BAB 2 :
Puncak Berkembar
Segalanya
tidak akan berubah
kalau semata-mata bergantung teori
Jadi,
lakukanlah sesuatu yang terbaik secepat mungkin
jika enggan menyesal kemudian hari.
Diantaranya:
Sahutlah cabaran masa depan
berani mengadap takdir realiti
Kau adalah engkau
engkau tidak mungkin menjadi orang lain.
Orang hanyalah sebagai idola
yang memberikan kata tolak, koma dan noktah
Oleh itu wujudkan pelbagai idola
Di dalam diri
agar kau benar-benar terpengaruhi
hingga menjadi seorang insan baru terbaik.
Ingat!
Hidup kita ini
Amat saling pengaruh-mempengaruhi
I : Januari 1985
ASTAGFIRULLAH AL ADZIM!!!!
Laksana baru keluar dari sebuah penjara,
setelah mengaku berdosa, dia mengambil keputusan untuk menghukum diri di atas
kematian seorang guru. Arwah cikgu Rosminah. Dialah penyebab kehilangan kekal
seorang pendidik bangsa. Walaupun tiada sesiapa pun menuding jari, namun dia
malu pada diri sendiri. Malu oleh sindir-kata orang yang melingkungi, merasuki
diri. Dia terasing dalam kepompong buatan sendiri.
Hasilnya, dia menjadi pelajar yang hanya
mengenal pen mata bola dan buku sekolah. Cukuplah! Diselubungi rasa rendah
diri, dirinya berjalan bagaikan sepasang kaki terbenam didalam bumi. Cukuplah
hanya menjadi pelajar pintar dalam dunia buku-buku teks sekolah.
Baginya pelajar pintar tak semestinya
pintar memimpin. Yang pintar memimpin pula tak semestinya berjaya dalam
kepimpinannya. Kepintaran itu pula berbagai rupa dan gaya. Dan mustahil untuk
seseorang itu untuk pintar segalanya.
Contoh terbaik sewaktu di dalam darjah 5.
Dia pernah menolak tawaran untuk menjadi ketua darjah, walaupun telah dipilih
dengan sebulat suara. Sekali lagi dalam darjah 6, hanya dengan berfikir 2 kali,
dia menolak mentah-mentah tawaran untuk jadi seorang pengawas. Bukan disebabkan
terlalu merumitkan fikiran, namun kerana dia enggan mengulangi sejarah duka.
Kesilapan memimpin alamat buruklah padahnya pada orang-orang bawahan.
Laksana dibuktikan lalu diadili oleh para
hakim dan juri. Di rumah pula, telinga ini sudah menjadi lali. Dimarahi setelah
gagal dimotivasi berkali-kali oleh seorang bapa kerana enggan memikul sebarang
tanggungjawab dalam kurikulum sekolah.
“Kepimpinan itu mesti dipelajari..ianya
sama penting dengan mata pelajaran sekolah..“
Dengan lagak seorang pengetua, bapa
membebel tak tentu masa.
“Kalau tak mahu belajar jadi pemimpin..dah
besar nak jadi apa?.. pengikut?.. pengikut apa?“
Ibu pula bersifat sebagai seorang pakar
kaunselor. Dia hanya terdiam apatahlagi membantah, sebaliknya berpeluk tubuh
tanda keegoan masih membara. Kadangkala dia sengaja merancakkan mata menonton
aksi Michael Jackson di layar TV yang menampilkan tarian break dance.
“Dah besar tak akan cukup dengan makan
gaji saja..kita harus jadi pemimpin. Barulah hidup ini penuh bermakna..“
Ya, memang benarlah.
Laksana baru terjaga dari sebuah lena yang
panjang, dia lantas mencelikkan mata. Sebuah arena baru sedang menjelma. Dia
kini bukan lagi seorang pelajar darjah 4 di tangga usia 10. Dia sedang berada
di awal titian rapuh bernama remaja.
2 : Awal Februari,1985
TAHUN berkeramat telah menjelang. Barangkali tuah fung
sui ada menunggu di situ. Satu dalam seribu. Dalam sejuta cuma ada satu.
Ibarat rama-rama yang baru keluar dari kepompongnya. Sekian lama hidup dalam
dunia kecil kegelapan, kini dia perlu meninggalkan alam dedaunan kehijauan lalu
menerbangi diri dalam angkasa kebiruan dengan sepasang sayap baru dengan
semangat dan tekad yang jitu.
Kekuatan dalaman yang bermastautin di dalam diri
adalah hasil perkasihan mengejutnya dengan Salina . Menerusi perantaraan Shahrir, dia
telah dipertemukan dengan satu bentuk dunia yang cukup bermakna, universal dan
besar. Lebih mengkagumkan berbanding apa
yang diketahui akan kepentingan mata pelajaran metamatik dan sains di dalam
abad teknologi yang semakin mencabar.
Sekaligus diakui betapa dalam rutin harian remajanya
ada sejumlah lompang yang perlu diisi daripada terbiar merugikan. Sekian lama
dia terpengap, berlari dalam bulatan tanpa menemui jalan keluar. Lantaran itu dia bersyukur kerana di antara ribuan
remaja sekolahan dia telah dipilih Tuhan.
Adakah pilihan itu atas kehendak Tuhan yang mahu ‘gifted’nya
dalam bidang pelajaran lantas harus disalurkan ke arah bidang yang lebih
mencabar. Bidang sastera harus ada pelapisnya juga. Begitulah yang difahami
tentang keterlibatan dirinya dalam revolusi itu.
MASIH
diingati lagi.
Detik
bersejarah itu mereka baru dipertemukan di dalam kelas tingkatan 1 perdagangan.
Shahrir yang baru dikenali dianggapnya sedikit pelik, bukan sahaja bertubuh
besar dan segempal seorang guru, malah merupakan seorang ulat buku. Paling menakjubkan pembacaannya
terkeluar dari senarai buku-buku teks sekolah.
Sastera – satu identiti yang sering
diperlekehkan kerana menyakini langsung tidak berfungsi apa-apa dalam dunia
peradaban ini. Selain satu pembacaan yang penuh khayalan dan impian yang
mengada-ngada. Terbayang juga akan satu zaman purbakala di mana para manusia
mula memahami bagaimana buah kelapa boleh terapung dan batu boleh tenggelam.
Semakin mendekati, penampilan pelajar pendiam
itu mula menarik minatnya apabila detik terindah dia terlihat sebujur wajah
seorang wanita di kulit novel karya seorang sasterawan negara.
“Buku apa ini?..boleh aku tengok?”
“Bukan sekadar tengok, nak baca pun boleh..”
Wajah Salina di kulit novel itu dibeleknya berkali-kali.
Wajah seorang wanita melayu yang
sayu. Bagaikan ada seraut sengsara telah tersembunyi dan tidak diketahui sebab
apa.
“Salina …emm,ceritanya
tentang apa?”
“Tentang seorang pelacur..”
“Pelacur?…seorang Sasterawan Negara tulis cerita
tentang watak seorang pelacur?..eeeeeii”
“Kenapa?..”
“Pelik!…nonsense”
“Aku nak tanya…sekarang apa yang kau fikirkan tentang
seorang pelacur..”
“Dosa…maksiat…kejalangan”
“Apakah yang mendorong seseorang itu menjadi
pelacur?..”
“Kemiskinan barangkali..”
“Nah!..Inilah cerita sebenar Salina…bagaimana kerana
kemiskinan akibat perang, manusia boleh tergelincir ke dalam dunia kencah penuh
dosa…”
Shahrir tidak meneruskan keterangan itu, sebaliknya
tersenyum sinis bagaikan menyindirnya dirinya yang serba dungu. Ibarat seorang remaja
yang rapuh peribadi, termanggu-manggu mencari prinsip diri. Jahil tentang
sejenis perkara yang perlu diketahui oleh seorang remaja yang ingin segera
dewasa.
SEMINGGU kemudiannya dia terpegun lagi apabila nama A.
Samad Said diperhatikan buat kali kedua. Novel Hujan Pagi ditelitinya pula.
Apakah lelaki berambut kerinting halus itu benar-benar seorang pengagum
sastera?
“Hujan Pagi…emmm”
“Cuba
teka novel ini berkisar tentang apa?” soal Shahrir dengan lagak ceria.
“Tentunya mengisahkan tentang masalah budak-budak
kampung solok tanah merah yang sukar hendak ke sekolah akibat baju basah dan
kasut berlumpur…”.
Shahrir ketawa terbahak-bahak tanpa memberikan
pembetulan yang jelas. Bau mulut yang hapak melantun keras menusuk ruang
hidungnya.
“Kalau kau nak tahu..kau kenalah kenal Salina terlebih
dahulu..Kau harus bercinta dengan Salina terlebih dahulu, baru kau tahu apa itu
dunia sastera yang indah dan mengkagumkan…”
Tanpa memikirkan lebih panjang, novel Salina terus
dipinjam.
Bermula dari situ jiwanya mula berkelana di sebuah
Kampung Kambing di mana telah dipenuhi manusia-manusia melarat. Daripada penghasilan imaginasi dia tahu bagaimanakah
suasana bangsanya di zaman penjajahan berulang. Bangsa Melayu yang melarat
akibat peperangan di salah sebuah penempatan di Singapura. Lebih dari itu maka
terbentanglah sekajang pengertian mengenai tamadun bangsa mencakupi jarak
lampau yang terpandang oleh mata, tak terdengar dek telinga.
Apakah yang ditemuinya disana? Bukan sekadar seorang
wanita bernama Salina .
Terlalu banyak makna dan pengertian hidup, hinggakan di perenggan terakhir dia
tidak segan-silu untuk menghamburkan air mata apabila Helmi tidak bertemu jodoh
dengan Nahidah.
LUSA kemudiannya dia menemui Shahrir lagi. Bayangan
hidup Salina
sedang menghantui dirinya setakat ini.
“Boleh ke orang-orang yang seusia kita membaca
buku-buku seberat ini?”
“Eh.kenapa pula tak boleh?..”
“Biasanya
remaja sebaya kita sukakan novel ringan yang bertemakan cinta misalnya..”
“Tidak ada undang-undang yang melarang”
“Bukannya apa …takut mengganggu pelajaran..”
Shahrir
tertawa perlahan sebelum beria-ia menjelaskan.
“Pendapat
aku ianya lebih mendekatkan diri dengan
pelajaran…sebab kita mula berfikiran matang, bertindak penuh wawasan, bersifat
dewasa …dan.. berpandangan jauh serta lebih berjejak….”
“Matang?….”
“Matang..matang bukan tandanya kita sudah bercouple…bukan
itu..itu pandangan hidup yang sempit…Matang bererti kita bersungguh-sungguh
boleh berfikir sendiri..Kita melihat masa depan dengan kaca mata yang lebih
ideal. Kita melihat kehidupan ini dengan lebih mendalam dan salah satu masa
depan kita ialah mencapai kejayaan dalam akedemik dan merancang untuk cita-cita
di hari tua kita… ”
3 : Pertengahan March,1985
DI SEBUAH bangku panjang di bawah sepohon ketapang di
hadapan kantin, dia sedang menghampiri Shahrir. Lelaki itu khusyuk menelaah
novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, karya Anuar Ridwan.
Bayangan hidup Lokman dan Lajis di dalam novel Hujan
Pagi sedang menghantui dirinya lantas mengikuti ke mana saja dia pergi. Siapa
sangka, siapa yang rasa cili dialah yang rasa pedasnya. ‘Lockman’ iaitu
bayangan manusia yang terpenjara bukan sekadar watak di dalam novel malahan
merujuk pada dirinya juga.
“Aku dapat merasakan sejak membacal novel Salina , diri aku
mengalami perubahan..”, Adam mula mengadu pada Shahrir tentang apa yang
berkocak dalam kotak fikirnya. Satu perubahan bermakna yang perlu dihebahkan
pada semua.
“Perubahan ini bermula dengan pemikiran. Dari
pemikiran wujudnya tindakan..“
“Maksud kau?”
“Pemikiran itu harus dicambahi dengan ilmu. Ilmu itu
terdapat menerusi pembacaan. Bacalah. Oleh kerana itu ayat pertama Al-Quran
yang diturunkan ke muka bumi ini ialah Iqra. “
“Aku tak fahamlah….”
“Ilmu itu
terbahagi empat : Timur – Barat – Utara – Selatan , Taurat – Zabur – Injil – Quran
, Syariat – Tarikat – Hakikat – Makrifat , La – illa – hail – lallah , Musa –
Ibrahim – Isa – Muhammad”
Demikian kesimpulan Shahrir yang
terngiang-ngiang, tak padam-padam. Mendengarkan itu mulutnya terlopong dan
mindanya ternganga. Bersimpul-simpul minta agar segera dirungkaikan. Barangkali
ada benarnya tentang fakta kapasiti otak yang boleh menampung 125 trilion dan
500 billion maklumat di dalamnya. Sekadar mempelajari buku teks sekolah berapa
saja luaknya.
SELANG beberapa hari selepas itu buat pertama kali dia
mula menjejakkan kaki ke lantai perpustakaan sekolah. Tidak disangka rupanya di
situlah dia terjumpa puluhan naskah dewan sastera terbitan tahun-tahun yang
lampau.
Dengan
perasaan malu yang sengaja dilontar, helai-demi helai majalah dibuka. Dari
helaian puisi, cerpen hinggalah ke ruangan komentar. Dari situlah dia mula
terjatuh cinta dengan sastera. Jatuh cinta pandang pertama, dari mata turun ke
jiwa, lalu menetap di lubuk minda.
Selembar demi selembar majalah dewan sastera habis
ditelaahnya. Dalam sekelip mata dia mula diperkenalkan dengan kehebatan minda
Alber Camus, John Steinback, Ernest Hemingway, Gabriel Barcia Marquez dan
Naguib Mahfouz. Kesemua itu adalah watak-watak hebat tanpa wajah. Puluhan
manusia bukan melayu yang berminda lebar, berjiwa besar.
Dalam ketika membelek susunan novel-novel di rak-rak
yang terbuka, dia terjumpa buku Tunggul-tunggul Gerigis karangan Shahnon Ahmad,
seorang lagi sasterawan negara yang tersohor. Amat menakjubkan kumpulan esei
Tangan Yang Simpatik telah habis dibacanya pada petang itu juga.
MINGGU berlalu, bulan berganti.
Dia mula mengasuh diri untuk menjadi ulat buku.
Dia masih mengurung diri namun tidak di minda lagi. Mindanya sedang hebat
menjelajah di seantero dunia tanpa henti. Dengan kehebatan minda, manusia boleh
menjajah dunia ini. Dengan kelemahan minda juga manusia diperkudakan tanpa
henti.
Dengan azam yang diperkuatkan, dia mula memberanikan
diri mengunjungi Perpustakaaan Negara, kemdiannya berganjak ke Toko Buku
Minerva seterusnya di Pustaka Antara lantas mencari beberapa judul yang
menghantui mindanya. Tetralogi Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer begitu
sekali diidamkannya.
Kenapa manusia itu bersusah payah menjadi pengarang? Kenapa novel dihasilkan? Demikan bertubi-tubi pertanyaan itu merasuk
fikiran.
Hidupnya bukan kehidupan yang sebelum itu, walhal
corak kehidupan langsung tidak berbeza. Lebih mendewasakan adalah adanya
pengembangan fikir yang melampaui daripada dunia persekolahan. Apabila
difikirkan lagi memang begitu pelik bagaimana dirinya boleh sedar dari kealpaan
hidup yang tidak memberi sebarang makna.
Kealpaan hidup yang dimaksudkan ialah hidup yang
memiripi robot, tahu makan bila lapar, beristinjak bila usus memulas, belajar
kerana disuruh atau takut dirotan. Kecuali hanya lebih kurang 5 minit dalam 5
kali sehari dalam sembahyang mengadap Tuhan tanpa kekusyukkan. Berbaloikah?
Sastera menerusi pembacaan Bumi Manusia telah
berganjak ke Ranjau Sepanjang Jalan secara perlahan-lahan dapat ditangkap
takrif-takrif hidup yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini. Kalau
diterangkan pada orang lain tentunya sukar untuk dipercaya apatahlagi difahami.
Antara yang paling dikesalkan ialah selama ini fungsi otaknya sebagai seorang
khalifah muka bumi tidak digunakan secara maksima.
Rupanya selain itu terlalu banyak peranan yang masih terpendam tak terusik
oleh kebanyakan anak remaja yang lain. Misalnya pertanyaan apakah peranan anak
remaja dalam institusi negara? Dalam sekolah apakah sekadar mencapai cemerlang
dalam pelajaran saja? Bukankah sekolah itu adalah negara kecil bagi anak remaja
seusianya? Memajukan negara adalah tanggungjawab pemimpin dan kemajuan itu
seharusnya bermula dari sekolah sendiri.
Sastera itu memang mampu memartabatkan hidup manusia. Membangunkan rohaniah
bangsa seperti bangsa Ireland misalnya. Dia menganggukkan kepala beberapa kali,
mengajari diri.
Minda dan emosi berbaur lagi.
Cara untuk memajukan sekolah adalah melahirkan anak-anak pertiwi yang
berjiwa besar, berkepimpinan besar serta bersemangat tinggi dalam penggalian ilmu. Segala-galanya perlu dilakukan dari asasnya
sendiri. Seperti ingin mendirikan bangunan yang tinggi, perlunya ‘foundation’
yang kukuh dan berkualiti. Dan ‘foundation’
itu adalah terletak pada barisan pelapis kepimpinan negara yang mesti
dihasilkan menerusi alam persekolahan remaja.
4 : Pertengahan Disember,1985
HUJUNG tahun percutian dia berkesempatan untuk pulang ke desa untuk
menghadiri kenduri perkahwinan busunya. Kali ini dia tidak sekadar menatap
debur pantai di waktu petang ataupun lebih mentafsir erti ribut tengkujuh
melanda di waktu malam.
Pohon kelapa seakan tumbang dengan dedaunan berlambaian girang.
Sampan-sampan berolekan garang. Apakah benar alam ini adalah sejenis buku yang
penuh dengan tamsilan? Membaca alam adalah satu permulaan bagi diri manusia
yang ingin mendekatkan diri pada kebenaran.
Lalu pada ketika itu muncul satu penafsiran. Apakah membaca novel boleh
mengubah persepsi dan sentiviti diri? Benarkah?
Tetapi itulah yang telah dan semakin dialaminya secara berperingkat.
Ketika itulah dia mula terfikir siapakah dirinya itu.
Seorang hamba Tuhan yang perlu mematuhi setiap ajaran agama. Seorang anak
yang perlu memenuhi kehendak dan aturan hidup berkeluarga. Seorang pelajar yang
mesti menamatkan pendidikan menerusi keputusan-keputusan peperiksaan yang
gemilang. Hanya sekadar itukah?
Apakah pula peranan anak-anak remaja pada kemajuan bangsanya? Bagi mencari
petunjuk dia lantas tunduk dalam solat Istiharah sambil merangkap syukur ke
hadrat Tuhan.
Sungguh memeranjatkan, secara tiba-tiba tangan kanannya terus pencapai
kertas dan pena. Lantas lahirlah sehimpun kata-kata puitis yang tak pernah
disangka-sangka.
dengarkanlah dongengan dahulu kala
betapa bobroknya zaman indah yang kita bina
kita sudah lama hilang rasa percaya
pada leluhur, tanah ibunda
pusaka warisan kita
Berpeluh-peluh tubuhnya apabila mendapati ada suatu
tenaga aneh yang mengalir deras dalam jiwanya ini. Himpunan suara itu
berdengung halus membentuk satu irama yang sedap didengar.
Subhanallah!..Naluri Usman Awang rupanya sedang
menyelinap di dalam dada ini. Dalam diam-diam dia telah menjadi seorang
penyajak!
5 :
Akhir Januari, 1986
DIA
merasa sedikit segan kerana terlewat untuk bersembahyang jemaah di masjid
tetapi sudah bersedia untuk berjogging. Perubahan kecil yang dimulakan ini
tidak dinafikan akibat dari pengaruh sastera yang mewarnai mindanya yang
terbaru. Dia ingin
menjaga kesihatan disamping memperbaiki kelemahan struktur badan. Jiwa dan
badan punya erat pertalian. Lemah salah satu akan
membantutkan kejayaan.
Selesai berjogging lalu tiba kembali di rumah, dia lantas mandi kemudian
tidur sepulas-pulasnya. Setelah terjaga, azan Zohor telah kedengaran lalu dia
bersiap sedia untuk ke sana.
“Assalamualaikum…“
Di pintu serambi masjid, Adam menjabat tangan si pemberi salam. Lidahnya
kelu tetapi tersenyum manis. Dia tidak
pasti samada telah menjawab salam di dalam hati ataupun bukan.
“Tak kenal saya?”
Lelaki itu melanjutkan. Adam menggeleng malu dan masih tetap membisu.
“Saya Amran…kitakan sekelas..masih tak perasan saya?“
Dia memerhatikan lagak lelaki bertubuh gempal itu.
Memang seiras alllahyarham Tan Sri P. Ramlee. Bagaimana dia tidak perasan akan
kehadiran rakan sekelasnya itu? Sejak setahun yang lalu? Malahan rupanya mereka
sedang bermastautin di qariah yang satu?
6 : Pertengahan Februari, 1986
BARU sepuluh minit berlari, nafasnya mulai mengah. Belakang baju T sudah
pun basah oleh peluh. Dijangkanya baru suku kilometer dia berlari sudah pun
mulai rasa malas untuk meneruskan. Semangat diperkuatkan untuk tiba di padang
permainan yang tinggal 50 meter sahaja jaraknya.
Waktu petang, di padang permainan dia dipertemukan lagi dengan Amran.
“Awak tinggal di mana?” Itulah bentuk pertanyaan Adam yang pertama.
“Di rumah datuk saya….di Taman Setanggi fasa 1…”
Setelah begitu lama berbual barulah Adam mengerti.
Waktu itu Amran baru saja mendapat taraf kerakyatan Malaysia kerana mengikut
ibunya berpindah dari Singapura lalu menginap di rumah datuknya.
Kini
dapat dirasai hidupnya bukan seekor kera sumbang. Dia tidak perlu bersendirian
lagi. Dia sudah punyai seorang rakan yang cukup disenangi. Namanya Amran
Hambali.
7 :
Awal April, 1986
PENONJOLAN Amran pada mulanya tidaklah dihiraukan sangat. Biasalah, bila
baru sebulan berpindah sekolah pasti tak sabar-sabar nak menonjolkan diri. Dua
minggu selepas itu barulah dia tahu selok-belok perangai pelajar istimewa itu.
Waktu itu masih di kelas tingkatan 2 perdagangan, masih belum mempunyai
sebarang pengganti ketua darjah yang baru berpindah sekolah.
Amran telah dipilih menjadi ketua darjah dengan pencalonan sebulat suara.
Pemilihan itu dibuat bukan kerana kepandaian tetapi bijak mengatur kata, berani
bersuara, dan penampilan penuh disiplin dan wibawa.
Waktu demi waktu, Amran mulai menunjukkan kewibawaan yang menjangkau rutin
rakan-rakan sebaya. Dia mula bergiat cergas dalam Persatuan Bulan Sabit Merah
(PBSM), Persatuan Pelajar Islam (PPI), Kelab Kaunseling dan Kerjaya (3K).
Belum pun sampai 4 bulan mereka berkawan. Cakaplah saja siapa yang tak
kenal Amran. Para pekerja kantin malah tukang kebun sendiri kenal dan fasih
akan suara emasnya.
Bertitik tolak dari situ kemudiannya ramai yang mula menyedari kewibawaan
Amran. Dalam PBSM, bakatnya dalam berkawat cukup mengatasi yang lain. Di surau
sekolah, kehebatannya menjadi muaazin surau sukar ditandingi. Dalam mesyuarat,
kreativiti dalam membantu pihak AJK dalam menghidupkan semula 3K yang sudah
lama terkubur cukup membuka mata orang.
Tidak seperti pelajar lain, daya kepimpinan jelas terbukti dari penampilan
yang teguh bersama disiplin diri yang kuat. Ada masa untuk berjenaka dan ada
masa untuk bertegas. Pendekata apa yang dilakukan telah melampaui usia
sebenarnya. Bak kata cendikiawan, dia adalah di antara remaja yang telah
mendahului zamannya.
8 :
Pertengahan Mei, 1986
SETELAH tiba di padang permainan, Adam memberhentikan larian. Dia mengambil
nafas panjang lalu berjalan perlahan-lahan. Beberapa orang yang tidak dikenal
turut berada di persekitaran. Namun hari itu Amran tidak kelihatan di mana-mana
kerana mereka sudah pun berjanji untuk jogging bersama-sama.
Hatinya sehingga hari itu tidak pernah seriang sebelumnya. Dia sudah punyai
seorang sahabat terbaik buatnya. Dengan keadaan tubuh gempal, Amran telah
tertinggal 50 meter jauh di belakang. Dalam masih termengah-mengah mengumpul
oksigen ke dalam paru-paru, Amran mengejar Adam lalu sempat pula bercerita
dengan panjang lebar.
„Ingat lagi tak sejarah tingkatan 1, tentang penaklukan Portugis terhadap
Empayar Melaka ..“
„Apakah maksud kau Amran?“
„Kedatangan Benggali putih itu sebenarnya bukan sekadar kerana rempah
tetapi adalah untuk menjajah“
Selepas itu lelaki ajaib itu terus bercerita dan terus bercerita. Memang
itu pun sifat lumrahnya.
“Menurut buku sejarah kedatangan Portugis
adalah kerana rempah kononnya. Ini menunjukkan ketika itu bangsa melayu lebih
bertamadun dari bangsa Eropah.”
“Aku tahu maksud kau…kau hairan kenapa manusia
Eropah dan barat sekarang ini lebih bertamadun daripada kita?..begitu?”
“Yang menghairankan aku bukan itu..tetapi yang
lebih menakutkan aku kenapakah sejak penjajahan ratusan tahun, bangsa kita
terlalu terkebelakang..”
“Mungkin kita semua masih menunggu engkau,
Amran..Engkau adalah seorang pemimpin besar..”
Amran tersenyum sinis sebelum memberikan
jawapan.
“Mungkin aku, mungkin juga engkau, Adam..”
9 : Awal Januari,1987
TAHUN
baru telah menjelang. Azam baru mengundang. Imej baru terbayang.
Dia tidak pasti bilakah wujudnya idea dan saranan bernas apabila tiba-tiba
sahaja Amran mencalonkan diri untuk mewakili sekolah mereka dalam pertandingan
pidato. Namun yang diketahui beberapa minggu sebelum itu dia sering terserempak
dengan Amran dan Cikgu Rokiah sering berjumpa di bilik guru begitu hebat
membincangkan sesuatu.
“Pidato Piala Diraja?”
Amran tidak mengangguk, sebaliknya mengangkat kedua
belah keningnya.
“Cikgu Rokiah suruh.atau kau sendiri?”
“Inisiatif aku
sendiri…”
“Setahu aku selama ini sekolah kita memang tidak
pernah menghantar wakil “
“Itu dulu..sekarang tidak lagi..sejarah perlu
berubah..”
Ramai yang tertanya-tanya dan langsung tidak percaya.
Ini macam kes masuk bakul naik tangga. Masakan sekolah yang berada di tangga
tercorot dari segi pencapaian pelajaran dan kedua tercorot dari segi
permasalahan disiplin di dalam Wilayah Persekutuan ingin turut mengambil
bahagian. Tentunya penyertaan Amran akan ditertawakan oleh sekolah-sekolah
lain.
Namun Amran tidak mempedulikan semua itu. Dia tahu apa
yang perlu dilakukan. Dia mengerti apa yang perlu dihindarkan. Dia faham apa
yang perlu diipertimbangkan.
Bakat yang ada adalah benar-benar asli. Bukan dari
cedokan mana-mana idola. Tidak juga dipengaruhi oleh sebarang unsur superhero
dari tontonan televisyen atau pun video. Malah jauh dari ikutan mana-mana
pemimpin negara kecuali ada sedikit mirip ketegasan nada yang diambil dari gaya
ucapan Anuar Ibrahim.
Penampilannya memang cukup bertenaga. Ketangkasan
bicaranya menghidupkan jiwa yang mendengar. Kerana itu Amran merupakan pelajar
tingkatan 3 yang pertama menjadi wakil pidato di Pertandingan Pidato Piala Di
Raja peringkat Wilayah Persekutuan dalam bulan Ogos nanti. Dalam usia yang
begitu muda. Mungkin saja di negara ini? Itulah Amran Hambali. Dalam sejuta
manusia cuma dia seorang.
SUATU ketika dia bermeditasi lalu menganalisis
seorang tokoh paling berpengaruh di dunia sehingga hari ini. Lihat saja contoh
Nabi Muhamad s.a.w. Masyarakat jahiliah tidak akan berubah jika di Gua Hirak,
baginda terus-terusan merintih dengan sebaldi airmata tanpa berbuat apa-apa.
Sebaliknya langkah pertama yang perlu dilakukan
ialah perlu meluahkan kata-kata. Kata-kata juga telah membezakan status kenabian
atau kerasulan. Kata-kata juga yang membezakan antara pengikut dan pemimpin.
Nabi Musa yang bertaraf Ulul Azmi sendiri pernah berguru dengan Nabi Khidhir
yang ternyata tidak termasuk dalam 25 rasul yang wajib diketahui.
Apa lagi contoh yang dia perlu bentangi?
10:
Mac,1987
DALAM perjalanan pulang dari berjogging, dia singgah sebentar di sebuah
warung nasi lemak lalu membeli tiga bungkus. Kelihatan di dalam warung ada
puluhan para remaja sedang membazirkan masa, berbual-bual tentang motor dan
perempuan, bermain dam dan sebagainya. Ada seorang dua yang dikenal. Apabila
mata bertembungan, Adam sempat mengangkat tangan lantas mereka berbalas
senyuman.
Nampaknya sudah ada sedikit perubahan pada sikapnya. Kalau dulu lagaknya
memang sekilas kera sumbang. Kini sudah ada bibit-bibit perubahan. Dia sudah
faham apa yang dimaksudkan oleh Shahrir akan erti kematangan. Dia perlu melawan
anasir-anasir isolasi yang membelenggu diri.
Selepas itu
beku darah gemuruhnya mencair lalu menjadi hampir neutral semua. Gemuruhnya
dirasakan sedikit berkurang oleh perasaan keremajaan yang sudah menampakkan
ura-ura manusia dewasa. Rupanya selama ini barulah dia sedar. Betapa pentingnya
mewujudkan perhubungan yang murni diantara sesama manusia.
Dia mesti
keluar dari tempurung kelapa yang menangkup hidup. Tidak mahu menggauli
masyarakat apatahlagi menghampiri kaum hawa yang dirasanya begitu disegani.
Dalam masa yang sama dan seterusnya, dia terus mencipta satu revolusi yang
jarang orang terfikirkan ketika itu. Bersastera, berseni, berpuisi dengan visi
yang cukup tinggi. Dengan sastera dia ingin merubahi diri. Satu perkataan
keramat lalu menjelma meresapi diri.
Revolusi Muda.
11 :
Akhir Mei, 1987
DILUAR bilik, malam kelam berbahang, mendung tebal
tanpa sebarang angin. Kembali menentang insomnia, di dalam kamar, dia sedang
memusahabahkan diri. Dia tidak pasti sudah berapa lama dia menatap cermin
besar. Imej yang berada di hadapan kembali menyerupai wajah diri yang sebenar.
Apakah asal revolusi itu berasal dari Shahrir? Tiada
siapa yang pasti. Apakah dari Amran pula? Yakin Adam pula kemudiannya, semarak
revolusi memang berasal dari kredebiliti Shahrir. Dia diberitahu bahwa sebelum
dia, Amran kerap bertemu dengannya meminjam buku-buku tentang pelbagai
keilmuan.
Memang ada persamaan dalam kepimpinan politik negara
tentunya. Ada pemimpin berbakat besar namun tiada penonjolan di mata umum
akibat sebab-sebab tertentu. Itulah manusia besar di balik tabir yang tiada
siapa pun yang tahu.
Shahrir memang lelaki hebat yang penuh rahsia. Manusia
hebat di balik tabir. Sama hebatnya dengan Amran walaupun berbeza bidang. Di
dunia yang lebih besar ini diyakini memang ada orang-orang penting yang
berperanan seperti Amran dan Shahrir. Dia yakin betapa manusia yang memainkan
peranan di belakang tabir mempunyai keistimewaan penuh kejutan.
Sesudah menunaikan subuh, dia lantas mengucap syukur
ke hadrat Tuhan. Bersyukur terhadap perubahan diri yang menakjubkan.
Dari hari ke sehari dia semakin mengasah keyakinan
diri. Hidup ini perlu lebih bererti. Dia mesti melakukan 1 revolusi dalam usia
semuda ini. Dia enggan tersepit lagi dalam rasukan memori di mana
terdapatnya segumpal rasa berdosa terhadap kematian arwah guru yang dulunya
pernah dicintai.
Kesimpulannya, Amran dan Shahrir merupakan dua puncak
berkembar baginya. Masing-masing sama hebat dan kuat.
Dalam fantasi mudanya dia terlihatkan, seekor
rama-rama sedang terkial-kial untuk keluar dari kepompongnya. Itulah situasi
dirinya
Selamat tinggal daun hijau.
Selamat datang langit biru.
No comments:
Post a Comment