Mari menyusun seroja
Bunga seroja
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja
Puja lah ia sekadar Oh sekadar saja
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Mengapa kau bermenung
Oh adik berhati binggung
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Lupakan saja asmara
Pada asmara...
Mari menyusun seroja
Bunga seroja
Hiasan sanggul remaja
Puteri remaja
Rupa yang elok
Di manja jangan dimanja
Puja lah ia sekadar
Oh sekadar saja
(S. Effendy)
Selamat datang ke 'Gua Rahsia'.Tuan-tuan dan Puan-puan!...di sini terdapat
beberapa peti.Peti-peti ini telah disimpan di sini sejak sekian lama,tetapi
awas!ada pihak yang mahu mengambil peti ini dan menyimpannya di tempat
mereka.Mari kita lihat peti-peti ini.
Peti yang bertanda 'Bangsa Gunung' telah dibuka.Anda sudah tahu apakah isinya
dan mengapa bangsa misteri digelar dengan bangsa gunung atau bangsa Tanah
Tinggi oleh bangsa-bangsa lain.Anda juga boleh menggelar mereka 'Highlander'
aha...jika anda mahu.Lihat peti sebelah kiri,peti ini berlabelkan 'Laut'.Ini
adalah petunjuk jika kita mahu mengenali karakter bangsa misteri.Bangsa yang
menyebar di kepulauan sudah tentu mempunyai kemahiran kelautan yang
tinggi,perbintangan dan arah angin serta ilmu membina kapal-kapal.Bangsa kelautan
(maritim) juga sudah pasti berinteraksi dengan bangsa-bangsa lain dan
bertukar-tukar pengetahuan dan budaya.
Ada sekumpulan peti yang terletak di atas batu leper.Peti yang pertama
berlabel, 'Abraham dan Keturah'.Ini adalah nama sepasang suami isteri yang
dikaitkan dengan bangsa misteri.Peti sebelahnya bertanda 'Parsi dan
Sumeria'.Peti ini jika dibuka akan ditemukan helaian-helaian berlabel 'Vedic'
dan 'Aryan'.Peti yang dihadapannya berlabel 'Emas',dan jika dibuka anda akan
tahu mengapa Nabi Sulaiman (King Solomon) sanggup menghantar delegasi mencari
emas terbaik di sini dan mengapa raja-raja Melayu Srivijaya mampu mengeluarkan
syiling-syiling emas sebagai matawang.Terdapat beberapa peti yang lain,yang
kita akan pergi melihatnya kelak,tetapi mari kita buka satu peti ini,yang
terletak terasing sedikit di sudut pintu gua.
Peti ini mempunyai ukiran bunga melur yang indah di atasnya.Peti ini berlabel
'Wangi-wangian'.
RAHSIA DARI WANGI-WANGIAN
"Dang Nila memangku
puan
Berembang buah pedada
Adakah gila bagimu tuan
Burung terbang dipipiskan lada
(Bunga Tanjung Biru -Sejarah Melayu)
Untuk membicarakan sejarah Melayu,kita tidak seharusnya mengongkong diri dengan
sempadan geografi.Kita mesti berfikir secara global.Atau lebih tepat secara
Alam Melayu.Atau secara 'Nusantara'.Dahulu,beratus tahun atau beribu-ribu tahun
dahulu tiada apa yang dinamakan 'Malaysia' atau 'Indonesia' atau 'Brunei' atau
sebagainya.Yang ada ialah Alam Melayu atau Nusantara.Perkataan 'Melayu' itu
sendiri diketahui oleh bangsa-bangsa lain seperti yang terdapat dalam arkib
Sanskrit dan Tamil,Parsi,China dan Eropah menunjukkan bangsa ini telah lama
bertamadun dan yang penting mereka tahu bahawa budaya,bahasa dan tempat tinggal
mereka adalah sama iaitu Alam Melayu yang meliputi Benua Siam
(IndoChina),Semenanjung dan kepulauan Melayu merangkumi pulau-pulau
Indonesia,Filipina sehingga ke Taiwan dan mencapai pulau-pulau selatan
Jepun,pulau-pulau kecil di lautan Hindi hingga mencapai Madagaskar.Perkataan
'Nusantara' pula setakat ini diketahui dikesan dalam Sumpah Palapa yang diucap
oleh Gajah Mada iaitu Mahapatih Majapahit (Menteri Besar) bagi kerajaan
Majapahit (1334-1359)
"Sira Gajah Madapatih Amangkubhumi tan ayun amuktia palapa, sira
Gajah Mada: "Lamun huwus kalah nusantara isun amukti palapa, lamun kalah ring Gurun, ring Seran, Tañjung Pura,
ring Haru, ring Pahang, Dompo, ring Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, samana
isun amukti palapa".
(Gajah Mada Mahapatih Majapahit)
Maksudnya:Beliau Gajah Mada Patih Amangkubumi tidak ingin melepaskan
puasa.Beliau Gajah Mada, "Jika telah mengalahkan Nusantara, saya (baru akan)
melepaskan puasa. Jika mengalahkan Gurun, Seram, Tanjung Pura, Haru, Pahang,
Dompo, Bali, Sunda, Palembang, Tumasik, demikianlah saya (baru akan) melepaskan
puasa".
Gajah Mada adalah seorang negarawan ulung Alam Melayu ketika itu.Istilah
'Nusantara' yang disebut olehnya menunjukkan bahawa kata ini telah digunakan
sejak sekian lama di seluruh kepulauan Melayu.Bangsa Malai yang mendominasi
Nusantara terdiri daripada etnik-etnik Mala-Aborigine;mereka biasanya berambut
kerinting,berkulit gelap,bertubuh pendek dan tinggal di pinggir-pinggir hutan
dan bukit.Sebahagian besar mereka tinggal di kepulauan Melayu hingga ke Pasifik
seperti Hawaii,Papua dan Easter. Kemudian etnik-etnik keJawaan;mereka ini
berkulit sawo matang dan bertubuh tegap.Ada di antara mereka memiliki mata yang
kecil.Mereka adalah etnik Mala yang rajin dan suka mendominasi
sesuatu.Selebihnya ialah etnik Malai Polinesian iaitu etnik yang agak terbuka
identiti etnik mereka.Warna kulit mereka pula bervariasi dari yang gelap,sawo
matang,kuning langsat sehinggalah cerah.Mereka ini agak terbuka dengan bangsa
asing yang ingin mengenali mereka dan bersikap peramah.Melayu Kedah (termasuk
etnik semenanjung yang lain),Acheh,Cham,Siam,Pattani dan Bugis (sekadar
menyebutkan beberapa contoh) adalah tergolong dalam kelompok ini.Mereka amat
mementingkan kostum dan hias-hiasan pada tubuh mereka.Mereka juga digelar kaum
Tanah Besar kerana majoriti mereka tinggal di semenanjung hingga ke Segenting
Kera dan sejauh Indochina sehingga mencapai Yunnan,dan sebahagian yang lain ada
yang tinggal di kepulauan seperti di Borneo dan Sulawesi.Ini adalah sekadar
kategori sahaja berdasarkan cara hidup dan perubahan geografi yang merubah
etnik-etnik Mala ini di The Land of The East.Hakikatnya mereka adalah dari
rumpun yang sama iaitu NUSANTARA.
Bangsa Mala yang tinggal di kepulauan sudah semestinya berasal dari Tanah Besar
juga,tetapi terdapat tiga kemungkinan,
1.Sama ada mereka berasal Tanah Kanaan,menuju ke Himalaya,merentasi Sungai
Mekong hingga ke Yunnan seterusnya menurun ke Benua Siam (Indochina) dan
belayar ke Kepulauan Melayu.Rujuk Teori Ibrahim-Keturah
2.Atau dari Tanah Kanaan,mereka menuju ke arah laut dan belayar hingga ke
kepulauan Melayu.Rujuk Teori Pelayaran Raja Mus.
3.Mereka sememangnya tinggal di daratan Tanah Besar tetapi perubahan geografi
menyebabkan Tanah Besar terpisah-pisah menyebabkan terjadinya pulau-pulau.Rujuk
Teori Lemuria dan pencairan ais ketika berakhirnya Zaman Ais serta Teori
Hanyutan Benua.
Perkataan 'Mala' adalah kata yang diambil dari satu manuskrip kuno (scriptures)
yang menceritakan kehidupan,perjuangan untuk hidup dan peperangan yang terjadi
di Nusantara beribu tahun dahulu.'Mala' sebenarnya bermaksud 'bunga' atau
'haruman'.'Mala' adalah asas bagi nama bunga Melati dan Melur;dua bunga yang
menjadi lambang yang bertahap 'cult' dalam mistik dan kesusasteraan Melayu.Nama
gadis-gadis Melayu purba kerapkali diberi nama Melati atau Melur,menunjukkan
nama dua bunga ini adalah nama yang tertua dan terkenal sekali di kalangan
bangsa Mala.Perkataan Mala adalah nama asli bangsa ini,ketika di sebelah
Parsi-Sumeria,bangsa ini digelar Mala-Ur atau negeri Mala/kaum Mala,tidak
hairanlah sarjana Tamil atau Sanskrit Purba menamakan bangsa ini sebagai
Malai-Ur atau Malayur,ini kerana sudah tentu mereka mengambil nama ini dari
manuskrip Sanskrit dan Avesta kerana bangsa Aryanlah yang membawa budaya Vedic
dan warisan ilmu pengetahuan dan kesusasteraan ke Benua Kecil India.Perhatikan
kata Mala-Ur ini berubah menjadi Melur di lidah orang Melayu.Para sarjana China
Purba pula menamakan bangsa ini Mo-Lo-Yue dan kata ini berasal dari kata
Ma-La-Yu.'Mala-Yu' adalah nama yang diberi oleh raja-raja Babylon dan Assyria
kerana -Yu adalah suffix dalam bahasa kuno Avesta yang merujuk kepada
budaya,pemikiran seterusnya kaum itu sendiri.Gadis yang bernama Mala,Melur atau
Melati adalah lambang gadis suci yang penuh sopan-santun dan adat Melayu
ketimuran.
Dari sukukata 'Mala',bangsa purba memberikan pelbagai panggilan dengan
penambahan suffix yang berbeza.
Bunga,haruman dan wangi-wangian adalah salah satu kod rahsia bangsa
misteri.Jika kita ingin mengenali bangsa ini,kita perlu tahu apakah
signifikannya perlambangan bunga dan wangi-wangian kepada bangsa Melayu.Bangsa
misteri ini telah sekian lama menghasilkan wangi-wangian untuk tujuan
perubatan,mistik atau mengawet sesuatu.Bangsa misteri selain menggunakan
bunga-bungaan,sering juga menggunakan rempah-rempah untuk mewangikan ruangan
rumah atau balai.Mengapa kerajaan-kerajaan Eropah berlumba-lumba mahu menguasai
Selat Melaka?Antara faktor terbesar ialah untuk menguasai perdagangan
rempah.Rempah-ratus adalah bahan yang penting untuk memanaskan tubuh,sebagai
ubat-ubatan dan resepi masakan.Dan perdagangan rempah sebenarnya telah dikuasai
oleh pelabuhan-pelabuhan Melayu.Mengapa?Pada zaman dahulu ketika para pedagang
Eropah mendapat bekalan rempah dari pedagang India dan Arab,mereka
tertanya-tanya dari manakah para pedagang Arab dan India ini memperolehi bekalan
rempah ini dalam jumlah yang banyak.Ini membuatkan mereka berusaha untuk
mengetahui sumber segala rempah ratus ini dan berharap dapat menguasai tempat
di mana rempah-rempah ini didapati.
Rempah adalah satu bahan
yang penting dalam kehidupan mistik di dalam istana Firaun dan rahib-rahib
Judea Kuno.Para ahli sihir Firaun adakalanya menaburkan rempah-rempah di dalam
persembahan sihir mereka kerana bau rempah-rempah yang harum dan beraroma ini
menimbulkan sensasi dan mengkhayalkan;membantu mereka dalam kerja-kerja sihir
mereka.Para rahib Judea (Kerajaan Yahudi Kuno,selain kerajaan Samaria)
kerapkali membakar kemenyan;salah satu campuran rempah dalam bentuk getah
pepejal untuk melengkapkan ritual mereka.Pokok Kemenyan (Styrax benzoin Dryand)
adalah pokok yang biasanya ditemui di Kepulauan Melayu.Sebab itu para Firaun
secara rahsia mengimport rempah-ratus dan kemenyan dari Kepulauan Melayu.Di
Kuil Hatshepshut,ada terukir kisah-kisah pelayaran delegasi Firaun ke
Nusantara,dan terdapat ukiran pohon-pohon besar yang amat rendang seperti yang
terdapat pada pokok Jati,Keruing atau Merapoh.Pohon-pohon besar ini juga ada
yang dibawa ke Mesir untuk di tanam di sana.Kemenyan dan rempah sememangnya
diketahui hanya didapati dari Nusantara.
Kemenyan dalam bahasa Inggeris
ialah Benzoin Resin,dan resin bermaksud damar atau getah kemenyan itu.Perkataan
'Benzoin' (banjawin,benjamin) berasal dari bahasa Arab iaitu 'lubban
jawi'.Perkataan 'jawi' adalah nama tempat itu diambil iaitu Tanah Jawi,dan ini
adalah fakta bahawa para pedagang Arab sedar dari mana kemenyan berasal iaitu
sebagai contoh dari Sumatra (S.Benzoin -Sumatra benzoin),Benua Siam (S.
tonkinensis -Siam benzoin) dan Jawa (Javan frankincense).'Lubban' adalah nama
Arab bagi wangi-wangian pepejal.Pada masa dahulu di Timur Tengah,wangi-wangian
pepejal tempatan diperbuat dari campuran bunga-bungaan dan diproses menjadi
pepejal yang wangi.Namun kemenyan dari 'Jawi' ini adalah 'lubban' yang terbaik
dan memiliki kasta tertinggi dan kerap dijual dengan harga yang mahal kerana
wangian kemenyan ini bukan berasal dari bunga-bunga tetapi getah resin (damar)
asli yang sedia berbau wangi.
Rempah-ratus juga digunakan
untuk upacara mengawet mayat.Mumia-mumia Firaun diawet dengan menggunakan
rempah-ratus ini dan segala rempah-ratus ini terutamanya kapur barus dipercayai
diimport melalui pelabuhan yang terletak di Barus,di Sumatera Utara.Kemenyan
juga dikesan penggunaannya di dalam budaya Yahudi Kuno di dalam ritual-ritual
mereka termasuk menyambut kelahiran bayi dan segala bekalan kemenyan ini di
dapati dari Nusantara.
Sebab itu apabila apabila seorang gadis dari Nusantara telah disunting
oleh seorang lelaki terhormat dari Tanah Kanaan,sumber-sumber Judeo-Sumeria
menggelarkan gadis itu Keturah,atau 'kemenyan/wangi-wangian' dalam bahasa
Ibrani menunjukkan nama sebenar gadis itu kemungkinan adalah 'Melur','Melati'
atau 'Damar Wangi' dalam sebutan Nusantara.
Sebelum kita meneruskan topik yang semakin menarik dan misteri ini,mari
kita telusuri beberapa jenis bunga yang popular dalam masyarakat Melayu.
Bunga Kemboja
Bunga Kemboja (Plumeria
acuminata, famili Apocynaceae),adalah salah satu bunga purba yang dihormati
bangsa Mala.Bunga ini adalah bunga yang kerapkali kita jumpa di
perkuburan-perkuburan Melayu.Ini menunjukkan terdapat warisan ritual
bunga-bungaan pada masa silam yang masih berbaki dalam masyarakat moden Melayu
hari ini.Bunga Kemboja berwarna putih dengan pusat bunga berwarna kuning
keemasan.Pokok ini sememangnya banyak ditanam di halaman candi (di Tanah Jawa)
dan kawasan kubur.Kehadiran bunga Kemboja di perkuburan Melayu amatlah
mengundang perasaan aneh dan misteri.Adakah bunga ini melambangkan kematian
atau kehidupan selepas mati?Di Bali,Tarian Legong Keraton tidak akan lengkap
tanpa bunga ini.Bunga ini selalu dipakai di telinga penari semasa upacara
tarian itu berlangsung.Di Jawa pula, bunga Kemboja dilarang ditanam di halaman
rumah kerana bunga ini boleh menimbulkan kesan seram seperti suasana kubur dan
juga boleh mengundang roh jahat yang akan mengganggu ketenteraman penghuni
rumah. Ada juga sebahagian masyarakat yang percaya bahawa mereka yang berjaya
menemukan bunga Kemboja yang berkelopak genap (6 helai) akan mendapat rezeki.
Di Hawaii (nenek moyang mereka adalah dari Proto Mala), kalungan bunga Kemboja
dipakai untuk menyambut tetamu.Nama kerajaan purba Melayu yang membina Angkor
Wat diambil dari nama bunga ini.Sememangnya Angkor Wat asalnya adalah istana
kota bangsa Mala sebelum diduduki oleh etnik Khmer dan mula menambah di
sana-sini mengikut kepercayaan Buddha mereka.
Bunga Cempaka
Bunga Cempaka (Allamanda
family Araceae) adalah juga salah satu bunga yang mendapat tempat pada budaya
dan kesusasteraan Melayu purba.Bunga ini selalu juga digunakan di dalam
seloka,gurindam dan juga prosa Melayu dahulukala.Bunga cempaka adalah bunga
yang cantik.Tidak hairanlah terdapat manuskrip Melayu dinamakan Cempaka Sari
dan nama kerajaan purba Melayu dahulukala juga di ambil dari nama bunga
ini.Tumbuhan bunga ini mempunyai kelebihan dari segi perubatan.
Bunga cempaka kuning, khasiatnya adalah sesuai untuk wanita selepas bersalin,
kencing tidak lawas dan demam selsema.Cemnpaka putih pula sesuai untuk merawat
pitam,bisul atau radang tengkuk.
Bunga Kenanga
Bunga Kenanga (Canangium
odoratum, famili Annonaceae) sangat sesuai ditanam di halaman rumah kerana
ianya dapat menolak `black magic` seperti terkena buatan orang. Bunganya yang
berbau harum digunakan untuk membuat bunga rampai atau dipakai semasa upacara
adat tertentu.
Pokok kenanga merupakan pokok yang besar setinggi 38m dengan diameter
batangnya 1m. Pokok kenanga yang ditanam untuk tanaman hiasan biasanya setinggi
1 hingga 2 m.
Bunga kenanga berwarna hijau kekuningan, tidak begitu menonjol dan tumbuh
berkelompok yang terdiri daripada 6 hingga 10 kuntum pada satu tangkai. Kelopak
bunga ini berbentuk pita yang agak terpilin sepanjang 5 - 10 cm.
Bunga Melati/Melur
Bunga Melati (Jasminum
sambac, famili Oleaceae) telah dinobatkan sebagai bunga rasmi Indonesia oleh
Presiden Soeharto pada 5 Julai 1990.Bunga ini merupakan simbol kepada kesucian,
ketulusan dan kebersihan hati.Bunga Melati juga antara bunga yang menjadi
lambang kemelayuan purba dan banayak hikayat yang menyebut nama bunga ini dan
nama wanita yang dikaitkan dengan bunga ini juga adalah perkara biasa.
Melati sangat popular dalam kehidupan masyarakat Melayu, Betawi, Jawa, Sunda,
Madura dan Bali kerana ianya dianggap melambangkan kesuburan, kesejahteraan dan
kemakmuran.Pengantin tanpa lilitan untaian Melati pada keris yang dipakainya
akan dianggap kurang sempurna pernikahannya.
Ibu-ibu yang mempunyai air susu yang kurang boleh menjadikan Melati sebagai
ubatnya.Melati yang sudah digiling hendaklah disapu pada buah dadanya agar air
susu yang dihasilkan bertambah banyak.
Melati dapat dibezakan kepada 2 jenis berdasarkan kepada mahkota bunganya,
iaitu yang berbunga tunggal dan berkumpulan. Bunga Melati berwarna putih dan
berbau harum.
Bunga Kemuning
Bunga Kemuning (Murraya
paniculata famili Rutaceae) merupakan pokok yang setinggi 3 – 7 m, berbatang pendek,
berdaun rimbun dan memberi manfaat sebagai tanaman pagar. Tanaman ini berbunga
terus-menerus sepanjang tahun. Warna bunga ini pada peringkat awal ialah
kehijau-hijauan dan setelah mekar penuh ianya bertukar menjadai putih bersih.
Daun dan bunganya jika digiling halus dan disapukan pada badan, akan membuatkan
seseorang wanita lebih cantik dan berkulit kuning bersih. Kayunya yang berwarna
kuning agak kecoklatan merupakan bahan yang sesuai untuk membuat sarung keris.
Bunga Seroja
Bunga Seroja (Nelumbo
nucifera famili Nelumbonaceae) adalah bunga yang sering menjadi lambang dalam
agama Buddha.Seroja sering terkeliru dengan bunga yang hampir sama dengannya
iaitu Bunga Teratai.Bunga Seroja ditakrifkan sebagai lambang kebijaksanaan dan
pencerahan.Adalah dipercayai,Bunga Seroja dibawa ke Mesir melalui
ekspedisi-ekspedisi raja dan ratu Mesir ke Nusantara.Seroja sering dilihat
sebagai bunga yang disucikan dan dihormati oleh agama misteri Firaun dan motif
bunga ini diukir di dinding kuil selain ditanam di taman-taman diraja.Dari
Mesir,bunga ini disebarkan ke Assyria,seterusnya ke Parsi,India dan China.
Bunga Teratai
Bunga Teratai (Nymphaea
famili Nymphaeaceae) sering dikelirukan dengan bunga Seroja.Seroja memiliki
tangkai bunga tegak dan bunganya tidak mengapung di permukaan air, sebagaimana
pada teratai.Pada zaman dulu, orang memang sering mencampuradukkan antara
tanaman 'genus Nelumbo' seperti seroja dengan 'genus Nymphaea' (teratai). Pada
bunga jenis Nelumbo, bunga terdapat di atas permukaan air (tidak mengapung),
kelopak berwarna merah (teratai berwarna putih hingga kuning), daun berbentuk
lingkaran penuh dan rimpangnya biasa digunakan.Jika Seroja amat rapat dalam
menerangkan pencerahan dan kebijaksanaan dalam agama Buddha,apabila umat Melayu
menerima Islam,bunga Teratai menjadi ganti menerangkan falsafah yang kompleks.
Bunga Teratai menjadi
perlambangan kepada ajaran Islam dan konsep ketuhanan sebagaimana kajian
seorang pengkaji,Abdullah Bin Mohemed (lahir 1931) tentang konsep bunga Teratai
di Alam Melayu:
Bagi tingkat ketuhanan tangkai adalah adalah lambang Zat Allah
yang kuat berpegang kepada sekuntum bunga. Zat Allah yang
dimaksudkan ialah Zat Allah yang berada pada “Tingkat al-Ahadiyah”.
Bila terjadi perdampaan di antara dua sifat Jamal dan Jalal maka lahirlah
seketul “kudup” bunga teratai, Ketika ini tangkai itu menjadi ghaib dan
wujudnya bersama kudup.
Kudup adalah melambangkan “Hakikat Muhammadiyah” yang
mula-mula lahir dalam alam hakikat, sebelum lahirnya hakikat-hakikat
segala sesuatu. Sebagaimana pada diri Hakikat Muhammdiyah terhimpun
hakikat-hakikat segala sesuatu, begitu juga pada kudup yang kuncup itu
terhimpun segala kelopak, stamen, rahim bunga, stigma dan lain-lain.
Selepas segala kelopak berkembang, segala stamen terbuka dan
segala-galanya wujud beberapa banyak, menjadi sekuntum bunga yang
berkembang. Bunga yang berkembang dari hakikat-hakikat segala sesuatu
yang terkeluar dari diri Hakikat Muhammadiyah.
Bagi lambang kejadian alam dalam tingkat kealaman, menurut
Abdullah,zat Tuhan kepada tangkai adalah sifat alam kejadian, apabila
berlakunya kejadian maka lahirlah kudup bunga teratai. Ketika itu tangkai
akan ghaib dan wujud bersama kudup. Kudup adalah melambangkan
manusia atau alam kecil yang mula kelahiran sebelum lahirnya alam besar.
Bagi tingkat kealaman ini Kudup bunga adalah sebagi lambang ‘Nur
Muhammad’. Sementara Sekuntum bunga teratai yang berkembang adalah
sebagai lambang alam besar. Setiap kelopak bunga itu adalah
melambangkan tiap-tiap peribadi makhluk.
Abdullah juga dalam kajian falsafah Teratai menyatakan bahawa bunga teratai
adalah
lambang kejadian alam dan lambang bentuknya adalah suatu amalan
tradisi yang lama dalam masyarakat Melayu. Penggunaan motif atau
bunga teratai digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Menurut
beliau sejak zaman raja Ahmad bentuk bunga teratai digunakan dalam
upacara tradisi dan mempunyai makna-makna tertentu.
Bunga telah lama menjadi tradisi bangsa Melayu.Amalan menabur bunga di
perkuburan bukanlah ikut-ikutan budaya orang lain malah ini adalah budaya
Melayu kuno zaman-berzaman.Amalan mandi bunga juga adalah salah satu rahsia
perubatan orang Melayu lama sebelum terapi bunga-bungaan ditemui oleh orang
Barat.Mandi Bunga memang merupakan ritual orang Melayu tradisonal yang
mempunyai unsur-unsur yang sudah bercampur-aduk antara kepercayaan Dinamisme,
Hinduisme dan ‘Popular Islam’. Dinamisme ialah kepercayaan adanya ‘tenaga tak
berperibadi’ dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, benda-benda hidup,
perkataan yang diucap atau ditulis, tanda-tanda yang dirakamkan dan
sebagainya.Dalam bidang antropologi, tenaga ini juga biasa disebut sebagai
‘mana’, dengan meminjam istilah rumpun suku Polynesia. Ia dikenali sebagai
‘sahala’ oleh orang Batak dan ‘kesakten’ oleh orang Jawa.
Di kalangan orang Melayu tradisional, ‘mana’ dikenali sebagai ‘semangat’
seperti yang difahami oleh mereka dalam insiden ‘lemah semangat’, ‘kus
semangat’ dan sebagainya. ‘Mana’ bagi golongan tertentu mempunyai gelaran yang
khusus. ‘Mana’ bagi raja-raja dikenali sebagai ‘daulat’ dan ‘tulah’. Sedangkan
‘mana’ bagi para ahli agama baik golongan pawang dan dukun pada zaman
Dinamisme, sami dan pendita pada zaman Hinduisme-Buddhisme, mahupun alim-ulama’
pada zaman Islam, dipanggil sebagai ‘berkat’ dan ‘keramat’.
Salah satu ramuan Mandi Bunga ialah limau yang dianggap dapat menjauhkan segala
makhluk jahat.Limau bersama-sama sirih pinang adalah merupakan bahan utama
untuk pelbagai kepercayaan dan ritual orang Melayu tradisional. Sebagai contoh:
1. Air tepung tawar yang ‘asasnya’ terdiri daripada campuran air, bahan-bahan
lain dan limau purut yang dihiris.
2. Limau nipis digunakan sebagai pengeras bagi pelajar silat dan perubatan
tradisional. Limau purut pula diperah dan dicampurkan dengan air bagi mengubat
penyakit terkena buatan orang.
3. Upacara ‘mandi-mandi’ atau ‘berlimau’ diadakan dalam pakej adat perkahwinan
Melayu tradisional iaitu selepas kedua-dua pengantin bersatu. Pengantin akan berpakaian lengkap dan duduk di bawah naungan kain yang
diregangkan dengan pegangan dua orang di kiri dan kanan. Air dan campuran
limau, sintuk dan lain-lain ramuan akan dijiruskan daripada atas menerusi kain
tersebut.
4. Di Perak, mandi tolak bala dilakukan dengan menggunakan hirisan buah limau
nipis yang digosok-gosokkan ke badan seperti mana sabun. Selepas itu, barulah
sambungan kepada perkara-perkara yang dilakukan dalam ritual tersebut akan
dilanjutkan.
5. Dalam upacara berdoa’ dan memanggil semangat padi di Sungai Dacing,
Lenggeng, Negeri Sembilan; pawang akan ‘menawarkan’ limau-limau yang disediakan
dengan cara menepung tawar, menjampi dan meludahnya sebanyak tiga kali. Selepas
itu, limau akan dipotong-potong dan dibawa ke sawah untuk ditempatkan di tapak
semaian padi, agar padi subur dan selamat dari bencana.
6. Wujud juga pantang-larang berkenaan limau dalam kehidupan orang Melayu
tradisional. Salah satu daripadanya ialah larangan membawa limau purut jika
mandi di sungai, nanti dibaham buaya. Kononnya buaya amat marah dan mungkin
mengganas kerana buah limau itu menyerupai bonjol di atas kepalanya dan
berhubung kait pula dengan asal usul kejadiannya.
Daun, bunga dan limau dengan sifat-sifat tertentu (misalnya daun bertemu urat
dengan warna tertentu) dan bilangan tertentu (misalnya tujuh jenis bunga
dipetik ketika pagi masih berembun), ditambah dengan mantera yang dibaca oleh
bomoh akan mendatangkan ‘mana’ yang akan membawa manfaat yang diinginkan. Oleh
yang demikian, unsur kepercayaan Dinamisme dalam amalan Mandi Bunga dapat
dikesan apabila ramuan mandi yang telah mempunyai ‘mana’ tersendiri disatukan
bagi membentuk gabungan ‘mana’ yang baru pula. Hasil daripada kewujudan ‘mana’
baru yang ‘lebih bertenaga’ ini, maka dipercayai kononnya ‘mana’ pada orang
yang melakukan Mandi Bunga juga akan menjadi lebih kuat, berupaya menghalau
segala sial dan sihir, serta mampu menarik lebih banyak tuah dan keuntungan.
Bau-bauan yang wangi dalam amalan Mandi Bunga ini juga dipersembahkan kononnya
sebagai bahan pengorbanan kepada makhluk-makhluk halus yang akan membantu
mengambil hati mereka. Maka apabila perbuatan ini dilakukan, makhluk halus yang
jahat dan membawa sial akan meninggalkan diri pihak yang melaksanakan amalan
Mandi Bunga itu. Makhluk halus yang baik pula dipercayai akan menggantikan
tempat yang dikosongkan oleh makhluk halus yang jahat tadi dan sekaligus
membawa manfaat kepada pihak tersebut.
Orang Melayu memang rapat dengan bunga dan tahu rahsia dan kekuatan setiap
bunga-bungaan tersebut.Jika kita lihat halaman rumah orang Melayu di
kampung-kampung,kita akan dapati pelbagai jenis bunga biasanya ditanam oleh
orang-orang Melayu di halaman rumah.Gadis-gadis Melayu secara amnya memiliki
naluri untuk menanam bunga di halaman rumah selepas berumahtangga walaupun
tinggal di perumahan yang sesak atau di flet-flet.Setiap petang gadis-gadis
Melayu ini tidak lupa untuk menyiram bunga-bungaan mereka ini yang ditanam di
pasu-pasu mahupun ada yang tergantung.
Lambang bunga juga
dijadikan simbol kerajaan Melayu Purba,malah menjadi motif bagi nisan raja-raja
besar mereka.Bunga Teratai dan Seroja selalu dipilih untuk menghiasi bahagian
atas nisan-nisan raja-raja Melayu.
Pada pintu gerbang kota
juga lambang bunga dipahat dan terdapat juga lambang bunga di meriam-meriam
Melayu dahulukala.Kegemaran bangsa Melayu menjadikan bunga sebagai lambang
kerajaan mereka diwarisi oleh Indonesia yang menjadikan Bunga Melati sebagai
bunga kebangsaan manakala Malaysia memilih Bunga Raya sebagai bunga rasmi
negara.
Kemenyan adalah lambang
ritual masyarakat Melayu.Dunia kedukunan Melayu tidak sah jika tidak
menyertakankan wangi-wangian ini.Selain dijadikan alat perbomohan,kemenyan
digunakan di istana-istana raja sebagai 'perfume' dan ia selalu dibakar di
dalam dupa-dupa berkerawang yang indah buatannya.Jika colok menjadi lambang
ritual dan keagamaan bangsa Cina,kemenyan adalah lambang ritual dan dunia
mistik Melayu.Amalan membakar perasap dalam amalan Hindu sebenarnya berasal
dari Nusantara kerana pedagang India mendapatkan bekalan kemenyan terbaik dari
Nusantara.Ini tidak menghairankan jika pembaca memahami hubungan terahsia orang
Melayu dengan budaya Vedic,Brahmin dan agama Ibrahim yang di bawa ke Benua
India beribu tahun dahulu.Bangsa Melayu yang diiktiraf sebagai berkasta Brahmin
dan Ksatria dalam agama Hindu akan dibincangkan dalam siri seterusnya.
Orang Melayu adalah bangsa bunga dan wangi-wangian,dan ini adalah karakter
misteri yang sukar ditelah oleh orang lain kecuali Melayu sendiri.Setiap orang
Melayu yang memahami rahsia bangsanya akan tahu rahsia ini.Hanya orang Melayu
mengenal rahsia Melayu.Gadis-gadis Orang Asli yang gemar menyelitkan bunga
dicelah telinga mereka mengingatkan rahsia yang terpendam dalam sejarah bangsa
Mala.Di dalam dunia mistik Melayu,bunga mendapat tempat yang teristimewa.Sebab
itu di dalam pengkisahan Tun Mamat di Gunung Ledang,penulisnya memilih
karakter-karakter makhluk bunga untuk menerangkan suasana mistik yang
menyelubungi Tun Mamat ketika di Gunung Ledang.Berada di taman bunga yang
misteri di tengah hutan rimba,akan menimbulkan suasana seram dan suara-suara
delusi di fikiran Tun Mamat:
Maka Tun Mamad pun naiklah dengan dua orang yang pantas berjalan
sertanya, naik ke Gunung Ledang itu. Setelah datanglah had buluh perindu, maka
Tun Mamad dengan dua orang yang naik itu, seperti akan terbanglah rasanya,
daripada sangat amat keras angin bertiup; maka awan pun seperti dapat dicapai
lakunya, dan bunyi buluh perindu itu terlalu merdu bunyinya, burung terbang
dengan suatu taman, terlalu indah perbuatannya. Maka Tun Mamad pun masuk ke
dalam taman itu, maka dilihatnya serba bunga yang ada di dalamnya pel¬bagai
jenis, dan buah-buahan yang ada di dalam dunia ini ada¬lah didalam taman itu,
sekaliannya lengkap dengan jambang¬annya, pelbagai rupa jambangannya
segala mergastua dan segala kayu-kayuan di dalam taman itu melihat Tun Mamad
datang, maka segala burung itu pun berbunyi, pelbagai bunyinya; ada yang
seperti orang bersyair, ada yang seperti orang berbait, ada yang seperti orang
berseloka, ada yang seperti orang bergurindam; maka limau manggar pun bersorak,
anggerik pun mengilai, delima pun tersenyum; maka bunga air mawar pun berpantun
serta berseloka, katanya:
"Asa-asaan gigi si Mambang, hendak makan ikan;
Dalam telaga lagi bertelur, sisiknya gilang gemilang."
Maka disahut oleh bunga tanjung, katanya:
"Dang Nila memangku puan,
Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
Burung terbang dipipiskan lada."
Maka dijawab oleh bunga telipuk:
"Kuning Ledang bagai dikarang,
Riang-riang disambar wakab;
Hairan memandang dunia sekarang,
Bayang-bayang hendak ditangkap."
Maka Tun Mamad 'pun hairanlah mendengar reneana taman itu, seraya berjalan ke
Terigah taman itu. Maka Tun Mamad pun bertemu dengan sebuah balai, semua
perkakasnya tulang dan atapnya rambut; di atas balai itu ada seorang perempuan
tua, baik rupanya, menyampai kain pendukung; empat orang perempuan muda-muda
mengadap dia. Maka ia bertanya pada Tun Mamad, katanya, "Orang mana kamu
ini, dan hendak ke mana kamu?" Maka kata Tun Mamad, "Kami ini orang
Melaka, nama hamba Tun Mamad, dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah meminang Puteri
Gunung Ledang, Lak¬samana dan Sang Setia ada di bawah gunung ini, tiada boleh
naik, akan hamba disuruhnya; dan tuan hamba, siapa nama tuan hamba?" Maka sahut perempuan itu,
"Nama hamba Dang Raya Rani, hambalah pengetua Puteri Gunung Ledang;
nantilah hamba di sini, biar hamba persembahkan segala kata tuan hamba itu pada
tuan puteri."
(Sejarah Melayu)
Jika kita ingin memahami rahsia bangsa Melayu dan segala alternya,'BUNGA' dan
'WANGI-WANGIAN' adalah katakunci (password) untuk membuka peti-peti yang
lain.Sememangnya bangsa Mala Proto di Nusantara dan Mala Deutro yang menetap di
sepanjang laluan ke The Land of The East a.k.a The Promised Land di mana mereka
tidak berniat untuk meneruskan perjalanan ke tanah nenek moyang mereka, tetap
berhubungan sama ada melalui budaya atau perdagangan.
Pada tahun 600 Sebelum Masehi,seorang raja Babylon kelihatan sedang duduk
termenung memikirkan satu masalah besar.Permaisuri barunya sudah 2 hari di
dalam keadaan murung dan bersedih.Adakalanya tidak mahu makan dan minum.Biarpun
dipujuk berkali-kali,namun permaisurinya itu yang bernama Amuhia,masih diam dan
bersikap dingin.
Akhirnya setelah disiasat oleh dayang-dayang diraja,barulah Bukhtannasar
(Nebuchadnezzar II) mengetahui sebab isteri barunya bersikap dingin.Isterinya
itu merindui kampung halamannya yang jauh.Maka selepas itu raja Babylon
Bukhtannasar pun memerintahkan ekspedisi-ekspedisi ke Timur untuk mengambil
pohon-pohon besar dan benih-benih bunga terpilih untuk ditanam di taman agung
yang dirancang olehnya.
Siapakah gadis misteri bernama Amuhia ini?Mengapa raja agung Babylon sanggup
membina Taman Tergantung Babylon semata-mata untuk menanam bunga-bunga
kesayangan gadis misteri ini?