Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam
wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam
selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota ini
lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk
didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini
telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara
kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini
merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi,
dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar
kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok
yang tinggi lagi kukuh.
|
Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini
sebagai ‘Mount Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil
Yahudi kuno iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia
dimusnahkan, dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah
oleh kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam
dahulu menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah
Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira akan
kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat pertama kaum
Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun 586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula
kira-kira selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya
diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar Roman.
Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini dipanggil
Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia Capitolina’ yang diberikan semasa
penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan
keadaan yang tidak rata tetapi pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika
itu iaitu Herod the Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini
lalu meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan
sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika
zaman khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada
Haram al-Sharif yang menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat
tempat yang mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan
Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah
di dalam era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan
sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis yang
asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang dikepungi tembok
tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang telah disebut di dalam
kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana beribadat di dalamnya mendapat
seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid
yang jauh’, merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang
menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah satu
peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang mana ketika
itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk menghadap Allah S.W.T.
Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah ke Mekah,
iaitu kira-kira selama enam belas bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini
iaitu pembinaan Masjid al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas
tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan
dengan Masjid al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul
Malik semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu
indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk menyaingi
kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang menjadi tumpuan
ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara monumen tertua orang Islam
yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai
didirikan di atas tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan
kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap sebagai
asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar
al-Khattab r.a yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah
sebuah wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai
batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu ditunjukkan
oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah tinggi yang dikepungi
oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi mengotorkan kawasan itu dengan
najis dan sampah sarap sebagai tanda penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’
Mikraj itu. Khalifah Umar membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang
Mukmin yang lain dan membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi
Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya
menjadi yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu
Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam kitab Injil.
Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik antara Islam dan Yahudi
selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai tempat krisis yang masih belum
selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini,
iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi tempat suci
bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada 2,000 tahun yang lampau
ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal kedua mereka yang masih wujud.
Mereka menganggap Tuhan mereka berada di sebalik tembok itu dan pandangan
mereka terhalang disebabkan dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Oleh kerana
itu lokasi ini menjadi tempat mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa
yang mereka lakukan dan amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini,
susulan dengan itu kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’
ataupun tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat
kedudukan yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang
dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan
Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan. Semasa
remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah berkhidmat
untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih tertegak utuh di
Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban dipercayai berlaku di dalam
kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang tepat masih lagi menjadi pertikaian
sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu
berlaku pada tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci
oleh penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di
dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang mereka
percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis sehingga kini masih
menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh dunia terutamanya
menjelang musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga
menunjukkan keazaman penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada
penguasaan orang Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama
kira-kira 200 tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang
unggul iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa
ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi sendiri
yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda oleh tentera
salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai gereja dikembalikan
fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir
zaman Khalifah Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British
sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada tahun
1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk menguasai
wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat sebelah oleh badan
dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan
hanya sepertiga kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah
Palestin. Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah
antarabangsa tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian
barat kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara
Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan,
termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram
al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama
Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian.
Bahagian pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar
antara kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada
kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan selebihnya
merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia, iaitu bahagian yang
paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia juga merupakan penganut Kristian,
tetapi mereka mendapat kawasan mereka sendiri di dalam kota dan bilangan mereka
juga hanya kecil jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan
menguasai kota lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar
‘Western Wall’ ataupun tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi
ditutup dan sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan
penduduk Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini
sampai sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan
Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih teruk
apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama sehinggalah ke Tebing
Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan Semenanjung Sinai dan Genting Gaza
sementara Syria terlepas Tanah Tinggi Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak
pencabulan dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya
menjadikan kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan
penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha
memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan masyarakat
Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan
dengan perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan
akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota dan
menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Aviv yang sebelum ini
menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan Perdana Menteri,
kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan
kementerian-kementerian Israel semuanya dipindahkan ke Baitulmaqdis secara
beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli
termasuklah dibakar oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya.
Paling diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh
provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke kompleks
Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon terlantar koma akibat serangan strok
semasa masih bertugas sebagai Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak
sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota
ini secara total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada
badan Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai penjaga
Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan dikibarkan di
sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama lain juga dilarang memasuki kompleks
suci ini dan askar-askar serta polis Israel berkawal di pintu masuk dan
pengunjung mesti membuktikan mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks
untuk beribadat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian
seterusnya membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat
sensitif bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda
tanya memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan
provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan lagi
sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah
kekuasaan bangsa Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa
yang mahu digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal
terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti carigali di
sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke
atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan
penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid
Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya
berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja
untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka
pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu
dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan
dibangunkan?
No comments:
Post a Comment