Sunday, August 12, 2012

BAB A - NOVEL DUNIA SEMPURNA


A
"Alif laam miim.
Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan:
"Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?
Dan, sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka,
maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya
Dia mengetahui orang-orang yang berdusta".
(al Ankabut: 1-3)


1
DIA kepingin membuka kelopak mata. Sudah beberapa kali dicuba. Ternyata begitu sukar dan berat. Namun dia tetap berusaha. Seingatnya hampir semalaman pandangan sekeliling adalah kelam.Tiada setitik cahaya kelihatan.Apakah matahari sudah berhenti dari perkhidmatan? Adakah bumi tidak sudi menerima kesiangan? Kecuali koklea masih menangkap berjenisan frekuensi yang menghasilkan berjenisan nada yang tidak seragam. Dari kepelbagaian itulah maka terbentuknya bunyi ataupun suara.
Ada bunyi nyilu seperti ada dua benda keras bergeseran.Ada seperti desiran tiupan angin pantai. Suara dari orang-orang yang agak berdekatan pun ada. Diantara suara-suara itu didapati masih gagal difahami. Kerana darinya termaksudnya satu bahasa yang sukar dimengertikan. Suara itu berbahasa. Suara itu memperkatakan sesuatu sambil dituruti oleh suara yang lain.Barangkali suara-suara itu sedang membicarakan kelopak matanya yang berkatup. Dia kurang pasti. Dikalangan suara-suara itu terdengar juga nada yang tidak mempunyai susunan bahasa.Tetapi dia merasa sedih mendengarkan suara tanpa bahasa itu kerana mempunyai makna yang serupa dari awal hingga ke akhir kata.Nadanya begitu ringkas dan tidak seperti suara-suara lainnya.
Dia masih cuba mencelikkan mata. Kali ini terasa ada benda tajam menusuk satu bahagian tubuh. Tidak pasti disudut mana.Kerana hampir semua lokasi tubuh tidak dikenali pasti. Tusukan itu amat menyakitkan. Kesakitan itu semakin terasa, pantas merayap ke anggota lain.
Hanya dikenal anggota tubuhnya adalah mata dan telinga. Bebola mata yang berjumlah dua itu ditutup rapat. Kelopak mengunci. Bulu-bulu mata membaringi. Dia tidak pasti apa sebabnya.Timbullah hajat meminta bantuan dari orang lain untuk membuka kelopak mata seperti kelopak bunga kudup. Lemasnya bila berada dalam gelap.Dia idamkan cahaya.Biarpun setitik cuma asalkan dia tidak tergapai-gapai seperti sekarang.
Yang boleh berfungsi sedikit cuma, hanyalah sepasang telinga..Kerana itulah dia upaya membezakan suara-suara yang pelbagai nada.Kini dia teringat lagi betapa dia juga mempunyai hidung yang berlubang dua .Dengan hidunglah dia masih dapat menyedut oksigen dan menghembuskan karbon dioksida.
Dengan begitu pantas dia teringat lagi akan beberapa bahagian tubuh lain. Baru disedari rupanya dia masih mempunyai mulut,tangan dan kaki.Sebentar tadi dia cuba menjerit adalah dengan menggunakan mulut.Dimulutnya pasti ada bibir, lidah, gigi, gusi dan anak tekak.Kali ini dia berjaya mengingati beberapa nama anggota tubuhnya satu persatu. Kepala, leher, dada, perut, pinggang, tangan dan kaki. Dikepalanya ada rambut,di perutnya ada pusat,dikakinya ada ketuat dan dipinggang ada alat kelaminnya. Dia semakin sedar akan kewujudan semua anggota lalu dihafali satu persatu. Kewujudan itu bermakna dia masih seorang manusia
Di kepala itulah terletak mata yang terkunci,telinga yang mendengar dan mulut yang membisu. Tangan pun turut kaku. Kepala terasa pening disebabkan otak yang berdenyut –denyut semacam. Jantungnya berdegup lemah dan tidak konsisten .Semakin lama semakin diingati beberapa nama organ didalam tubuh. Dia merasa gembira meskipun otak kian berdenyut apabila mengingati beberapa nama organ dan anggota tubuh.Dia merasa senang.
Sekarang dia teringatkan satu perkataan.Satu susunan huruf yang merujuk pada sesuatu diluar tubuhnya. Satu perkataan yang terdiri dari tiga huruf. Ianya begitu sinonim dengan kewujudan dirinya. Satu perkataan yang paling banyak disebut dalam hidup sehariannya.
Ton.

2
SAMBIL mengenyeh kelopak mata yang gatal, Ridwan mencuri pandang tong-tong drum yang mengelilingi. Tong-tong yang berwarna hitam pekat masih berbau minyak itu, tingginya melebihi paras bahunya. Tong-tong drum kosong yang digunakan sebagai penyimpan cecair pencuci pinggan itu yakinnya adalah sama berat dengan tubuhnya jika tanpa muatan. Dia terus-menerus meneliti seraya menganggar tong-tong dihadapannya melebihi dari puluh ribuan jumlahnya.
Ruang gudang seluas pada hoki, berbau karat besi dan sedikit berbahang dijelajahi dengan jelling mata yang masih lagi terasa gatal. Kegatalan itu dipercayai disebabkan oleh habuk besi yang menerawangi udara lalu ada sebutir menyelinap ke ruang mata. Selalu saja dia beranggapan diantara tong-tong itu hanya dia seorang yang bernyawa dan bergelar manusia. Seolah-olah dia lemas, sedang sesak bernafas dilautan berombak besi. Deburan yang menghentam begitu sinonim dengan percikan logam yang mendidih yang telah pun mengeras membentuk silender-silinder yang menyamai rupa manusia.
Dia terbatuk pantas tiga kali. Kali ini tekaknya pula terasa gatal lalu memerit. Bunyi batuknya yang bertalun itu menyedarkannya lagi akan kesunyian tengahari dimana kesemua pekerja sedang berada di bangunan kantin berhadapan gudang. Ruang makan sebesar dua kali gelanggang tennis itu pastinya sedang disendati orang dan ini amat dijelaki. Dia lebih suka menyelami bau besi dan karat daripada hapak peluh perbagai jenis manusia. Keadaan berpusu-pusu untuk menjamah rezeki pastinya akan surut bila menjelang keesokan hari.
Sebagaimana tahun-tahun yang lampau, tetamu Ramadhan akan hadir seperti biasa. Namun masih ramai pekerja disitu yang hanya mengaku islam tetapi enggan mengamalkan. Menunaikan rukun ke empat sudah hilang dari senarai tanggungjawab. Islam sekadar kulit dan warisan. Sambil menyeka peluh yang mengalir di luar tepi cuping telinga, dia tidak dapat menafikan yang empunya diri juga akan tergolong sebagai orang islam sekadar kulit dan warisan.
Tuala putih yang hampir jatuh ke lantai sempat dicapai lalu disangkutkan semula ke bahu. Tuala putih bersaiz kecil itu baru saja dibeli dari pasar malam sebagai ganti. Tuala yang sedia lusuh telah dibuang seminggu lalu kerana sukar dihilangkan bau hapak walaupun disental dengan apa juga serbuk pencuci. Namun setelah seminggu warna tuala itu sudah memiripi warna tong-tong drum itu. Hati manusia barangkali juga begitu kalau tidak disental selalu.
Dia berdehem beberapa kali
Kegatalan di anak tekak masih belum hilang. Perutnya mula mengisyaratkan rasa lapar. Kelibat Aman masih belum kelihatan dari pintu gudang yang ternganga luas yang juga membentuk sekotak cahaya dari tempat curi tulangnya sekarang. Dia percaya rakannya masih lagi beratur panjang untuk membeli dua bungkus makanan tengahari untuk mereka berdua. Yang pasti mereka akhirnya akan makan di sini, fikirnya menyedapkan hati.
Kali ini nafsu makannya tengahari itu agak berbeza. Tidak dinafikan puncanya oleh perasaan yang tidak teratur. Sedikit resah oleh bakal bulan baru menjenguk tiba. Semacam ada satu teguran memarahi. Serentak itu terdapat perasaan berdosa yang menghinggapi pada jiwa remajanya itu. Resah bila bersemuka dengan bulan ibadat merupakan sifat orang-orang fasiq. Tetapi resah yang dialami kelihatan bercampur-aduk.
Dia berdiri seketika bagi menghilangkan lenguh otot lutut. Duduk terlalu lama juga mendatangkan masalah baginya. Bunyi decitan seekor tikus yang tidak kelihatan menggigit deria dengar, menghentikan lamunan letihnya. Bagaikan berpakat, seekor lipas pula muncul mengejut, menyelinap pantas dicelahan kangkangan. Gatal matanya kembali menyucuk-nyucuk. Lapar perutnya makin menyucuk-nyucuk. Erti kefasiqan turut juga menyucuk-nyucuk.
Susunan tong-tong yang kelihatan bagaikan bala tentera perang diperhatikannya lagi. Dia percaya itulah satu-satunya benda yang selalu ditatapnya setiap petang bermula awal Ramadhan tahun lampau tanpa surut sedikit pun.
Inilah bentuk kerjanya sehari-hari. Rutin hidup seorang manusia muda mengais rezeki. Pada ketika-ketika yang terluang setelah terganggu oleh lamunan hidup lampau seorang diri, dia sukar mempercayai akan wajah diri dan corak hidup yang dipilih. Seorang pengangkut tong drum didalam sebuah gudang di pinggiran sebuah dermaga di negara bertaraf G7.
Kalau di negara sendiri kerja-kerja seremeh itu sudah tentunya dilakukan oleh warga Bangladesh, Myammar atau Indonesia. Kerja yang dilaluinya hampir setara dengan pekerja buruh binaan di tapak pembangunan tanpa sebarang perjanjian insuran. Temporary worker – satu status rendah yang hanya bakal dikesal bila ada sesuatu kejutan bala menerpa. Umpamanya tiadanya cuti sakit, peruntukan cuti tahunan, rawatan percuma klinik, EPF dan bonus tahunan jika ada dan terpenting sekali adalah insuran kematian.
Taraf kelayakannya di negara jiran adalah sama dan tiada bezanya dengan lagak seorang pendatang haram. Satu kerja yang memberikan hasil yang lumayan tetapi langsung tiada masa depan.yang menjanjikan. Ianya juga bermakna dia telah menghabiskan waktu begitu sesia sekali yang sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih bermakna. Dia akan menjadi pengangkat tong drum sampai bila-bila.
Impian masa depan?
Memang benarlah. Bukankah itu adalah persoalan terakhir yang singgah di kepalanya pada setiap kali berkayuh begitu jauh? Itupun seboleh-boleh dia cepat memarahi diri agar jangan kerap bersendirian sehingga membolehkan dirinya dirasuk sejarah yang terlalu lebar, memori silam yang sedap digaru bila gatal atau impian yang tak tentu hala tanpa kompas.
Masa depan ibarat saujana lautan mata memandang. Sukar untuk dijangkau dalam usia semuda itu. Tiada apa keuntungan yang dia perolehi kecuali sakit hati. Selain kealpaan dan kesal. Kesal kerana tidak memikir panjang bagi memilih corak hidup demikian. Alpa kerana tenggelam dalam rasukan hidup yang tidak nyata kononnya. Hidup yang nyata adalah hidup terbuang yang sedang dilalui sekarang. Hidup tanpa berpandukan kompas akan mudah menggelincirkan dalam jurang kefasiqan.
Oleh kerana itulah konsep masa depan baginya bererti perkara yang bakal terjadi pada keesokan hari atau selebih-lebihnya bulan yang akan datang. Tiada guna memikiri lebih dari tempoh itu kerana sebagai insan kerdil kita hanya tahu merancang berlandaskan pada hakikat kekinian.
Ridwan tersenyum sendiri apabila mendapati dirinya sedang berfilosofi disisi tong-tong drum yang tidak bernyawa, punya berjenisan bau yang mustahil untuk memahami. Gudang yang didiaminya merupakan sejenis ‘tong drum’ juga. Hatinya yang kosong juga merupakan sejenis tong drum yang halimunan. Pendekata, falsafah tong drum boleh berada di mana-mana.
Memang, yakinnya lagi corak hidup yang dipilih itu tiada dipengaruhi atau didesaki oleh sesiapa pun. Hati sendiri yang gatal mahukan begitu. Malah pada hari pertama di Jurong, dia bersungguh-sungguh mengikut Aman bekerja tanpa pengaruh sesiapa. Kini tanpa pengaruh sesiapa juga dia sendiri semacam tidak percaya akan pengalaman bertahunnya kini. Dia adalah dia yang bergelar seorang pekerja gudang di sebuah dermaga di negara asing. Gudang setinggi lima tingkat bangunan dan seluas stadium bola sepak itu hanyalah satu gudang persinggahan kapal-kapal kontena dipelabuhan. Segala jenis kapal dari semua ceruk rantau dunia datang ke situ.
Ridwan hanya gemar mengetahui secara mendalam tentang itu. Skop pemikiran yang terguna hanya berfungsi setakat apa yang perlu bagi melancarkan tugasnya. Barang-barang dagangan yang tentunya berbentuk serbuk pencuci atau cecair yang lain diangkat ke gudang itu lalu dihantar ke kilang-kilang untuk tujuan pembungkusan atau pengetinan. Hanya selepas itu tong-tong drum itu akan dihantar semula untuk dicuci sebelum digunakan kembali. Memang pelik sekali kerja yang dilakukan secara manual. Tidak sampai sepuluh tahun lagi tempatnya tentu diganti oleh robot-robot yang tidak memerlukan gaji bulanan atau mingguan.
Bekerja disitu juga membolehkan dia fasih bagaimanakah proses pembungkusan barangan keperluan rumah yang sebenarnya. Serbuk-serbuk pencuci cecair bukanlah datang dalam bentuk yang kecil seperti yang terdapat di pasaran. Itulah satu-satu pengalaman yang amat dibanggai setakat ini, selain beruntung dapat menjelajahi bumi singapura – salah satu negara termaju didunia.
Apa yang dia tahu hanyalah itu. Manakala persoalan apakah kandungan itu jika terhidu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatannya ataupun tidak – tidak pernah diungkitkan apatahlagi dibimbangkan.

“HOI!…termenung jauh nampak?..Teringatkan kampung halaman ke?”
Bukan main terkejut lagi. Sergahan itu datangnya dari Shaharinam, satu-satunya imigran yang diramahi tinggal di sebuah pangsapuri di persekitaran Clementi. Tiga tahun bermastautin di rantau orang menyebabkan lelaki warga kelantan itu hilang kefasihan dielek negeri.
“Tak pergi makan?..”soal Shaharinam lagi sambil membersihkan sisa-sisa makanan dicelahan gigi dengan menggunakan sebatang pencungkil gigi.
"Belum lagi, aku kirim ada Aman untuk bekalkan”
"Sejak kebelakangan ini kau ada dengar cerita apa-apa?“
Ridwan terkejut lagi. Sememangnya dia tidak menyenangi kehadiran lelaki yang diketahui tidak pernah bersembahyang dan jarang sekali berpuasa..
"Cerita apa pula?“
Dia sengaja melayan padahal jiwanya masih lagi memperhitungkan untung rugi nasibnya dimasa hadapan.
“Baru saja dua hari yang lalu berlaku satu misteri kematian yang amat mengerikan.
“Siapa?..dimana?”
“Di gudang inilah…Seorang pekerja rakyat indonesia telah menghembuskan nafas terakhir ketika cuba mengangkat sebuah tong drum yang juga terakhir dalam hidupnya. “
Shaharinam hampir ketawa dengan kata-katanya.
“Betul ke?..apa sebabnya?” soal Ridwan begitu bersungguh bagaikan orang bodoh walhal perkara itu pernah dihebohkan pada dua hari yang lepas oleh pekerja lain semasa di dalam kantin, juga hasil perbuatan mencuri dengar.
“Sebab –musabab siasatan singkat mengatakan lelaki imigran itu telah bekerja selama 18 belas jam setiap hari tanpa henti. Tujuannya demi membayar hutang tanah yang tergadai dinegara asal. Yang amat pelik sekali ialah tubuh arwah yang baru sejam menjadi mayat itu telah bertukar hitam legam. Semua orang nampak. Semua mata terbeliak dan ada yang hampir pengsan kerana tidak percaya. Dan ketika upacara pengebumian di rumah kakak arwah di Pulau Batam, ramai yang kata mayat itu terlalu berat sekali dan mengambil masa yang lama untuk dikuburkan.”
“Ini satu peringatan yang baik untuk engkau…bila lagi nak kembali ke pangkal jalan?”
Wajah sugul Shaharinam itu tersentak. Memang kesan dari tutur kata itu nampak akan kabus insaf yang menyelubungi.
„Bukan untuk aku saja..engkau pun...aku hanya berdosa pada Tuhan, dan engkau pula berdosa pada orang tua, mana yang lebih berat?“, balas Shaharinam sambil tersenyum sinis.
Ibarat melontar bola ke dinding, scenario sedemikian banyak juga mengembalikan semula pada kealiman dirinya yang lampau. Namun penimbulan rasa insaf untuk kembali menguncup ke asal diri hanya seketika. Yang selalu dimurungkan sekaligus dirisaukan; bilakah hari minggu akan tiba dan gaji mingguan akan didebitkan kedalam bank simpanan. Kerana itu dia sering mendiamkan diri disamping Aman yang pendiam tanpa sebarang komen walaupun gerakan kerja adakalanya sering mengganggui kelancaran sihat badan.
"Nak kemana tu? ", tanya Ridwan apabila lambat menyedari lelaki yang sukar diiingati nama beredar dari kediamannya.
"Nak buat kerja...tak baik curi tulang lama-lama, nanti rezeki tak berkat"
"Wah!..dah alim nampak? ", usik Ridwan sambil tersengih lama.
Setelah mengucapkan terima kasih kerana dipuji,lelaki imigran itu semapt mengajaknya agar mengambil permit kerja yang sah. Dakwanya lagi dalam bulan ini ada ura-ura pihak berkuasa akan menjalankan operasi penangkapan terhadap pekerja yang melanggari undang-undang dan akan dihadapkan ke mahkamah.

KELIBAT Aman muncul cergas ketika dia baru menanam niat untuk cuba berbaring diatas tong-tong drum itu. Sebungkus makanan lalu dihulurkan padanya.
“Kau sakit?”
“Bukan sakit tapi bosan…fasal tunggu kau lama sangat..”
“Aku ingatkan apa tadi…ingatkan dah bosan kerja sebagai pengangkat tong drum“
"Demi untuk hidup berdikari, aku tetap cekalkan pendirian", jawab Ridwan dengan penuh semangat.
" Malam semalam aku bermimpi. Sesuatu yang buruk mungkin terjadi..”
“Mimpi apalagi..mimpi Zaleha cari kau agaknya..”
“Aku serius ni.aku mimpi gigi aku patah..”
“Siapa pula lagi yang nak mati?”soal Ridwan.
Mata Aman memandangnya lama tanpa berkerlipan. Di dalam hati cuma ada rasa geram dan kasihan.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive