Thursday, June 2, 2011

Petikan bab 1 Novel Revolusi muda

Bab 1

Selamat Hari Guru Cikgu Rosminah!!

Pemergianmu
Malam kembali tak berbintang
Gerun mendung pun memayung
Hingar-bingar pun melantun
Pemergianmu
Awan-awan lari meninggalkan kosong siang.
Terik silau yang membahang
Keluh-kesah pun menyerlah
Masing-masing kehilangan arah




Mei, 1982

INNALILLAHI wa inna lillahi rajiun.
Cikgu Rosminah telah fana kecuali sepotong nama. Semua orang tahu kecelakaan jalanraya yang berlaku di awal petang mendung kelabu. Guru besar,guru penolong kanan, guru-guru seangkatan,kerani-kerani pejabat, tukang kebun sekolah, pekerja kantin mahupun semua murid-murid sekolah. Malah penjaja nasi lemak dan kuih-muih ditepi kiri kanan jalan dan gerai makan yang berkampung di pintu pagar sekolah turut diselubungi ketidakdugaan berita itu.
Seorang pekerja India muslim di restoren Marhabah itu juga mampir melulu lantas bertanyakan kesahihan berita pada murid-murid yang tersua.Ianya bagaikan suatu awan Nimbus berarak rendah yang menakutkan hingga memendungkan sepelusuk daerah. Hasilnya warga pekan Setanggi berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Setanggi berterus-terusan mengambil tahu intipati pengajaran dari peristiwa bersejarah 15 Mei.
Hampir semua yang terkejut akan terus membebelkan soalan demi soalan sebelum menitiskan airmata tanpa segan silu. Apa yang nak dimalukan kalau orang dewasa menangis seperti kanak-kanak yang ketagihan ais krim! Apatah lagi dengan anak-anak kecil sekolahan yang mengengek seperti bayi yang inginkan puting tetek seorang ibu. Itulah bukti kasih abadi dan simpati teramat tinggi dari sebuah kehilangan seorang pendidik bangsa yang berhemah tinggi.
Itulah tanda tulus yang mengiringi lambat pemergian seorang guru yang sebelum itu telah banyak mencurah bakti setia pada anak-anak watan buat sedekad lamanya. Seorang guru yang cantik pada wajah, indah pada budi dan anggun berbahasa malah sentiasa pula menyolek kemas naluri setiap murid yang diajari. Sesiapa saja yang mengenali tidak kira dari jauh atau dekatnya pasti bersetuju tanpa sezarah bangkangan dengan kenyataan itu. Ramah jiwa seorang guru adalah sukar dicari ganti. Patahkan tumbuh, hilangkan berganti namun bukannya arwah guru yang dicintai.  
Kewibawaan arwah guru berasal dari seorang wanita yang berdedikasi tinggi, berfikiran jauh serta berpendirian teguh. Gaya arwah guru tidak pernah berpakaian selain berbaju kurung yang mempunyai berbagai corak dan warna. Walaupun tidak pernah memakai kerudung tetapi selalu mengenakan beberapa ikatan rapi yang berbagai ragam pada rambutnya yang memang panjang agar tidak terlalu mengurai jika angin bertiup kencang. Dengan itu kepala arwah kelihatan besar dari arah belakang. Seperti buah tembikai yang bulat ranum.
Namun masalah tidak mengganggui kerana arwah sering berjalan penuh teliti walau menyarung sepatu bertumit tinggi tanpa kerap mengusik sanggul. Bibir tebal yang sentiasa ramah tidak pernah lekang dari gincu merah. Pipi yang sedikit cengkung itu hanya dilapisi bedak menipis namun tetap tampak berseri. Senyum dan jelmaan barisan gigi putih berseri tidak pernah hilang di sepanjang waktu persekolahan. Memang begitulah penampilan dan identiti arwah yang tidak pernah berubah sehinggalah hari-hari terakhirnya di sekolah.
Arwah guru adalah guru kelas terbaik di mana ketua kelasnya adalah Adam. Ketika itu dia di dalam kelas darjah empat Raya. Sebuah kelas yang terbaik di dalam darjah empat sekaligus mendapat guru tingkatan yang selayaknya. Manakala anak-anak murid yang baru menjenguk tahun ke sepuluh usia, sempat mengenali isihatinya hanya pada empat bulan penggal pertama. Disamping mula diajar mata pelajaran baru yang kian merumitkan, mereka juga mengenal erti murni kasih seorang guru.
Mereka bertuah mendapat seorang guru selaku pengganti ibu di rumah. Beberapa murid kelas lain turut melahirkan rasa cemburu yang tak terperi. Dan selepas itu begitu pantas sekali di dalam jiwa kanak-kanak ini muncul satu pelajaran baru tentang erti rindu dari satu kehilangan kekal.
Mesra seorang guru bukanlah perkara yang mudah ditemui kerana sebilangan kecil guru-guru terlebih dahulu mementingkan etika kerja : memberi pelajaran berlandaskan silibus dari kementerian dan bukannya menjurus pada pendidikan. Setelah cukup masa perlunya pulang ke rumah seperti kebiasaan pekerja kerajaan lain sambil memikirkan hari gaji disetiap hujung bulan dan gelora rumahtangga yang paling diutamakan.
Namun wawasan arwah cukup berbeza.
Tingkah lakunya saling tak tumpah seorang ibu. Tanggungjawab seorang guru itu baginya laksana seorang bapa mithali. Tunjuk ajar yang cukup sempurna tidak ubah seperti seorang nenek yang baru bergelar hajjah pada cucu yang setahun tak ditemui. Jika didapatinya ada murid yang tidak menyiapkan kerja sekolah berulang pada kali kedua mahupun ketiga, arwah akan terus bertanya dahulu tentang masalah peribadi yang dihadapi.
Kalau guru lain sudah tentu murid yang malang itu telah ditarik cuping telinganya hingga merah padamlah seluruh muka. Atau jika yang perempuannya pasti akan disuruh berdiri hingga lemah longlai lutut dan pinggang sehingga tamatnya kelas bagi satu-satu mata pelajaran. Satu kebiasaan arwah yang sukar hilang daripada sebutan ialah selalu mengurut lembut ubun-ubun beberapa murid yang nakal – yang seringkali dileterkan.
Sebelum itu di dalam darjah 3 Melur, Adam pernah didenda dengan berjemur di tepi padang bola ketika terik matahari tegak menikam. Habuan yang dia terima disebabkan tidak menyiapkan homework sebagaimana yang diperuntukkan. Guru kelas adalah cikgu Ramlah, seorang guru yang paling dibenci oleh murid kebanyakan.
Denda sedemikian memang jelas berunsur kejam walaupun guru yang terkenal dengan sifat mengetuk jari budak dengan pembaris itu berniat ingin mendidik agar perkara yang sama tidak berulang. Memang pun setiap guru itu selalu diperingatkan agar sentiasa menekan aspek-aspek pendidikan. Namun cara yang perlu diterjemahkan adalah kurang berkesan sebaliknya meninggalkan rasa dendam pada murid-murid mangsa jemuran
Ketika itu peranan psikologi dalam bidang pendidikan di sekolah masih dalam proses awal pencernaan. Rotan dan tengkingan menjadi antara jalan terakhir yang melazimi tindakan dalam menangani sejumlah kenakalan yang terpamir di luar kawalan.
Kegarangan Cikgu Ramlah bukanlah satu sifat yang dimusuhi oleh jiwa sang bocah jika ianya bertepatan dengan keadaan dan masa. Namun jika guru berbadan kurus melidi itu hanya tahu menampilkan wajah menyinga tanpa sebab, mana-mana yang terserempak pasti akan menikus tanpa sepatah kata. Ramai pula yang bertaubat untuk bertentang mata mahupun mengucapkan ‘Selamat Pagi Cikgu’ apabila berselisihan.
Lain halnya dengan cikgu Zakaria, guru disiplin yang bertubuh gempal dan gemar jalan mengengkang. Memang pun keseluruhan wataknya tiada yang lembut atau manisnya. Tetapi adakala pandai berjenaka dengan mengusik murid-murid yang tidak pernah menjadi mangsa rotannya. Namun pada hakikat sebenar, ada murid-murid yang pernah terkencing di dalam seluar jika disergahi oleh guru lelaki yang bermisai tebal itu. Yang menangis dan menggugu belum dikira lagi jika dilibas dengan rotan tebal yang sentiasa berada digenggaman tangan kirinya.
Kesudahannya beginilah adat perjalanan hidup manusia di muka dunia. Kadangkala orang-orang yang baik akan menyusul dahulu menyahut seruanNya. Seringkali jika berfikiran singkat memanglah kehidupan itu tidak adil. Namun siapalah yang berani mempertikai ketentuan Tuhan. Setiap takdir yang tiba pasti ada hikmah yang terlindung. Apa yang berlaku pada arwah guru sebenarnya turut menjadi sebahagian dari ingatan terpendam paling berguna untuk anak-anak muridnya untuk renungan di hari dewasa.
Punca tragedi seperti yang dilaporkan oleh penguasa polis ialah kecuaian arwah kerana memandu laju hingga disangkakan jalan yang lurus berpuluh batu penuh likuan dan belokan. Arwah guru diandaikan dalam perjalanan dari rumah di Ulu Kelang menuju ke sekolah. Siapa yang tidak kenal dengan populariti Jalan Ampang yang bermula dari Lebuh Ampang hingga ke Bukit Belacan. Jalanraya panjang menegak dan penuh berjerawat di sana sini tidak bersalah apa-apa. Cuaca yang benar-benar tidak menentu waktu itu juga tidak bersubahat apa-apa.
Namun waktu malang tak berbau adalah petang syahdu dalam pukul tiga hari rabu. Langit kelihatan mendung namun teriknya masih terasa. Kereta Datsun 120Y berwarna putih meluncur laju melawan arus angin yang menerbangi sebahagian rambut si pemandu. Di dalam kereta tanpa pendingin hawa tiada kedengaran suara nyanyian dari siaran radio kecuali sendu tangis yang tenggelam timbul diselangi oleh bunyi deru angin yang berbahang. Di dalam kereta itulah terdapat seorang insan yang jasad dan jiwa sudah tidak bersefahaman. Kedua-dua unsur ciptaan Tuhan itu bertelagah sesama sendiri sedangkan waktu memandulah paduan jitu jasad dan hati paling dikehendaki.
Fikiran si pemandu tentunya tidak berada di hadapan stering. Anak mata yang sepatutnya mengawasi liku-liku di jalanan gagal menghantar mesej pada otak dengan berkesan. Kedua-dua tangan yang sering menggores kapur putih itulah yang tersilap memusing stering kereta lalu merempuh sebuah lori yang terhenjut-henjut membuat brek kecemasan. Paling malang sekali sepasang kaki yang terlalu cuai itulah yang tersalah andai lalu tertekan pedal minyak lantas mendakap garang si Raja Jalanan.
 Semua kesalahan akhirnya berpihak pada diri arwah. Antara isi laporan hasil siasatan yang sahih, mangsa tidak berhati-hati ketika mengawal haluan dan kesilapan menekan pedal brek dengan betul. Ada juga kebarangkalian dari siasatan itu mangsa sengaja melucutkan sepatu bertumit tinggi itu lalu pedal brek telah tersekat sementara pedal minyak pula yang dihambat. Hinggakan kereta buatan Jepun itu boleh terloncat hampir mencecah cermin hadapan lalu terbalik dibawah lantai lori, dikelilingi balak-balak yang bertaburan di sana-sini. Lalu-lalang menjadi sesak hampir buat setengah hari.
Begitulah kehendak Illahi.
Tubuh dan jiwa yang tidak serasi itu menerima pengajaran yang hebat dari Maha Pencipta. Kereta yang tidak berniat untuk menganiaya si pemandu itupun remuk teruk macam telur ayam terjatuh di atas lantai. Lori balak yang menghempap macam lagak harimau menyambar rusa itu sebenarnya juga tidak berniat membuli sesiapa. Di jalanraya itu selain batang-batang balak yang tergolek disana-sini, serpihan kaca begitu banyak bertaburan seperti mutiara yang terputus dari ikatan rantai. Percikan darah pekat bertompok merata dijalan tar itu seperti kenakalan murid-murid yang bermain water colour pada sebuah kertas lukisan.
Selain dari laporan bertulis itu ada juga khabar-khabar angin yang tak tercatat di kertas mengatakan sebelum sepotong nyawa diragut Izrail, arwah guru bergaduh besar dengan suami. Sebab-sebab perselisihan faham itu adalah kurang jelas kerana tiadanya bukti daripada orang ketiga. Lagipun kurang manis untuk mendalami punca-punca yang menjurus pada soal peribadi.
Kebarangkalian tertinggi adalah sepasang kelamin itu bergaduh fasal anak. Kerana sesegar-bugar tubuh arwah pun masih tidak menjanjikan sebarang zuriat. Mungkin mereka menyalahi satu sama lain, menuduh yang bukan-bukan hingga terguris harga diri dan keegoan.
Beberapa orang guru dan guru besar sekolah yang menziarahi sekujur tubuh tanpa jiwa itu sempat membasahkan pipi dan melembabkan sapu tangan. Nyatalah takdir yang datang terlalu menyergah. Yang terlalu akrab dengan arwah, tidak malu-malu untuk tersendu-sendu, merintih kesal dan perpelukan sesama jantina. Ada seorang guru lelaki yang berhati waja telah memberanikan diri untuk melihat wajah arwah yang sudah melepasi post moterm, dimandikan lalu dibaluti kain putih yang berbau kapur barus.
Guru itu sempat mengesani airmata kering yang masih berbekas di kedua-dua pipi yang tidak seperti pipi manusia normal lagi. Dari penatapan itu sahihlah ada sesuatu yang merungsingkan fikiran arwah ketika dalam pemanduan. Kerana itu agaknya arwah tidak dapat melihat dengan jelas garisan putih berkembar dan sebuah lori yang laju dari arah bertentangan. Arwah tidak lagi mempedulikan simbol amaran dari garisan bahaya yang melingkar di bawah lantai kereta. Fikiran arwah tentunya berkecamuk kerana ketidak-tenteraman perasaan yang menikam. Kerana itu jugalah arwah tidak mendengar hon peringatan dari kenderaan belakang yang sempat meneguri ayunan kereta yang membuai-buai
Untuk apa arwah datang ke sekolah pada petang-petang begitu?.Padahal bukannya ada sebarang aktiviti kurikulum atau kelas tambahan. Ada beberapa rakan guru yang memungkinkan arwah tertinggal sesuatu barang miliknya di dalam kelas. Atau mungkin juga setelah bergaduh dengan suami, arwah merajukkan hati dan membawa diri lalu mencari tempat menenangkan diri.
Ke sekolah hanyalah satu kemungkinan kerana jalan yang lurus itu bukan menghala ke sekolah saja. Banyak tempat, taman atau kampung perumahan yang berada sepanjang jalan. Mungkin arwah ingin ke rumah kawan atau saudara kandung untuk tumpang mengadu. Kebarangkalian yang lain pula arwah ingin ke Bukit Belacan untuk mengendurkan tekanan dalam pelukan hijau tumbuhan.


JAUH dari punca-punca yang tersebar luas itu ternyata masih ada satu peristiwa duka yang sengaja disimpan dan tidak mahu dihebohkan. Rahsia itu hanya berlegar di dalam kelas darjah empat raya dan di setiap ruang jiwa para muridnya. Insiden tanpa direncana oleh sesiapa itu telah tercetus di dalam sebuah kelas yang terbaik di dalam darjah empat yang selama ini tidak pernah terjadi.
Waktu pagi sebelum petang berlalu di mana tragedi meragut nyawa tercipta, di dalam kelas yang menempatkan 44 orang murid – salah seorangnya adalah diri Adam sendiri.
Lewat pagi itu adalah seperti kebiasaan hari yang lain. Di dalam kelas para murid mulai naik tocang kerana tiada guru memasuki kelas. Papan hitam terpaku diam bertemankan deretan kapur putih yang tersusun kemas. Ada kedengaran suara murid lelaki dan perempuan menyanyi. Bunyi orang ketawa terkekek-kekek dan terbahak-bahak pun ada sebelum diselangi batuk-batuk kecil seperti milik orang tua.
Suara orang mengejek,mengengek dan menjerit-jerit pun tak kurang hebatnya. Beberapa buah kapal terbang kertas pun melayanglah di sana-sini. Suara perempuan menjerit nyaring kerana disakat oleh murid lelaki pun turut menggegar. Bunyi dari game watch pun terdengar halus. Gelagat dua murid perempuan sedang melambung bola netball sesama sendiri kelihatan di satu sudut tertentu.
Dimanakah Adam ketika itu?
Seperti kenakalan biasa yang sukar untuk dibendung meskipun bergelar seorang ketua, dia tanpa rasa silu akan turut bersama Alias untuk menyertai pertandingan break dance yang dimeriahi oleh 15 orang murid lelaki yang lain di belakang kelas yang sememangnya lapang. Pertandingan itu turut disaksikan oleh beberapa pelajar perempuan yang tidak mempunyai sebarang agenda.
Walaupun Adam telah dilantik sebagai ketua kelas oleh arwah guru atas beberapa sebab namun dialah yang paling ligat di masa itu. Tetapi kebisingan hari itu ternyata berbeza sekali. Kombinasi dari frekuensi – frekuensi suara dan bunyi yang terkumpul boleh didengari hingga ke jarak seratus meter.
Lama setelah setengah jam berlalu barulah arwah cikgu masuk ke dalam kelas dengan wajah semasam cuka sambil mendukung buku latihan. Bunyi kasut bertumit tinggi kedengaran kuat seperti sengaja dihentakkan ke bumi. Kerusi guru di sisi kiri papan hitam itu direntap kasar dengan bunyi menyilukan lalu duduklah arwah guru di meja hadapan. Murid-murid yang berkeliaran dari tempat duduk kelam-kabut kembali kepada kerusi dan meja masing-masing. Keadaan kelas beransur senyap seketika namun masih hingar-bingar ibarat baung dibawah bangkar.
Kediaman masih tidak berubah kecuali punggung-punggung yang terlekat tak berganjak.Guru memerhati setiap mulut-mulut yang langsung tidak terkatup satu persatu. Tangan-tangan nakal masih meliari di segenap sudut yang tercapai. Kerana tidak sabar melihat suasana yang belum pulih,arwah menghempaskan tindanan buku latihan di atas meja sendiri. Separuh dari tindanan itu jatuh lalu berselerakan . Hingga ada dua buah buku yang terjatuh ke lantai. Lalu terkejutlah para murid yang masih leka dengan ketawa dan bualan.
“Hoi senyaplah…” teriak Adam selaku ketua darjah
“Diamlah, cikgu dah marah tu..”, teriak seorang murid lelaki yang lain.
“Hoi..diam!..diam!.”,teriak Adam sekali lagi
“Minta perhatian !..Sila tolong diam!…tolong diam!..”jerit Alias, selaku penolong ketua darjah sambil berdiri dengan menggunakan corong buatan kertas.
Jeritan demi jeritan melaungkan kesenyapan pun kedengaran. Kewibawaan seorang guru dalam saat-saat sebegitu tentunya terasa tercabar.
“Hoi!..senyaplah!!!…” Adam menjerit dengan lebih kuat lagi sehinggakan semua orang terpegun diam.
Bunyi jeritan itu turut bergema hingga ke setiap penjuru padang bola sepak. Apa yang dapat dikesan selama ini pun jika kelas bising arwah masih mampu tersenyum dan akan memujuk dengan lembut. Namun hari itu memang ada sesuatu yang tidak kena.
Cuaca seraut wajah itu berlainan sekali. Malah cara melangkah ketika melepasi pintu kelas pun arwah guru kelihatan tidak bermaya. Arwah guru hanya memandang ke hadapan tanpa menggerakkan sedikit anak mata hitamnya. Ada sesuatu yang jauh ternyata masih direnungkan bersama gerak mata yang terlalu sayu.
“Saya dah lama masuk ke dalam kelas ini.! “
Mata merah arwah yang tersembul keluar merenungi pula setiap kujuran tubuh anak murid.
“Saya dah duduk lama di atas kerusi ini..sudah lama berada di hadapan kamu semua!”
Berpuluh-puluh mata terus saja menikus ke hadapan dengan kedua belah tangan tersadai di atas meja.
 “Tapi awak semua masih tak mahu senyap lagi! Kenapa?.”
Mulut-mulut pun terkatup menyembunyikan lidah dan gigi.
“Kenapa boleh begini? Hah?!!.”
Masing-masing tidak menyangka suara garang dan kasar tiba-tiba saja melantun keluar lalu menggegari ruang kelas. Paling memeranjatkan gegaran itu datangnya dari seorang guru yang selama ini tidaklah begitu sifat semulajadinya.
“Dan awak Adam..awak sebagai ketua kelas langsung tidak dapat mengawal kelas dengan baik…
Adam menikus lagi sambil merenungi tali leher berwarna hijau yang dipakai semenjak empat bulan persekolahan itu. Tali leher ini adalah lambang kepercayaan seorang guru terhadap kewibawaaannya.
“Sudahlah begitu, awak menyuruh pelajar lain diam tetapi awak sendiri memekik. Kalau awak menjerit macam orang gila!…bagaimana kelas boleh senyap? ..Betul tak?.”
Seolah-olah di hadapannya ada seeekor kucing yang baru menunjukkan belang dengan sepasang taring yang baru dewasa.
“Awak sebagai seorang ketua darjah..bakal pemimpin di masa hadapan ..sepatutnya mengawal murid-murid yang lain dari membuat bising dan ….dan itu adalah tanggungjawab kamu!…”
Suasana benar-benar sepi kecuali bunyi belaian angin dari empat buah kipas siling yang berputar laju tanpa henti.
“Dan awak sudah sepatutnya menjadi contoh pada mereka yang lain, bukannya ikut menari joget tamadun barat itu..”
Di luar kelas cuaca mulai menampakkan sinar terik dan rasa membahang.
 “Awak semua yang lain pun begitu..langsung tidak menghormati saya sebagai seorang guru..”
Lelehan air mata mula mencucuri pipi berbedak itu lalu redalah hangat amarah seorang guru.
“Perkara begini selalu sangat terjadi..saya tidak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan…awak semua adalah pelajar-pelajar darjah empat terbaik di sekolah ini. Sepatutnya menjadi contoh pada kelas yang lain…ini tidak!”
Arwah guru pun terduduk lalu tersendu panjang sambil mengesat air matanya.
“Awak semua dah tak suka cikgu lagi agaknya.!….” .
Sekujur tubuh guru akhirnya menggeletar dan akhirnya menekup muka dengan tangan yang sudah pun lama terketar. Pidatonya belum berhenti lagi.
“Awak semua dah tak sayangkan saya lagi!…”
Masing-masing tidak mahu berpandangan sesama sendiri.
“Saya..saya memang tak berguna…Saya memang dah tak berguna lagi..”
Hanya ada beberapa murid yang nakal menoleh muram pada Adam sebelum termenung menutup mata dan menopang dagu. Mungkin ada yang merasa kata-kata itu bukanlah tertuju pada kami sebenarnya. Namun kesalahan tetap dirasakan.
“Awak carilah pengganti yang lain…”
Di antara pertembungan mata-mata itu lahirlah ratusan kata yang tersirat dari jiwa seorang murid yang merasa berdosa.
“Awak carilah…Biarlah saya mati..!”
Tubuh-tubuh kaku seperti patung-patung di Pulau Easter itu kebingungan tidak tahu nak berbuat apa. Bagaimanakah untuk menghentikan tangisan itu? Tangisan seorang guru di hadapan murid-murid kesayangannya?
Bagaimanakah?
Secara tiba-tiba sepasang kaki milik Alias memberanikan diri untuk tampil di hadapan. Pelajar berbadan gempaldan berkulit sawo matang itu lalu merapat sembah kepada arwah guru.
“Cikgu ….maaafkan saya cikgu. Saya berjanji tak akan buat bising lagi…”
Selepas itu kami semua turut beratur panjang di hadapan guru lalu menundukkan badan seperti lagak orang Jepun seraya meminta maaf dan berjanji tidak akan membuat bising lagi.
Tamat saja upacara pengampunan arwah guru kelihatan sedikit tenang dan mula berkata dengan nada yang mesra. Kepada para murid dikehendaki menulis satu karangan seratus baris ayat yang berbunyi :
‘Kami murid darjah 4 raya berjanji tidak akan membuat bising di dalam kelas lagi!’

HARI keesokannya 16 Mei seperti tahun-tahun yang lalu merupakan sambutan hari guru. Beberapa murid perempuan yang sememangnya insaf ekoran insiden semalam, telah berpakat untuk membawa jambangan bunga lalu diaturkan di atas meja guru. Sebelum itu Adam telah menukarkan alas meja baru yang dibeli pada petang semalam. Di papan hitam beberapa murid lelaki dengan persetujuan daripada Adam juga menulis dua potong ayat yang besar dan menarik :
Selamat Hari Guru Cikgu Rosminah
Semoga Panjang Umur & Murah Rezeki
Selaku ketua kelas, Adam mengambil kesempatan untuk berdiri di hadapan kelas lalu menyeru pada murid-murid yang lain.
Kepada mereka dia merayu janganlah mengulangi peristiwa yang sama. Mulai hari ini kita semua haruslah menanam sikap baru yang semestinya diikuti tanpa berdolak-dalih lagi. Janganlah menjadi punca cikgu yang kita sayangi menitiskan airmata lagi. Cikgu Rosminah terlalu istimewa dan kerugian besarlah jika kita kehilangannya nanti.
Akhirnya semua murid bersetuju lalu dengan penuh santun duduklah mereka di bangku masing-masing sambil menanti ketibaan guru tersayang. Dari saat ke minit hinggalah satu jam lebih penantian namun Cikgu Rosminah tidak kunjung datang. Malahan kelibat guru lain tiba-tiba saja tidak kelihatan lalu-lalang. Ada seorang murid perempuan yang duduk bersebelahan membisikkan pada Adam mendakwa guru tersayang telah merajuk benci dan mungkin tidak mahu masuk ke kelas ini lagi. Kerana murid-muridnya walaupun pandai tetapi nakal dan degil serta tidak tahu menghormati guru.
Derapan sepatu bertumit tinggi jelas menghantui pendengaran Adam. Masing-masing gelisah dengan kedua belah tangan yang masih terbaring setia di atas meja. Punggung-punggung yang terlekat semenjak tadi mulai diengsot-engsotkan untuk menghilangkan rasa sengal. Kipas siling tetap berpusing dan sesekali terdengar angin luar menderu masuk menerusi bilah-bila kekaca tingkap.
Namun lain yang ditunggu, lain pula yang tiba.
Guru besar sekolah meluru masuk ke ruang hadapan kelas. Dengan wajah muram lalu memerhati setiap wajah kami sebelum tertarik pada himpunan jambangan bunga di atas meja guru. Adam cuba bangun untuk mendahului ucapan ‘Selamat Sejahtera Guru Besar ‘ tetapi dilarang dengan isyarat tangan.
Guru Besar berpaling ke belakang meneliti kata-kata yang tertera di papan hitam sebelum menggeleng sayu. Tiba-tiba guru besar yang berusia lebih separuh abad menarik nafas panjang lalu berdehem sebanyak 3 kali seraya memicit kelopak mata yang sudah pun bergenang.
Tanpa membuang masa, semua murid-murid yang masih terpinga-pinga oleh kehadiran itu diarah segera berhimpun di hadapan padang bola sepak sekarang juga. Tanpa sebarang bantahan mereka menuruti dengan pertanyaan luar biasa yang tersimpan di dalam dada.
Di luar kelas kelihatan juga murid-murid dari kelas masing-masing di tingkat bawah hingga ke tingkat tiga mulai berduyun-duyun keluar. Keadaan agak mengecohkan dengan ratusan pertanyaan dari mulut-mulut yang terlopong kehairanan. Semuanya ingin tahu apa yang telah berlaku.
Dalam perjalanan untuk berhimpun,akhirnya berita yang mendukacitakan itu terbocor lalu menggamatkan suasana. Maka ramailah diantara mereka telah menghamburkan airmata sebelum kesahihan berita itu benar-benar diumumkan.
“Murid-murid sekalian, marilah kita bersama-sama membaca Al-Fatihah di atas pemergian Cikgu Rosminah dan pahalanya kita sedekahkan pada allahyarham. Sesungguhnya sumbangan beliau amat dihargai. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada kita semua. Semoga Tuhan akan mencucuri rahmat pada rohnya, Al-Fatihah…..”
Demikianlah penghujung takziah dari guru besar yang botak pada sebahagian kepala. Beberapa orang guru yang berdiri bersebelahan terus tertunduk kepiluan. Murid-murid berbangsa Cina dan India hanya terdiam lalu turut menundukkan wajah seperti berdoa - menuruti ajaran agama mereka sendiri.


 TAHUN demi tahun berlalu. Setelah berjaya melewati alam persekolahan rendah, nama Cikgu Rosminah masih kekal di dalam seracik memori yang tidak ternilai. Gerak peristiwa yang menyayat hati itu tetap tersimpan teguh sebagai salah satu akar tunjang untuk Adam meredahi hidup ini dengan lebih berhati-hati.
Namun kenangan tetap berlalu dan tinggal sebagai satu titik di dalam lautan sejarah. Kini hanya yang tinggal adalah sebuah bingkai gambar milik arwah bersama pelajar-pelajar kelas empat raya. Gambar kenangan itu sentiasa tergantung tenang di dinding di salah satu sudut ruang kamar, kerap dijengah tanpa diusik oleh sesiapa.
Seperti selalu pada setiap tahun di hari 16 Mei tanpa segan silu bersama renungan berkaca Adam menatap lagi foto itu dengan sesungguhnya. Lalu terungkaplah ucapan berulang di dalam hati :
“Selamat Hari Guru,Cikgu Rosminah !!”

No comments:

Post a Comment

Blog Archive