Bab 2
1985
NOVEMBER adalah penghujung bulan persekolahan. Jumaat merupakan hari mulia bagi penganut agama islam. Jam 12 tengahari pula adalah waktu kemuncak bagi segala kesibukan. Simpang Pulai pula merupakan mukim paling besar dengan jumlah kepadatan penduduk melebihi 400 ribu orang. Majlis penyampaian hadiah bagi Sekolah Menengah Simpang Pulai sedang menghampiri detik-detik penantian.
Di dalam dewan, setiap calon pelajar dari seluruh tingkatan sedang menantikan satu keputusan yang paling mendebarkan. Sebagai seorang pengetua, Cikgu Sayuti sudah bersedia untuk membuat satu pengumuman terpenting.
“Pelajar terbaik tahun ini bagi seluruh tingkatan untuk sekolah ini telah jatuh kepada pelajar Zulaikha Binti Tarmizi”. Suara bergema seiring dengan tepukan gamat yang sedia menyangka.
Zulaikha tampil di hadapan pentas dengan wajah girang lantas menyambut trofi anugerah. Namun emosinya agak kacau dengan anak mata rimas mencari-cari wajah seseorang. Seorang bapa yang diharapkan untuk tampil menyaksikan kegemilangan itu masih belum menunjukkan muka. Seorang bapa yang masih mementingkan harta, pangkat dan kuasa melebihi kewujudan anak tunggalnya. Di sebalik kuntum senyuman, hatinya kegundahan. Pengiktirafan itu seolah-olah tidak dihargai oleh bapa sendiri.
Sebuah Mercedez hitam berkilat itu berhenti tepat di hadapan pintu pagar sekolah. Tarmizi keluar dengan tergesa-gesa sambil mendukung sejambak bunga pelbagai warna. Dia baru balik dari majlis perasmian kilang Hualon oleh Tan Sri Nooraiman.
Baru saja ingin memasuki dewan itu, langkahnya terhenti. Laksana lagak si lebai malang, majlis sudah pun bersurai. Ada beberapa orang sempat menegur Tarmizi kerana terlewat. Tarmizi tersenyum hambar. Matanya sedang mengintip gelagat Zulaikha mendukung piala setinggi semeter berwajah masam di sisi Zubaidah yang sengaja bermuram durja.
“Maafkan abah….abah terlupa betul, betul-betul terlupa…”, jelas Tarmizi dengan termengah-mengah. Jambangan bunga bagaikan ingin terlepas dari dukungannya. Memang dia betul-betul dilekakan dengan kerjayanya.
MALAM menjelang, Rajuk si gadis rupawan masih belum pudar. Dalam diam-diam, Tarmizi mengatur satu strategi untuk memujuk buah hati kesayangan. Fikirnya pula dengan keputusan itu akan meredakan sedikit rasa kecewa anaknya itu.
“Abah bercadang nak buat kenduri sikitlah..”
“Apalah abah ni..fasal itu pun nak buat kenduri…”
“Kenduri kesyukuran..kenduri sikir-sikit aje..”
“Bulan lepas baru buat kenduri…sudahlah begitu yang abah jemput rakan-rakan abah saja…jiran-jiran ajak-ajak ayam pun tak”
Itu suara anak tunggalnya sendiri yang berkali-kali memberikan komentar. Kalau anak-anak buahnya sudah tentu ditengking lama. Ura-ura sudah jelas nampak. Kelak dewasa ada kemungkinan mereka anak-beranak akan berada di garis fahaman politik yang berbeza.
“Abah kau sebenarnya nak tunjuk pada orang-orang kampung yang dia tu banyak duit…” sindir Zubaidah
“Betul cakap mak…lebih baik abah buat sedekah pada orang-orang fakir dan miskin..”
Zulaikha merebahkan kepala di peha kanan Zubaidah. Ibunya mengurut manja ubun-ubun Zulaikha. Tarmizi memerhatikan saja tingkah laku kedua beranak itu. Wanita melayu yang hanya tahu melontar komentar namun masih terperuk dalam tradisi yang sukar untuk maju.
“Mana ada orang miskin di kampung kita ini..”, bidas Tarmizi dengan yakinnya.
“Mana boleh tak ada….Bilal Atan kan susah hidupnya…Mak Senah Janda kan ramai anak yang nak ditanggungnya. .pendekata ramai lagi..” begitu pantas Zubaidah menjawap.
Tarmizi bingkas bangun dari kerusi sofa lantas berdiri di depan kaca TV 29 inci. Dia tersenyum sinis seraya mengeluarkan sebatang cerut lalu memanciskannya. Cerut berjenama Harvest itu memang amat digemarinya sejak remaja.
“Hah!….itu semua orang-orang yang malas nak bekerja..sebab itulah mereka nak makan pun tak ada duit, kahwin mahu, beranak mahu…kerja malas!”
“Malas ataupun tidak bukannya ada kena mengena dengan kita..yang penting kita dapat tunaikan tanggungjawab …tanggungjawab abang sebagai EXCO Pulai ini…jangan lupa tangungjawab kita sesama islam..”
“Aku mahu mereka semua rajin bekerja..barulah boleh berjaya…jangan nak hidup mengharapkan subsidi saja. Bangsa melayu takkan maju jika berterusan begitu…Tuhan pun benci kalau kita malas berusaha”
“Tapi kalau sakit macam mana nak bekerja..Haji Daud lumpuh akibat kemalangan …apa kerja yang boleh dibuat?”
“Orang cacat pun boleh membuat bakul rotan dengan kaki…”
“Hai! susahlah nak berlawan cakap orang pandai macam bapa kau Zue. Dia seorang saja yang betul dalam dunia ni…”
“Abah tak mahu beri hadiah ke?“soal Zulaikha pula kali ini.
“Nak hadiah apa?“
“Melancong ke...’
“Melancong ke mana lagi?..pulau ini dah banyak tempat pelancongan yang indah dan terkenal di Asia Tenggara..itu semua atas usaha keras Tan Sri Nooraiman “
“Maksud Zue..ialah melancong ke luar negara“
“Pulak?“
“Zue teringin sangat nak tengok negara orang. Kalau boleh nak tinggal sana lama-lama.“
“Zue, berhati-hati dalam percakapan. Jangan terlalu mengharap pada apa yang kita tidak mampu menunaikannya..“
Di hadapan mereka saluran televisyen sedang memaparkan satu dokumentari National Geographic. Paparan menunjukkan sekumpulan singa sedang menyerang hendap lalu memakan anak harimau bintang yang ditinggalkan ibunya. Dalam dunia haiwan yang serba buas tiada sesiapa pun yang selamat meskipun bergelar haiwan terpantas.
DI GOLDEN Country Resort, kabus masih belum terangkat lagi. Rumput-rumput peliharaan di padang golf itu masih belum kehijauan sepenuhnya.
Tarmizi sedang memulakan aksi terakhir sambil memfokuskan sasaran. Dia membuat pukulan ke arah lubang dari jarak 50 meter. Bola yang dipukul tersasar jauh lalu menyusup di celahan pepohonan. Oleh kerana gagal mencari semula bola lantas dia memarahi Caddy yang hanya tercegat diam.
“Next time u must see where the ball go..“, nasihat Tarmizi dalam bahasa inggeris pelatnya. Caddy berusia belasan tahun itu hanya tunduk terkedu. Melihatkan kebodohan itu Tarmizi terus menyepak punggung budak itu berkali-kali. Budak Caddy itu mengeluh kesakitan lantas sekadar merenung geram.
“Dasar budak tak sekolah!..Bodoh!!“
Tan Sri Nooraiman dan Hamzah ketawa terbahak-bahak melihatkan telatahnya.
“Kau kena banyak berlatih...jangan cepat salahkan orang lain..kasihan budak itu“ kata Tan Sri Nooraiman dengan nada berpura-pura.
”Bukan dalam selok-belok permainan golf saja, dalam politik pun sama“ sambung Hamzah pula.
Tamrin tersengih tanpa kata. Jika orang lain sudah tentu batang golf dihentamkan tepat di kepala. Baginya guru-guru itu perlu dihormati katanya. Dalam pada itu Tan Sri Nooraiman sibuk bercerita tentang pengalaman lawatannya ke Golden Gate Bridge, Twin Peak, Treasure Island dan Wax Museum.
DI PASAR Besar Pekan Tanjung Rhu , keriuhan pagi kian terasa. Matahari mula memancarkan sinar lembutnya. Zubaidah sedang membeli sayur-sayuran sambil ditemani orang gajinya kerana asar nanti mereka ingin membuat kenduri. Kenduri kesyukuran setelah Zulaikha dikurnia sebagai pelajar terbaik sekolah.
Dalam keasyikan memilih sayuran, dia disapa oleh Zaiton, isteri Imam Sufian. Masing-masing terus bertanya khabar meskipun sekampung namun jarang bersua muka.
“Bapa Zulaikha buat perangai pelik pula...tiba-tiba saja nak buat kenduri besar-besaran lepas asar, tengahari nanti baru nak jemput semua orang-orang kampung..“
“Amboi! baik hati nampak..“
Memang itu satu pujian namun hati kecil Zubaidah tidak menganggap begitu.
“Dah buang tebiat agaknya...selalunya 1 sen pun berkira..“
“Baguslah kalau dah berubah“
“Bila awak cakap begitu, rasa tak sedap hati pula..“
“Eh, kenapa pula?“
“Bimbang pula rasanya tinggalkan Zulaikha seorang diri..“
“Pulau kita ini aman dan tenteram....apa nak ditakutkan..“
Mendengarkan kata-kata Zaiton, Zubaidah terdiam sejenak. Dia terjelingkan kenakalan 2 orang budak lelaki yang asyik mengusik seorang remaja perempuan. Remaja perempuan itu memang cantik kerana itu menjadi tarikan. Kadangkala tarikan itu amat menakutkan.
GELAGAT Zulaikha begitu ceria sekali. Seperti biasa walaupun dihari cuti dia akan tetap bangun awal. Setelah mengerjakan suruhan Tuhan tanpa disuruh, dia terus menyapu halaman rumah sebagaimana kebiasaan sebelum menyiram sekebun bunga miliknya. Sesekali akan kedengaran lagu ‘tudung periuk’ berkumandang dari mulut perawan itu. Memang sungguh mengasyikkan. Sesiapa pun yang melihat aksi Zulaikha pasti akan tertanya-tanya namun lekas pula menemui jawapan.
Kelihatan Rokiah dan Habsah sedang berbual-bual di sempadan halaman berpagar, bercerita tentang barangan dapur yang kian naik harganya berikutan kenaikan harga minyak. Namun tiba-tiba saja topik bual bertukar pada diri Zulaikha apabila terhibur melihat telatah lincah anak gadis EXCO kampung mereka.
“Seorang aje?” soal Rokiah.
“Ya. Ibu dan orang gaji ke pasar…abah pergi main golf”
Setelah memberikan jawapan, Zulaikha meminta diri untuk masuk sebentar ke dalam.
“Zulaikha terlalu gembira…tidak seperti hari-hari sebelumnya..” Rokiah memulakan umpatan positif itu.
“Memanglah..sudah terima anugerah pelajar terbaik..mana tak sukanya…kalau anak aku…mesti aku lebih suka dari itu…”
“Tapi bapa dia memang betul-betul tak tahu bersyukur….aku pun macam tak percaya macammana bapa Zulaikha itu boleh jadi EXCO kampung kita ini…”
“Siapa yang pilih dia?..pasti salah seorangnya adalah kau “
“Selisih malaikat 44...entah-entah engkau..“
“Jauh panggang dari api..aku pun tak tahu macam mana si Tarmizi boleh menang setiap kali pilihanraya diadakan“
“Duit Habsah ooi..kalau ada duit…semua orang sokong..apatahlagi kalau budak-budak muda yang tak tentu arah kerjanya….diberikan habuan, semua ikut telunjuknya ..kalau nak kira tak ramai orang-orang tua kampung kita yang memangkah kertas undinya..”
Sedang sibuk bercerita, tiba-tiba saja 2 buah motosikal tertembung di hadapan lorong hadapan mereka. Demikianlah kerenah anak-anak muda zaman sekarang yang semakin memeningkan kepala.
MATAHARI bersinar cerah tanpa sebarang lintasan awan. Sepasang kaki Zulaikha melangkah keluar dari rumah menuju ke sekolah. Entahkan kenapa kali ini dia terlupa membaca doa keluar rumah. Dengan berpakaian serba biru tahulah jiran-jiran bahawa Zulaikha mempunyai kegiatan pandu puteri pada setiap dua minggu sekali. Hari ini tentunya hari terakhir aktiviti ko-kurikulum sebelum para pelajar melangkah di musim percutian yang panjang.
Berhampiran simpang itu terdapat sebuah workshop motosikal, Michael sedang memperbaiki sebuah motosikal berkuasa besar 250cc milik Praba.
“Cantik betul budak itu..mengiurkan” pemuda India itu memberikan komentar dengan gerakan mata meliar. “..Kalaulah dapat memilikinya alangkah bagusnya..” sambungnya lagi.
‘Kau jangan main-main itu anak tunggal EXCO kampung Pulai..Datuk Hamzah dah berjanji akan naikkan beliau sebagai ADUN daerah Simpang Pulai ini”
“Datuk Hamzah nak ke mana pula?..bersara?”
“Tan Sri Nooraiman akan ke bahagian parlimen, Datuk Hamzah akan menggantikan beliau sebagai ketua menteri pulau ini”
“Cantik betul…tak pernah aku jumpa perempuan secantik itu”
“Gadis paling cantik di pulau ini..”
“Biar betul kata kau itu”
“Paling cantik dan paling pandai juga paling berbudi bahasa. Kau tidak akan jumpa gadis seperti itu di tempat lain Bukan itu saja,…paling baik dan segala-gala yang baik ada pada Zulaikha”
“Biar betul..”
“Cukup sempurna tapi bapanya adalah manusia yang paling jahat di pulau ini..”
“Biar betul!!!…”
“Paling jahat, paling tak berhati perut..dan segala-gala yang buruk ada pada encik Tarmizi, bapa kepada gadis itu”
“Jahat macam mana?”
“Dia dulu orang kuat parti pembangkang pulau ini..tiba-tiba saja dia berpaling tadah hingga menyebabkan ketua parti itu merengkok dalam penjara…semua ini kerana wang, pangkat dan kuasa..”
“Wah!…ini macam satu legenda pula…”
Apabila mengenang sejarah lama, rasa seram mula menyemarak jiwa mereka.
ZULAIKHA melewati simpang 3 yang menemukan jalan besar. Ketika mahu melintas untuk ke warung Pak Najib, kedapatan sebuah van putih yang berhenti pada jarak 200 meter dari simpang itu. Dalam jarak sedemikian memang tidak disedari sesiapa, kedapatan 4 pasang mata sedang rakus memerhati gerak genit manjanya.
Lalu lintas reda seketika. Zulaikha melintas lalu memasuki Warung Pak Najib. Mata-mata para pengunjung melirik seketika pada kehadirannya.
“Pak Najib..Zue nak bungkus roti canai sepuluh keping..”
“Amboi banyaknya…nak buat apa banyak-banyak ni..kenduri lagi ke?”
“Nak belanja kawan-kawan…hari ini hari terakhir kami berkawat”
“Baik sungguh hati kau nak…”
Zulaikha mendongak ke atas lalu menggeleng beberapa kali. Dia merenung pohon Jati di sebelah warung yang sudah bongkok tiga, hanya menunggu saat menyembah bumi.
“Pak Najib …saya tengok pokok ni macam nak tumbanglah…nanti kalau tumbang nanti, habis roboh warung pak Najib..”
“Itulah yang pak Najib risaukan…memang pun nyawa lebih penting, dah selalu pak Najib cakap pada bapa kau..tapi dia buat tak tahu saja…macam anjing menyalak bukit”
“Nanti saya cakap pada abah…kalau saya cakap mesti dia nak dengar… kesian pak Najib, nak berniaga pun takut-takut…’
Setelah mengambil pesanan dia beredar dari warung berkenaan tanpa sebarang rasa gusar. Ketika itulah muncul sebuah van putih lalu berhenti mengejut di hadapannya. Muncul dua orang lelaki bertopeng lalu deras mendekati Zulaikha.
Zulaikha tergamam!
Jeritan Zulaikha begitu singkat untuk dimengertikan. Hanya sepasang mata terbeliak saja. Mulutnya diserkup oleh sepasang tangan dengan sehelai kain hitam. Sepasang tangan lagi memeluk rakus ramping pinggangnya. Hanya dengan beberapa saat saja tubuh mongel itu meronta-ronta untuk dilepaskan namun terus diusung ke dalam perut van. Dengan sepantas kilat van putih itu terus memecut lalu hilang dari pandangan.
Bungkusan roti canai berjumlah sepuluh keping itu terburai lalu berselerakan di bahu jalan. Para pengunjung warung cuma memandang penuh kepanikan. Gerakan tangan Pak Najib menebar roti terhenti lalu matanya merenung gentar. Beberapa buah mulut yang sibuk mengunyah dan bercakap terus terhenti, kegigilan tanpa suara. Namun jarum masa masih berputar normal. Denyut jantung yang melihat agak kegugupan bagai terhenti seketika.
“Penculik!..Penculik!”, jerit Pak Najib berkali-kali sambil mengurut dadanya, kesemputan. Barulah orang lain bangun melatah dan marah-marah. Bagai dilanda gempa keadaan mula gegak gempita. Haru-biru kian melanda. Tak kira siapa. Masing-masing bagai tersedar dari pukau yang lena.
“Kejar van itu!..”salah seorang pengunjung menjeritkan itu.
“Macam mana nak kejar..nak kejar dengan apa?..basikal?“
Tidak pasti siapa yang menjeritkan itu, namun segala-galanya berlaku cukup pantas sekali. Masing-masing mula menuding jari, menyalahkan sesama sendiri. Satu tragedi menggemparkan baru saja terjadi. Zulaikha telah diculik! Sebuah van putih telah melarikan Zulaikha! Turut menghampakan semua saksi gagal mengecam apa nombor platnya.
“Telefon polis lekas..” jerit yang lain pula.
“Telefon polis..“ jeritan lain terus bergema.
“Panggil semua orang kampung..panggil!!!“, jerit Pak Najib untuk kali terakhir sebelum terasa kehabisan nafas.
Sekawan pandu puteri yang sibuk berkawat bertukar kecoh kerana lewat kehadirannya. Memang pun sebelum ini Zulaikha memang sentiasa menepati masa. Mendengar saja berita itu kesemuanya berlari ke lokasi tragedi. Melepasi Michael dan Praba, paling hadapan adalah Mukhriz yang ketika itu giat dalam latihan sepak takraw.
Para penduduk dan taukeh gerai yang lain turut berselerakan di pinggir jalan. Salah seorangnya mengutip cekak Zulaikha yang terjatuh di bahu jalan. Semua jiran-jiran yang sedang menunggu bas di dua perhentian bas kiri dan kanan jalan turut meninggalkan rutin harian lalu menyerbu simpang 3 bertentangan sebuah warung roti canai. Semua yang hadir hanya memandang serpihan roti canai yang masih berselerakan di tepi jalan.
“Siapa yang larikannya?” soal Mukhriz dengan nada termengah-mengah.
“Manalah aku tahu..orang jahat tentunya.”, jawab salah seorang saksi kejadian.
“Mana ada orang jahat di pulau kita ini..mana ada..“ Mukhriz membidas semua tuduhan itu.
“Orang jahat di mana-mana pun ada..“ seorang lagi saksi menjawab bidasan Mukhriz.
“Sudah buat laporan polis ke belum?”soal Michael pula.
“Sudah…kejap lagi polis datang..’
“Kenapa polis lambat sangat datang?..bukannya orang lain yang hilang..anak EXCO…Orang tua Zulaikha mana?…mereka dah tahu?” soal Prabha terpinga-pinga.
“Bapanya belum tahu lagi…Imam Sufian sedang cuba hubungi dia sekarang ini ..ibunya dah tahu langsung pengsan di Pasar Besar…”seorang saksi kejadian menjawab sedemikian.
Apabila Zubaidah tiba di simpang hitam itu, tragedi berair mata bermula dengan hebatnya.
“Zulaikha!!!!“ jeritan sang ibu bertalun tanpa henti. Air matanya membanjiri kedutan wajah tuanya.
Laluan jalan yang lengang telah pun menyesakkan. Kenderaan dari kedua-dua hala mengengsot perlahan-lahan. Tidak berapa lama kedengaran bunyi siren polis dari 2 buah kereta peronda.
“Kenapa lambat sangat tiba?“
“Apa mereka nak buat dengan anak dara kampung kita tu?”
“Tak boleh nak cakap....bahaya“
“Minta-minta jangan diapa-apakan“
“Mustahil..serigala tidak akan lepaskan mangsa bahamannya begitu saja..“
Tarmizi tiba lalu mendakap isterinya dengan penuh sayu. Masing-masing terus membayangkan sesuatu yang paling ngeri bakal berlaku. Pelbagai pertanyaan dan andaian dari para penyaksi terus membiak-biak selepas itu.
TELAH puas Tarmizi dan kuncu-kuncunya berhempas pulas mencari Zulaikha di setiap inci pulau. Genap 24 jam dia menunggu ternyata tiada sebarang berita. Tiada sebarang ugutan diterima. Nyatalah kes itu adalah kes penculikan yang modus operandinya gagal dijelaskan. Tiada sebarang ciri-ciri bermotifkan politik juga bukan bermotif tebusan.
Sekatan jalan dibuat pada setiap jalan keluar masuk pulau khususnya di jambatan Malindata. Sekitar lapangan terbang dan pelabuhan feri juga diawasi. Segala usaha ternyata masih tidak membuahkan hasil. Zulaikha disyaki dilarikan menerusi jalan air menerusi perancangan yang cukup teliti.
Situasi Simpang Pulai dan seisi pulau begitu riuh sekali. Seriuh detik-detik menyambut hari lebaran namun wajah-wajah diulit nestapa. Laman rumah Tarmizi tidak pernah lekang dari pengunjung. Termasuklah sanak-saudara yang datang dari jauh. Orang-orang yang dulunya membenci Tarmizi kini menaruh simpati tak berbelah bagi. Dalam keadaan begitu bila musuh luar mengancam semua orang perlu bersatu menjadi kawan.
Tragedi penculikan Zulaikha akhirnya menjadi bualan hangat di dada akhbar dan bicara tak henti di televisyen. Dari anjung ke anjung, dari warung ke warung, dari bibir ke bibir. Ramai yang turut berduka cita sebagai tanda manusia ini hidup bersaudara. Adat hidup di dunia, namun masih ada juga segelintir syaitan bertopengkan manusia yang sedang bertepuk tangan, bergembira sakan.