Saturday, January 28, 2012

Petikan Bab 1 novel Reunion


BAB 1


Meor Hasyim tiba di tempat tujuan ketika jam tangan tepat menunjukkan pukul sepuluh pagi sebagaimana yang dijanjikan.Ketepatan itu fikirnya hanyalah satu kebetulan saja kerana sebelum ini sifatnya jarang menunjukkan kearah itu. Dia adalah lelaki yang bersifat penangguh sebenarnya.
Dia memikirkan semula keadaan jalanraya yang bersimpang-siur bagaikan ular kena palu itu. Jalan yang penuh berjerawat di sana sini membuatkan jarak perjalanan yang dilalui terasa begitu panjang.Tidak disangkanya sebentar tadi ada jerat menunggu pelanduk.Disimpang sempit,berpasir ditepinya dan terlindung oleh sebuah Tokong Cina yang berusia lebih separuh abad tiba-tiba terpampang ‘BERHENTI – PEMERIKSAAN POLIS ‘dia memberhentikan motosikal dengan cengkaman brek kaki yang sudah worn out menyebabkan tayar belakangnya sedikit berpusing.
Nasibnya begitu baik kerana tidak terjatuh.Dia merasa kesal kerana tidak mengunakan brek tangan yang masih baik lagi.Serta-merta menyesali tangannya yang gagal mencengkam. Nasib yang baik turut menyebelahinya kerana baru sahaja menghidupkan lesen L yang telah mati tiga hari yang lalu.Dan tanpa banyak soal tiga orang polis trafik berwajah garang yang galak menahan setiap motosikal yang lalu itu melepaskannya dengan tanpa memberi amaran apa-apa.Timbul juga sedikit kehairanan kerana selalunya road block dilakukan ketika hampirnya waktu lebaran atau apa jua jenis hari perayaan.Namun dia tidak memikirkan perkara itu begitu lama kerana satu perkara yang masih bermain-main di minda dan perlu diselesaikan sebentar lagi.
Suasana di stesen minyak ESSO itu dilihatnya tidak berapa sibuk lagi.Selalunya dari pukul enam hingga sembilan pagi keadaan bertali arus dengan kenderaan yang berpusu-pusu  dan agak mengecohkan bagi seorang Atendan pam minyak.Kelihatan dari sebelah warung makan tempat dia meletakkan motosikal, Anas seorang sahabat lama yang ingin ditemui sedang mencuci cermin hadapan sebuah kereta sambil dibantu oleh seorang pekerja lain.Semenatara dua orang pekerja lain yang tidak dikenali dilihat sempat berbual-bual dengan lantang tentang jenis-jenis motosikal berkuasa besar dibangku panjang yang sememangnya disediakan.Anas melambai tinggi tangan kirinya setelah berjaya mengecam kehadirannya sambil tangan kanannya masih mengelap pula cermin yang sudah dicuci .Meor membuka lambat rayben dan topi keledar lalu diletakkan diraga motosikal.
“Wah…kau sudah bermotor sekarang….”,laung Anas sambil berjalan pantas mendapatkannya. Ditangan Anas tergenggam sebotol air minuman mineral bersaiz besar lalu diteguknya sambil berjalan – satu perbuatan yang tidak disenangi oleh Meor.
“Inilah yang dikatakan campus rider …”,balas Meor dengan niat mengusik.Anas yang merampas anak kunci dari tangannya yang terbuka itu lalu menghidupkan enjin Honda 100CC itu sebelum membingitkan suasana dengan bunyi eksoz yang bertalu-talu.
“…boleh tahan juga motor kapcai ini”,puji Anas sebelum ketawa dengan deretan gigi-gigi yang jelas putih bersih disebalik wajahnya yang semakin hitam .
“Sebenarnya aku tidak berbangga kerana mempunyai motor..kerana dengan motor bermakna aku telah bermusuh dengan alam…aku telah menambahkan kuantiti pencemaran dibumi kita ini…”,balas Meor pula dengan lebar panjang dengan niat untuk berjenaka sebelum ketawa sengaja.
Ada sesuatu yang menggelikan hati mereka berdua sebenarnya apabila terlanjur menyentuh soal dunia motosikal.
“Sudah..hentikan saja sajak-sajak usang kau itu…kau sekarang mat teknologi… tahu?”.pinta Anas lalu mengeliat malas seraya berjalan semula menuju kearah kereta yang semakin banyak tiba sambil menyumpahkan sesuatu.
Dua minit kemudian Anas pun tiba mendapatkannya semula.
“Kalau kau ada duit aku nak pinjam…”.pinta Anas selamba lalu tidak menyudahkan kata-katanya untuk memberi peluang pada dirinya untuk turut menyanyikan lagu tiara yang sedang berkumandang dari radio milik stesen minyak itu sambil melangkah dengan keriangan sekali.”…kau tahu sajalah pasal projek biography kita itu…masih,masih banyak yang perlu aku selesaikan..”,jelasnya kemudian setelah mendapatkan Meor yang sudah beralih duduk dibangku panjang yang telah kosong semenjak tadi.Beberapa orang pekerja stesen minyak itu dilihatnya sedang berkumpul dan menghisap rokok di warung makan yang terletak betul-betul dihadapan stesen minyak itu.
“Sudah siap ke belum projek kita itu?”
“Ha!.. itu soalan yang cukup bagus untuk didengar…”,sindirnya pantas sebelum bertindak memarahi Meor pula.”…itulah engkau..buat kerja tak mau…asyik nak bersasteralah,bercintalah…tahu-tahu bertanya sudah siap ke belum?”
“Eh..memanglah kerja aku sebagai penulis saja dan tidak lebih dari itu…”
“Tapi nak menghasilkan buku bukan setakat menulisnya saja sayang!…Soal cetak-mencetak harus diselesaikan…tempahan dewan harus disegerakan dan yang terpenting adalah soal kewangan...”
“Tapi aku hanya sebagai seorang penulis biography saja bukan..kau kan tahu bahagian aku hanya itu..Dan sekarang tinggal kerja kau dan Deraman sajalah bukan?”
“Kau tahu…”jelas Anas  pula.”…sudah dua ratus ringgit aku habiskan semata-mata untuk menjayakan projek biography kita itu.”Anas terdiam seketika dan Meor yang lebih enam tahun akrab dengannya semenjak dari darjah satu lagi sebelum berpisah sekolah menengah memang memaklumi sifat gila-gilanya itu.Tetapi dalam kegilaan Anas dia adalah seorang yang mempunyai sifat kepimpinan yang tinggi dan tidak mustahil mempunyai suatu wawasan yang bernilai dan tentunya dirahsiakan.
“Biography itu sudah siap disunting dan dicetak..Cuma aku perlukan sumbangan rakan-rakan aku yang pandai-pandai belaka untuk perbelanjaan majlis penyampain biography itu nanti..”
“Bila majlis itu akan diadakan?”
“Pada pertengahan cuti semester ini..”
“Tarikhnya?”
“Belum ditentukan lagi..nanti aku beritahu kau malam ini”
“Sebelum ini siapa yang sudah menghulurkan derma?”
“Semua kecuali engkau seorang..”
Meor terperanjat dengan jawapan itu .Dia merenungi wajah Anas yang kurang cengkungnya daripada pertemuan dulu tetapi semakin hitam dan berkilat kerana berpeluh.Dia merenung meminta kepastian lagi.Mungkin sahabatnya itu tidak tahu bahawa dirinya begitu lambat dapat dihubungi kerana sememangnya UTM adalah universiti paling lambat tiba cuti semesternya.Atau mungkin Anas sengaja tidak mahu memahami perjalanan semester selain dari ITMnya saja.
“Kamarul selaku bekas bendahari beri seratus ringgit, Nudzul pelajar malas tetapi bendahari baru dan despatch yang rajin turut menghulur lima puluh ringgit, Salim beri enam puluh dan ramai lagi yang aku malas nak ungkitkan…Pihak perempuan pula….pada Sharina… dia.. dia yang kendalikan dan dengar khabar sudah mencecah tiga ratus ringgit jumlahnya…”
“Tiga ribu ringgit?”Meor tercengang.Benarkah jumlah itu?
“Maaf..tiga ratus ringgit sahaja.”,Anas membetulkan penjelasan.
“Berapa yang harus aku berikan….atau,atau seluruh jiwa dan waktu kuserahkan untuk menjayakan majlis itu nanti…”Meor cuba berseloroh demi menyembunyikan rasa bersalahnya.Itu adalah satu sifat kebudak-budakkannya yang masih tidak ditinggalakan lagi.Adakala seseorang itu fikirnya pula perlu melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan rentak jiwanya untuk melindungi kelemahan diri dari diketahui oleh sesiapa.
Anas ketawa dengan niat menyindir.”Aku tahu..kau memang dari dulu begitu…”Anas menyelongkar kocek seluarnya lalu memberikan satu sampul surat yang terperonyok dan sedikit terkoyak dan basah kepada Meor. ”..didalamnya ada senarai alamat-alamat sahabat-sahabat kita…aku mahu kau kirimkan kad jemputan kepada mereka semua…soal bagaimana nak memulakan, memujuk,merayu dan menasihati agar menghidupkan majlis kita itu nanti terserah kepada engkau selaku pengarang ternama…”
Meor memastikan nama-nama yang bertaip didalam kertas itu.Tangannya terasa sedikt terketar tanpa sebab.Sekali imbas ada setengah nama-nama itu sudah begitu lama dilupakan dan setengahnya seperti membangkitkan semula kenangan-kenangan yang penuh debaran.
“Dan kau jangan lupa bayar duit setemnya sekali..”,kata Anas lagi dan barulah Meor mengerti tentang derma yang dimaksudkan oleh sahabatnya semenjak tadi.
“Kau nak tahu?…”,sambung Anas kemudiannya dengan sedikit ketawa.”…tetapi jangan beritahu sesiapa pun…kau seorang,errr ….bertiga termasuk engkau dan Deraman, orang lain belum tahu lagi…”
“Memanglah….sebab projek biography ini pun adalah hasil dari ilham engkau juga…”
“Dalam majlis itu nanti aku akan adakan anugerah pelajar cemerlang dan pekerja cemerlang untuk dua orang yang bakal terpilih nanti…”
“Wow!…tetapi bagaimana pula nak dipilih dua diantara mereka yang seramai lebih dari empat puluh orang itu nanti?..”,soal Meor apabila telah mengenal pasti jumlah nama-nama yang tertera di kertas yang berada ditangannya itu.
“Begini siswazah oi..Anugerah pelajar cemerlang aku khaskan untuk mereka yang mencapai keputusan terbaik dalam pencapaian akademik sejak dari darjah enam hinggalah ke menara gading sekarang ini..”
“Dan apa pula jadinya dengan sahabat-sahabat kita yang tidak bernasib baik itu..mana kau nak campakkan pula?..”
“Dengarlah dulu cakap aku …jangan tiba-tiba nak menyampuk..”,Anas menjerkah kuat sebelum ketawa sendiri, sedikit kesal dengan sifatnya yang tidak menentu itu.Beberapa rakan sekerjanya yang sedang mencuri tulang diwarung hadapan telah kembali semula ke bangku panjang itu menjadikan perbualan mereka sedikit terganggu.
“Untuk mereka yang tidak dapat menyambung pelajaran atau memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi aku adakan anugerah khidmat cemerlang untuk menilai prestasi kerja mereka sekarang. Sekarang kau dah faham semuanya?…”
Meor mengangguk beberapa kali sementara matanya masih meneliti beberapa nama yang menarik perhatiannya semenjak tadi
  “Sekarang kau dah faham?…kalau begitu kau boleh balik sekarang!…”,kata Anas lagi.
Meor terdiam dan mulai merasakan ada sedikit kebodohannya dari perbualan mereka tadi. 
“Kau cakap macamlah engkau boss di stesen minyak ini…”Mereka berdua ketawa panjang dan Anas meminta maaf pula kerana sifat panas barannya yang masih lagi tidak dapat dikikis dari jiwanya. Sementara itu Meor mula membayangkan bagaimanakah nanti keadaanya majlis pernyampaian biography itu nanti.


Sambil menunggu kenderaan tiba untuk mengisi minyak, rakan-rakan sekerja Meor mengambil kesempatan untuk berbual-bual tentang perkembangan arena industri muzik tanah air.Dia tidak pasti inti perbualan sebenar mereka itu walaupun dia turut berada disitu namun fikirannya masih kepada kenangan-kenangan yang tercetus dari senarai nama yang Anas berikan pagi tadi.Dia seolah-olah masih terasing dalam perbualan itu walaupun tempoh tiga hari adalah sudah cukup untuk dia memesrai mereka dan seterusnya membiasakan diri dengan pekerjaan sementaranya dan suasana di stesen minyak itu.Satu kebetulan juga fikirnya apabila dia dan Anas mengambil keputusan bekerja sebagai Atendan pam minyak sebagai memenuhi kelapangan cuti semester itu.
“Kau tak tahukan yang album baru Hattan akan keluar tak lama lagi..”,sahut Mamat salah seorang rakan sekerja yang bertubuh kurus dan tinggi.
“Ish..mesti mengancam punyalah…gua gerenti album itu akan meletup satu Malaysia…”,balas seorang rakan Mamat yang sering berkunjung dengan suara garau tetapi bertubuh kecil dan kurus.
Pada saat-saat tertentu fikirannya kembali segar mengingati peristiwa reunion yang pertama kali diadakan di restoren Mc Donald Ampang park dua tahun lalu.Setiap saat berlalu menjadi sejarah manis itu benar-benar diingati sehingga kini.Pada hari itu secara tidak sengaja jatuhnya hari wilayah dan mereka yang bergelar bekas pelajar darjah enam raya telah berkumpul semula setelah enam tahun berlalu. Berhimpun dalam ertikata sebenar untuk menjalinkan semula tali persahabatan yang terlalu mahal untuk dibiarkan terluput dan dimamah masa begitu saja.
Wajah demi wajah mulai tergambar diruang minda.Beberapa jenis mata,hidung dan bibir yang membentuk wajah sahabat lama berlegar-legar diruang mata tanpa henti. Ada diantara hanya seimbas laluan namun begitu sukar mengikis beberapa wajah yang penuh dengan kenangan silam itu.Kini ianya bagaikan telah terpahat kukuh menjadi satu landasan sejarah dalam dirinya untuk tabah mengharungi cabaran kehidupan yang mendatang dengan lebih bermakna lagi.Mungkin sahaja sesuatu yang tidak terjangkau oleh pemikirannya tentang wajah-wajah itu - kini merupakan suatu asas pada petanda dalam hidupnya pula.
Namun pertemuannya dengan Anas pagi semalam benar-benar menimbulkan semula kesan mendalam tentang ingatan zaman silam.Ianya bagaikan satu filem lama yang telah ditayangkan semula berulangkali tetapi masih segar jalan ceritanya.Dan dirasanya dialah yang menjadi watak utama cerita itu.Nama-nama seperti Sharina,Lia Khadija,Ika Fatiha, Norzina, Alias, Deraman,Anas,Kamarul,Yazid dan banyak lagi tidak  seperti yang dikenalinya beberapa tahun yang lalu  Segalanya telah berubah bersama beberapa ketidak dugaan dan keganjilan terpampang dimata dan ianya nyata berlaku akhirnya selepas reunion pertama itu.
Paling memeranjatkan disaat itu, Anas selaku pengerusi majlis tidak menghadirkan diri. Perjalanan majlis yang sudah dirancang tidak menjadi.Oleh kerana itu terpaksalah Sharina menjadi bidan terjun untuk memastikan reunion itu berlalu tanpa sesuatu yang merugikan.Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.Pertemuan itu hanya dipenuhi dengan bualan-bualan kosong yang penuh dengan gurau-senda dan usikan-usikan yang berjela-jela. 
“Setiap album Hattan memang aku beli..aku tak pernah ketinggalan satu pun…”
Khayalannya terganggu seketika oleh suara Mamat rakannya yang bernada kuat itu.
“Kau hanya layak membeli album tempatan saja…tidak macam aku…semua album luar negara aku beli..’sahut salah seorang yang lain.
Sebenarnya salinan agenda reunion itu telah tersedia ada pada dirinya.Memang sebelum itu Anas sengaja memberikan padanya satu salinan untuk di Photostat dan diedarkan Dan kini dia baru terasa memang dialah yang bersalah kerana membiarkan wanita seperti Sharina terpekik dihadapan seorang diri sambil turut diperhatikan oleh beberapa orang pelanggan di fast food itu Oleh kerana dia telah mengondolkan kepala dan merasai malu berdiri hadapan dengan keadaan botak begitu maka dia hanya mendiamkan diri dengan duduk semeja dengan Ika yang berpakaian serba ungu,Intan dan Norzina sambil ditemani oleh Yazid dan Kamarul .Meor hanya bersongkok hitam sahaja sementara rakan lelakinya yang lain hebat dengan beraneka jenis pakaian.
“Kita harus mengorbankan apa yang kita sayang…tanpa pengorbanan kita tidak akan tahu nilai sesuatu itu…contohnya seperti rambut ini…”Meor tidak tahu kenapa dia harus membangkitkan soal pengorbanan pada Ika setelah gadis kesayangannya itu bertanyakan kemana hilangnya jambul Supermannya itu.Dia masih yakin sehingga ketika itu hubungannya dengan Ika masih tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali Sharina dan Yazid.Oleh itu dirinya masih lagi menjadi tumpuan gadis-gadis yang lain terutama dari Intan yang suka berceloteh tentang diri dan masa depannya yang terlalu direncanakan.
Namun setelah merasai apa yang terjadi rupa-rupanya dia memang telah terhukum dengan kata-katanya sendiri.Seminggu selepas itu tanpa diduga sepucuk surat dari Ika pun tiba ditangannya dengan amanat terakhir.Gadis itu tanpa disangka meminta Meor melepaskan pergi. Dengan ribuan maaf dihulurkan Ika dengan harapan perpisahan itu hendaknya tidak disalah tafsirkan.Pinta Ika bukanlah bermaksud dia sudah ada pengganti atau meragui kesetiannya selama ini. Namun hasrat ibubapanya agar tidak terlibat dalam sebarang soal kasih dan cinta adalah perlu diutamakan.Masa depan masih jauh lagi dihadapan.Ika tidak mahu terkandas dalam pelajaran kerana melayan perasaan yang berlebihan.Lagipun perjalanan hidup masih jauh dan banyak cabaran yang harus ditempuhi.Cinta dan kasih boleh dibina dikemudian hari. Begitulah kata-kata terahkir Ika untuknya.
Hari-hari berlalu selepas itu dia tidak pernah menghubungi atau dihubungi oleh gadis periang itu lagi.Dia sendiri tidak faham kenapa dia tidak mahu berjumpa dengan Ika untuk mengenal pasti erti sebenar perpisahan mereka.Baginya hubungan mereka sudah pun ditakdirkan berada dipenghujung jalan.Istilah berkerat rotan dan berpatah arang adalah sinonim dengan keadaan mereka setakat itu.
Sementara menunggu keputusan SPM diumumkan pada bulan berikutnya dia menghabiskan masa dengan memancing ikan bersama Yazid sambil mencurahkan perasaan duka pada sahabatnya itu.
“Kau tahu ikan-ikan dilombong ini terlalu banyak…dan tentu kita tidak akan dapat menangkap kesemuanya walaupun dengan menjala..” Meor meluahkan rasa kecewanya pada suatu petang.
“Memang kita tidak ada kudrat untuk itu..tetapi sekurang-kurangnya kita dapat menangkap ikan-ikan yang kita minat dan mahukan…itu saja sudah memadai..”
“Kadang-kadang memancing begitu lama pun ikan tak dapat-dapat..” Meor ketawa kuat dan Yazid hanya merenungi aksi keterlaluannya itu begitu lama.
“Ikan tak dapat..tapi kita dapat belajar erti penat dan kesabaran Meor..kita tidak boleh belajar kedua-duanya itu sekaligus kecuali di lombong ini saja, Meor..”
“Ya.ya aku setuju dengan kata kau itu… Ada kalanya ikan dah terjerat tapi bila tiba ditangan kita terkena sengat dan terjatuh keair semula…”
Apabila keputusan SPM diumumkan dia menerima saja agreget yang tertera tanpa banyak cerita lalu terus mengasingkan diri semula.Berbekalkan tekad dihati dia terus sahaja meminta tempat di UTM tanpa mendaftarkan diri di sekolah Aminuddin Baki untuk ke tingkatan enam seperti yang sepatutnya. Ramai rakan-rakannya terkejut dan tidak kurang pula yang tersalah anggap dengan tindakan beraninya itu. Hari-hari berlalu rasanya begitu tiada bermakna sehinggalah dia diterima memasuki ke UTM.Selepas itu dia bertekad untuk membuang segala memori lamanya demi mengharungi dunia kampus  yang terasa lebih mendebarkan.dia membuang segala memori pada setiap pertemuannya dengan Ika pada setiap pusat perpustakaaan dimana mereka belajar bersama-sama.
Memang pedih dirasakan bagi manusia sepertinya yang mengalami perpisahan tanpa diduga Selama ini hidupnya berjalan lancar tanpa ada seksaan yang mendadak tiba. Memang itulah satu-satunya penderitaan yang pernah dialami. Kini dia seperti sengaja memendam perasaan ingin tahunya apakah yang sebenarnya dirahsiakan oleh Ika sehingga tercetusnya satu perpisahan.
Masih ada satu lagi pertanyaan yang berlegar-legar ketika itu adalah tentang kehadiran Lia padahal dia bukanlah ahli bekas darjah enam raya.Apakah pertemuan yang gagal itu begitu bermakna untuknya menemui seseorang yang dicari selama ini?..Namun setelah penat memikirkannya lagi Meor percaya berbagai persoalan dan tanda pertanyaan yang tidak berjawab itu pasti akan ditemuinya dalam cuti semester itu.atau paling dekat ketika majlis penyampaian biography itu nanti.Biarlah dia cuba menyelesaikan beberapa memori yang masih sepi dalam rahsia dicuti semester ini sementara menunggu semester baru tiba.Dia sudah berkata pada hati kecilnya sendiri agar bersedia untuk mencungkil kembali rahsia-rahsia yang masih membelenggu jiwanya selama ini.

Petikan Bab 2 Novel Revolusi Muda

BAB 2 :

Puncak Berkembar

Segalanya tidak akan berubah
kalau semata-mata bergantung teori
Jadi,
lakukanlah sesuatu yang terbaik secepat mungkin
jika enggan menyesal kemudian hari.
Diantaranya:
Sahutlah cabaran masa depan
berani mengadap takdir realiti
Kau adalah engkau
engkau tidak mungkin menjadi orang lain.
Orang hanyalah sebagai idola
yang memberikan kata tolak, koma dan noktah
Oleh itu wujudkan pelbagai idola
Di dalam diri
agar kau benar-benar terpengaruhi
hingga menjadi seorang insan baru terbaik.
Ingat!
Hidup kita ini
Amat saling pengaruh-mempengaruhi







I : Januari 1985
ASTAGFIRULLAH AL ADZIM!!!!
Laksana baru keluar dari sebuah penjara, setelah mengaku berdosa, dia mengambil keputusan untuk menghukum diri di atas kematian seorang guru. Arwah cikgu Rosminah. Dialah penyebab kehilangan kekal seorang pendidik bangsa. Walaupun tiada sesiapa pun menuding jari, namun dia malu pada diri sendiri. Malu oleh sindir-kata orang yang melingkungi, merasuki diri. Dia terasing dalam kepompong buatan sendiri.
Hasilnya, dia menjadi pelajar yang hanya mengenal pen mata bola dan buku sekolah. Cukuplah! Diselubungi rasa rendah diri, dirinya berjalan bagaikan sepasang kaki terbenam didalam bumi. Cukuplah hanya menjadi pelajar pintar dalam dunia buku-buku teks sekolah.
Baginya pelajar pintar tak semestinya pintar memimpin. Yang pintar memimpin pula tak semestinya berjaya dalam kepimpinannya. Kepintaran itu pula berbagai rupa dan gaya. Dan mustahil untuk seseorang itu untuk pintar segalanya.
Contoh terbaik sewaktu di dalam darjah 5. Dia pernah menolak tawaran untuk menjadi ketua darjah, walaupun telah dipilih dengan sebulat suara. Sekali lagi dalam darjah 6, hanya dengan berfikir 2 kali, dia menolak mentah-mentah tawaran untuk jadi seorang pengawas. Bukan disebabkan terlalu merumitkan fikiran, namun kerana dia enggan mengulangi sejarah duka. Kesilapan memimpin alamat buruklah padahnya pada orang-orang bawahan.
Laksana dibuktikan lalu diadili oleh para hakim dan juri. Di rumah pula, telinga ini sudah menjadi lali. Dimarahi setelah gagal dimotivasi berkali-kali oleh seorang bapa kerana enggan memikul sebarang tanggungjawab dalam kurikulum sekolah.
“Kepimpinan itu mesti dipelajari..ianya sama penting dengan mata pelajaran sekolah..“
Dengan lagak seorang pengetua, bapa membebel tak tentu masa.
“Kalau tak mahu belajar jadi pemimpin..dah besar nak jadi apa?.. pengikut?.. pengikut apa?“
Ibu pula bersifat sebagai seorang pakar kaunselor. Dia hanya terdiam apatahlagi membantah, sebaliknya berpeluk tubuh tanda keegoan masih membara. Kadangkala dia sengaja merancakkan mata menonton aksi Michael Jackson di layar TV yang menampilkan tarian break dance.
“Dah besar tak akan cukup dengan makan gaji saja..kita harus jadi pemimpin. Barulah hidup ini penuh bermakna..“
Ya, memang benarlah.
Laksana baru terjaga dari sebuah lena yang panjang, dia lantas mencelikkan mata. Sebuah arena baru sedang menjelma. Dia kini bukan lagi seorang pelajar darjah 4 di tangga usia 10. Dia sedang berada di awal titian rapuh bernama remaja.

2 : Awal Februari,1985
TAHUN berkeramat telah menjelang. Barangkali tuah fung sui ada menunggu di situ. Satu dalam seribu. Dalam sejuta cuma ada satu. Ibarat rama-rama yang baru keluar dari kepompongnya. Sekian lama hidup dalam dunia kecil kegelapan, kini dia perlu meninggalkan alam dedaunan kehijauan lalu menerbangi diri dalam angkasa kebiruan dengan sepasang sayap baru dengan semangat dan tekad yang jitu.
Kekuatan dalaman yang bermastautin di dalam diri adalah hasil perkasihan mengejutnya dengan Salina. Menerusi perantaraan Shahrir, dia telah dipertemukan dengan satu bentuk dunia yang cukup bermakna, universal dan besar. Lebih mengkagumkan berbanding apa yang diketahui akan kepentingan mata pelajaran metamatik dan sains di dalam abad teknologi yang semakin mencabar.
Sekaligus diakui betapa dalam rutin harian remajanya ada sejumlah lompang yang perlu diisi daripada terbiar merugikan. Sekian lama dia terpengap, berlari dalam bulatan tanpa menemui jalan keluar. Lantaran itu dia bersyukur kerana di antara ribuan remaja sekolahan dia telah dipilih Tuhan.
Adakah pilihan itu atas kehendak Tuhan yang mahu ‘gifted’nya dalam bidang pelajaran lantas harus disalurkan ke arah bidang yang lebih mencabar. Bidang sastera harus ada pelapisnya juga. Begitulah yang difahami tentang keterlibatan dirinya dalam revolusi itu.

MASIH diingati lagi.
Detik bersejarah itu mereka baru dipertemukan di dalam kelas tingkatan 1 perdagangan. Shahrir yang baru dikenali dianggapnya sedikit pelik, bukan sahaja bertubuh besar dan segempal seorang guru, malah merupakan seorang ulat buku. Paling menakjubkan pembacaannya terkeluar dari senarai buku-buku teks sekolah.
Sastera – satu identiti yang sering diperlekehkan kerana menyakini langsung tidak berfungsi apa-apa dalam dunia peradaban ini. Selain satu pembacaan yang penuh khayalan dan impian yang mengada-ngada. Terbayang juga akan satu zaman purbakala di mana para manusia mula memahami bagaimana buah kelapa boleh terapung dan batu boleh tenggelam.
Semakin mendekati, penampilan pelajar pendiam itu mula menarik minatnya apabila detik terindah dia terlihat sebujur wajah seorang wanita di kulit novel karya seorang sasterawan negara.
“Buku apa ini?..boleh aku tengok?”
“Bukan sekadar tengok, nak baca pun boleh..”
Wajah Salina di kulit novel itu dibeleknya berkali-kali. Wajah seorang wanita melayu yang sayu. Bagaikan ada seraut sengsara telah tersembunyi dan tidak diketahui sebab apa.
Salina…emm,ceritanya tentang apa?”
“Tentang seorang pelacur..”
“Pelacur?…seorang Sasterawan Negara tulis cerita tentang watak seorang pelacur?..eeeeeii”
“Kenapa?..”

“Pelik!…nonsense

“Aku nak tanya…sekarang apa yang kau fikirkan tentang seorang pelacur..”
“Dosa…maksiat…kejalangan”
“Apakah yang mendorong seseorang itu menjadi pelacur?..”
“Kemiskinan barangkali..”
“Nah!..Inilah cerita sebenar Salina…bagaimana kerana kemiskinan akibat perang, manusia boleh tergelincir ke dalam dunia kencah penuh dosa…”
Shahrir tidak meneruskan keterangan itu, sebaliknya tersenyum sinis bagaikan menyindirnya dirinya yang serba dungu. Ibarat seorang remaja yang rapuh peribadi, termanggu-manggu mencari prinsip diri. Jahil tentang sejenis perkara yang perlu diketahui oleh seorang remaja yang ingin segera dewasa.

SEMINGGU kemudiannya dia terpegun lagi apabila nama A. Samad Said diperhatikan buat kali kedua. Novel Hujan Pagi ditelitinya pula. Apakah lelaki berambut kerinting halus itu benar-benar seorang pengagum sastera?
“Hujan Pagi…emmm”
Cuba teka novel ini berkisar tentang apa?” soal Shahrir dengan lagak ceria.
“Tentunya mengisahkan tentang masalah budak-budak kampung solok tanah merah yang sukar hendak ke sekolah akibat baju basah dan kasut berlumpur…”.
Shahrir ketawa terbahak-bahak tanpa memberikan pembetulan yang jelas. Bau mulut yang hapak melantun keras menusuk ruang hidungnya.
“Kalau kau nak tahu..kau kenalah kenal Salina terlebih dahulu..Kau harus bercinta dengan Salina terlebih dahulu, baru kau tahu apa itu dunia sastera yang indah dan mengkagumkan…”
Tanpa memikirkan lebih panjang, novel Salina terus dipinjam.
Bermula dari situ jiwanya mula berkelana di sebuah Kampung Kambing di mana telah dipenuhi manusia-manusia melarat. Daripada penghasilan imaginasi dia tahu bagaimanakah suasana bangsanya di zaman penjajahan berulang. Bangsa Melayu yang melarat akibat peperangan di salah sebuah penempatan di Singapura. Lebih dari itu maka terbentanglah sekajang pengertian mengenai tamadun bangsa mencakupi jarak lampau yang terpandang oleh mata, tak terdengar dek telinga. 
Apakah yang ditemuinya disana? Bukan sekadar seorang wanita bernama Salina. Terlalu banyak makna dan pengertian hidup, hinggakan di perenggan terakhir dia tidak segan-silu untuk menghamburkan air mata apabila Helmi tidak bertemu jodoh dengan Nahidah.

LUSA kemudiannya dia menemui Shahrir lagi. Bayangan hidup Salina sedang menghantui dirinya setakat ini.
“Boleh ke orang-orang yang seusia kita membaca buku-buku seberat ini?”
“Eh.kenapa pula tak boleh?..”
“Biasanya remaja sebaya kita sukakan novel ringan yang bertemakan cinta misalnya..”
“Tidak ada undang-undang yang melarang”
“Bukannya apa …takut mengganggu pelajaran..”
Shahrir tertawa perlahan sebelum beria-ia menjelaskan.
“Pendapat aku  ianya lebih mendekatkan diri dengan pelajaran…sebab kita mula berfikiran matang, bertindak penuh wawasan, bersifat dewasa …dan.. berpandangan jauh serta lebih berjejak….”
“Matang?….”
“Matang..matang bukan tandanya kita sudah bercouple…bukan itu..itu pandangan hidup yang sempit…Matang bererti kita bersungguh-sungguh boleh berfikir sendiri..Kita melihat masa depan dengan kaca mata yang lebih ideal. Kita melihat kehidupan ini dengan lebih mendalam dan salah satu masa depan kita ialah mencapai kejayaan dalam akedemik dan merancang untuk cita-cita di hari tua kita… ”


3 : Pertengahan March,1985
DI SEBUAH bangku panjang di bawah sepohon ketapang di hadapan kantin, dia sedang menghampiri Shahrir. Lelaki itu khusyuk menelaah novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, karya Anuar Ridwan.
Bayangan hidup Lokman dan Lajis di dalam novel Hujan Pagi sedang menghantui dirinya lantas mengikuti ke mana saja dia pergi. Siapa sangka, siapa yang rasa cili dialah yang rasa pedasnya. ‘Lockman’ iaitu bayangan manusia yang terpenjara bukan sekadar watak di dalam novel malahan merujuk pada dirinya juga.
“Aku dapat merasakan sejak membacal novel Salina, diri aku mengalami perubahan..”, Adam mula mengadu pada Shahrir tentang apa yang berkocak dalam kotak fikirnya. Satu perubahan bermakna yang perlu dihebahkan pada semua.
“Perubahan ini bermula dengan pemikiran. Dari pemikiran wujudnya tindakan..“
“Maksud kau?”
“Pemikiran itu harus dicambahi dengan ilmu. Ilmu itu terdapat menerusi pembacaan. Bacalah. Oleh kerana itu ayat pertama Al-Quran yang diturunkan ke muka bumi ini ialah Iqra. “
“Aku tak fahamlah….”
“Ilmu itu terbahagi empat : Timur – Barat – Utara – Selatan , Taurat – Zabur – Injil – Quran , Syariat – Tarikat – Hakikat – Makrifat , La – illa – hail – lallah , Musa – Ibrahim – Isa – Muhammad”
Demikian kesimpulan Shahrir yang terngiang-ngiang, tak padam-padam. Mendengarkan itu mulutnya terlopong dan mindanya ternganga. Bersimpul-simpul minta agar segera dirungkaikan. Barangkali ada benarnya tentang fakta kapasiti otak yang boleh menampung 125 trilion dan 500 billion maklumat di dalamnya. Sekadar mempelajari buku teks sekolah berapa saja luaknya.

SELANG beberapa hari selepas itu buat pertama kali dia mula menjejakkan kaki ke lantai perpustakaan sekolah. Tidak disangka rupanya di situlah dia terjumpa puluhan naskah dewan sastera terbitan tahun-tahun yang lampau.
Dengan perasaan malu yang sengaja dilontar, helai-demi helai majalah dibuka. Dari helaian puisi, cerpen hinggalah ke ruangan komentar. Dari situlah dia mula terjatuh cinta dengan sastera. Jatuh cinta pandang pertama, dari mata turun ke jiwa, lalu menetap di lubuk minda.
Selembar demi selembar majalah dewan sastera habis ditelaahnya. Dalam sekelip mata dia mula diperkenalkan dengan kehebatan minda Alber Camus, John Steinback, Ernest Hemingway, Gabriel Barcia Marquez dan Naguib Mahfouz. Kesemua itu adalah watak-watak hebat tanpa wajah. Puluhan manusia bukan melayu yang berminda lebar, berjiwa besar.
Dalam ketika membelek susunan novel-novel di rak-rak yang terbuka, dia terjumpa buku Tunggul-tunggul Gerigis karangan Shahnon Ahmad, seorang lagi sasterawan negara yang tersohor. Amat menakjubkan kumpulan esei Tangan Yang Simpatik telah habis dibacanya pada petang itu juga.

MINGGU berlalu, bulan berganti.
Dia mula mengasuh diri untuk menjadi ulat buku. Dia masih mengurung diri namun tidak di minda lagi. Mindanya sedang hebat menjelajah di seantero dunia tanpa henti. Dengan kehebatan minda, manusia boleh menjajah dunia ini. Dengan kelemahan minda juga manusia diperkudakan tanpa henti.
Dengan azam yang diperkuatkan, dia mula memberanikan diri mengunjungi Perpustakaaan Negara, kemdiannya berganjak ke Toko Buku Minerva seterusnya di Pustaka Antara lantas mencari beberapa judul yang menghantui mindanya. Tetralogi Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer begitu sekali diidamkannya.
Kenapa manusia itu bersusah payah menjadi pengarang? Kenapa novel dihasilkan?  Demikan bertubi-tubi pertanyaan itu merasuk fikiran.
Hidupnya bukan kehidupan yang sebelum itu, walhal corak kehidupan langsung tidak berbeza. Lebih mendewasakan adalah adanya pengembangan fikir yang melampaui daripada dunia persekolahan. Apabila difikirkan lagi memang begitu pelik bagaimana dirinya boleh sedar dari kealpaan hidup yang tidak memberi sebarang makna.
Kealpaan hidup yang dimaksudkan ialah hidup yang memiripi robot, tahu makan bila lapar, beristinjak bila usus memulas, belajar kerana disuruh atau takut dirotan. Kecuali hanya lebih kurang 5 minit dalam 5 kali sehari dalam sembahyang mengadap Tuhan tanpa kekusyukkan. Berbaloikah?
Sastera menerusi pembacaan Bumi Manusia telah berganjak ke Ranjau Sepanjang Jalan secara perlahan-lahan dapat ditangkap takrif-takrif hidup yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini. Kalau diterangkan pada orang lain tentunya sukar untuk dipercaya apatahlagi difahami. Antara yang paling dikesalkan ialah selama ini fungsi otaknya sebagai seorang khalifah muka bumi tidak digunakan secara maksima.
Rupanya selain itu terlalu banyak peranan yang masih terpendam tak terusik oleh kebanyakan anak remaja yang lain. Misalnya pertanyaan apakah peranan anak remaja dalam institusi negara? Dalam sekolah apakah sekadar mencapai cemerlang dalam pelajaran saja? Bukankah sekolah itu adalah negara kecil bagi anak remaja seusianya? Memajukan negara adalah tanggungjawab pemimpin dan kemajuan itu seharusnya bermula dari sekolah sendiri.
Sastera itu memang mampu memartabatkan hidup manusia. Membangunkan rohaniah bangsa seperti bangsa Ireland misalnya. Dia menganggukkan kepala beberapa kali, mengajari diri.
Minda dan emosi berbaur lagi.
Cara untuk memajukan sekolah adalah melahirkan anak-anak pertiwi yang berjiwa besar, berkepimpinan besar serta bersemangat tinggi dalam penggalian ilmu.  Segala-galanya perlu dilakukan dari asasnya sendiri. Seperti ingin mendirikan bangunan yang tinggi, perlunya ‘foundation’ yang kukuh dan berkualiti. Dan ‘foundation’ itu adalah terletak pada barisan pelapis kepimpinan negara yang mesti dihasilkan menerusi alam persekolahan remaja.


4 : Pertengahan Disember,1985
HUJUNG tahun percutian dia berkesempatan untuk pulang ke desa untuk menghadiri kenduri perkahwinan busunya. Kali ini dia tidak sekadar menatap debur pantai di waktu petang ataupun lebih mentafsir erti ribut tengkujuh melanda di waktu malam.
Pohon kelapa seakan tumbang dengan dedaunan berlambaian girang. Sampan-sampan berolekan garang. Apakah benar alam ini adalah sejenis buku yang penuh dengan tamsilan? Membaca alam adalah satu permulaan bagi diri manusia yang ingin mendekatkan diri pada kebenaran.
Lalu pada ketika itu muncul satu penafsiran. Apakah membaca novel boleh mengubah persepsi dan sentiviti diri? Benarkah?  Tetapi itulah yang telah dan semakin dialaminya secara berperingkat. Ketika itulah dia mula terfikir siapakah dirinya itu.
Seorang hamba Tuhan yang perlu mematuhi setiap ajaran agama. Seorang anak yang perlu memenuhi kehendak dan aturan hidup berkeluarga. Seorang pelajar yang mesti menamatkan pendidikan menerusi keputusan-keputusan peperiksaan yang gemilang. Hanya sekadar itukah?
Apakah pula peranan anak-anak remaja pada kemajuan bangsanya? Bagi mencari petunjuk dia lantas tunduk dalam solat Istiharah sambil merangkap syukur ke hadrat Tuhan.
Sungguh memeranjatkan, secara tiba-tiba tangan kanannya terus pencapai kertas dan pena. Lantas lahirlah sehimpun kata-kata puitis yang tak pernah disangka-sangka.
dengarkanlah dongengan dahulu kala
betapa bobroknya zaman indah yang kita bina
kita sudah lama hilang rasa percaya
pada leluhur, tanah ibunda
pusaka warisan kita
Berpeluh-peluh tubuhnya apabila mendapati ada suatu tenaga aneh yang mengalir deras dalam jiwanya ini. Himpunan suara itu berdengung halus membentuk satu irama yang sedap didengar.
Subhanallah!..Naluri Usman Awang rupanya sedang menyelinap di dalam dada ini. Dalam diam-diam dia telah menjadi seorang penyajak!


5 : Akhir Januari, 1986

DIA merasa sedikit segan kerana terlewat untuk bersembahyang jemaah di masjid tetapi sudah bersedia untuk berjogging. Perubahan kecil yang dimulakan ini tidak dinafikan akibat dari pengaruh sastera yang mewarnai mindanya yang terbaru. Dia ingin menjaga kesihatan disamping memperbaiki kelemahan struktur badan. Jiwa dan badan punya erat pertalian. Lemah salah satu akan membantutkan kejayaan.

Selesai berjogging lalu tiba kembali di rumah, dia lantas mandi kemudian tidur sepulas-pulasnya. Setelah terjaga, azan Zohor telah kedengaran lalu dia bersiap sedia untuk ke sana.

“Assalamualaikum…“
Di pintu serambi masjid, Adam menjabat tangan si pemberi salam. Lidahnya kelu tetapi tersenyum manis. Dia tidak pasti samada telah menjawab salam di dalam hati ataupun bukan.
“Tak kenal saya?”
Lelaki itu melanjutkan. Adam menggeleng malu dan masih tetap membisu.
“Saya Amran…kitakan sekelas..masih tak perasan saya?“
Dia memerhatikan lagak lelaki bertubuh gempal itu. Memang seiras alllahyarham Tan Sri P. Ramlee. Bagaimana dia tidak perasan akan kehadiran rakan sekelasnya itu? Sejak setahun yang lalu? Malahan rupanya mereka sedang bermastautin di qariah yang satu?

 

6 : Pertengahan Februari, 1986

BARU sepuluh minit berlari, nafasnya mulai mengah. Belakang baju T sudah pun basah oleh peluh. Dijangkanya baru suku kilometer dia berlari sudah pun mulai rasa malas untuk meneruskan. Semangat diperkuatkan untuk tiba di padang permainan yang tinggal 50 meter sahaja jaraknya.
Waktu petang, di padang permainan dia dipertemukan lagi dengan Amran.
“Awak tinggal di mana?” Itulah bentuk pertanyaan Adam yang pertama.
“Di rumah datuk saya….di Taman Setanggi fasa 1…”
Setelah begitu lama berbual barulah Adam mengerti. Waktu itu Amran baru saja mendapat taraf kerakyatan Malaysia kerana mengikut ibunya berpindah dari Singapura lalu menginap di rumah datuknya.
Kini dapat dirasai hidupnya bukan seekor kera sumbang. Dia tidak perlu bersendirian lagi. Dia sudah punyai seorang rakan yang cukup disenangi. Namanya Amran Hambali.


7 : Awal April, 1986

PENONJOLAN Amran pada mulanya tidaklah dihiraukan sangat. Biasalah, bila baru sebulan berpindah sekolah pasti tak sabar-sabar nak menonjolkan diri. Dua minggu selepas itu barulah dia tahu selok-belok perangai pelajar istimewa itu. Waktu itu masih di kelas tingkatan 2 perdagangan, masih belum mempunyai sebarang pengganti ketua darjah yang baru berpindah sekolah.
Amran telah dipilih menjadi ketua darjah dengan pencalonan sebulat suara. Pemilihan itu dibuat bukan kerana kepandaian tetapi bijak mengatur kata, berani bersuara, dan penampilan penuh disiplin dan wibawa.
Waktu demi waktu, Amran mulai menunjukkan kewibawaan yang menjangkau rutin rakan-rakan sebaya. Dia mula bergiat cergas dalam Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Persatuan Pelajar Islam (PPI), Kelab Kaunseling dan Kerjaya (3K).
Belum pun sampai 4 bulan mereka berkawan. Cakaplah saja siapa yang tak kenal Amran. Para pekerja kantin malah tukang kebun sendiri kenal dan fasih akan suara emasnya.
Bertitik tolak dari situ kemudiannya ramai yang mula menyedari kewibawaan Amran. Dalam PBSM, bakatnya dalam berkawat cukup mengatasi yang lain. Di surau sekolah, kehebatannya menjadi muaazin surau sukar ditandingi. Dalam mesyuarat, kreativiti dalam membantu pihak AJK dalam menghidupkan semula 3K yang sudah lama terkubur cukup membuka mata orang.
Tidak seperti pelajar lain, daya kepimpinan jelas terbukti dari penampilan yang teguh bersama disiplin diri yang kuat. Ada masa untuk berjenaka dan ada masa untuk bertegas. Pendekata apa yang dilakukan telah melampaui usia sebenarnya. Bak kata cendikiawan, dia adalah di antara remaja yang telah mendahului zamannya.


8 : Pertengahan Mei, 1986

SETELAH tiba di padang permainan, Adam memberhentikan larian. Dia mengambil nafas panjang lalu berjalan perlahan-lahan. Beberapa orang yang tidak dikenal turut berada di persekitaran. Namun hari itu Amran tidak kelihatan di mana-mana kerana mereka sudah pun berjanji untuk jogging bersama-sama.
Hatinya sehingga hari itu tidak pernah seriang sebelumnya. Dia sudah punyai seorang sahabat terbaik buatnya. Dengan keadaan tubuh gempal, Amran telah tertinggal 50 meter jauh di belakang. Dalam masih termengah-mengah mengumpul oksigen ke dalam paru-paru, Amran mengejar Adam lalu sempat pula bercerita dengan panjang lebar.
„Ingat lagi tak sejarah tingkatan 1, tentang penaklukan Portugis terhadap Empayar Melaka ..“
„Apakah maksud kau Amran?“
„Kedatangan Benggali putih itu sebenarnya bukan sekadar kerana rempah tetapi adalah untuk menjajah“
Selepas itu lelaki ajaib itu terus bercerita dan terus bercerita. Memang itu pun sifat lumrahnya.
“Menurut buku sejarah kedatangan Portugis adalah kerana rempah kononnya. Ini menunjukkan ketika itu bangsa melayu lebih bertamadun dari bangsa Eropah.”
“Aku tahu maksud kau…kau hairan kenapa manusia Eropah dan barat sekarang ini lebih bertamadun daripada kita?..begitu?”
“Yang menghairankan aku bukan itu..tetapi yang lebih menakutkan aku kenapakah sejak penjajahan ratusan tahun, bangsa kita terlalu terkebelakang..”
“Mungkin kita semua masih menunggu engkau, Amran..Engkau adalah seorang pemimpin besar..”
Amran tersenyum sinis sebelum memberikan jawapan.
“Mungkin aku, mungkin juga engkau, Adam..”


9 : Awal Januari,1987
TAHUN baru telah menjelang. Azam baru mengundang. Imej baru terbayang.
Dia tidak pasti bilakah wujudnya idea dan saranan bernas apabila tiba-tiba sahaja Amran mencalonkan diri untuk mewakili sekolah mereka dalam pertandingan pidato. Namun yang diketahui beberapa minggu sebelum itu dia sering terserempak dengan Amran dan Cikgu Rokiah sering berjumpa di bilik guru begitu hebat membincangkan sesuatu.
“Pidato Piala Diraja?”
Amran tidak mengangguk, sebaliknya mengangkat kedua belah keningnya.
“Cikgu Rokiah suruh.atau kau sendiri?”
“Inisiatif aku sendiri…”
“Setahu aku selama ini sekolah kita memang tidak pernah menghantar wakil “
“Itu dulu..sekarang tidak lagi..sejarah perlu berubah..”
Ramai yang tertanya-tanya dan langsung tidak percaya. Ini macam kes masuk bakul naik tangga. Masakan sekolah yang berada di tangga tercorot dari segi pencapaian pelajaran dan kedua tercorot dari segi permasalahan disiplin di dalam Wilayah Persekutuan ingin turut mengambil bahagian. Tentunya penyertaan Amran akan ditertawakan oleh sekolah-sekolah lain.
Namun Amran tidak mempedulikan semua itu. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Dia mengerti apa yang perlu dihindarkan. Dia faham apa yang perlu diipertimbangkan.
Bakat yang ada adalah benar-benar asli. Bukan dari cedokan mana-mana idola. Tidak juga dipengaruhi oleh sebarang unsur superhero dari tontonan televisyen atau pun video. Malah jauh dari ikutan mana-mana pemimpin negara kecuali ada sedikit mirip ketegasan nada yang diambil dari gaya ucapan Anuar Ibrahim.
Penampilannya memang cukup bertenaga. Ketangkasan bicaranya menghidupkan jiwa yang mendengar. Kerana itu Amran merupakan pelajar tingkatan 3 yang pertama menjadi wakil pidato di Pertandingan Pidato Piala Di Raja peringkat Wilayah Persekutuan dalam bulan Ogos nanti. Dalam usia yang begitu muda. Mungkin saja di negara ini? Itulah Amran Hambali. Dalam sejuta manusia cuma dia seorang.

SUATU ketika dia bermeditasi lalu menganalisis seorang tokoh paling berpengaruh di dunia sehingga hari ini. Lihat saja contoh Nabi Muhamad s.a.w. Masyarakat jahiliah tidak akan berubah jika di Gua Hirak, baginda terus-terusan merintih dengan sebaldi airmata tanpa berbuat apa-apa.
Sebaliknya langkah pertama yang perlu dilakukan ialah perlu meluahkan kata-kata. Kata-kata juga telah membezakan status kenabian atau kerasulan. Kata-kata juga yang membezakan antara pengikut dan pemimpin. Nabi Musa yang bertaraf Ulul Azmi sendiri pernah berguru dengan Nabi Khidhir yang ternyata tidak termasuk dalam 25 rasul yang wajib diketahui.
Apa lagi contoh yang dia perlu bentangi?


10: Mac,1987
DALAM perjalanan pulang dari berjogging, dia singgah sebentar di sebuah warung nasi lemak lalu membeli tiga bungkus. Kelihatan di dalam warung ada puluhan para remaja sedang membazirkan masa, berbual-bual tentang motor dan perempuan, bermain dam dan sebagainya. Ada seorang dua yang dikenal. Apabila mata bertembungan, Adam sempat mengangkat tangan lantas mereka berbalas senyuman.
Nampaknya sudah ada sedikit perubahan pada sikapnya. Kalau dulu lagaknya memang sekilas kera sumbang. Kini sudah ada bibit-bibit perubahan. Dia sudah faham apa yang dimaksudkan oleh Shahrir akan erti kematangan. Dia perlu melawan anasir-anasir isolasi yang membelenggu diri.
Selepas itu beku darah gemuruhnya mencair lalu menjadi hampir neutral semua. Gemuruhnya dirasakan sedikit berkurang oleh perasaan keremajaan yang sudah menampakkan ura-ura manusia dewasa. Rupanya selama ini barulah dia sedar. Betapa pentingnya mewujudkan perhubungan yang murni diantara sesama manusia.
Dia mesti keluar dari tempurung kelapa yang menangkup hidup. Tidak mahu menggauli masyarakat apatahlagi menghampiri kaum hawa yang dirasanya begitu disegani.
Dalam masa yang sama dan seterusnya, dia terus mencipta satu revolusi yang jarang orang terfikirkan ketika itu. Bersastera, berseni, berpuisi dengan visi yang cukup tinggi. Dengan sastera dia ingin merubahi diri. Satu perkataan keramat lalu menjelma meresapi diri.
Revolusi Muda.


11 : Akhir Mei, 1987

DILUAR bilik, malam kelam berbahang, mendung tebal tanpa sebarang angin. Kembali menentang insomnia, di dalam kamar, dia sedang memusahabahkan diri. Dia tidak pasti sudah berapa lama dia menatap cermin besar. Imej yang berada di hadapan kembali menyerupai wajah diri yang sebenar.
Apakah asal revolusi itu berasal dari Shahrir? Tiada siapa yang pasti. Apakah dari Amran pula? Yakin Adam pula kemudiannya, semarak revolusi memang berasal dari kredebiliti Shahrir. Dia diberitahu bahwa sebelum dia, Amran kerap bertemu dengannya meminjam buku-buku tentang pelbagai keilmuan.
Memang ada persamaan dalam kepimpinan politik negara tentunya. Ada pemimpin berbakat besar namun tiada penonjolan di mata umum akibat sebab-sebab tertentu. Itulah manusia besar di balik tabir yang tiada siapa pun yang tahu.
Shahrir memang lelaki hebat yang penuh rahsia. Manusia hebat di balik tabir. Sama hebatnya dengan Amran walaupun berbeza bidang. Di dunia yang lebih besar ini diyakini memang ada orang-orang penting yang berperanan seperti Amran dan Shahrir. Dia yakin betapa manusia yang memainkan peranan di belakang tabir mempunyai keistimewaan penuh kejutan.
Sesudah menunaikan subuh, dia lantas mengucap syukur ke hadrat Tuhan. Bersyukur terhadap perubahan diri yang menakjubkan.
Dari hari ke sehari dia semakin mengasah keyakinan diri. Hidup ini perlu lebih bererti. Dia mesti melakukan 1 revolusi dalam usia semuda ini. Dia enggan tersepit lagi dalam rasukan memori di mana terdapatnya segumpal rasa berdosa terhadap kematian arwah guru yang dulunya pernah dicintai.
Kesimpulannya, Amran dan Shahrir merupakan dua puncak berkembar baginya. Masing-masing sama hebat dan kuat.
Dalam fantasi mudanya dia terlihatkan, seekor rama-rama sedang terkial-kial untuk keluar dari kepompongnya. Itulah situasi dirinya
Selamat tinggal daun hijau.
Selamat datang langit biru.

Blog Archive