Thursday, June 2, 2011

Petikan Bab 20 novel Reunion

20

Memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan mereka menangguh cadangan untuk ke rumah Wati.Dalam jarak waktu setengah jam berlalu ketika hujan lebat turun, Meor memerhatikan rintik-rintik air yang jatuh di halaman hadapan rumah.Dia memerhatikan juga langit yang sedikit cerah dan berharap rintikan hujan tidak akan berlarutan panjang.Entahkan mengapa,hatinya terasa sayu.Dalam kesenyapan itu, kadang kala terasa suatu keharmonian yang romantis namun terlalu sekejap terimbas. Kadangkala seperti suatu kepiluan yang mengikis dan itulah yang lama dirasainya
‘Ku sangka panas hingga ke petang,rupanya hujan di tengah hari..”Itu adalah satu ungkapan yang biasa didengarnya malah sesiapa saja.Seingatnya Yazid pernah mengubah ungkapan itu lalu menjadi begini : ‘Kusangka terik hingga kesenja rupanya mendung seharian..”
Benarlah seperti pernah dikatakan oleh segolongan orang bijak pandai betapa kadangkala kata-kata yang pernah diucapkan oleh seseorang itu jika tidak kena pada tempatnya akan menghukum diri sendiri. Kini Yazid telah terhukum dengan kata-kata itu. Ini telahpun terbukti pada dirinya dahulu Seperti yang pernah dia suarakan dulu dengan kata-kata begini : kita harus mengorbankan apa yang kita sayang..”. Begitulah luahan spontan tanpa memikiri kesan yang bakal timbul hingga bertukar menjadi satu realiti.Lalu akhirnya Meor pun turut terhukum walaupun tidak pernah difikirkan semacam ada suatu keterpaksaan yang memaksa dia berkata-kata sebegitu.
“Seorang lagi sahabat kita sedang menghadapi saat-saat kematian!”Masih dingatinya lagi kata-kata terakhir Anas yang tergantung yang turut menghukumnya kini dan semakin resah pula apabila memikirkan makna disebalik pesanan itu.Mengapa pula rakannya itu perlu berahsia hinggakan menjadi satu bentuk derita baru padanya.
Hujan telah pun reda setelah lima minit berlalu kecuali rintik-rintik halus dan limpahan cahaya matahari yang menyilau begitu menyakitkan mata.Namun dalam keadaan itu tidak mendatangkan masalah jika mereka menaiki motosikal.Yazid yang seperti turut memahami anggapan sedemikian muncul dengan tiba-tiba dihadapan rumahnya.Lelaki itu dilihatnya berpakaian kemas berserta dengan sepasang kasut baru berjenama Traveller yang hitam berkilat.
“Kita pergi lekas sedikit kerana aku ada temujanji dengan Hasniah petang ini”.
Mendengarkan alasannya itu Meor terus mencapai jaket dan dua buah topi keledar lalu menghidupkan enjin 100CC itu.Perjalanan tidak lama dan ternyata hujan mulai berhenti ketika mereka memasuki kawasan pendalaman perkampungan yang dituju. Setelah melepasi sebuah pekan kecil Ampang. Disitulah mereka lalui tanpa menyedari telah melintasi semula sekolah rendah yang tetap tersergam indah bagi mereka dari dahulu hinggalah sekarang.
”Sekolah kenangan”,jerit Yazid sewaktu melepasi kawasan persekolahan yang semakin menampakkan perubahan dengan penambahan sebuah blok setinggi tiga tingkat.
Meor memberhentikan motosikal dipenghujung jalan.Rumah yang dituju masih belum kelihatan kerana kedudukan yang agak tersorok serta terkebelakang seolah-olah dipencilkan oleh penghuni rumah yang lain.Mereka terpaksa menyeberangi sungai yang tohor dan keruh dengan melewati titian gantung – seraya mengindahkan lagi perjalanan itu.Ini adalah pengalaman pertama bagi Yazid barangkali. Sememangnya tiada sebarang pengangkutan seperti bas atau teksi yang masuk kesitu kerana penghubungnya hanyalah sebuah titian buatan yang agak membahayakan.Dia teringatkan motosikal yang terpaksa ditinggalkan tanpa dikunci rodanya dibahu jalan tersebut.
Dipertengahan titian kuno itu mereka berselisih dengan salah seorang penduduk kampung sedang menyorong basikalnya sementara diikuti oleh seorang budak kecil sedang menangis teresak-esak dengan aiskrim ditangan yang sudah pun berlumuran pasir.Meor menghulurkan senyum dan memberi salam pada lelaki itu tetapi tidak dijawab.Yazid menegurinya dengan mengatakan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat kampung yang begitu tersorok dipinggir hutan itu.
Ini bukannya satu tuduhan melulu.Dia masih ingat lagi ketika dia dan Anas tiba di kampung itu semata-mata ingin mengambil biodata dari Wati.Peristiwa itu berlaku sewaktu dalam proses pengumpulan data biography.Rumahnya tidak berubah seperti yang telah terpampang dihadapannya kini – sebuah rumah papan yang agak kampungan dengan ahli keluarga yang penuh keganjilan.Orang tua Wati ternyata tidak banyak bercakap seolah-olah kurang senang menerima sebarang tetamu yang datang.Tambahan lagi abang kepada Wati yang berambut panjang dan kurus dengan wajah agak kepengapan langsung menganggap kehadiran mereka seperti angin ataupun bayang-bayang saja.
Yazid memberi salam sebanyak dua kali dan Meor tersentak semula dari ingatan silam. Suara orang menyambut salam kedengaran dari arah belakang dapur rumah itu.Dari nada sedemikian dia dapat membayangkan wanita itu – mungkin ibu Wati pasti akan terkejut menerima tetamu yang terlalu asing seperti mereka ini.Tingkap-tingkap rumah itu kelihatan tertutup rapat bagaikan gambaran tiada penghuni yang tinggal selain alunan asap dari dapur yang masih menunjukkan ada seseorang sedang memasak sesuatu.
Ibu Wati membuka sedikit pintu hanya cukup untuk matanya sahaja yang tersembul keluar sambil menyeluruhi mereka satu persatu sedalam-dalamnya.Wanita itu langsung tidak mempelawa mereka masuk selain pandangan dari anak mata yang merah menyala yang tidak terhenti dari kehairanan yang begitu asing sekali.
“Cari siapa?”Wanita tua yang berusia hampir separuh abad itu bertanya.
Yazid mulai serba-salah dan gementar dalam mencari kata-kata, namun masih cuba untuk memberikan penjelasan erti tujuan sebenar kedatangan itu.
“Betulkah ini rumah Encik Yahya,.makcik? “,soal Yazid .Wanita itu menggeleng sebelum mengangguk cepat.
“Itu suami saya..kenapa?”
“Sebenarnya kami nak berjumpa dengan anaknya Wati..kami rakan sekolahnya dulu..”jawab Yazid lagi.
Wanita itu membeliakkan anak matanya sebelum terbersin beberapa kali secara tidak sengaja,beristighfar lalu menarik muka masam.
“Kamu cari siapa?.Wati ?…apa kamu mahu hah?”  suara lemah wanita yang lesu itu bertukar menjadi garang.Yazid dan Meor berpandangan sesama sendiri, benar-benar tidak menyangka sekasar itu sambutan yang diterima.
“Bertenang makcik..kami berdua ini kawan anak makcik…Wati..”,terang Meor pula.
“Kawan?..kerana kawanlah anak aku rosak…kerana kawanlah anak aku liar..sekarang apalagi yang engkau mahu hah?”
“Kami ingin berjumpa dengan Wati..kalau-kalau dia ada,ada perkara yang ingin kami beritahu. ..”Yazid menggaru kepala  - terlalu rimas agaknya kerana memikirkan kata-kata yang patut diluahkan.
“Kenapa kamu nak mencarinya…setelah kau rosakkan hidupnya!” Kemarahan ibu Wati semakin memuncak dan bertukar kepada tangisan yang mengelirukan.Adakah ibunya sudah tahu apa yang telah terjadi pada Wati?.Meor cuba mengagak dan mencari pertimbangan yang wajar dan waras.Apakah yang perlu mereka lakukan sekarang? Adakah perlu memujuki ibu tua itu agar menyakini akan tujuan kedatangan mereka itu atau menunggu kemarahan itu reda. Lambat-laun kehadiran mereka pasti akan diterima dengan seadanya.
“Kamu dah rosakkan hidupnya.,..”
“Bukan kami makcik..percayalah.sebab itu kami datang kesini..kami ingin menerangkan kedudukan perkara yang sebenarnya…sebenarnya…sebenarnya kami sendiri tidak tahu apa-apa yang telah berlaku padanya..”jelas Meor pula dengan harapan tangisan orang tua itu kembali reda.
Secara tiba-tiba pintu rumah itu ditendang kuat oleh seorang lelaki yang kemudiannya muncul dengan wajah bengis tanpa suara.Tangan kanan lelaki itu – mungkin bapa Wati- terketar-ketar sambil menggenggam hulu sebilah parang panjang. Jantung Meor berdegup kencang dan darahnya tersirap pantas hingga ke cuping telinga. Mukanya pucat danYazid turut menggeletar dengan muka merah padam lalu mereka berundur beberapa tapak Sambil memegang tangan sesama sendiri,anak matanya meliari sekitar halaman dan bersedia untuk melarikan diri jika lelaki itu cuba mengamuk diluar kawalan.
“Wati sudah tiada lagi!..dia dah lari dari rumah ini!..Kamu berdua yang melarikan anak aku hah?”. Lelaki itu menjerit seraya menunjukkan parang kearah mereka tetapi ditahan oleh wanita itu.
“Baik kamu pergi dari sini..sebelum terjadi apa-apa..”pinta wanita itu dengan tangisan yang semakin tidak terkawal lagi.Melihatkan keadaan yang semakin runcing mereka tiada jalan lain untuk berlembut selain segera mengundurkan diri menjejaki jalan pulang.Tanpa melengahkan masa mereka berdua terus menaiki motosikal lalu memecut pantas tanpa memandang lagi kebelakang.Dihati kecil Meor dan tentunya Yazid juga, pengalaman tersebut pasti akan terukir kekal disejarah ingatan masing-masing betapa inilah kali pertama mereka bersua dengan orang-orang seperti itu.
“Sebenarnya apakah tujuan engkau ingin mencari Wati?..”soal Yazid ketika Meor menurunkan dia di perhentian bas berdekatan. ”..apa sebenarnya tujuan kau…aku tak faham…aku benar-benar tak faham!”, soalnya lagi.Fikiran Meor menjadi buntu untuk menjawab soalan itu Dia terdiam sambil mengingati semula peristiwa yang mendebarkan itu.
“Entahlah aku sendiri tidak tahu…apa yang aku fikirkan sekarang ialah bagaimana aku harus bertanggungjawab dan mengambil kisah atas semua yang berlaku ini..”Itulah jawapan terbaik Meor untuknya dan dia menyangka Yazid akan berpuas hati tetapi reaksi sebaliknya telah berlaku.
“Pernah tak kau memikirkan diri sendiri?…kau terlalu memikirkan diri orang lain!…bagaimana dengan dirimu?..masa depanmu?..mana yang utama?..kau,kau terlalu memikirkan hidup orang lain…Sudah tiba masanya kau memikirkan itu semua ” Kali ini fikirannya benar-benar buntu dan kemarahan Yazid semakin berulang-ulang dibenaknya.


Baru pagi tadi Alias menghubunginya menyatakan rasa terkejut sedih dan simpati yang tidak berbelah-bagi apabila menerima berita tentang kemalangan yang menimpa Kamarul. Alias memberikan alasan yang munasabah kenapa dirinya tidak dapat dihubungi beberapa kali.
“Kau tahu sajalah kesibukan aku di Subang ini.praktikalnya saja sama seperti sudah bekerja…. Praktikal aku hanya tinggal seminggu,..tapi lusa aku akan melawat kamarul dengan secepat mungkin..tetapi aku tak janji…”,jelas Alias lagi sebelum bertanya semula di wad manakah kamarul ditempatkan.
“Apa?..wad lima tingkat dua..itukan bukan wad first class punya?..Bukankah dia anak orang kaya?..”Alias memprotes setelah terkejut lagi.Sahabatnya itu akhirnya membuat kesimpulan berkenaan kemalangan itu bahawa kamarul menjadi begitu liar kerana kurang bimbingan agama dan curahan kasih sayang dari orang tua. Meor hanya mengiakan saja protes itu sehinggalah Alias meminta diri dan berharap mereka akan berjumpa lagi di hospital nanti.
Telefon berdering lagi dan apabila mendengarkan suara yang manja dan cukup menggoda itu,dia kembali merasai damai dan tenteram.Memang semenjak kebelakangan ini suara Diana semacam penawar yang mujarab bagi segala keresahannya selama ini..
“Dian boringlah…”
“Kenapa?..takkan baru seminggui tak jumpa dah tak mahu belajar lagi..inilah yang Meor tak suka..”
“Bukan begitu,.Dian memang lagi suka belajar di part five ini...sebenarnya sudah seminggu dikampus tetapi masih tak study apa-apa”,Diana meluahkan rasa resah  sebelum memberitahu di kampus ITMnya telah berlaku beberapa kekecohan berikutan penahanan beberapa pelajar yang terlibat dalam demonstrasi terhadap kedutaan Amerika Syarikat.Demonstrasi yang dianjurkan oleh beberapa orang pelajar kanan yang ekstrimis dalam soal-soal keagamaan telah terkeluar dari slogan demonstrasi aman setelah menimbulkan beberapa pergaduhan dan kesesakan lalu lintas di hadapan kedutaan itu.
“Hairan?..pengajian baru bermula dan ada orang yang buat demonstrasi?”
“Sebab itulah kami belum belajar lagi..pihak atasan masih melakukan sesuatu yang serius dalam menghapuskan saki-baki penunjuk perasan yang keterlaluan itu...Dengar khabarnya tunjuk perasaan itu didalangi oleh orang luar yang mempunyai niat yang tertentu..lalu yang menjadi mangsa adalah para siswazah yang belum cukup ilmu didada..Sebab itulah.. 
“Dian tak pergi memberontak sama?” Mero menyoal dan Diana pun menjerit serta ketawa.
“Hei nak buat apa memberontak ?….kita hidup dalam negara yang aman dan cukup segala-gala ini pun sudah lebih dari bersyukur…Apa lagi yang kurang?”
“Mesti ada yang kurang..kalau tidak takkan siswazah-siswazah ITM itu memberontak?”
“Tadikan Dian cakap..ada dalangnya…lagipun itukan soal kemanusiaan sejagat…bagi kita manusia biasa ini Dian rasa tak elok campur tangan…Meor bila daftar semula?”soal Diana dihujung bicaranya seraya beralih kearah topik yang lebih menceriakan.
“21 julai ini..masih ada dua minggu lagi dan baru minggu lepas terima keputusan. Macammana dengan keputusan Dian?..bertambah baik? “ Meor cuba mengingatkan semula keputusan pengajiannya bagi semester yang lepas.Mata nilai CPA masih tidak banyak berubah seperti dulu kecuali pada angka kedua selepas titik perpuluhan.
“Elektronik adalah satu bidang yang mencabar..sudah tentu CPA Meor lebih teruk dari CGPA Dian..”jelas Meor dengan niat merendah diri apabila Diana masih memujuknya menjelaskan angka CPAnya yang sebenar.
“Dian pun begitu juga dalam two point something…”balas Diana sebelum ketawa kerana masing-masing masih cuba untuk berahsia.
Lama juga Meor memujuk dengan melencong kepada memuji kecantikannya dan harapannya hinggalah gadis itu mengalah dengan memberi satu isyarat.
“Malam ini Meor kena belanja Dian OK..”
Meor bersetuju dan Dian pun memberitahu CGPAnya sebelum dia bertindak serupa.Tidak disangka dan mereka hampir serentak ketawa – kehairanan kerana tidak menyangka betapa mata pengajian mereka benar-benar sama.
“Bukankah kita ini serupa…”simpul Diana dan Meor hanya mengiakan.
Wajah Kamarul yang terlantar dan sedang mengerang kesakitan tiba-tiba terkerlip dihadapan sebelum diganti oleh kelibat Yoke yang sengaja mengelar kulit mukanya sendiri.Sebentar kemudian wajah-wajah itu diselangi oleh wajah Norzina kononnya sedang berduka merasakan suami yang baru dikenali isi hatinya itu sudah pun bermain kayu tiga.Ah!.mengapakah pula dia harus membayangkan sesuatu yang buruk tentang gadis itu pula.Dia cuba menafikan kerlipan wajah terakhir itu dan cuba menganggap ianya sebagai mainan perasaan yang tidak berasas.
“Kau tidak pernah memikirkan diri sendiri…”Kata-kata Yazid mengekori lagi lalu menyedarkannya yang masih bersendirian semenjak tadi.
Meor memerhatikan sekumpulan anak-muda yang berjalan dalam kumpulan sedang menuju kearah Dataran Merdeka.Sebentar kemudian secara sengaja seorang dari pemuda dari kumpulan tersebut dengan penampilan ala rockers dengan baju T serba hitam dan berseluar ala London Boy menegurnya. Pemuda yang tidak dikenali itu terus bertanyakan jika dia berhajatkan seorang atau dua orang perempuan bohsia untuk hiburan satu malam.Meor terperanjat besar dan memarahi lelaki itu kerana dirinya dianggap sebegitu.Pemuda itu terus berlalu pergi dan sempat mencaci-makinya dengan beberapa kata lucah yang menghina kejantanannya.Meor beristigfar beberapa kali sebelum terasa berbangga kerana ada keberaniannya untuk mempertahankan diri seperti sebentar tadi.
“Lama menunggu?”,soal Diana memeranjatkan Meor dan gadis itu terus memeluk pinggangnya dari belakang.Kali ini Meor merasakan dia pula yang terpaksa menunggu untuk waktu hampir setengah jam.Diana agak bermuram walaupun dia terdiam sambil tidak menunjukkan reaksi marah sekalipun. Semacam diketahui oleh Diana dirinya tidak mahu diperlakukan seperti itu –menunggu terlalu lama sehingga disangkakan orang dirinya seperti salah seorang lelaki dari jenis pemuda seperti dari kumpulan anak-anak muda itu dan ianya adalah suatu yang menyedihkan. Sekaligus dia turut menyalahkan diri sendiri kerana berpakaian terlalu ringkas dengan seluar jeans biru dan berbaju T hitam tak berkolar – satu penampilan yang manjadi kebiasaan bagi sesiapa saja yang bergelar warga kota.
”Maafkan Dian kerana terlambat…Meor marahkan Dian?”
“Orang paling derita di dunia ini pun akan merasa hilang marahya apabila berdampingan denganmu sayang…”
“Jadi betullah Meor sedang marah tadi?”
“Marah-marah sayang..”Meor menjelaskan dan Diana pun tersenyum bangga dengan pujian itu.Diana tertunduk malu kemudiannya entah kerana terasa disindir atau disebabkan perkara lain yang menyentuh hatinya.
Meor bertindak meramas jemari gadis itu dan begitu lambat dia menyedari gadis itu telah memakai baju kurung yang begitu anggun dan berpadanan sungguh dengan bentuk tubuhnya.Ternyata Diana fikirnya bukan saja mempunyai suara yang memikat tetapi pandai mengenakan setiap baju yang dipakai.Tidak hairanlah jika sepanjang laluan dihadapan mereka begitu ramai orang yang sempat menjeling cemburu melihat aksi Diana yang begitu manja dan dirinya adalah seorang lelaki yang tidak lekang dari sebuah senyuman yang panjang.
“Sebenarnya ada sesuatu yang ingin Diana sampaikan..”
“Apa dia?”soal Meor setelah mereka mengubah rancangan untuk berhenti disudut kaki lima dihadapan Bank Of Tokyo lalu duduk bersunyi-sunyian di sisi tangga di situ. Susana malam sememangnya dingin dan gelap disitu selain kedengaran beberapa jeritan muzik dan suara manusia yang datangnya jauh dari belakang Centar Market di hadapan sebelah kiri mereka sekarang.
“Dian dah ceritakan tentang diri Meor pada ayah dan ibu..”jelas Diana tiba tiba.
“Apa?..begitu lekas sekali?” Meor terkejut dengan penerangan itu.
“Ayah dan ibu teringin benar nak bertemu Meor..”
“Tentu banyak yang Dian sudah ceritakan..”
“Tidak juga…Cuma Dian katakan begini : Meor adalah orang yang paling baik, bijak, berwawasan dan tampan…’
“Kenapa Dian tidak katakan saja Meor ini nakal orangnya..”Mereka tertawa tanpa sedar Diana sudah menggenggam tangan Meor dengan suatu harapan yang tersemat didada.
“Dian harap Meor tidak hampakan hati Diana nanti..”Diana tersenyum dengan harapan yang menggunung.Meor memicit hujung hidung gadis itu.Malam itu pertama kali dalam sejarah hidupnya sebagai mahasiswa dia benar-benar merasa lapang dan bahagia.
“Dian…kitakan masih belajar lagi..tidakkah perkara ini akan mengganggu pembelajaran Diana nanti?”
Diana terdiam.
“Sebenarnya Dian juga tidak mahu hubungan kita ini mengganggu pelajaran Meor…tapi kitakan sudah cukup dewasa..tahu mana yang patut dahulukan…Mana yang patut diutamakan..Ibu dan ayah Dian juga pernah berkata demikian…”
“Jadi apa pendapat ibu dan ayah Dian?”
“Mereka hanya mengingatkan….mereka menaruh sepenuh kepercayaan pada anak tunggalnya…” 
“Anak tunggal?”
“Ya..anak tunggal perempuan maksud Dian…Dian ada lima orang abang tau…dua bekerja di Shah Alam dan selebihnya di Kuala Lumpur ini..sebab itu Meor kena berjaga-jaga…jangan nak mengusik Dian lagi..”
“Dian…kenapa Dian tak beritahu semua ini?”
“Kenapa Dian perlu beritahu semua itu?..kita bukannya suami isteri”
“Suami isteri?..” Meor ketawa panjang dan Diana terus mencubit paha kirinya.


Sebenarnya Yazid yang terlebih dahulu mengajaknya ke The Mall untuk membeli sepasang baju baru untuk persiapan ala kadar menjelang kemasukan semester Julai tidak berapa lama lagi.
Final year mestilah lebih bergaya maklumlah final face..”
Dari sebuah toko kedai baju ke sebuah toko yang lain mereka singgahi meneliti beberapa jenis kemeja yang diminati sambil membelek harga sebelum berkira-kira untuk membeli ataupun tidak. Bagi Meor untuk membeli kemeja ataupun baju T yang dipertimbangkannya hanyalah dalam lingkungan harga dua puluh ringgit sahaja.Dengan wang lima puluh ringgit yang dibawa maka dia berharap dapat membeli dua helai kemeja berlengan pendek dan sehelai baju T berkolar.
“Oh ya..aku lupa nak beritahu…”kata-kata Yazid tiba-tiba kedengaran dengan wajah yang muram – menarik perhatian Meor untuk mendengarkan
“Fasal apa?”
“Intan…dia kena tending dari U”
“Apa?…Intan kena tendang dari UTM?” Meor meneliti wajahnya dengan keadaan tergamam. Memang sahabatnya itu sudah mula mengambil tahu sekitar diri sahabat lama mereka.Meor mengerti betapa sedari dulu Yazid memang rapat dengan Intan semenjak dari bangku sekolah lagi.Mungkin kelebihannya adalah kerana antara keluarga mereka ada pertalian saudara yang jauh.Begitulah yang Meor ketahui tambahan lagi telah mendapat tahu kedua-dua bapa sahabatnya itu bekerja di jabatan kerajaan yang sama.
Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana perkara ini sama seperti dia dan Sharina. Begitu jugalah rapatnya Alias dan Rohaila dan suatu ketika dulu Anas dan Norhana. Betapa memikirkan semua itu dia berpendapat bahawa persefahaman dan kejujuranlah yang penting dalam mengikat keutuhan suatu persahabatan dan ini tidak boleh ditentukan oleh sesiapa pun.Manusia itu sendiri mempunyai berbagai watak dan sikap.Dari kesemua itu keserasianlah yang mendorong mereka memilih siapakah yang lebih sepadan untuk menjadi seorang sahabat yang akrab.
Dan kini adalah jelas betapa antara Meor dan Intan tidak pernah bersefahaman dalam apa jua pendapat.Semenjak dulu lagi meskipun adakalanya mereka sering berhubungan namun semenjak Intan menjadi juniornya mereka sering bertemu dan hasilnya terciptalah beberapa pertelagahan akibat percanggahan pendapat.
“Intan kena tendang?…dari mana kau tahu?”
 “Aku telefon dia pagi tadi..dia bertanyakan CPA semua orang termasuk engkau dan Alias. Kemudian katanya : aku seorang yang ketinggalan.Lalu aku merasakan ada sesuatu yang mengecewakan gadis itu..Aku pun bertanya kenapa?..lalu akhirnya dia menjelaskan sebabnya…”
“Sudah lama aku tidak menghubunginya dan dia pun seperti tidak mahu lagi menghubungi ku..”
“Dia segan katanya.Katanya lagi barangkali kau masih marahkan dia...dia malu pada diri sendiri ..lebih-lebih lagi pada seniornya “
Meor menguap panjang merasakan dirinya mulai letih dan kantuk.Anak matanya tiba-tiba disegarkan dengan terlihat seorang perempuan berpakaian seperti seorang gadis bohsia berjalan pantas dengan dikerumuni oleh tiga orang lelaki yang berpakaian segak ala GQ.Inikah make-up bangsaku? Meor mengeluh dengan pertanyaan sendiri dan menyedari semula akan Yazid masih menantikan serangkap jawapan darinya.
“Intan sebenarnya pintar..gifted..begitulah gelaran cikgu Rahmat padanya dulu, kau ingat?..tetapi nampaknya alam persekolahan jauh berbeza dengan rentak hidup dikampus. Jauh bezanya..bagai langit dengan bumi…Every day you must study..every time you must do homework..inilah yang dinamakan campus life..itulah yang dinamakan Campus style..bukan,bukannya berkepit dengan lelaki di sana-sini..joint habis semua persatuan..dan akhirnya semua tergadai..”
“Akupun  kecewa dengannya  tetapi nak marah apakan daya..dah berlaku..”balas Yazid seolah-olah turut menyindir Meor. “..dan aku tak fikir dengan study bersama lelaki dan bergiat cergas dalam persatuan punca Intan jadi begitu. Kalau setakat itu barangkali sedikit saja..ini tidak…CPAnya benar-benar dibawah angka1.7. Mesti ada punca yang lain kenapa prestasi Intan begitu..”
“Perempuan lainYaz..perempuan bukan lelaki bukan..bukan macam engkau yang boleh membahagikan waktu untuk cita-cita dan cinta..perempuan bukannya…” Meor tidak berjaya menghabiskan kata-katanya itu apabila secara tidak sengaja terpandang sepasang merpati sejoli – perempuannya sangat mereka kenali sedang berjalan berpimpinan tangan dengan seorang lelaki dengan hati yang girang.Meor mencuit bahu Yazid dan menjuihkan mulut kearah seorang gadis yang kini sedang menarik tangan lelaki itu sambil menunjukkan beberapa pasang baju yang tergantung didinding kaca sebuah toko.
“Siapa?”
“Lia..”
“Lia?..”Yazid mengamati lagi gadis itu sebelum tiba-tiba menyebut nama seseorang.”..Ruhzim?..bisiknya keras dengan nada orang yang sedang marah dan terperanjat.Meor mulai tidak mengerti akan jeritan kecil sahabatnya itu.
“Siapa Ruhzim?..lelaki itu?”, Meor bertanya dan Yazid terus mengangguk. Sementara itu mata mereka masih tidak berganjak dari memerhatikan gerak-geri lelaki yang bernama Ruhzin dan Lia sehinggakan timbul seperti satu kehairan dan keraguan.
“Kau kenal dia?…”soal Meor seperti mengandungi perasaan hampa.
“Mana boleh aku tak kenal..Ruhzim itu adalah kawan abang aku masa di Politeknik dulu..Aku kenal dia semasa mengikuti abangku berhari raya kerumahnya beberapa tahun yang lepas..”Yazid semakin menunjukkkan kelakuan yang resah dan Meor semakin tidak memahami gerak-lakunya yang tiba-tiba mencurigakan.
“Tetapi kenapa pula? Biarlah mereka berdua..mungkin sudah itu jodohnya..”
“Tapi dia dah …dah beristri…dia dah kahwin!”
“Dah kahwin?…”Kedua belah tangan Meor teraa begitu dingin sekali.”..apa kau benar-benar pasti?”. Mereka mulai berkongsi keresahan yang menguasai diri masing-masing.
“Aku pasti..sewaktu dirumahnya dan dan didalam foto ..dalam album foto abangku ada gambar perkahwinannya dulu…Aku pasti dan aku tak salah lagi…”
Mereka bertambah risau dan Meor mula membayangkan satu lagi masalah baru yang bakal memusnahkan seorang lagi sahabat lama mereka.
“Hai apa nak jadi dengan sahabat-sahabat kita semua..kalau Lia tahu tentang diri Ruhzim yang sebenar sudah tentu lebih merana dia..”
“Memang merana dan lebih merana lagi setelah kau mempersia-siakan dia..”
“Apa yang kau cakapkan ini?..aku tidak pernah mengecewakannya..aku tidak pernah mencintainya ..kau hanya serkap jarang saja..”
“Benar …tapi kau tak dapat menipu keinginanmu sendiri..hati kecilmu sejak perpisahanmu dengan Ika kau mula memendamkan perasaan pada Lia…tetapi bila Diana datang dalam hidupmu..kau mulai menganggap dirinya hanyalah satu persinggahan saja..”
“Lalu kerana itu aku telah mengecewakannya begitu?”
Okay..okay…aku bersetuju..”Yazid mengangkat tangannya tanda seperti ingin mengalah dalam perbalahan yang mula tercetus namun sedikit terkawal.”…aku setuju kau tidak pernah mengecewakannya ..ini berdasarkan pada kejahilan aku sendiri kerana tidak mengetahui apa yang tersirat dalam hati kecilnya itu..”
“Dia terlalu perahsia..”
“Takkan perigi nak cari timba..?..Kumbang yang seharusnya menghisap madu,padahal bunga tetap menunggu..”
“Dia terlalu perahsia..seperti engkau juga terhadap aku sehingga kini aku tidak tahu siapakah nama dan rupa bekas kekasih kau dulu..”
“Oh come on Meor!…aku bercakap tentang Lia…kau lari pada kisah silam aku pula..” Yazid mula mengeraskan suaranya dan perbalahan yang berlarutan itu semakin meresakan hati mereka berdua.
Meor mulai terasa ada sesuatu yang merubahkan diri sahabatnya sehingga menjadi begitu agresif sekali.Dia merasakan antara mereka sudah hilang persefahaman. Dan tidak seperti dulu lagi.Sikapnya tentang hidup benar-benar telah berubah semenjak kekasih pertamanya berlaku curang dan kini sedang dilanda perasan kasih berimej baru bersama Hasniah pula.
Cuba kau fikirkan sekarang…apa salahnya jika kau meluahkan rahsia hati padanya..sekurang-kurangnya perkara begini tidak akan terjadi..Meskipun dia belum tentu menerima secara sempurna tetapi yang pastinya Lia tidak akan terperangkap begini..” serang Yazid lagi dengan hujahan yang bernas.
“Aku pun kecewa tetapi apakan daya..dah berlaku dan berlalu…”jelas Meor semcam mengulangi sindiran Yazid sebentar tadi.
“Kau tahu apa yang lelaki seperti itu mahukan?”soal Yazid sambil menunjuk kearah pasangan yang diumpati itu. “…Habis madu sepah dibuang..atau pun untuk mencari isteri kedua..Itu saja pegangan para eksekutif muda yang kurang pendirian..”
“Aku ingin menyelamatkan Lia..”putusku dengan teragak-agak lalu memikrkan cara yang sepatutnya diambil sebelum bertindak. Tangan kanannyanya terasa disentap lembut oleh Yazid sekaligus melemahkan semula semangat yang berkobar-kobar itu.
“Tak guna…”
“kenapa?”
“Kau lihat diri kita dulu..apa yang telah terjadi pada diri aku….tentang diri kita sendiri pun tak terjaga..”kata Yazid dengan ketawa dan Meor semakin tidak memahami perubahan yang terjadi pada diri sahabatnya itu.Mengapa perlu ketawa? Apakah soal masa depan seorang sahabat merupakan satu jenaka baginya?.Benar-benar dia menyakini sifat yang baru itu adalah lantaran dari perhubungannya dengan Hasniah.Dalam seketika Meor cuba membayangkan pula pasangan yang dilihatnya masih berpegangan tangan sudah pun musnah sebelum dilihatnya pasangan itu bergerak menuju ke arah tangga bergerak lalu turun ketingkat bawah.
“Hasniah bukan anak dara lagi..dia pernah ternoda ..dan.dan Hasniah sendiri tidak tahu yang Dian telah mengetahui rahsianya itu..” Kata-kata Diana bergema semula dan disusuli pula oleh nasihatnya agar mengundurkan Yazid dari kencah cinta yang memperdayakan itu.
“Aku mahu menyelamatkannya…”kata-kata itu terkeluar lagi dari mulutnya tetapi ditujukan pada Yazid pula.Yazid merenunginya dengan senyuman perli.Dia semakin serba-salah kerana terperangkap dalam dua situasi yang begitu berat sekali untuk ditangani. Yazidkah yang perlu diselamatkan atau Lia? Namun kedua-dua sahabatnya ketika itu sudah terlanjur dalam luahan perasaan masing-masing.
Apakah yang perlu dia lakukan sekarang.Hanya perlu berpeluk tubuh sajakah sambil melihat perkara itu berlalu.Perasaan bersalah mulai menghantui diri.
“Aku rasa kau juga perlu menyelidiki siapakah diri Hasniah yang sebenarnya..”
“Hai..kau pula nak menasihatkan aku..”Yazid tersengih.
“Aku cuma mengingatkan..lagipun..lagipun Diana sendiri pernah mengatakan sesuatu tentangnya..”
“Jadi kau percaya padanya?..bukankah selama ini kau sendiri yang berkata : Aku hanya terpikat pada gadis yang menutup aurat saja.Apakah Diana perempuan yang selalu memakai blaus dan baju berlengan pendek itu pilihan kau juga?..cuba kau fikirkan..Kalau Diana pernah mengatakan sesuatu tentang Hasniah..sudah tentu Hasniah sendiri pernah menceritakan sesuatu tentang diri kekasih baru kau itu ..” 
“Tapi walaupun begitu Diana seorang gadis yang baik…kebaikan seseorang tidak boleh dinilaikan hanya berdasarkan dari tudung yang menutup kepaala…kau sendiri tahu bukan..Ika dulunya pun bukanlah berasal dari gadis yang berkerudung kepala..”.
“Kalau kau boleh mengatakan demikian aku juga boleh kata Hasniah itu mulia orangnya..pandai mengambil hati dan berbudi bahasa orangnya…”
“Aku hanya ingin mengingatkan kau saja..”
“Ah!…sebenarnya dunia kau yang sempit..kau cerminlah saja diri kau itu..apakah cinta itu hanya boleh ditemui hanya pada sahabat-sahabat lama saja?…Bagi aku sahabat-sahabat lama kita semuanya aku anggap seperti adik-beradik saja..tak lebih dari itu..dunia ini bagi aku masih terlalu luas untuk mencari dan menilai erti cinta yang sebenar..”
Meor terdiam.Nyata kewibawaaan tidak dapat menandingi setiap hujahan yang bertubi-tubi dari sahabatnya itu.Dia tahu Yazid lebih berpengalaman dan matang darinya.
 Lama setelah pertelagahan itu terhenti sehinggakan masing-masing tidak mahu menawarkan diri untuk mengalah.Memandangkan apa yang berlaku tadi berpunca darinya,akhirnya Meor menyabarkan diri Yazid yang mulai resah apabila keputusan dirinya telah digugah.Dalam pada itu Meor turut memahami betapa sahabatnya itu mungkin tidak mahu mengulangi perpisahan kali kedua.
Jam ditangannya sudah menunjukkan pukul sepuluh malam.Masih terlalu awal bagi Yazid mengambil keputusan untuk pulang. Ketika melewati pintu besar kompleks itu untuk langsung menunggu bas mini, dia menyedari rupanya mereka langsung tidak membeli apa-apa.
Window shopping!,fikirnya lagi seperti turut menyesali sesuatu atas apa yang telah terjadi. 

No comments:

Post a Comment

Blog Archive