Thursday, March 27, 2014

Hukum Wanita Haid Masuk Masjid



SEMUA sedia maklum, wanita yang haid tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. Bagaimanapun, terdapat juga wanita yang tidak mengendahkan saranan tersebut terutamanya ketika ingin menyaksikan majlis akad nikah dengan alasan darah haid tinggal sedikit dan hampir kering. Harap ustaz dapat berikan penjelasan.

 

JAWAPAN:

 

HUKUM yang dipegang oleh kebanyakan ulama seperti Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal adalah haram bagi wanita haid duduk di dalam masjid.

 

Pendapat yang mengharuskan pula ialah Imam Dawud Zahiri, Imam Muzani dan Ibn Hazim Zahiri. Dalil mereka yang mengharamkan berdasarkan dua hadis Nabi SAW:

 

Pertama, hadis Aisyah RA yang maksudnya: Nabi SAW datang ke Masjid Nabawi. Ketika itu muka pintu rumah para sahabat Nabi bersambungan dengan Masjid Nabawi.

 

Baginda lantas bersabda: "Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid."

 

Kemudian baginda memasuki masjid. Orang ramai belum mengambil apa-apa tindakan pun kerana mengharapkan agar turun kepada mereka kelonggaran.

 

Setelah itu baginda keluar bertemu mereka. Baginda lantas bersabda lagi: "Palingkan rumah-rumah kamu ke arah lain daripada masjid kerana sesungguhnya aku tidak menghalalkan masjid ini untuk perempuan haid dan orang yang berjunub." (Riwayat Abu Dawud RA).

 

Hadis yang kedua pula daripada Ummu Salamah RA yang maksudnya: Baginda SAW masuk ke pintu gerbang masjid lalu menyeru dengan suara yang lantang: "Sesungguhnya masjid ini tidak halal untuk perempuan haid dan orang yang berjunub." (Riwayat Ibnu Majjah RA).

 

Kedua-dua hadis tersebut menunjukkan bahawa perempuan haid dan orang yang berjunub lelaki atau perempuan tidak boleh duduk di dalam masjid.

 

Ada pun melintasinya, kebanyakan ulama mengharuskan dengan dua syarat iaitu ada keperluan tertentu dan kedua diyakini masjid tidak dikotori dengan najis darah haid.


 
WANITA yang sedang haid tidak seharusnya menghadiri majlis akad nikah yang biasa dibuat di ruang solat masjid. - Gambar hiasan
 
Adapun berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisa' ayat 4 yang maksudnya: "(Jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub melainkan orang yang melintasinya."
 
Ada pun dalil-dalil yang mengharuskan adalah pendapat yang mengatakan bahawa hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah tadi adalah lemah.
 
Dengan itu tiada dalil yang kuat yang boleh mengharamkannya.
 
Rentetan itu, hukum duduk di dalam masjid adalah kembali kepada hukum asal iaitu harus.
 
Hujah yang mengatakan bahawa hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah lemah telah dibantah oleh para ulama kemudian, antaranya Imam Syaukani.
 
Bagi beliau kedua-dua hadis itu berstatus hasan atau sahih, jadi kedua-duanya boleh dijadikan hujah dalam hukum.
 
Merujuk kepada soalan di atas, wanita haid yang ingin menuntut ilmu di masjid tidak boleh duduk di dalam masjid.
 
Namun, mereka boleh berada di tempat yang tidak dikhususkan untuk solat seperti dewan kuliah yang tidak dijadikan tempat solat, tempat rehat di tingkat bawah masjid, tempat berwuduk dan kawasan persekitaran masjid.
 
Sekiranya ada yang ingin berpegang dengan pendapat kedua, iaitu yang mengharuskan, mudah-mudahan itulah antara rahmat keluasan fiqh dan perbezaan pendapat dalam fiqh Islam yang dikurniakan oleh Allah ke atas umat Nabi Muhammad.


Orang Islam Berkahwin Dengan Jin Islam?

 
 
 
Orang Islam Berkahwin Dengan Jin Islam? | Soalan: Ada seorang ditempat saya, disebut oleh orang kampung bahawa dia telah berkahwin dengan jin Islam, mempunyai anak dan hidup dalam keadaan rukun damai. Kebetulan saya pernah ke tempat orang ini, ke rumahnya. Saya dapati dia tinggal seorang diri, tetapi rumahnya bersih seolah-olahnya ada yang menguruskannya.

Persoalan besar saya bolehkah kita manusia, berkahwin dan beranak pinak dengan makhluk halus?

Jawapan dari Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Seperkara yang jelas kepada kita bahawa makhluk ini wujud dan boleh menyerupai dengan rupa-rupa yang mereka kehendaki dengan izin Allah S.W.T. Persoalan sama ada boleh atau tidak manusia berkahwin dengan makhluk halus dari segi sejarahnya banyak yang kita dengar bahawa Balqis adalah seorang raja di zaman Nabi Sulaiman. Bapanya manusia dan ibunya daripada jin, ibunya bernama Balqmah binti Saisan.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w pernah berkata bahawa salah seorang daripada ibu bapa Balqis adalah jin. Hadis ini ada dalam Kitab al-Jami’ as-Saghir oleh Imam as-Sayuti.

Tetapi apabila balik kepada masalah hukum, dengan jelas al-Quran, Allah berfirman (mafhumnya),

“Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan hidupmu dari jenis kamu juga”. (Surah an-Nahli ayat 72)
Firman Allah (mafhumnya),

“Dan di antara tanda-tanda keagungan Allah dijadikan bagi kamu dari jenis kamu juga, pasangan-pasangan hidup, supaya kamu mendapat ketenangan dengannya dan dijadikan bagi kamu kasih sayang dan rahmat daripada Allah S.W.T.” (Surah ar-Rum, ayat 21).
Kedua-dua ayat ini boleh difahami dengan mudah bahawa pasangan hidup manusia adalah manusia juga. Barulah akan wujud ketenangan, kasih sayang, tambatan hati dan saling percaya mempercayai.

Bayangkan jika kita mempunyai isteri dari kalangan makhluk halus orang lain tidak nampak, kita nampak seorang sahaja, atau mungkin kita pun tidak nampak tetiba kita berselisih faham, bergaduh dan sebagainya, bagaimana akan terjadi kepada rumah tangga kita.

Hadis yang diriwayatkan oleh Yunus bin Yazid daripada Azzubri katanya, Rasulullah s.a.w menegah manusia mengahwini jin.

Berpandu kepada ayat dan hadis saya sebutkan, atas alasan ini jumhur ulama berpendirian, tidak harus mengahwini jin, jika berlaku perkahwinan, maka perkahwinan itu tidak sah. Kalau berlaku perhubungan jenis, mereka berkesedudukan dalam keadaan haram.

Tetapi Imam Malik bin Anas mengatakan perkahwinan itu adalah makruh dan ada ulama yang sependapat dengan Imam Malik.

Namun apapun yang dapat dilihat maka perkahwinan ini suatu yang kudus, yang pasti diketahui syarat sah perkahwinan, yang paling asas adalah agama.

Jika jin itu bukan Islam maka perkahwinan tidak sah. Jika dikatakan jin itu Islam, bagaimana boleh kita pastikan benar-benar bahawa dia Islam, apakah dengan pengakuan mulut yang mengatakan bahawa dia (jin) Islam boleh diterima.

Jika dikatakan jin itu mempunyai keilmuan Islam yang tinggi dan dia beramal dengannya, maka sama juga dengan manusia yang mengkaji Islam, tetapi tidak Islam.

Malah ada kalangan sarjana Barat yang banyak menghafal al-Quran, menghafal hadis dan mengetahui banyak hukum (terutama orientalis), kalau di alam manusia boleh berlaku, maka tidak mustahil di alam jin juga ianya boleh wujud.

Maka jalan yang terbaiklah, kahwinilah dengan manusia, seperti yang disebut Rasulullah, “Kahwinilah perempuan-perempuan manusia, kerana mereka boleh mendatangkan harta.”




Blog Archive