Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan
solat yang bererti doa atau pujian.
Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para
malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan
selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat,
menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi
Muhammad SAW.
Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya
adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan
daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].
Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik
daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan
(kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:
“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai
manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia
mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah
Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).
Hukum berselawat
Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada
Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat
(ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya.
Antaranya:
1. Wajib berselawat dalam masa mengerjakan
solat.
2. Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3. Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis
nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian
Baginda SAW.
Arahan Membaca Selawat
Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya
beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan
selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin
mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.
Kelebihan Selawat
Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu
kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh
kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di
syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran
memperbanyakkan selawat tersebut.
Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim
kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.
Selawat Paling Afdhal
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan
merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor
utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada
umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah Ta’ala
memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana
firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya
berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang
yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan
penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca
apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang
sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk
berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.
Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin
‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah
bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.
Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)
Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat
RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk
Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling
afdhal dalam berselawat.
Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:
“Yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam
membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu
adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi
dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].
Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat
yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para
ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak
berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak
dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan
dengan membaca selawat itu.”
Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca
selawat untuk Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun
bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat
selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada
kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling parah–
kesalahan dalam akidah.
Lafaz Selawat yang sahih
Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan
dalil-dalil yang sahih adalah:
Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] (*Lihat web asal)
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:
1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan
kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan
keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah,
Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati
Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha
Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]
2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
“Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan
kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah
berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan
isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati
keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].
3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan
kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga
Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah
memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha
Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]
4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi
yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi
selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang
ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]
5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad
hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga
Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau
telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]
6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan
kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya,
sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya
Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli
baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah
memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha
Mulia.” [HR Ahmad, sahih].
7. Dari Abu Hurairah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan
keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana
Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam
"Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]
8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:
“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan
keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan
keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].
Waktu Afdhal Berselawat
•Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad
SAW yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai
panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang mempunyai kekuatan sanad
yang benar dan sahih daripada Nabi SAW.