Bab 10
Permainan hidup apakah ini?
Roda-roda pertemuan ini
benar-benar
satu ciptaan rahmat yang paling
berharga.
1987
DALAM jangkauan masa 761 hari
akhirnya saya menanjak ke puncak usia 17. Satu dunia manis yang sementara
sesingkat senja – hadir diantara cerah dan gelita. Remaja dalam pemikiran,
penampilan juga pergaulan. Semakin ramai gadis-gadis menjadi kenalan tidak kira
sebagai rakan sebaya ataupun jiran tak mengira usia. Maria paling menonjol sekali
kerana suka bertukar-tukar novel dengan saya. Tidak cukup dengan itu dia cuba
berbuat baik dengan ibu saya. Kononnya untuk mengambil hati. Disamping itu
semakin banyak pula perkara-perkara baru yang hinggap di fikiran.
Walaupun ada sebab yang utama, kesibukan dalam
pelajaran dan sukan bola sepak seolah-olah membantutkan minat saya untuk
berkawan lebih rapat dengan mana-mana perempuan tidak sebagaimana rakan-rakan
lelaki saya yang lain. Berdating, berbalasan surat serta bergayutan ditelefon
tidak tercatat langsung dalam dairi hidup ini. Kadangkala saya lari apabila ada
reaksi semacam godaan timbul dihadapan mata. Terutama sekali apabila Maria
mencari peluang untuk bersemuka atau mencari jalan untuk berdampingan akrab.
Barangkali puncanya ialah saya enggan menerima sejarah kehilangan buat kali
kedua.
Kejanggalan sifat saya turut
dianuti oleh Shariff. Tetapi Shariff sejak kecil memang suka bergaduh
dan kaki buli. Cukup lama berpisahan kelas kerana dia merupakan seorang pelajar
yang pintar. Cuma di tingkatan lima
ini saya bernasib baik kerana berjaya menduduki kelas terbaik.
Kejayaan
terbesar yang dicapai oleh Shariff ialah menjadi juara pidato Wilayah
Persekutuan. Bakat yang dia miliki adalah hasil didikan bapanya yang
terlibat aktif dalam arena politik kebangsaan. Baginya pentas adalah medan tempur perjuangan
dekad ini.
Seperti
tahun yang lepas, sekali lagi Shariff ditugaskan sebagai wakil dalam
pertandingan pidato peringkat kebangsaan. Begitu menumpang tuah sekaki kali ini
saya telah diminta sebagai seorang peneman.
HARI pertama telah
berlangsungnya pertandingan bagi pihak pelajar perempuan. Sementara menunggu
keesokan hari, fikir Shariff ada baiknya kami menyaksikan puluhan gaya si gadis pemidato
yang tentunya boleh digunakan untuk memperbaiki keupayaan diri.
Situasi begitu menceriakan
sekali. Seolah-olah saya juga seorang pemidato pilihan. Para
jemputan begitu ramai memenuhi Dewan Muktamar, Pusat Islam dan tiada
sesiapa pun yang saya kenal kecuali daripada rombongan kami yang turut terdiri
daripada dua orang guru pengiring. Cikgu fuad dan cikgu Diana.
Khabarnya kedua-dua guru itu pun sedang hangat bercinta. Seorang duda dan juga
seorang janda.
Suara pemidato yang lunak
tetapi tegas dengan pelbagai topik hangat telah dibentangkan satu persatu. Dua
peserta telah pun tamat dan tiba-tiba pula perut saya buat kacau. Saya meminta
diri lalu menghilang sebentar ke tandas lelaki. Menonton pertandingan pidato
rupanya lebih membosankan berbanding menyaksikan pasukan bola sepak Kuala Lumpur yang
kecundang di gelanggang sendiri.
Memasuki dewan semula, satu
suara yang seakan dikenal sedang berkumandang ke udara. Ianya memang satu nada
penuh kemanjaan yang cukup lama dirindui itu tiba-tiba menjentik hairan
apatahlagi apabila mengecam seorang pelajar perempuan berkerudung putih labuh
sedang beraksi sebagai peserta ketiga.
Bermimpi disiang hari? Mengigaukah agaknya? Kedua
pipi ini ditampar berkali-kali. Memang sakit dan perit. Itukah Tursina, wakil
pemidato perempuan dari negeri pahang?
Hati ini girang tak terkira. Melonjak-lonjak
bagaikan si kudung menjumpai asal tangannya.
Didalam Dewan Muktamar bagaikan tiada sesiapa
kecuali kami berdua. Setinggi-tinggi pujian buat Maha Pencipta, rupanya takdir
masih menyebelahi kami berdua. Permainan hidup apakah ini? Roda-roda pertemuan
ini benar-benar satu ciptaan rahmat yang paling berharga.
WAKTU makan tengahari menjelang tiba. Para peserta
dan jemputan mulai berasak-asak keluar dari dewan untuk makan tengahari di luar
dewan. Mendahului Sharif yang kehairanan amat dengan gelagat saya yang girang
tiba-tiba, saya terus menyelinap pantas lalu cuba mencari kelibat Tursina. Keadaan begitu riuh, padat
menyebabkan saya rasa tersekat. Sedikit baran pun ada apabila tiada siapa pun
yang kasihan dengan gelojak perasaan yang menghambat saya. Oleh kerana hanya sempat
melihat dari jarak sepuluh meter, saya menjeritkan namanya.
“Tursina!”
Hanya
beberapa pelajar perempuan yang memandang dan tersenyum perasan. Tursina
masih tidak sedar akan kehadiran saya di luar dewan.
„Sina!!“
Di luar dewan masih terpenuhi ratusan orang.
“Sina!..Sina!”
Tidak berjaya lagi nampaknya. Jeritan itu bagaikan
pungguk merayu bulan. Sedang bulan terlalu tinggi. Jeritan saya ditenggelami
oleh sesak riuh situasi.
Bagaimanakah caranya untuk
menarik perhatian Tursina? Sedangkan di meja makan para jemputan pun makan
berasingan mengikut jantina – kalau saya tidak melakukan sesuatu tentunya akan
terlepas dari bertemu melepas rindu.
Ditakdirkan Tuhan yang Maha
Penyayang, saya mendapat satu idea. Sesudah makan kemudiannya menghantar
pinggan dan cawan ke kaunter pembasuh, saya memulakan peranan. Pinggan plastik tanpa
tinggalan sisa nasi dan lauk yang berada ditangan sengaja saya lepaskan ke
lantai. Hampir keseluruhan kunyahan mulut terhenti dengan kebisingan yang
seketika terhasil. Mulut-mulut terkunci longgar dan ratusan mata memandang dengan
dahi terkembang. Saya tercegat, tersengih penuh segan. Tetapi saya tidak
pedulikan itu semua.
Ketika itulah hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana
indahnya apabila kami dapat bertembungan mata setelah hampir dua tahun
berpisahan lama. Bagai rindu tersimpul mati. Terikat kejap bagai mustahil
diputuskan lagi.
Tursina bangun dari celahan rakan-rakan serombongan lalu tersenyum girang
sambil menggigit jari manisnya. Walau tak dengar, bibir kecil itu sedang
berkumat-kamit mengalun ucapan yang memuji akan hebatnya satu takdir pertemuan.
Sememangnya Tuhan memang Maha Penasihani.
SAAT diidamkan akhirnya dikabulkan.
“Hebat sungguh Sina berpidato.Shah kagum sekali…”
Di awal pertemuan saya memuji Tursina setelah lebih
sepuluh minit bertentang mata,bertanya khabar dibawah pondok ditaman bunga
diluar perkarangan dewan jauh dari kebisingan dan jelingan mata.
“Janganlah cakap begitu..Sina bukannya hebat
sangat..”
“Dari mana Sina belajar pidato?…“
“Dari siapa lagi kalau bukan dari ayah tiri
Sina..ayah Sinakan suka bersyarah tak kira masa bila balik ke rumah…”
„Shah rasa tentu Sina boleh jadi juara…”
Tursina tertunduk sopan dan muram disebelah saya
hanya untuk seketika lalu tersenyum manis semula. Sepasang mata itu masih segar
merenung saya. Seluruh anggota kian kaku.
“Dah lama tak jumpa Sina..Sina
semakin cantik sekarang..”
“Shah pun apa kurangnya..Dah
jadi remaja kota ”
“Sina semakin cantik…dan macam
anak dara.anak dara felda”
“Shah ini ada-ada sajalah…kalau
tak puji tak boleh ke?” Tursina tertunduk malu.
“Apa salahnya memuji…lagipun
kita bukannya selalu dapat berjumpa…satu ditimur, satu dibarat, ada saja
halangannya..Shah hampir-hampir dah lupakan Sina..”
“Tapi Sina tak pernah lupakan
Shah sampai sekarang…”
Bibirnya seolah-olah tidak
bergerak langsung bila menuturkan demikian. Tursina merenung saya kembali
dengan penuh pengertian. Renungannya cukup mendebarkan. Satu debaran yang
mengementarkan jiwa kelakian ini. Renungan dipenuhi oleh irama penuh keasyikan
muda-mudi.
„Sebenarnya Shah pun tak pernah
lupakan Sina tetapi keadaan kita...“
„Surat-surat Shah masih Sina
simpan sampailah sekarang“
Sinaran matanya benar-benar
menggugurkan seluruh urat dan jantung ini. Terkalahlah sinaran matahari yang
redup dibayangi sinaran seorang gadis yang terlalu amat dirindui. Perasaan
apakah ini. Cinta?
„Tak takut ke kena rotan kalau
ayah terjumpa surat-surat itu?“
Tursina menggeleng, masih lagi
dalam senyuman.
“Sina….bagaimana dengan hidup
Sina sekarang?…ayah Sina masih bersikap seperti dulu?”
Dengan jujurnya Tursina mengangguk muram. Satu anggukan
yang menyemarakkan semangat seorang pahlawan.
„Ujian Tuhan,Shah..“
Nafas keluhannya sedikit kedengaran.Tidak berapa
lama selepas itu anak matanya mula bergenangan. Hati saya terasa berkocakan.
Jikalau anda berada ditempat saya, apakah yang mesti anda lakukan?
Kebanyakan para peserta sudah kembali memasuki
dewan. Dari
jauh Shariff telah pun meneriak, mengingatkan. Tetapi kami masih belum
berganjak seinci pun. Itulah pertemuan yang paling singkat berlaku. Sebelum
berpisahan, saya sempat membeli sekuntum mawar merah lalu menghadiahkan pada
Tursina
DENGAN kemasukan talian telefon di rumah,
hubungan saya dengan Tursina menjadi mudah. Hampir setiap hujung minggu pada
waktu yang sama telefon baru rumah pasti akan berderingan.
Memang keintiman yang wujud menjadikan saya sedikit
leka tetapi semangat untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM semakin
meluap-luap. Seolah-olah saya nampak jelas apakah yang bakal saya rangkul
dimasa hadapan dan tentunya nama Tursina tidak akan saya lepaskan dengan begitu
senang. Lautan api sanggup direnangi, di mulut naga lagi dirampas. Inikan pula
dalam cengkaman seorang bapa tiri. Inilah azam baru yang meresapi.
Kewujudan Tursina adalah satu sinar pendorong yang
menyuluh arah kehidupan kami dimasa hadapan. Satu suluhan yang meneguhkan jejak
langkah saya agar lebih yakin untuk mara dalam perjalanan seribu liku.
Begitulah perubahan jiwa remaja saya yang berakhir
buat sementara waktu pada dua minggu sebelum menjelangnya SPM. Dan ketika itu
saya telah pun berjanji akan datang ke teratak Tursina seorang diri.
InsyaAllah.
“Shah datanglah…ayah Sina takkan marah..takkan ayah
Sina nak halau pula..”
“Sebelum Shah dihalau, Shah akan bawa Sina lari
bersama..”, jawab saya dengan nada berjenaka. Sina ketawa manja.
“Shah nak bawa lari kemana?..pipit dan enggangkan
mana bisa terbang bersama..”
“Ke tempat dimana tak ada orang yang boleh ganggu
kita..walaupun, walaupun ke hujung dunia…“
„Kemana tu?“
„Ke tempat dimana pipit dan enggang boleh terbang
bersama”
“Janganlah begitu, tak baik..walaupun Sina marahkan
ayah tiri Sina..tetapi mustahil untuk Sina lupakan ibu…Ibu adalah
segala-galanya bagi Sina di sini…”
“Maksudnya ibu adalah orang pertama di hati Sina?”
“Ya…”
“Jadi bagaimana dengan Shah pula?…Shah berada di
tempat keberapa?”
“Itu tak boleh cakap sekarang..kalau nak tahu
tanyalah Dik Tina bila Shah datang nanti…”
SELESAI minggu peperiksaan SPM bererti
tamatnya satu era zaman persekolahan. 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di
sekolah menengah, apakah yang saya pelajari lantas saya gunakan selain dari
ilmu untuk peperiksaan?
Ketika itu masih terngiang-ngiang lagi ucapan pengetua
dihari terakhir persekolahan :
Apabila kamu keluar dari sekolah
ini kamu akan bergaul dalam satu masyarakat yang lebih besar dan mencabar.
Cikgu harap kamu semua akan dapat membiasakan diri sebagai salah seorang ahli
masyarakat majmuk dalam negara yang semakin membangun ini.
INILAH kali pertama saya keluar dari rumah seorang diri. Jauh ratusan batu
namun hati dekat selalu. Keizinan dari orang tua telah saya pinta dari awal
lagi. Cuma tinggal untuk meminta duit perbelanjaan sebanyak 200 sebagai tambang
dan untuk apa-apa jenis kesusahan yang bakal timbul tanpa direncana.
Pagi diwaktu langit masih jerneh, ketika ingin
bertolak, muncul seorang rakan ayah datang berkunjungan. Encik Ibrahim
namanya.
“Kau tak takut pergi seorang diri?”
“Pahang bukannya jauh sangat..kalau ada apa-apa masalah rujuk saja pada
balai polis…”
Pintar sungguh saya menjawab.
“Kalau nak ikutkan hati memang mak tak kasi..”
“Alah..mak dan ayah dulu pun pernah
bercinta..sekarang berilah peluang untuk orang muda pula…”
Mendengarkan jawapan itu, encik Ibrahim ketawa
terbahak-bahak.
“Wah!..anak kau dah pandai cari calon
menantu..senanglah sikit kerja kamu berdua..” sindir rakan ayah itu.
Ayah meramas bahu kiri saya.
“Kalau ada apa-apa hal, cepat telefon rumah ya..”
„Anak kamu dah besar panjang, tak payahlah nak
ditakutkan, „ sempat encik Ibrahim mengusik saya lagi.
Saya meminta diri, mencium tangan kedua orang tua
termasuk juga encik Ibrahim.
KALI terakhir menaiki bas ekspress pada sepuluh
tahun yang lampau. Ketika itu ayah belum mampu menyewa kereta seterusnya untuk
membeli sebuah proton saga. Yang seronoknya menaiki bas tidak menjadikan saya
bersendirian kerana ramainya penumpang walaupun berbilang tujuan. Namun mereka
semuanya akan ke negeri Pahang.
Ketakutan semakin timbul apabila bas tiba di Jerantut
pada waktu 3 petang. Saya kuatkan semangat dan iman. Bandar Jerantut saya
andaikan sebagai pekan Tampin dan tidak perlu apa yang nak dibimbangkan.
Dari situ dengan berkat kejantanan saya hanya perlu
menyewa sebuah teksi lalu memberikan arah tuju berbekalkan dengan alamat
yang tersimpan. Namun sesudah setengah jam mencari teksi kosong namun terasa
hampa. Kedatangan orang luar bagaikan tidak dilayan.
Masa semakin menua. Sedang mundar-mandir dibangku
perhentian yang ketiadaan orang, sebuah teksi berhenti lalu membunyikan hon
bertalu-talu.
„Nak pi mana?“ soal si pemandu teksi
“Kota Pelangi 2, “ jawab saya pantas.
Dalam perjalanan dengan cermin tingkap yang terbuka,
pemandu teksi berbangsa Cina itu cuba menghidupkan topik tentang keseronokan
hidup di Kuala Lumpur apabila ditanya dari manakah datangnya saya
“Mai sini nak jumpa siapa?”
“Rumah kawan..”
“Jauhnya..mesti kawan perempuan …gua tahu
punya”
Saya tersengih panjang.
“Dulu keluarga kami tinggal berjiran semasa tinggal
disetinggan…”
“Ooo begitu..Nama saya Goh..Goh Ah Seng
panggil Goh saja kalau lu selalu datang sini, telefonlah gua..ini
kadnya.” Pemandu
teksi itu memperkenalkan diri lalu memberikan kad niaga pada saya.
TIBA di hadapan rumah Tursina didapati suasana
bagaikan disambar garuda. Pintu-pintu dan tingkap-tingkap habis terkangkang
semua tetapi langsung tak kelihatan penghuninya.
Semakin deras jejak melangkah, tanpa memberi salam
semakin dekat saya terdengar suara perempuan menangis teresak-esak. Kedapatan
pula suara lelaki sedang berpidato tanpa noktah, tanpa tauliah. Sesuatu yang
buruk pastinya telah melanda.
“Hei..kau..nak apa datang?..jauh-jauh ke sini nak
jumpa Sina?”
Akibat sergahan itu saya begitu terkejut hinggakan
menggigil kepala lutut. Demi Tuhan dalam seumur hidup ini pertama kali saya
diperlakukan begitu. Tidak disangkakan, kehadiran di rembang senja itu disambut
dengan tengkingan. Turut diperasankan ada seorang jiran perempuan di sebelah kanan
menjengukkan muka sambil menggeleng kepala.
“Ya pakcik, saya memang datang nak menziarahi
Sina…”
“Sina tak ada..”
Rasa hairan mulai melanda.
“Sina tak beritahu ke yang saya nak datang?..kalau
begitu minta maaf sajalah kerana menyusahkan..”
Saya mula menunjukkan ciri-ciri untuk berpatah
arah.
“Sina tak ada..perempuan miang itu dah berambus…”
“Lari dari rumah?..”
Pak cik Shuib masih lagi bercekak pinggang.
“Anak yang tak kenang budi itu dah tak ada….faham!”
Saya tertunduk sayu merenung wajah mak cik Zaleha
yang sedang terduduk, memicit-micit pinggang lalu mengerang kesakitan.
Manusia atau binatangkah lelaki yang bercekak
pinggang dihadapan saya ini?
“Memandangkan hari dah jauh petang..kau bermalamlah
disini…nanti orang kampung kata aku hati binatang pula…Aku nak ke pekan
Jerantut, nak cari budak bedebah itu…Mana tahu dia masih berkeliaran disana..”
Bedebah?,bisik saya penuh geram.
Siapa yang bedebah? Yang di cari ke atau yang
mencari?
PAK CIK Shuib pulang dari pekan Jerantut sambil
berkelakuan garang. Habis segala makhluk di dalam rumah ditengkingkan. Selepas
bertukar pakaian tanpa bersolat isyak, dia pun keluar dari rumah dengan
meninggalkan sejumlah sumpah seranah. Hampir tuli telinga ini mendengarkan
Kehilangan Tursina menyebabkan hati ini bungkam.
Malam ini lelaki bengis itu langsung tidak kunjung pulang. Segan untuk bertanya
kemanakah perginya. Hanya pada satu ketika hati saya terluang untuk mendekati
Kartina lalu bertanyakan:
“Ayah pulang ke rumah mak muda”
“Mak muda?”
“Ayah memang tak pernah tidur sini..semalam pun tak
pernah. Balik untuk menengking dan makan saja”
Alangkah terkejutnya apabila mendengarkan jawapan itu. Belenggu yang
melingkari hidup Tursina memang lebih dari yang tergambarkan.
Saya merenungi sepelusuk ruang dapur. Bilik air dan bilik tidur
masing-masing langsung tidak berpintu. Dapurnya dapur arang tetapi lebih cantik
lagi dapur arang nenek saya. Dinding rumahnya banyak yang berlubang dan lantai
papan kalau silap jejak pasti akan berkeriut seribu. Saya tergambarkan suatu
ketika dulu betapa beginilah rupanya rumah tumpangan keluarga kami di kampung
baru.
Diruang tamu langsung tiadaTV ataupun radio,
menyebabkan saya sedikit kempunan kerana tidak dapat menonton siaran langsung piala
dunia. Malam itu tentunya sedang berlangsung perlawanan sengit diantara
pasukan negara Brazil menentang Belanda.
Sepanjang malam diranjang bertilam lunyai, tidur
ini hampir tidak lena seluruhnya. Mimpi yang dicipta telah retak sepenuhnya.
Dinihari yang bisu, dalam pukul dua pula saya
dikejutkan oleh suara orang mengerang kesakitan. Dengan mengendap dicelahan
langsir pintu bilik tidur saya dapati Dik Tina sedang memicit-micit sambil
menyapu sejenis minyak dibelakang badan mak cik Zaleha. Pasti sekali wanita itu
telah diterajang oleh suami kerana lalai sehingga menyebabkan Tursina melarikan
diri.
Saya tertidur semula setelah puas merisaukan
kemanakah haluan tuju Tursina. Seorang remaja perempuan dilandasan pelarian
tentu sahaja berhadapan dengan risiko yang membahayakan.
Ya Allah, kau lindungilah orang yang aku kasihi
itu..
„YA ALLAH, ya Tuhanku, kau lindungilah Tursina dari
segala bahaya“
Pagi kemudiannya sesudah mengerjakan solat subuh
disusuli doa, saya meredah kabus pagi menuju ke arah pondok telefon yang
terletak di hadapan Sekolah Rendah Kota Pelangi 2. Sekolah inilah yang
dimaklumkan oleh Tursina yang pernah bekerja sebagai seorang guru sandaran.
Menerusi alat telekomunikasi yang hampir tumbang
itu, saya terus mengkhabarkan pada ibu tentang kehilangan orang yang disayang.
“Subhanallah,
Tursina tak hilang, nak..Tursina ada di sini..”
“Apa?..betul ke mak? Mak jangan
main-main”
“Demi Allah!. Tursina ada
dirumah kita..kau khabarkan pada keluarganya, dia selamat disini. Tak usah
bimbang, Dan kau Shah, cepat pulang..’
“Baiklah mak,..saya pulang
sekarang juga..”
REMAJA bagaikan satu permainan.
Hidup adalah satu pusingan roda. Belum hilang penat perjalanan semalam, awal
tengahari itu juga saya mesti berangkat semula ke Kuala Lumpur . Kepada keluarga Tursina saya
terus menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Dan pada saat pulang itu juga ayah
Tursina muncul semula lalu menunjukkan sifat baik yang masih ada padanya.
Dengan meramas perlahan bahu
saya, mak cik Zaleha pun bersuara lemah dengan maksud meletakkan tanggungjawab
pada diri saya untuk menjaga Tursina di sana .
“Walaupun Sina anak tiri
pakcik, tapi pakciklah yang bersusah payah mencari rezeki membesarkannya..”
Bicara Pak cik Shuib memang penuh dengan
keangkuhan.
“Kau jaga dia baik-baik jangan tinggal lama-lama
disana..Kuala Lumpur tu besar, ramai orang-orang yang tak betul disana..”
Saya hanya anggukkan kepala. Didalam hati saya
membangkang nasihat terakhir lelaki itu. Orang yang tak betul lagi banyak
berada di Pahang.
Mak cik Zaleha memandang dengan penuh pengharapan.
“Pak cik dan makcik jangan bimbang, saya rasa
biarlah Tursina tinggal sebulan dua dengan kami..lagipun cuti sekolah baru saja
bermula, nanti saya sendiri akan hantar Sina pulang ke sini..saya janji’
SETELAH berjaya dihubungi, teksi yang sama
menghantar saya semalam tiba lewat setengah jam. Mak cik Zaleha sempat
membisikkan pesan – bahawa memandangkan Tursina tak berapa pandai dalam
pelajaran nanti sesudah SPM nanti dia ingin menyerahkan tanggungjawab menjaga
tursina pada saya nanti.
“Kau jagalah anak makcik baik-baik…Sina memang tak
sesuai tinggal di sini..”
Begitu sekali pandangan masa depan ibu Tursina
terhadap anak sulungnya. Apakah kerana kemiskinan atau perangai ayah tirinya,
Tursina diibaratkan sebagai beban lantas mahu diserahkan tanggungjawab pada
seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa ikatan selain secebis keluhuran.
Padahal bicara Tursina lewat salah satu suratnya masih segar dalam ingatan.
“Sina tahu Sina tak berapa pandai..tapi Sina ingin berjaya dalam
cita-cita..Sina ingin menjadi guru, seorang pendidik..nanti bila Sina sudah
berjaya, Sina akan balas jasa ibu bapa Sina..Sina akan jaga dan ingin senangkan
hati ibu…sudah terlalu lama ibu sina hidup dalam derita. Sina akan berusaha
selagi mampu, percayalah…’
“Sudah jumpa dengan buah hati lu?”
Lamunan terlampau itu terputus sebegitu. Teksi
terus menderu laju.
“Belum..dia pergi ke rumah saya di KL.sebetulnya.”
“Lu pergi sini..dia pergi sana..macammana lu
janji dengan dia?”
Goh ketawa lalu menggeleng kepala.
“Entahlah…barangkali tak ada jodoh agaknya..”
“Hei, lu jangan cakap begitu..makan boleh
sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap. Jodoh itukan kerja Tuhan.”
Wajah Goh sentiasa senyum tetapi erti senyuman itu
tidak mengandungi erti yang lama. Segalanya telah terbongkar apabila kami
berhenti makan di warung bersebelahan perhentian bas sementara menunggu waktu
bas berlepas.
Disitulah tanpa rasa segan dan silu, Goh berkisah
tentang keruntuhan rumahtangganya. Isterinya bekerja sebagai seorang operator
kilang, berkawan dengan seorang vendor yang kemudiannya telah menuntut
cerai tetapi dia enggan melepaskan.
Akhirnya dia telah disaman sebanyak 10 ribu apabila
kesnya telah dibawa mahkamah. Dia dituduh kerana mengabaikan keluarga tanpa
nafkah.
“Gua memang orang yang lurus…tak boleh
tengok orang susah…tak sangka gua boleh dipermainkan”
“Selama hidup saya, saya tak pernah dengar seorang isteri telah menyaman
suaminya…”
“Bekas isteri gua memang seorang yang
bercita-cita tinggi, sungguh tak sepadan dengan gua…maklumlah gua hanya
seorang drebar teksi…”
“Jadi awak kena bayar juga saman itu?”
“Sudahlah kena bayar…rumah yang saya beli terpaksa
diserahkan padanya”
Goh
mengalirkan air mata dihadapan saya.
“Sekarang kamu tinggal dimana?”
“Kadang-kadang tidur didalam teksi, kadang-kadang
di bus stop..”
Terasa dirinya terlalu dekat pada saya. Meski pun berlainan bangsa,
kekecewaan yang dialami menyebabkan dia tidak menghiraukan itu semua.
DIPERHENTIAN bas Jerantut,
kelibat Tursina seakan-akan bermain-main dicelah-celah kesesakan manusia. Saya
rindukan padanya dengan cahaya wajah dibalik kerudungnya, yang mengundang
kejelitaan. Saya rindukan semangat hidupnya yang membakar egois kelakian ini
hingga kehangusan rasa.
Saya terbayangkan juga
bagaimanakah keadaan Tursina dalam usaha menjejak alamat rumah saya seorang
diri dimalam hari. Kenapa Tursina tidak menghubungi terlebih awal. Dan tidak
terbayang juga bagaimanakah perasaan ibu dan ayah ketika membuka pintu lalu
mendapati Tursina tercegat lesu bersama beg pakaian dan bau hamis peluh
dibadan.
Bas ekspress bergerak pada
tepat jam 2 petang. Bandar kecil Jerantut berubah muram, disisinya terdapat
seorang pemandu teksi yang sugul. Rasanya sayalah orang yang paling gelisah
didunia ini. Saya semakin tidak sabar lagi untuk menemui Tursina dirumah saya
sendiri.
Teringat pula tentang zaman
kanak-kanak dimana kami berdua pernah tinggal dan bersekolah bersama-sama.
Teringat pula bagaimana kami pernah dikejar ibu ayam yang takut anak-anaknya
diapa-apakan. Saya teringatkan fenomena kelucahan tentang bagaimana tursina
ketakutan hinggakan terkencing basah seluar dalam.
TIBA di rumah barulah saya
ketahui asas cerita yang sebenar.
Tursina melarikan diri dari
rumah tepat pada jam 10 pagi, satu waktu yang sama ketika saya
mengucapkan selamat jalan kepada orangtua. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui
betapa akan adanya kebarangkalian bas ekspress yang mereka naiki telah
berselisahan pada sebatang jalan di tengah haluan yang bertentangan.
Punyai tujuan jauh berbeza.
Satu hati dipenuhi kerinduan untuk berjumpa. Satu hati dipenuhi duri-duri yang
perlu dibuang.
No comments:
Post a Comment