Gunung di Perancis dipercayai tempat UFO muncul pada 'hari kiamat'
GAMBAR fail menunjukkan Gunung Pic de Bugarach di Bugarach,
selatan Perancis.
PARIS -
Gunung Pic de Bugarach setinggi 1,230 meter di selatan Perancis dipercayai
merupakan satu-satunya tempat di dunia yang akan selamat daripada 'hari kiamat'
pada 21 Disember depan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Tarikh 21 Disember itu merupakan
ramalan yang dibuat berdasarkan kalendar penduduk Maya yang bermula pada 3114
Sebelum Masihi.
Beberapa filem dokumentari dan
laman web meramalkan bahawa berdasarkan kalendar penduduk Maya di Amerika
Tengah itu, 'hari kiamat' akan berlaku pada 21 Disember depan.
Ramalan itu dibuat kerana
kalendar Maya itu berakhir pada tarikh tersebut.
Menurut pihak yang percaya
tentang 'hari kiamat' itu, sejumlah makhluk asing dan sebuah objek terbang
tidak dikenali (UFO) akan muncul.
Golongan itu percaya 'garaj kapal
angkasa' terdapat di kawasan pergunungan itu dan menyelamatkan golongan yang
mempercayainya.
Pekan Bugarach kini menjadi
popular dalam kalangan orang yang mempercayai bahawa kiamat akan berlaku pada
tarikh tersebut.
Datuk Bandar Bugarach, Jean
Pierre Delord bimbang ramai orang akan tiba di bandar kecil itu.
Kawasan di sekitar Bugarach hanya
didiami seramai 180 orang.
Polis dan tentera telah
dimaklumkan untuk berdepan dengan bilangan orang yang ramai yang dijangka tiba
di bandar berkenaan.
Menurut kalendar Maya itu, sebuah
planet akan merempuh Bumi pada 21 Disember depan dan dipercayai akan
menyebabkan 'hari kiamat' berlaku. - Agensi
No comments:
Post a Comment