Saturday, January 28, 2012

Petikan Bab 1 novel Reunion


BAB 1


Meor Hasyim tiba di tempat tujuan ketika jam tangan tepat menunjukkan pukul sepuluh pagi sebagaimana yang dijanjikan.Ketepatan itu fikirnya hanyalah satu kebetulan saja kerana sebelum ini sifatnya jarang menunjukkan kearah itu. Dia adalah lelaki yang bersifat penangguh sebenarnya.
Dia memikirkan semula keadaan jalanraya yang bersimpang-siur bagaikan ular kena palu itu. Jalan yang penuh berjerawat di sana sini membuatkan jarak perjalanan yang dilalui terasa begitu panjang.Tidak disangkanya sebentar tadi ada jerat menunggu pelanduk.Disimpang sempit,berpasir ditepinya dan terlindung oleh sebuah Tokong Cina yang berusia lebih separuh abad tiba-tiba terpampang ‘BERHENTI – PEMERIKSAAN POLIS ‘dia memberhentikan motosikal dengan cengkaman brek kaki yang sudah worn out menyebabkan tayar belakangnya sedikit berpusing.
Nasibnya begitu baik kerana tidak terjatuh.Dia merasa kesal kerana tidak mengunakan brek tangan yang masih baik lagi.Serta-merta menyesali tangannya yang gagal mencengkam. Nasib yang baik turut menyebelahinya kerana baru sahaja menghidupkan lesen L yang telah mati tiga hari yang lalu.Dan tanpa banyak soal tiga orang polis trafik berwajah garang yang galak menahan setiap motosikal yang lalu itu melepaskannya dengan tanpa memberi amaran apa-apa.Timbul juga sedikit kehairanan kerana selalunya road block dilakukan ketika hampirnya waktu lebaran atau apa jua jenis hari perayaan.Namun dia tidak memikirkan perkara itu begitu lama kerana satu perkara yang masih bermain-main di minda dan perlu diselesaikan sebentar lagi.
Suasana di stesen minyak ESSO itu dilihatnya tidak berapa sibuk lagi.Selalunya dari pukul enam hingga sembilan pagi keadaan bertali arus dengan kenderaan yang berpusu-pusu  dan agak mengecohkan bagi seorang Atendan pam minyak.Kelihatan dari sebelah warung makan tempat dia meletakkan motosikal, Anas seorang sahabat lama yang ingin ditemui sedang mencuci cermin hadapan sebuah kereta sambil dibantu oleh seorang pekerja lain.Semenatara dua orang pekerja lain yang tidak dikenali dilihat sempat berbual-bual dengan lantang tentang jenis-jenis motosikal berkuasa besar dibangku panjang yang sememangnya disediakan.Anas melambai tinggi tangan kirinya setelah berjaya mengecam kehadirannya sambil tangan kanannya masih mengelap pula cermin yang sudah dicuci .Meor membuka lambat rayben dan topi keledar lalu diletakkan diraga motosikal.
“Wah…kau sudah bermotor sekarang….”,laung Anas sambil berjalan pantas mendapatkannya. Ditangan Anas tergenggam sebotol air minuman mineral bersaiz besar lalu diteguknya sambil berjalan – satu perbuatan yang tidak disenangi oleh Meor.
“Inilah yang dikatakan campus rider …”,balas Meor dengan niat mengusik.Anas yang merampas anak kunci dari tangannya yang terbuka itu lalu menghidupkan enjin Honda 100CC itu sebelum membingitkan suasana dengan bunyi eksoz yang bertalu-talu.
“…boleh tahan juga motor kapcai ini”,puji Anas sebelum ketawa dengan deretan gigi-gigi yang jelas putih bersih disebalik wajahnya yang semakin hitam .
“Sebenarnya aku tidak berbangga kerana mempunyai motor..kerana dengan motor bermakna aku telah bermusuh dengan alam…aku telah menambahkan kuantiti pencemaran dibumi kita ini…”,balas Meor pula dengan lebar panjang dengan niat untuk berjenaka sebelum ketawa sengaja.
Ada sesuatu yang menggelikan hati mereka berdua sebenarnya apabila terlanjur menyentuh soal dunia motosikal.
“Sudah..hentikan saja sajak-sajak usang kau itu…kau sekarang mat teknologi… tahu?”.pinta Anas lalu mengeliat malas seraya berjalan semula menuju kearah kereta yang semakin banyak tiba sambil menyumpahkan sesuatu.
Dua minit kemudian Anas pun tiba mendapatkannya semula.
“Kalau kau ada duit aku nak pinjam…”.pinta Anas selamba lalu tidak menyudahkan kata-katanya untuk memberi peluang pada dirinya untuk turut menyanyikan lagu tiara yang sedang berkumandang dari radio milik stesen minyak itu sambil melangkah dengan keriangan sekali.”…kau tahu sajalah pasal projek biography kita itu…masih,masih banyak yang perlu aku selesaikan..”,jelasnya kemudian setelah mendapatkan Meor yang sudah beralih duduk dibangku panjang yang telah kosong semenjak tadi.Beberapa orang pekerja stesen minyak itu dilihatnya sedang berkumpul dan menghisap rokok di warung makan yang terletak betul-betul dihadapan stesen minyak itu.
“Sudah siap ke belum projek kita itu?”
“Ha!.. itu soalan yang cukup bagus untuk didengar…”,sindirnya pantas sebelum bertindak memarahi Meor pula.”…itulah engkau..buat kerja tak mau…asyik nak bersasteralah,bercintalah…tahu-tahu bertanya sudah siap ke belum?”
“Eh..memanglah kerja aku sebagai penulis saja dan tidak lebih dari itu…”
“Tapi nak menghasilkan buku bukan setakat menulisnya saja sayang!…Soal cetak-mencetak harus diselesaikan…tempahan dewan harus disegerakan dan yang terpenting adalah soal kewangan...”
“Tapi aku hanya sebagai seorang penulis biography saja bukan..kau kan tahu bahagian aku hanya itu..Dan sekarang tinggal kerja kau dan Deraman sajalah bukan?”
“Kau tahu…”jelas Anas  pula.”…sudah dua ratus ringgit aku habiskan semata-mata untuk menjayakan projek biography kita itu.”Anas terdiam seketika dan Meor yang lebih enam tahun akrab dengannya semenjak dari darjah satu lagi sebelum berpisah sekolah menengah memang memaklumi sifat gila-gilanya itu.Tetapi dalam kegilaan Anas dia adalah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan tidak mustahil mempunyai suatu wawasan yang bernilai dan tentunya dirahsiakan.
“Biography itu sudah siap disunting dan dicetak..Cuma aku perlukan sumbangan rakan-rakan aku yang pandai-pandai belaka untuk perbelanjaan majlis penyampain biography itu nanti..”
“Bila majlis itu akan diadakan?”
“Pada pertengahan cuti semester ini..”
“Tarikhnya?”
“Belum ditentukan lagi..nanti aku beritahu kau malam ini”
“Sebelum ini siapa yang sudah menghulurkan derma?”
“Semua kecuali engkau seorang..”
Meor terperanjat dengan jawapan itu .Dia merenungi wajah Anas yang kurang cengkungnya daripada pertemuan dulu tetapi semakin hitam dan berkilat kerana berpeluh.Dia merenung meminta kepastian lagi.Mungkin sahabatnya itu tidak tahu bahawa dirinya begitu lambat dapat dihubungi kerana sememangnya UTM adalah universiti paling lambat tiba cuti semesternya.Atau mungkin Anas sengaja tidak mahu memahami perjalanan semester selain dari ITMnya saja.
“Kamarul selaku bekas bendahari beri seratus ringgit, Nudzul pelajar malas tetapi bendahari baru dan despatch yang rajin turut menghulur lima puluh ringgit, Salim beri enam puluh dan ramai lagi yang aku malas nak ungkitkan…Pihak perempuan pula….pada Sharina… dia.. dia yang kendalikan dan dengar khabar sudah mencecah tiga ratus ringgit jumlahnya…”
“Tiga ribu ringgit?”Meor tercengang.Benarkah jumlah itu?
“Maaf..tiga ratus ringgit sahaja.”,Anas membetulkan penjelasan.
“Berapa yang harus aku berikan….atau,atau seluruh jiwa dan waktu kuserahkan untuk menjayakan majlis itu nanti…”Meor cuba berseloroh demi menyembunyikan rasa bersalahnya.Itu adalah satu sifat kebudak-budakkannya yang masih tidak ditinggalakan lagi.Adakala seseorang itu fikirnya pula perlu melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan rentak jiwanya untuk melindungi kelemahan diri dari diketahui oleh sesiapa.
Anas ketawa dengan niat menyindir.”Aku tahu..kau memang dari dulu begitu…”Anas menyelongkar kocek seluarnya lalu memberikan satu sampul surat yang terperonyok dan sedikit terkoyak dan basah kepada Meor. ”..didalamnya ada senarai alamat-alamat sahabat-sahabat kita…aku mahu kau kirimkan kad jemputan kepada mereka semua…soal bagaimana nak memulakan, memujuk,merayu dan menasihati agar menghidupkan majlis kita itu nanti terserah kepada engkau selaku pengarang ternama…”
Meor memastikan nama-nama yang bertaip didalam kertas itu.Tangannya terasa sedikt terketar tanpa sebab.Sekali imbas ada setengah nama-nama itu sudah begitu lama dilupakan dan setengahnya seperti membangkitkan semula kenangan-kenangan yang penuh debaran.
“Dan kau jangan lupa bayar duit setemnya sekali..”,kata Anas lagi dan barulah Meor mengerti tentang derma yang dimaksudkan oleh sahabatnya semenjak tadi.
“Kau nak tahu?…”,sambung Anas kemudiannya dengan sedikit ketawa.”…tetapi jangan beritahu sesiapa pun…kau seorang,errr ….bertiga termasuk engkau dan Deraman, orang lain belum tahu lagi…”
“Memanglah….sebab projek biography ini pun adalah hasil dari ilham engkau juga…”
“Dalam majlis itu nanti aku akan adakan anugerah pelajar cemerlang dan pekerja cemerlang untuk dua orang yang bakal terpilih nanti…”
“Wow!…tetapi bagaimana pula nak dipilih dua diantara mereka yang seramai lebih dari empat puluh orang itu nanti?..”,soal Meor apabila telah mengenal pasti jumlah nama-nama yang tertera di kertas yang berada ditangannya itu.
“Begini siswazah oi..Anugerah pelajar cemerlang aku khaskan untuk mereka yang mencapai keputusan terbaik dalam pencapaian akademik sejak dari darjah enam hinggalah ke menara gading sekarang ini..”
“Dan apa pula jadinya dengan sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik itu..mana kau nak campakkan pula?..”
“Dengarlah dulu cakap aku …jangan tiba-tiba nak menyampuk..”,Anas menjerkah kuat sebelum ketawa sendiri, sedikit kesal dengan sifatnya yang tidak menentu itu.Beberapa rakan sekerjanya yang sedang mencuri tulang diwarung hadapan telah kembali semula ke bangku panjang itu menjadikan perbualan mereka sedikit terganggu.
“Untuk mereka yang tidak dapat menyambung pelajaran atau memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi aku adakan anugerah khidmat cemerlang untuk menilai prestasi kerja mereka sekarang. Sekarang kau dah faham semuanya?…”
Meor mengangguk beberapa kali sementara matanya masih meneliti beberapa nama yang menarik perhatiannya semenjak tadi
  “Sekarang kau dah faham?…kalau begitu kau boleh balik sekarang!…”,kata Anas lagi.
Meor terdiam dan mulai merasakan ada sedikit kebodohannya dari perbualan mereka tadi. 
“Kau cakap macamlah engkau boss di stesen minyak ini…”Mereka berdua ketawa panjang dan Anas meminta maaf pula kerana sifat panas barannya yang masih lagi tidak dapat dikikis dari jiwanya. Sementara itu Meor mula membayangkan bagaimanakah nanti keadaanya majlis pernyampaian biography itu nanti.


Sambil menunggu kenderaan tiba untuk mengisi minyak, rakan-rakan sekerja Meor mengambil kesempatan untuk berbual-bual tentang perkembangan arena industri muzik tanah air.Dia tidak pasti inti perbualan sebenar mereka itu walaupun dia turut berada disitu namun fikirannya masih kepada kenangan-kenangan yang tercetus dari senarai nama yang Anas berikan pagi tadi.Dia seolah-olah masih terasing dalam perbualan itu walaupun tempoh tiga hari adalah sudah cukup untuk dia memesrai mereka dan seterusnya membiasakan diri dengan pekerjaan sementaranya dan suasana di stesen minyak itu.Satu kebetulan juga fikirnya apabila dia dan Anas mengambil keputusan bekerja sebagai Atendan pam minyak sebagai memenuhi kelapangan cuti semester itu.
“Kau tak tahukan yang album baru Hattan akan keluar tak lama lagi..”,sahut Mamat salah seorang rakan sekerja yang bertubuh kurus dan tinggi.
“Ish..mesti mengancam punyalah…gua gerenti album itu akan meletup satu Malaysia…”,balas seorang rakan Mamat yang sering berkunjung dengan suara garau tetapi bertubuh kecil dan kurus.
Pada saat-saat tertentu fikirannya kembali segar mengingati peristiwa reunion yang pertama kali diadakan di restoren Mc Donald Ampang park dua tahun lalu.Setiap saat berlalu menjadi sejarah manis itu benar-benar diingati sehingga kini.Pada hari itu secara tidak sengaja jatuhnya hari wilayah dan mereka yang bergelar bekas pelajar darjah enam raya telah berkumpul semula setelah enam tahun berlalu. Berhimpun dalam ertikata sebenar untuk menjalinkan semula tali persahabatan yang terlalu mahal untuk dibiarkan terluput dan dimamah masa begitu saja.
Wajah demi wajah mulai tergambar diruang minda.Beberapa jenis mata,hidung dan bibir yang membentuk wajah sahabat lama berlegar-legar diruang mata tanpa henti. Ada diantara hanya seimbas laluan namun begitu sukar mengikis beberapa wajah yang penuh dengan kenangan silam itu.Kini ianya bagaikan telah terpahat kukuh menjadi satu landasan sejarah dalam dirinya untuk tabah mengharungi cabaran kehidupan yang mendatang dengan lebih bermakna lagi.Mungkin sahaja sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikirannya tentang wajah-wajah itu - kini merupakan suatu asas pada petanda dalam hidupnya pula.
Namun pertemuannya dengan Anas pagi semalam benar-benar menimbulkan semula kesan mendalam tentang ingatan zaman silam.Ianya bagaikan satu filem lama yang telah ditayangkan semula berulangkali tetapi masih segar jalan ceritanya.Dan dirasanya dialah yang menjadi watak utama cerita itu.Nama-nama seperti Sharina,Lia Khadija,Ika Fatiha, Norzina, Alias, Deraman,Anas,Kamarul,Yazid dan banyak lagi tidak  seperti yang dikenalinya beberapa tahun yang lalu  Segalanya telah berubah bersama beberapa ketidak dugaan dan keganjilan terpampang dimata dan ianya nyata berlaku akhirnya selepas reunion pertama itu.
Paling memeranjatkan disaat itu, Anas selaku pengerusi majlis tidak menghadirkan diri. Perjalanan majlis yang sudah dirancang tidak menjadi.Oleh kerana itu terpaksalah Sharina menjadi bidan terjun untuk memastikan reunion itu berlalu tanpa sesuatu yang merugikan.Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.Pertemuan itu hanya dipenuhi dengan bualan-bualan kosong yang penuh dengan gurau-senda dan usikan-usikan yang berjela-jela. 
“Setiap album Hattan memang aku beli..aku tak pernah ketinggalan satu pun…”
Khayalannya terganggu seketika oleh suara Mamat rakannya yang bernada kuat itu.
“Kau hanya layak membeli album tempatan saja…tidak macam aku…semua album luar negara aku beli..’sahut salah seorang yang lain.
Sebenarnya salinan agenda reunion itu telah tersedia ada pada dirinya.Memang sebelum itu Anas sengaja memberikan padanya satu salinan untuk di Photostat dan diedarkan Dan kini dia baru terasa memang dialah yang bersalah kerana membiarkan wanita seperti Sharina terpekik dihadapan seorang diri sambil turut diperhatikan oleh beberapa orang pelanggan di fast food itu Oleh kerana dia telah mengondolkan kepala dan merasai malu berdiri hadapan dengan keadaan botak begitu maka dia hanya mendiamkan diri dengan duduk semeja dengan Ika yang berpakaian serba ungu,Intan dan Norzina sambil ditemani oleh Yazid dan Kamarul .Meor hanya bersongkok hitam sahaja sementara rakan lelakinya yang lain hebat dengan beraneka jenis pakaian.
“Kita harus mengorbankan apa yang kita sayang…tanpa pengorbanan kita tidak akan tahu nilai sesuatu itu…contohnya seperti rambut ini…”Meor tidak tahu kenapa dia harus membangkitkan soal pengorbanan pada Ika setelah gadis kesayangannya itu bertanyakan kemana hilangnya jambul Supermannya itu.Dia masih yakin sehingga ketika itu hubungannya dengan Ika masih tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Sharina dan Yazid.Oleh itu dirinya masih lagi menjadi tumpuan gadis-gadis yang lain terutama dari Intan yang suka berceloteh tentang diri dan masa depannya yang terlalu direncanakan.
Namun setelah merasai apa yang terjadi rupa-rupanya dia memang telah terhukum dengan kata-katanya sendiri.Seminggu selepas itu tanpa diduga sepucuk surat dari Ika pun tiba ditangannya dengan amanat terakhir.Gadis itu tanpa disangka meminta Meor melepaskan pergi. Dengan ribuan maaf dihulurkan Ika dengan harapan perpisahan itu hendaknya tidak disalah tafsirkan.Pinta Ika bukanlah bermaksud dia sudah ada pengganti atau meragui kesetiannya selama ini. Namun hasrat ibubapanya agar tidak terlibat dalam sebarang soal kasih dan cinta adalah perlu diutamakan.Masa depan masih jauh lagi dihadapan.Ika tidak mahu terkandas dalam pelajaran kerana melayan perasaan yang berlebihan.Lagipun perjalanan hidup masih jauh dan banyak cabaran yang harus ditempuhi.Cinta dan kasih boleh dibina dikemudian hari. Begitulah kata-kata terahkir Ika untuknya.
Hari-hari berlalu selepas itu dia tidak pernah menghubungi atau dihubungi oleh gadis periang itu lagi.Dia sendiri tidak faham kenapa dia tidak mahu berjumpa dengan Ika untuk mengenal pasti erti sebenar perpisahan mereka.Baginya hubungan mereka sudah pun ditakdirkan berada dipenghujung jalan.Istilah berkerat rotan dan berpatah arang adalah sinonim dengan keadaan mereka setakat itu.
Sementara menunggu keputusan SPM diumumkan pada bulan berikutnya dia menghabiskan masa dengan memancing ikan bersama Yazid sambil mencurahkan perasaan duka pada sahabatnya itu.
“Kau tahu ikan-ikan dilombong ini terlalu banyak…dan tentu kita tidak akan dapat menangkap kesemuanya walaupun dengan menjala..” Meor meluahkan rasa kecewanya pada suatu petang.
“Memang kita tidak ada kudrat untuk itu..tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menangkap ikan-ikan yang kita minat dan mahukan…itu saja sudah memadai..”
“Kadang-kadang memancing begitu lama pun ikan tak dapat-dapat..” Meor ketawa kuat dan Yazid hanya merenungi aksi keterlaluannya itu begitu lama.
“Ikan tak dapat..tapi kita dapat belajar erti penat dan kesabaran Meor..kita tidak boleh belajar kedua-duanya itu sekaligus kecuali di lombong ini saja, Meor..”
“Ya.ya aku setuju dengan kata kau itu… Ada kalanya ikan dah terjerat tapi bila tiba ditangan kita terkena sengat dan terjatuh keair semula…”
Apabila keputusan SPM diumumkan dia menerima saja agreget yang tertera tanpa banyak cerita lalu terus mengasingkan diri semula.Berbekalkan tekad dihati dia terus sahaja meminta tempat di UTM tanpa mendaftarkan diri di sekolah Aminuddin Baki untuk ke tingkatan enam seperti yang sepatutnya. Ramai rakan-rakannya terkejut dan tidak kurang pula yang tersalah anggap dengan tindakan beraninya itu. Hari-hari berlalu rasanya begitu tiada bermakna sehinggalah dia diterima memasuki ke UTM.Selepas itu dia bertekad untuk membuang segala memori lamanya demi mengharungi dunia kampus  yang terasa lebih mendebarkan.dia membuang segala memori pada setiap pertemuannya dengan Ika pada setiap pusat perpustakaaan dimana mereka belajar bersama-sama.
Memang pedih dirasakan bagi manusia sepertinya yang mengalami perpisahan tanpa diduga Selama ini hidupnya berjalan lancar tanpa ada seksaan yang mendadak tiba. Memang itulah satu-satunya penderitaan yang pernah dialami. Kini dia seperti sengaja memendam perasaan ingin tahunya apakah yang sebenarnya dirahsiakan oleh Ika sehingga tercetusnya satu perpisahan.
Masih ada satu lagi pertanyaan yang berlegar-legar ketika itu adalah tentang kehadiran Lia padahal dia bukanlah ahli bekas darjah enam raya.Apakah pertemuan yang gagal itu begitu bermakna untuknya menemui seseorang yang dicari selama ini?..Namun setelah penat memikirkannya lagi Meor percaya berbagai persoalan dan tanda pertanyaan yang tidak berjawab itu pasti akan ditemuinya dalam cuti semester itu.atau paling dekat ketika majlis penyampaian biography itu nanti.Biarlah dia cuba menyelesaikan beberapa memori yang masih sepi dalam rahsia dicuti semester ini sementara menunggu semester baru tiba.Dia sudah berkata pada hati kecilnya sendiri agar bersedia untuk mencungkil kembali rahsia-rahsia yang masih membelenggu jiwanya selama ini.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive