang paling betul sebutan grammar dan pronounsation. Kebanyakan pekerja hanya mengambil sikap sambil lewa janji tahu berbahasa inggeris sudah memadai. Bahasa inggeris pasar  - barangkali itulah jolokan yang paling bersesuaian.
Alangkah indahnya kalau selepas jeritan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman, semua orang-orang cina dan India dihantar pulang kenegara masing-masing. Tentunya sekarang tidak berlaku masalah bahasa pengantaraan. Tetapi malangnya mampukah negara Malaysia boleh membangun seperti sekarang ini tanpa hasil titik peluh kebijaksanaan Anandha Krishnan dan kerajinan orang-orang cina berniaga?
“Kalau begini susahlah…proses transfer mesti tergendala…”
“So that’s why we have to do something!..”
“We?..what do you mean ‘we’?”
Johnson warga India beragama kristian tersengih semacam lagi.
“Saya rasa saya sudah melakukan apa yang sepatutnya..” sambung Badrul lagi dengan keyakinan dan anggukan bertalu sebelum mengulangi dalam bahasa inggeris.
“I done my part ready!..your side still have to do something..”
Johnson pantas bermuram seolah-olah ingin mencetuskan pertengkaran.
“Tetapi I memang cukup hairan…sedangkan Yan sendiri tidak menyebelahi I sehingga kini..” sambung Badrul lagi dengan sedikit sedih.
Memang sebelum itu lebih jauh dari bersoal-jawab, mereka telah beberapa kali bertegang leher dalam mesyuarat Optocoupler Transfer Team yang berlangsung di bilik Q1. Mesyuarat demi mesyuarat dilaksanakan. Seolah-olah tiada kerja lain perlu dilakukan kecuali menegakkan benang basah.
Dalam mesyuarat macam biasalah, masing-masing dengan segala jenis senjata yang ada akan diacukan ke atas lawan tanpa mempedulikan jenis perisai yang perlu dipakai. Seingatnya kini sudah sepuluh kali mesyuarat berantaian dan beberapa kata putus telah dilaksanakan dengan sebulat suara.

MENINGGALKAN jabatan kualiti perbincangan yang sengaja tidak dilanjutkan tergantungan diudara. Tanpa rasa bersalah, dengan sekilas bahasa meminta diri, dia terus menuju ke TQM Auditorium dengan minda berserabut seperti akar pokok kelapa. Nujurlah mindanya belum lagi seteruk sabut kelapa.
Bukanlah kerana beban kerja yang kian membara tetapi semacam ada sesuatu yang mengganggui dari renungan seperti itu. Lalu wajah yang baru dikecam itu pun terbayang entah kerana sebab apa.
Barangkali setelah berjarak lima depa perlangkahan telefon bimbitnya berbunyi. Lagi khabaran dari taukeh kedai barangan elektrik Soon Seng menyatakan peti ais yang rosak seminggu lalu akan dihantar ke KL untuk kajian punca kerosakan.
“Sekarang ini bulan puasa…I memang perlukan sangat peti ais..You tak boleh  begini…kasilah I peti ais baru yang lain”
“I terpaksa buat begitu…lagipun kami tak ada kepakaran di sini..”
Badrul sengaja memutuskan talian telefon tanda geram. Terasa menyesal kerana membeli perkakas elektrik itu dari kedai yang tidak ramai pelanggan terletak di jalan gajah Berang hanya atas dasar belas kasihan. Tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Dan pengajaran yang telah diterima betapa sifat mementuingkan diri sendiri seharusnya perlu diberikan keutamaan dalam bentuk dunia zaman sekarang.
Begitu menghampiri pintu belakang Auditorium, wajah Nurzaiti terimbas seketika. Selepas itu dia teringatkan Mazrul yang bakal berpindah tidak berapa lama lagi yang menjadi salah satu sebab mengapa dia begitu tergesa-gesa membeli peti ais baru. Mujurlah peti ais rakannya masih belum diangkut lagi ke rumah sewa baru. Rumah sewa baru? Bukankh lelaki berambut ikal itu dikehendaki mendiami rumah mertuanya sesudah berbulan madu nanti?
Dia kini sudah pun memasuki ruang TQM Audtorium. Para pendengar kelihatan tekun kaku memenuhi ruang hadapan deretan kerusi. Kelihatan Rony Monteiro, seorang jurutera berbangsa Serani sedang membentangkan kerja kerja bertajuk ‘Modification on Machine Bending & Testing’ sedang berjalan rancak.
Fikirannya terganggu lagi oleh wajah gadis yang baru dikenali sekadar nama.
Masakan seorang gadis yang matang semacam seperti itu berasal dari Pulau Pinang? Warga negeri nasi kandar bukanlah konservatif sangat tetapi tingkah laku yang bersifat open minded gadis itu fikirnya terlalu jauh ke depan. Modennya seseorang tujuh puluh peratus terserlah pada penampilan dan selebihnya pada pemikiran. Itu saja yang berbelitan diminda tentang Nuzaiti sebelum kesangsian berlanjutan buat hari-hari berikutnya. Bukannya dia sengaja mahu merunsingkan sesuatu perkara yang langsung tiada berkaitan dengan rutin hidupnya. Tetapi entahlah!
Barangkali naluri kelakian itu mulai gelisah. Serta-merta mengingatkan dirinya yang sudah melepasi alam suku abad. Mengingatkan tentang usia pastinya turut mengenang pula apakah yang sepatut dilakukan dan bakal ditinggalkan. Perubahan usia sudah tentunya merubahi juga segala tindak-tanduknya. Apakah yang mesti dicari selaras dengan kehendak usia yang semakin bertambah ini? Akhirnya dia ketawa sendiri kerana memikirkan satu perkara yang akhirnya begitu jauh menyimpangkan. Ianya bagaikan satu pengalaman tersesat disatu jalan lalu memberanikan diri mengharungi segenap simpang dengan niat bertemu haluan yang yang lebih sempurna.
Pertemuan dengan gadis dari Pulau Pinang itu terus meresahkan diri tentang usia dan pasangan hidup. Itulah kesan yang tidak dapat dielakkan mulai menumpang teduh disudut beranda kosong sanubari.
Hebat sungguh ketrampilan Nurzaiti! Bagai legenda Mahsuri wujud buat kedua kali. 




No comments:

Post a Comment

Blog Archive