Friday, September 28, 2012

Keruntuhan Kota Konstantinople..

6 April 1453..Bermulanya Keruntuhan Kota Konstantinople..

Panglima terkenal Perancis, Napoleon Bonaparte(1769-1821) pernah mengungkap kata-kata pujian kepada kota ini,
“If the Earth were a single state, Constantinople would be its capital.” 

Caput Mundi
Kata-kata Napoleon ada benarnya. Pada abad pertengahan, Kota Konstantinople adalah kota paling sibuk, kaya dan makmur di dunia. Kota ini dibina oleh Maharaja Constantine(272-337) pada 330 masihi dan kemudian dijadikan sebagai pusat pemerintahan Rom Byzantine. Kota ini kemudian muncul sebagai tempat persinggahan ramai pendagang daripada timur dan barat. Wajah asing di benua Eropah seperti daripada Habsyah, Arab, Mesir,China dan India boleh ditemui di selat Bosphorus. Disebabkan faktor strategik dan kedudukannya daripada segi geografi di peta dunia, barat menggelarkan kota ini sebagai Caput Mundi yang membawa maksud ibu negeri dunia.





Dek kerana lokasinya yang strategi, kota Konstantinople diimpikan oleh setiap panglima daripada seluruh dunia.



Reputasi gah
Kebangkitan Islam pada abad ke-7 dan seterus berkembang pesat sehingga abad ke-15 telah menggerunkan banyak negara. Konstantinople tidak terkecuali. Miskipun kota ini membina reputasi sebagai kota kebal setelah dikepung dan dibedil sebanyak sebelas kali sejak era khalifah Utsman bin Affan ra, mereka tetap bimbang dengan kemungkinan kota ini bakal tumbang di tangan dinasti Uthmaniyyah yang ketika itu berada di kemuncak peradaban.
Kehebatan Kota Konstantinople
Kota Konstantinople memiliki sistem pertahanan yang paling moden pada zamannya. Sejak ia dibina kota ini tidak pernah tumpas ke tangan musuh.  Kota ini dibina berbentuk tiga segi. Dua bahagian luar menghadap Selat Bhosporus dan Laut Marmara manakala bahagian daratan ditutup dengan benteng yang utuh dan berlapis-lapis.
1.   Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Kedalamannya mencapai 10 meter manakala lebarnya seluas 60 meter.
2.   Telah dibina dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Musuh-musuh yang ingin menawan kota ini perlu memusnahkan tembok luar yang setinggi 8 meter dan setebal 10 meter.
3.   Kota Konstantinople diperkuatkan dengan tembok dalam yang setinggi 12 meter dan 15 meter tebal.
4.   Terdapat beberapa menara kawalan sepanjang tembok dalam, masing-masing memiliki ketinggian 60 meter.
Dengan sistem pertahanan yang kukuh seperti ini, amat mustahil kota Konstantinople tumpas melainkan dengan kebijaksanaan dan kesungguhan yang berterusan.



Melihat kepada sistem pertahanan Kota Konstantinople, mustahil ia dapat ditumbangkan apatah lagi dapat ditawan.
Akhirnya Kota Konstatinople tumbang
Miskipun kota Konstatinople dianggap sebagai kota pertahanan paling ampuh di dunia, Namun, dengan kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih kota tersebut akhirnya berjaya ditakluki. Setelah kota tersebut dikepung daripada 6 April 1453(Jumaat) sehingga 29 Mei 1453(Selasa), dengan izin Allah swt, kota tersebut jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tentera pimpinannya yang mencecah 300,000 orang. Sultan Muhammad al-Fatih ketika itu baru sahaja menginjak usia 21 tahun.
Sesungguhnya, Allah swt telah menganugerahkan kegeniusan serta keimanan yang teguh kepada beliau sepertimana yang telah diramalkan oleh Rasulullah saw.




Kehebatan Sultan Muhammad al-Fatih
Sepertimana yang diperkatakan sebelum ini, Sultan Muhammad al-Fatih dianugerahi Allah swt dengan akal yang cerdas dan kepimpinan yang berwibawa. Dengan usia yang disifatkan sangat muda, beliau mampu mengepalai seketumbukan tentera dengan begitu hebat. Amat jarang sekali pemuda berusia 21 tahun mempunyai bakat sedemikian rupa.
Daripada beliau, dapatlah kita buat sedikit analisa hasil daripada kejayaan beliau menakluk kota paling diimpikan oleh panglima-panglima daripada seluruh dunia.
1.    Persediaan rapi:
Sultan Muhammad al-Fatih telah membuat persiapan yang cukup rapi bagi mencapai matlamatnya untuk menawan Kota Konstantinople. Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan pembinaan sebuah kota Rumelihisari di pinggir selat Bosphorus pada tahun 1451 iaitu kira-kira tiga tahun sebelum penaklukan bersejarah terhadap kota Konstantinople.
Kota ini dibina bertujuan untuk mengawal trafik selat Bosphorus yang menjadi laluan utama kapal-kapal tentera sekutu Rom Byzantine. Kota yang memiliki tiga menara tinggi menjadi bukti pertama kebijaksanaan Sultan Muhammad al-Fatih khususnya dalam ilmu perang. Ketika kota ini dibina, umur beliau baru sahaja 19 tahun.





Kota Rumeli Hisari yang dibina di hadapan Selat Bosphorus.
2.          Psikologi:
Sultan Muhammad al-Fatih bijak menggunakan kesempatan kelemahan psikologi pihak lawan. Sewaktu di kemuncak pengepungan Kota Konstantinople, Sultan Muhammad al-Fatih telah mengarahkan seorang muazzin untuk melaungkan azan solat.
Laungan yang memecahkan kesunyian tersebut telah mengejutkan tentera musuh yang sedang mengawal di setiap menara dan benteng kota. Lebih mengejutkan tentera Byzantine apabila menyaksikan hampir 10,000 tentera muslimin sedang melaksanakan solat dengan perlu tertib dan tawaduk.
Tentera Byzantine yang menyaksikan kejadian tersebut mulai merasakan lemah semangat dan hilang motivasi seterusnya menandakan musuh telah berjaya dikalahkan sebelum perang bermula.
3.    Visi:
Seorang penakluk dan panglima agung sentiasa mempunyai visi yang luas. Sultan Muhammad al-Fatih tidak terkecuali dalam hal ini. Dengan kewibawaan beliau, beliau mengarahkan kesemua kapal perang yang dianggarkan berjumlah beratus-ratus buah kesemuanya perlu melalui laluan daratan untuk sampai ke Selat Bosphorus.
Idea ini timbul apabila mendapati Selat Bosphorus telah dirantai oleh besi waja dan idea untuk memutuskan rantai tersebut adalah mustahil kerana ia dikawal oleh tentera Byzantine di setiap hujung dan pangkalnya. Untuk memutuskan bahagian tengah pula bertambah mustahil kerana faktor teknologi pada masa itu.
4.          Senjata moden:
Sultan Muhammad al-Fatih memanfaatkan teknologi terkini bagi merealisasikan misinya untuk menawan kota Konstantinople. Diriwayatkan, sebelum perang bermula, seorang jurutera daripada Hungary, Orban telah menawarkan teknologi meriam yang mampu memecahkan tembok besar. Meriam tersebut dihasilkan dengan cukup besar sehingga dikatakan perlu dibawa oleh 60 ekor kerbau. Sepertimana yang dijangkakan, benteng Theodosian akhirnya runtuh dan pecah dibedil oleh meriam gergasi tersebut.




Meriam gergasi dibawa untuk mengebom tembok tebal Kota Konstantinople


5.          Senjata Rahsia

Sultan Muhammad al-Fatih telah menggunakan senjata rahsia yang selama ini belum digunakan oleh beliau. Senjata rahsia tersebut adalah Menara Bergerak. Diriwayatkan bahawa beratus-ratus buah menara bergerak telah digunakan oleh tentera Sultan Muhammad al-Fatih bagi memudahkan mereka memanjat tembok Kota Konstantinople.
6.    Patuh pada ajaran agama
Sultan Muhammad al-Fatih diriwayatkan sebagai sultan yang cukup menjaga setiap tuntutan agama. Beliau diriwayatkan tidak pernah meninggal solat sunat Tahajjud pada waktu malam miskipun ketika itu beliau sedang dalam kempen peperangan. Maka, tidak hairanlah beliau wajar disebut dalam hadis Rasulullah saw yang sangat terkenal,
Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.”  (Hadis riwayat Imam Ahmad)
7.    Ulama memainkan watak utama:
Ulama dan para alim ikut serta dalam peperangan menakluk kota Konstantinople. Antara paling terkenal adalah guru kepada Sultan Muhammad al-Fatih sendiri, Sheikh Shamsuddin. Sheikh Shamsuddin bertindak sebagai penasihat utama dan pembakar semangat kepada beliau dan bala tenteranya. Kalobrasi hebat antara ulama dan umara’ akhirnya berjaya meruntuhkan tembok kebal kota Konstantinople.
Dengan kredibiliti Sultan Muhammad al-Fatih, selepas 54 hari dikepung dan dibedil bertubi-tubi, akhirnya beliau berjaya memasuki kota tersebut di salah satu bahagian kota Konstantinople yang dikenali GerbangTopkapi. Sultan Muhammad terus ke Hagia Sofia dan menyuruh seorang imam melafazkan,
Aku bersaksi di sini bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah.
Sejak daripada detik itu, Kota Konstantinople berubah menjadi pusat pemerintahan dan keilmuan Islam. Nama Konstantinople telah ditukar kepada kota Islambul dan kemudian dikenali kota Istanbul. Syiar Islam terus mekar di kota bersejarah tersebut hasil daripada kesungguhan tanpa penat dan lelah Sultan Muhammad al-Fatih dan bala tenteranya.
______________________________________
Pada 6 April 1453 bersamaan dengan hari Jumaat 27 Rabiul Awwal 857H tentera Turki Othmaniyyah telah mula mengepung kota Konstantinople di Selat Bosphorus. Dalam sirah Islam, percubaan Sultan Muhammad al-Fatih adalah kali ke-6 setelah penaklukan pertama dilaksanakan semasa era Saidina Uthman bin Affan ra. Setelah 54 hari pengepungan, pada tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awal 857H, Kota Konstantinople tumbang dan jatuh ke tangan Islam. Detik ini menjadi saksi kepada tumbangnya kerajaan Rom Byzantine dan terhakisnya pengaruh ajaran Kristian Eastern Orthodox yang dianuti mereka.




Naqshbandi Tariqat

Khwaja Ubaidullah Al-Ahrar salah seorang pemimpin Tariqat Naqshbandi a master of the Naqshbandi Sufi Order




Tariqat Naqshbandi mempunyai sejarah yang panjang iaitu silsilah pemimpin ataupun imam-imam besar bagi tariqat ini dapat dikesan sehingga ke Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, Khalifah Ar-Rasyidun yang pertama.Abu Bakar as-Siddiq menjadi pengganti pertama kepada Rasulullah (s.a.w) untuk memimpin Ummat Islam pada masa itu dan mengukuhkan rohani dan iman mereka. Firman Allah didalam Al-quran yang mulia
"...sedang dia salah seorang dari 2 orang ketika keduanya berada dalam gua,di waktu dia berkata kepada temannya,Janganlah kamu berdukacita sesungguhnya Allah beserta kita." (Al-Quran, 9:40)
Rasulullah (s.a.w) pernah memuji Abu Bakar as-Siddiq dengan sabdanya,"Dikala terbit atau terbenamnya matahari, sinarnya yang memancar itu, tidak pernah menyinar pada seorang yang lebih baik selain Abu Bakar melainkan para Nabi dan Rasul." (Tarikh al-Khulafa) Baginda (s.a.w) juga pernah bersabda,"Abu Bakar lebih utama daripada kamu bukan kerana banyaknya solat atau puasa beliau melainkan kerana sesuatu rahsia yang berakar umbi di dalam hatinya."(Manaqib as-Sahaba Imam Ahmad). Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda," Jika aku di kehendaki memilih teman yang kucintai,aku memilih Abu Bakr sebagai teman yang kucintai;tetapi dia adalah saudara dan sahabatku."(Sahih Muslim)
Tariqat Naqshbandi terbina asas dan rukunnya oleh 5 bintang yang bersinar diatas jalan Rasulullah (s.a.w) ini dan inilah yang merupakan ciri yang unik bagi tariqat ini yang membezakannya daripada tariqat lain. Lima bintang yang bersinar itu ialah Abu Bakr as-Siddiq,Salman Al-Farisi,Bayazid al-Bistami,Abdul Khaliq al-Ghujdawani dan Muhammad Bahauddin Uwaysi a-Bukhari yang lebih dikenali sebagai Shah Naqshband - Imam yang utama didalam tariqat ini.
Perkataan Naqshband berasal daripada dua cetusan idea : naqsh yang bermaksud "ukiran" dan ini diertikan sebagai mengukir nama Tuhan pada hati dan band pula bermaksud "ikatan" yang menunjukkan ikatan antara insan dan Penciptanya. Oleh itu ini bermakna Tariqat Naqshbandi mengajak murid-muridnya lelaki ataupun perempuan, agar melakukan solat dan menunaikan perkara yang wajib mengikut Al-Quran dan As-sunnah Rasulullah (s.a.w) dan kehidupan para sahabat berserta dengan sifat Ihsan. Agar terus bermujahadah dan dapat merasakan kehadiran Allah dan perasaan cinta kepada Allah didalam hati murid-murid tadi dan seterusnya terjalinlah ikatan antara murid dengan Penciptanya.
 
 
Salman al-Farisi
Selain daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq siapakah lagi bintang yang bersinar di dalam tariqat warisan Rasulullah (s.a.w) ini? Salah seorang daripada mereka ialah Salman al-Farisi.Beliau berasal daripada Ispahan, sebuah bandar di Persia. Didalam sejarah, beliau adalah sahabat yang bertanggungjawab memberikan cadangan pembinaan parit kepada ummat Islam ketika menghadapi para Musyrikin semasa peperangan Ahzab.Cadangan ini telah dapat mengelakkan korban jiwa yang banyak dan seterusnya membawa kepada perdamaian dalam waktu yang singkat. Setelah baginda Rasulullah (s.a.w) wafat, beliau berpindah ke al-Madain, ibu negara Persia ketika itu. Ia diangakat menjadi Putera dan gabenor kota tersebut. Beliau terus menetap di kota tersebut hingga ke mangkatannya.
 
 
Bayazid Tayfur al-Bistami (q)
Seorang lagi bintang yang menyinari tariqat ini ialah Bayazid Tayfur al-Bistami. Datuk beliau merupakan seorang penganut agama Majusi. Bayazid mendalami 'ilmu shariah dan mengamalkan kehidupan yang amat zuhud. Sepanjang hidupnya dia amat tekun dan bersungguh-sungguh didalam mengamalkan segala suruhan agama. Dia mengajar murid-muridnya agar menyerahkan segala usaha mereka, di dalam tangan Allah. Dia juga menggalakkan murid-muridnya untuk mengamalkan ajaran Tauhid yang benar dan suci dengan penuh keikhlasan.
 
Doktrin Ketauhidan Bayazid al Bistami
Lima elemen utama terkandung di dalam doktrin ini iaitu: tetap melaksanakan kewajiban-kewajiban didalam agama berlandaskan wahyu (Al-quran) dan As-sunnah Nabi Muhammad (s.a.w)[hadith dan cara hidup baginda], sentiasa berkata benar, jauhi hati daripada menyimpan perasaan benci, menjauhi makanan yang membahayakan diri dan menjauhi bida'ah. Bayazid berkata, matlamat utama para Sufi ialah untuk melihat Allah di alam akhirat kelak.Dia pernah berkata: " Terdapat hamba-hamba Allah yang istimewa disisiNya, akan memilih dan meminta untuk dikeluarkan daripada syurga dengan segera sebagaimana penghuni neraka meminta untuk disegerakan keluar daripada neraka, SEKIRANYA pandangan mereka ditutup daripada berpeluang untuk memandang Allah di syurga."
 
 
Abdul Khaliq al-Ghujduvani (q)
Seorang lagi bintang yang bersinar, didalam tariqat warisan Rasulullah (s.a.w) ini, ialah Abdul Khaliq al-Ghujduvani. Beliau dilahirkan di sebuah kampung bernama Ghujduvani, berdekatan dengan Bukhara - sekarang dikenali sebagai Uzbekistan dan disinilah beliau dibesarkan dan dikebumikan. Beliau mempelajari 'Ilmu Wahyu, 'Ilmu Tafsir, Usul Fiqh dan 'Ilmu Hadith daripada Shaykh Sadruddin. Setelah menguasai 'Ilmu Ketuhanan (Shari'ah) dia meneruskan pula pengajiannya kepada Jihaddun Nafs iaitu memerangi nafsu yang ada didalam diri setiap insan. Beliau berusaha bersungguh-sungguh memerangi nafsu diri yang rendah sehinggalah beliau berada dan sampai kepada maqam kesucian dan keikhlasan. Beliau kemudian bermusafir ke Damascus dan membuka sekolah yang telah melahirkan ramai anak-anak murid yang meneruskan perjuangan menyebarkan ajaran Islam yang sebenar ke kawasan Asia Tengah dan juga Timur Tengah.
Abdul Khaliq menyambung kajian dan ajaran pemimpin tariqat sebelum beliau dengan mengumpulkan kaedah dzikr menurut sunnah Rasulullah (s.a.w).Didalam surat-suratnya beliau telah menulis tentang adab-adab yang perlu dipatuhi oleh setiap murid tariqat Naqshbandiyya. Antara kata-katanya," Wahai anakku, aku menyeru kamu supaya menuntut 'ilmu dan melakukan amalan saleh dan takutlah kamu kepada Allah. Ikutilah jejak orang-orang yang saleh dan bertaqwa yang datang sebelum kamu pada jalan kerohanian, berpeganglah pada jalan dan cara hidup Rasulullah (s.a.w), bersahabatlah dengan mukmin yang ikhlas dan jujur.Bacalah kitab-kitab Hukum Shariah dan Usul Fiqh, pelajarilah 'ilmu hadith,'ilmu tafsir, jauhilah mereka yang menipu didalam agama dan tetaplah solat berjamaah. Berhati-hati terhadap bahaya kemasyhuran. Duduklah bersama-sama orang-orang biasa dan janganlah kamu meminta-minta jawatan."
 
Shah Naqshband Muhammad Bahauddin Uways al-Bukhari (q)
Muhammad Bahauddin Uways al-Bukhari dikenali sebagai Shah Naqshband, Imam Tariqat Naqshbandi yang tiada tandingannya. Dilahirkan pada tahun 1317 masihi di sebuah kampung yang bernama Qasr al-Arifin terletak dekat dengan Bukhara. Dalam usia muda 18 tahun beliau telah mahir dan mempunyai pemahaman yang mendalam tentang 'Ilmu Shariah. Seterusnya beliau sentiasa bersama Shaykh Muhammad Baba as-Samasi, yang merupakan Imam al-Muhaddithin (ilmu hadith) di Asia Tengah pada zaman itu. Selepas kemangkatan beliau, Shah Naqshband bersama pula dengan Shaykh Amir Kulal. Shaykh Amir Kulal meneruskan dan menyempurnakan pendidikan Shah Naqshband didalam 'Ilmu al-Quran dan 'Ilmu adz-dzikr yang diwarisinya daripada Nabi Muhammad (s.a.w), Abu Bakr as-Siddiq, Salman al-Farisi sehinggalah ke zamannya.
Anak-anak murid Shaykh Amir Kulal biasa berdzikir dengan suara yang kuat semasa berdzikir beramai-ramai. Apabila berseorangan mereka berdzikir secara senyap. Shah Naqshband pernah berkata,
"Ada dua kaedah berdzikir iaitu yang kuat dan yang senyap. Saya memilih yang senyap kerana ia mempunyai kesan yang lebih mendalam." Kerana inilah, kaedah dzikir secara senyap merupakan ciri yang khusus bagi Tariqat Naqshbandiyya yang membezakannya daripada lain-lain tariqat. Walaupun Abu Bakr as-Siddiq dan Shah Naqshband memilih dan cenderung kepada kaedah dzikir secara senyap, mereka tidak pernah mengkritik kaedah dzikir secara kuat.
Shah Naqshband telah menunaikan fardhu haji sebanyak 3 kali. Selepas itu beliau menetap di Merv dan Bukhara. Di penghujung hidupnya dia kembali ke tempat kelahirannya, kota Qasr al-Arifin. Ajarannya menjadi buah mulut orang ramai dan dan namanya meniti dari bibir ke bibir. Pelawat daripada jauh datang untuk menziarahi dan belajar dan mendapatkan nasihat daripada beliau. Murid-muridnya menimba ilmu didalam madrasah dan masjid yang dapat memuatkan 5000 orang dalam satu-satu masa yang dibina oleh beliau. Madrasah ini merupakan pusat pengajian Islam yang terbesar di Asia Tengah. Bangunan ini terus berdiri tegak hingga sekarang walaupun telah melalui zaman pemerintahan Komunis selama 70 tahun. Sekarang kerajaan tempatan mula memperbaiki dan menjaga bangunan tersebut.
Ajaran Shah Naqshband telah memberi cahaya kedalam hati-hati murid-muridnya yang selama ini berada di dalam kegelapan. Beliau mengajar anak muridnya mengenai Keesaan Allah yang mana bidang ini menjadi bidang kepakaran Imam-imam Tariqat ini yang datang sebelum beliau. Beliau menekankan kepada anak muridnya tentang peri pentingnya untuk merealisasikan maqam al-Ihsan berdasarkan kepada hadith Rasulullah (s.a.w), "Ihsan ialah menyembah Allah seperti kita dapat melihatNya..."
Semasa beliau sakit di saat-saat penghujung hidupnya, beliau mengunci dirinya didalam sebuah bilik. Murid-muridnya datang menziarahi beliau tanpa henti-hentinya dan beliau memberi kepada mereka apa yang mereka perlukan. Pada satu ketika beliau telah menyuruh anak-anak muridnya membaca surah Yaasin. Setelah mereka selesai membacanya, beliau mengangkat tangan dan terus berdoa.Seterusnya beliau mengangkat jarinya sambil membaca kalimah syahadah. Setelah selesai membaca kalimah tersebut, ruh beliau pergi meninggalkan jasad untuk kembali ke hadrat ilahi,pada malam Isnin tahun 1388 masihi. Beliau dikebumikan didalam tamannya, seperti yang beliau wasiatkan. Raja-raja yang memerintah Bukahara selepas itu, menjaga serta membesarkan madrasah dan masjid yang telah beliau bina dan menambahkan jumlah wang waqaf bagi pemeliharaan dan kegunaan madrasah tersebut.
Shaykh-shaykh Tariqat Naqshbandi yang datang selepas Shah Naqshband telah banyak menulis tentang riwayat hidup beliau. Antaranya ialah Masoud al-Bukhari dan Sharif al-Jurjani yang menulis Risala Bahaiyya yang menerangkan secara terperinci mengenai kehidupan dan ajaran serta fatwa-fatwa yang telah di keluarkan oleh Shah Naqshband. Shaykh Muhammad Parsa yang meniggal di Madinah pada tahun 1419 menulis Risala Qudsiyya. Karya ini menceritakan mengenai kelebihan dan kesolehan serta ajaran-ajaran Shah Naqshband.
Banyak karya-karya yang telah ditinggalkan oleh Shah Naqsband untuk generasi selepas beliau. Antaranya termasuklah, al-Awrad al-Bahaiyya, Amalan-amalan Shah Naqshband, Tanbih al-Ghafilin Maslakul Anwar dan Hadiyyatus Salikin wa Tuhfat at-Talibeen. Dia juga telah menulis puji-pujian buat Rasulullah (s.a.w) dan mengeluarkan banyak fatwa pada zamannya. Antara pendapat beliau ialah, kesemua amalan dan kaedah penyembahan, samaada yang wajib ataupaun yang sunat, adalah dibenarkan untuk dilakukan bagi mencari dan mencapai haqiqat. Solat, puasa, zakat dan sedekah,berdzikir dan mnyebut nama-nama Allah, memerangi nafsu (mujahadatunnafs)dan kehidupan zuhud, merupakan kaedah-kaedah yang diutamakan agar seseorang murid itu, dapat sampai ke hadrat Ilahi. (Lihat 11 rukun Tariqat Nashbandi).
[Image] Shaykh Nazim al-Haqqani, Pemimpin Tariqat Naqshbandi pada masa ini, semasa menziarahi makam Shah Naqsband. Mufti Uzbekistan sedang memberi beliau segelas air daripada telaga air Shah Naqshband.
Shah Naqshband telah membina madrasah beliau untuk memperbaharui dan mengembalikan obor Islam bagi ummat Islam dizamannya untuk menghayati ajaran Islam sebagai cara hidup mereka. Beliau menekankan tentang pentingnya berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-sunnah Rasulullah (s.a.w). Anak muridnya pernah bertanya kepada beliau,
"Apakah yang kami perlukan untuk mengikuti jalan Tuan?" Beliau menjawab, "Mematuhi dan menghayati jalan dan cara hidup Rasulullah (s.a.w) dengan penuh kecintaan."
Beliau menyambung lagi, "Jalan kita merupakan jalan yang jarang ditemui, kerana ia berpegang kepada Al-Urwatul Wuthqa, iaitu ikatan yang tidak boleh diputuskan. Jalan ini,tariqat ini hanya menghendaki pengikutnya, memegang pada jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah (s.a.w) - jalan yang suci lagi terpelihara - dan jalan yang dilalui oleh pengikut dan para sahabat baginda (s.a.w) di dalam perjuangan kita untuk menuju ke hadrat ilahi - mengenal hakihat ketuhanan."
Kehidupan Shah Naqshband amatlah zuhud. Beliau amat mementingkan kehalalan makan yang beliau makan. Beliau memakan roti daripada barli yang beliau tanam dan tuai sendiri. Beliau amat mencintai para fakir miskin dan selalu memasak dan melayan mereka serta menziarahi mereka apabila mereka sakit. Sebenarnya beliau seorang yang kaya dan suka membelanjakan hartanya semata-mata pada jalan Allah, bukan untuk diri atau keluarga. Sifat beliau yang pemurah itulah yang menyebabkan beliau amat dicintai dan sifat kedermawanannya sentiasa menjadi buah mulut orang ramai.
Shah Naqsband pernah berkata:
"Tariqat Naqshbandi ini, merupakan jalan yang paling mudah dan senang bagi seorang murid untuk memahami tentang Tauhid.Ia bebas daripada bida'ah ataupun sebarang peyimpangan dan perbuatan yang ekstrim (shaathiyyat) ataupun tarian dan sebutan yang sukar untuk difahami (sama'a). Ia tidak meminta muridnya untuk sentiasa berlapar ataupun berjaga sepanjang malam.Oleh kerana sifat-sifat inilah, Tariqat Naqshbandiyya tetap bebas daripada mereka yang jahil ataupun penipuan (mushawazeen). Kesimpulannya, kita pula mengatakan bahawa tariqat kita ini merupakan ibu bagi tariqat-tariqat lain dan penjaga amanah kerohanian. Jalan ini adalah jalan yang paling selamat, berhikmah, dan jelas. Ia umpama telaga air yang daripadanya dapat diminum air yang suci dan amat bersih. Sehingga kini Tariqat Naqshbandiyya bebas daripada ancaman ataupun serangan daripada mana-mana pihak keran ia berpegang teguh pada As-sunnah Rasulullah (s.a.w)- jalan yang terpelihara lagi diredhai.

Blog Archive