Saturday, September 1, 2012

CATATAN SISWA 90


Penunggu



Zaman hidup hanyalah
Menunggu saat kematian

Kita adalah penunggu seketika
Dalam sedekad perjalanan
Rasanya sebegitu panjang

Sementara menanti
Mati yang pasti
Menghulurkan tali
Ini leherkan dijeruti

Merengut segala amal bakti
Lalu dibawa bersama
Kubur berlari
Menuju ke ukhrawi

Tanpa berpaling lagi



Diri



Dalam renungan ini
Kau telah pun menemui
Cahaya transformasi
Bakal menyuluh perjalanan kelam
Dahulu dan kian

Kini
Aku tak mampu lagi
Berbicara denganmu
Kerana kau lebih tua
Tegar memahami
Cabaran mendaki
Dan penitian hari






Balada Pusara



Kalaupun beruntung
Akan tinggallah sepohon kemboja
Dan nisan marmar terjaga
Menemani tubuhmu kian

Dimanakah harta,
Kuasa
Pangkat
kemuliaan
Yang kau banggakan

Semua telah melupai jasa
Lakonan kemanusiaanmu
Yang pedih,
Sedih
Hampa
dan kecewa
Bakal mengisi kelam,
Hangat
Bingar
Ruang kuburmu

Suara rakus tejerat akhirnya
Pada retakan bumiNya
Daerah asal kembalinya.


















Manakah!



Manakah dahan itu
Tempatku bergantung dan berharap

Manakah lantai itu
Tempatku melangkah dan tertiarap

Manakhkah langit itu
Tempatku memujimu, memohon restu

Manakah !
Manakah!

Manakah alam itu
Aku sendiri  tak tahu

Aku kini sendiri
Tanpa ruang dan daya
Kelam menyelubungi

Aku berkerah mencari
SinarMu lagi

Aku kini sendiri
Manakah ku kini
Aku sendiri tidak tahu kini
Siapakah aku lagi...

















Kuliah


Didalam bilik kuliah tak berpendingin hawa ini
Ketika bekalan elektrik terputus lagi
Ketika Encik Zainuddin berkhutbah  tentang DKE

Kita semua adalah sama tiada beza
Sama-sama mengalirkan peluh didahi
Merasa hangat bahang kampus
Tiada angin
Tiada angin yang menyapa
Kerana kita adalah serupa
Baik miskin, kaya, warga desa ataupun kota
Meski bergaya atau pakai selekoh saja
Namun hanya telniga yang mendengari membezakannya
Antara kami semua
Siapakah bakal ‘scorer’
Ataupun bakal mengucapkan bye-bye
Wahai semester pertama


Arah


Sekian banyak laluan
Sukarnya ku pilih satu
Jalanmu penuh berliku
Bagai malam mengembang
Kupilih sinarnya
Tapi ada suara manis mengusik dikiri kanan
Ada bintang-bintang menari minta ku capaikan
Ada gerak langkah menggempa mindaku hindarkan
Tapi jalanMu malam itu
Ku perlu mencari
Semu hitam dibatu hitam itu
Dapatkah ku mencarinya
Ya, tangan ini hanya dua
Suara ini hanya satu
Langkah ini bisa beribu
Melewati waktu berliku
Aku bisa menjadi kunang-kunang itu.






Perjuangan


Kita punya mata
Tapi tidak mampu menjenguk kebenaran
Kita punya telinga
Tapi payah meraih seruan
Kita punya bicara
Kita punya kata-kata
Tapi semuanya adalah dari minda yang kegelapan

Dari satu perjuangan ke satu perjuangan
Dari satu dekad ke satu dekad

Usia adalah satu jalan sempit yang kian menyepit
Ruang pernafasan
Harta adalah pedang yang memancung hati
Lalu mengeluarkan darah nafsi kebutaan fana ini
Waktu adalah pedang jua
Yang kau tusukkan ke ulu limpa
Segalanya adalah pedang
Yang mengoyakkan fikiran
Yang memburaikan keinsafan
Yang mencincang segala milik kita

Lalu apakah kita nanti
Dunai ini fana, kita juga
Dunia ini derita, kita juga..
Dunia ini bertangisan,
Tapi kita mampu ketawa
Berdekah-dekahan leka

Mentari seabad lamanya
Gentar akan neraka
Tapi perempuan di hujung sana
Masih bergerbangan rambutnya
Tidak takutkan pda hangatnya

Penyu menangis kerna tahu hilang warisnya.
;lelaki dipinggir dunia mengumpul mewahnya

lalu apakah kau nantikan
universiti, phd, demonstrasi, revolusi

BAB 10 NOVEL PERMATA BERDURI


Bab 10
Permainan hidup apakah ini?
Roda-roda pertemuan ini benar-benar
satu ciptaan rahmat yang paling berharga.



1987
DALAM jangkauan masa 761 hari akhirnya saya menanjak ke puncak usia 17. Satu dunia manis yang sementara sesingkat senja – hadir diantara cerah dan gelita. Remaja dalam pemikiran, penampilan juga pergaulan. Semakin ramai gadis-gadis menjadi kenalan tidak kira sebagai rakan sebaya ataupun jiran tak mengira usia. Maria paling menonjol sekali kerana suka bertukar-tukar novel dengan saya. Tidak cukup dengan itu dia cuba berbuat baik dengan ibu saya. Kononnya untuk mengambil hati. Disamping itu semakin banyak pula perkara-perkara baru yang hinggap di fikiran.
Walaupun ada sebab yang utama, kesibukan dalam pelajaran dan sukan bola sepak seolah-olah membantutkan minat saya untuk berkawan lebih rapat dengan mana-mana perempuan tidak sebagaimana rakan-rakan lelaki saya yang lain. Berdating, berbalasan surat serta bergayutan ditelefon tidak tercatat langsung dalam dairi hidup ini. Kadangkala saya lari apabila ada reaksi semacam godaan timbul dihadapan mata. Terutama sekali apabila Maria mencari peluang untuk bersemuka atau mencari jalan untuk berdampingan akrab. Barangkali puncanya ialah saya enggan menerima sejarah kehilangan buat kali kedua.
Kejanggalan sifat saya turut dianuti oleh Shariff. Tetapi Shariff sejak kecil memang suka bergaduh dan kaki buli. Cukup lama berpisahan kelas kerana dia merupakan seorang pelajar yang pintar. Cuma di tingkatan lima ini saya bernasib baik kerana berjaya menduduki kelas terbaik.
Kejayaan terbesar yang dicapai oleh Shariff ialah menjadi juara pidato Wilayah Persekutuan. Bakat yang dia miliki adalah hasil didikan bapanya yang terlibat aktif dalam arena politik kebangsaan. Baginya pentas adalah medan tempur perjuangan dekad ini.
Seperti tahun yang lepas, sekali lagi Shariff ditugaskan sebagai wakil dalam pertandingan pidato peringkat kebangsaan. Begitu menumpang tuah sekaki kali ini saya telah diminta sebagai seorang peneman.

HARI pertama telah berlangsungnya pertandingan bagi pihak pelajar perempuan. Sementara menunggu keesokan hari, fikir Shariff ada baiknya kami menyaksikan puluhan gaya si gadis pemidato yang tentunya boleh digunakan untuk memperbaiki keupayaan diri.
Situasi begitu menceriakan sekali. Seolah-olah saya juga seorang pemidato pilihan. Para jemputan begitu ramai memenuhi Dewan Muktamar, Pusat Islam dan tiada sesiapa pun yang saya kenal kecuali daripada rombongan kami yang turut terdiri daripada dua orang guru pengiring. Cikgu fuad dan cikgu Diana. Khabarnya kedua-dua guru itu pun sedang hangat bercinta. Seorang duda dan juga seorang janda.
Suara pemidato yang lunak tetapi tegas dengan pelbagai topik hangat telah dibentangkan satu persatu. Dua peserta telah pun tamat dan tiba-tiba pula perut saya buat kacau. Saya meminta diri lalu menghilang sebentar ke tandas lelaki. Menonton pertandingan pidato rupanya lebih membosankan berbanding menyaksikan pasukan bola sepak Kuala Lumpur yang kecundang di gelanggang sendiri.
Memasuki dewan semula, satu suara yang seakan dikenal sedang berkumandang ke udara. Ianya memang satu nada penuh kemanjaan yang cukup lama dirindui itu tiba-tiba menjentik hairan apatahlagi apabila mengecam seorang pelajar perempuan berkerudung putih labuh sedang beraksi sebagai peserta ketiga.
Bermimpi disiang hari? Mengigaukah agaknya? Kedua pipi ini ditampar berkali-kali. Memang sakit dan perit. Itukah Tursina, wakil pemidato perempuan dari negeri pahang?
Hati ini girang tak terkira. Melonjak-lonjak bagaikan si kudung menjumpai asal tangannya.
Didalam Dewan Muktamar bagaikan tiada sesiapa kecuali kami berdua. Setinggi-tinggi pujian buat Maha Pencipta, rupanya takdir masih menyebelahi kami berdua. Permainan hidup apakah ini? Roda-roda pertemuan ini benar-benar satu ciptaan rahmat yang paling berharga.

WAKTU makan tengahari menjelang tiba. Para peserta dan jemputan mulai berasak-asak keluar dari dewan untuk makan tengahari di luar dewan. Mendahului Sharif yang kehairanan amat dengan gelagat saya yang girang tiba-tiba, saya terus menyelinap pantas lalu cuba mencari  kelibat Tursina. Keadaan begitu riuh, padat menyebabkan saya rasa tersekat. Sedikit baran pun ada apabila tiada siapa pun yang kasihan dengan gelojak perasaan yang menghambat saya. Oleh kerana hanya sempat melihat dari jarak sepuluh meter, saya menjeritkan namanya.
“Tursina!”
Hanya  beberapa pelajar perempuan yang memandang dan tersenyum perasan. Tursina masih tidak sedar akan kehadiran saya di luar dewan.
„Sina!!“
Di luar dewan masih terpenuhi ratusan orang.
“Sina!..Sina!”
Tidak berjaya lagi nampaknya. Jeritan itu bagaikan pungguk merayu bulan. Sedang bulan terlalu tinggi. Jeritan saya ditenggelami oleh sesak riuh situasi.
Bagaimanakah caranya untuk menarik perhatian Tursina? Sedangkan di meja makan para jemputan pun makan berasingan mengikut jantina – kalau saya tidak melakukan sesuatu tentunya akan terlepas dari bertemu melepas rindu.
Ditakdirkan Tuhan yang Maha Penyayang, saya mendapat satu idea. Sesudah makan kemudiannya menghantar pinggan dan cawan ke kaunter pembasuh, saya memulakan peranan. Pinggan plastik tanpa tinggalan sisa nasi dan lauk yang berada ditangan sengaja saya lepaskan ke lantai. Hampir keseluruhan kunyahan mulut terhenti dengan kebisingan yang seketika terhasil. Mulut-mulut terkunci longgar dan ratusan mata memandang dengan dahi terkembang. Saya tercegat, tersengih penuh segan. Tetapi saya tidak pedulikan itu semua.
Ketika itulah hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana indahnya apabila kami dapat bertembungan mata setelah hampir dua tahun berpisahan lama. Bagai rindu tersimpul mati. Terikat kejap bagai mustahil diputuskan lagi.
Tursina bangun dari celahan rakan-rakan serombongan lalu tersenyum girang sambil menggigit jari manisnya. Walau tak dengar, bibir kecil itu sedang berkumat-kamit mengalun ucapan yang memuji akan hebatnya satu takdir pertemuan. Sememangnya Tuhan memang Maha Penasihani.

SAAT diidamkan akhirnya dikabulkan.
“Hebat sungguh Sina berpidato.Shah kagum sekali…”
Di awal pertemuan saya memuji Tursina setelah lebih sepuluh minit bertentang mata,bertanya khabar dibawah pondok ditaman bunga diluar perkarangan dewan jauh dari kebisingan dan jelingan mata.
“Janganlah cakap begitu..Sina bukannya hebat sangat..”
“Dari mana Sina belajar pidato?…“
“Dari siapa lagi kalau bukan dari ayah tiri Sina..ayah Sinakan suka bersyarah tak kira masa bila balik ke rumah…”
„Shah rasa tentu Sina boleh jadi juara…”
Tursina tertunduk sopan dan muram disebelah saya hanya untuk seketika lalu tersenyum manis semula. Sepasang mata itu masih segar merenung saya. Seluruh anggota kian kaku.
“Dah lama tak jumpa Sina..Sina semakin cantik sekarang..”
“Shah pun apa kurangnya..Dah jadi remaja kota
“Sina semakin cantik…dan macam anak dara.anak dara felda”
“Shah ini ada-ada sajalah…kalau tak puji tak boleh ke?” Tursina tertunduk malu.
“Apa salahnya memuji…lagipun kita bukannya selalu dapat berjumpa…satu ditimur, satu dibarat, ada saja halangannya..Shah hampir-hampir dah lupakan Sina..”
“Tapi Sina tak pernah lupakan Shah sampai sekarang…”
Bibirnya seolah-olah tidak bergerak langsung bila menuturkan demikian. Tursina merenung saya kembali dengan penuh pengertian. Renungannya cukup mendebarkan. Satu debaran yang mengementarkan jiwa kelakian ini. Renungan dipenuhi oleh irama penuh keasyikan muda-mudi.
„Sebenarnya Shah pun tak pernah lupakan Sina tetapi keadaan kita...“
„Surat-surat Shah masih Sina simpan sampailah sekarang“
Sinaran matanya benar-benar menggugurkan seluruh urat dan jantung ini. Terkalahlah sinaran matahari yang redup dibayangi sinaran seorang gadis yang terlalu amat dirindui. Perasaan apakah ini. Cinta?
„Tak takut ke kena rotan kalau ayah terjumpa surat-surat itu?“
Tursina menggeleng, masih lagi dalam senyuman.
“Sina….bagaimana dengan hidup Sina sekarang?…ayah Sina masih bersikap seperti dulu?”
Dengan jujurnya Tursina mengangguk muram. Satu anggukan yang menyemarakkan semangat seorang pahlawan.
„Ujian Tuhan,Shah..“
Nafas keluhannya sedikit kedengaran.Tidak berapa lama selepas itu anak matanya mula bergenangan. Hati saya terasa berkocakan. Jikalau anda berada ditempat saya, apakah yang mesti anda lakukan?
Kebanyakan para peserta sudah kembali memasuki dewan. Dari jauh Shariff telah pun meneriak, mengingatkan. Tetapi kami masih belum berganjak seinci pun. Itulah pertemuan yang paling singkat berlaku. Sebelum berpisahan, saya sempat membeli sekuntum mawar merah lalu menghadiahkan pada Tursina


DENGAN kemasukan talian telefon di rumah, hubungan saya dengan Tursina menjadi mudah. Hampir setiap hujung minggu pada waktu yang sama telefon baru rumah pasti akan berderingan.
Memang keintiman yang wujud menjadikan saya sedikit leka tetapi semangat untuk mencapai keputusan terbaik dalam SPM semakin meluap-luap. Seolah-olah saya nampak jelas apakah yang bakal saya rangkul dimasa hadapan dan tentunya nama Tursina tidak akan saya lepaskan dengan begitu senang. Lautan api sanggup direnangi, di mulut naga lagi dirampas. Inikan pula dalam cengkaman seorang bapa tiri. Inilah azam baru yang meresapi.
Kewujudan Tursina adalah satu sinar pendorong yang menyuluh arah kehidupan kami dimasa hadapan. Satu suluhan yang meneguhkan jejak langkah saya agar lebih yakin untuk mara dalam perjalanan seribu liku.
Begitulah perubahan jiwa remaja saya yang berakhir buat sementara waktu pada dua minggu sebelum menjelangnya SPM. Dan ketika itu saya telah pun berjanji akan datang ke teratak Tursina seorang diri.
InsyaAllah.
“Shah datanglah…ayah Sina takkan marah..takkan ayah Sina nak halau pula..”
“Sebelum Shah dihalau, Shah akan bawa Sina lari bersama..”, jawab saya dengan nada berjenaka. Sina ketawa manja.
“Shah nak bawa lari kemana?..pipit dan enggangkan mana bisa terbang bersama..”
“Ke tempat dimana tak ada orang yang boleh ganggu kita..walaupun, walaupun ke hujung dunia…“
„Kemana tu?“
„Ke tempat dimana pipit dan enggang boleh terbang bersama”
“Janganlah begitu, tak baik..walaupun Sina marahkan ayah tiri Sina..tetapi mustahil untuk Sina lupakan ibu…Ibu adalah segala-galanya bagi Sina di sini…”
“Maksudnya ibu adalah orang pertama di hati Sina?”
“Ya…”
“Jadi bagaimana dengan Shah pula?…Shah berada di tempat keberapa?”
“Itu tak boleh cakap sekarang..kalau nak tahu tanyalah Dik Tina bila Shah datang nanti…”


SELESAI minggu peperiksaan SPM bererti tamatnya satu era zaman persekolahan. 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah, apakah yang saya pelajari lantas saya gunakan selain dari ilmu untuk peperiksaan?
Ketika itu masih terngiang-ngiang lagi ucapan pengetua dihari terakhir persekolahan :
Apabila kamu keluar dari sekolah ini kamu akan bergaul dalam satu masyarakat yang lebih besar dan mencabar. Cikgu harap kamu semua akan dapat membiasakan diri sebagai salah seorang ahli masyarakat majmuk dalam negara yang semakin membangun ini.

INILAH kali pertama saya keluar dari rumah seorang diri. Jauh ratusan batu namun hati dekat selalu. Keizinan dari orang tua telah saya pinta dari awal lagi. Cuma tinggal untuk meminta duit perbelanjaan sebanyak 200 sebagai tambang dan untuk apa-apa jenis kesusahan yang bakal timbul tanpa direncana.
Pagi diwaktu langit masih jerneh, ketika ingin bertolak, muncul seorang rakan ayah datang berkunjungan. Encik Ibrahim namanya.
“Kau tak takut pergi seorang diri?”
“Pahang bukannya jauh sangat..kalau ada apa-apa masalah rujuk saja pada balai polis…”
Pintar sungguh saya menjawab.
“Kalau nak ikutkan hati memang mak tak kasi..”
“Alah..mak dan ayah dulu pun pernah bercinta..sekarang berilah peluang untuk orang muda pula…”
Mendengarkan jawapan itu, encik Ibrahim ketawa terbahak-bahak. 
“Wah!..anak kau dah pandai cari calon menantu..senanglah sikit kerja kamu berdua..” sindir rakan ayah itu.
Ayah meramas bahu kiri saya.
“Kalau ada apa-apa hal, cepat telefon rumah ya..”
„Anak kamu dah besar panjang, tak payahlah nak ditakutkan, „ sempat encik Ibrahim mengusik saya lagi.
Saya meminta diri, mencium tangan kedua orang tua termasuk juga encik Ibrahim.

KALI terakhir menaiki bas ekspress pada sepuluh tahun yang lampau. Ketika itu ayah belum mampu menyewa kereta seterusnya untuk membeli sebuah proton saga. Yang seronoknya menaiki bas tidak menjadikan saya bersendirian kerana ramainya penumpang walaupun berbilang tujuan. Namun mereka semuanya akan ke negeri Pahang.
Ketakutan semakin timbul apabila bas tiba di Jerantut pada waktu 3 petang. Saya kuatkan semangat dan iman. Bandar Jerantut saya andaikan sebagai pekan Tampin dan tidak perlu apa yang nak dibimbangkan.
Dari situ dengan berkat kejantanan saya hanya perlu menyewa sebuah teksi lalu memberikan arah tuju berbekalkan dengan alamat yang tersimpan. Namun sesudah setengah jam mencari teksi kosong namun terasa hampa. Kedatangan orang luar bagaikan tidak dilayan.
Masa semakin menua. Sedang mundar-mandir dibangku perhentian yang ketiadaan orang, sebuah teksi berhenti lalu membunyikan hon bertalu-talu.
„Nak pi mana?“ soal si pemandu teksi
“Kota Pelangi 2, “ jawab saya pantas.
Dalam perjalanan dengan cermin tingkap yang terbuka, pemandu teksi berbangsa Cina itu cuba menghidupkan topik tentang keseronokan hidup di Kuala Lumpur apabila ditanya dari manakah datangnya saya
Mai sini nak jumpa siapa?”
“Rumah kawan..”
“Jauhnya..mesti kawan perempuan …gua tahu punya”
Saya tersengih panjang.
“Dulu keluarga kami tinggal berjiran semasa tinggal disetinggan…”
“Ooo begitu..Nama saya Goh..Goh Ah Seng panggil Goh saja kalau lu selalu datang sini, telefonlah gua..ini kadnya.” Pemandu teksi itu memperkenalkan diri lalu memberikan kad niaga pada saya.

TIBA di hadapan rumah Tursina didapati suasana bagaikan disambar garuda. Pintu-pintu dan tingkap-tingkap habis terkangkang semua tetapi langsung tak kelihatan penghuninya.
Semakin deras jejak melangkah, tanpa memberi salam semakin dekat saya terdengar suara perempuan menangis teresak-esak. Kedapatan pula suara lelaki sedang berpidato tanpa noktah, tanpa tauliah. Sesuatu yang buruk pastinya telah melanda.
“Hei..kau..nak apa datang?..jauh-jauh ke sini nak jumpa Sina?”
Akibat sergahan itu saya begitu terkejut hinggakan menggigil kepala lutut. Demi Tuhan dalam seumur hidup ini pertama kali saya diperlakukan begitu. Tidak disangkakan, kehadiran di rembang senja itu disambut dengan tengkingan. Turut diperasankan ada seorang jiran perempuan di sebelah kanan menjengukkan muka sambil menggeleng kepala.
“Ya pakcik, saya memang datang nak menziarahi Sina…”
“Sina tak ada..”
Rasa hairan mulai melanda.
“Sina tak beritahu ke yang saya nak datang?..kalau begitu minta maaf sajalah kerana menyusahkan..”
Saya mula menunjukkan ciri-ciri untuk berpatah arah.
“Sina tak ada..perempuan miang itu dah berambus…”
“Lari dari rumah?..”
Pak cik Shuib masih lagi bercekak pinggang.
“Anak yang tak kenang budi itu dah tak ada….faham!”
Saya tertunduk sayu merenung wajah mak cik Zaleha yang sedang terduduk, memicit-micit pinggang lalu mengerang kesakitan.
Manusia atau binatangkah lelaki yang bercekak pinggang dihadapan saya ini?
“Memandangkan hari dah jauh petang..kau bermalamlah disini…nanti orang kampung kata aku hati binatang pula…Aku nak ke pekan Jerantut, nak cari budak bedebah itu…Mana tahu dia masih berkeliaran disana..”
Bedebah?,bisik saya penuh geram.
Siapa yang bedebah? Yang di cari ke atau yang mencari?    


PAK CIK Shuib pulang dari pekan Jerantut sambil berkelakuan garang. Habis segala makhluk di dalam rumah ditengkingkan. Selepas bertukar pakaian tanpa bersolat isyak, dia pun keluar dari rumah dengan meninggalkan sejumlah sumpah seranah. Hampir tuli telinga ini mendengarkan
Kehilangan Tursina menyebabkan hati ini bungkam. Malam ini lelaki bengis itu langsung tidak kunjung pulang. Segan untuk bertanya kemanakah perginya. Hanya pada satu ketika hati saya terluang untuk mendekati Kartina lalu bertanyakan:
“Ayah pulang ke rumah mak muda”
Mak muda?”
“Ayah memang tak pernah tidur sini..semalam pun tak pernah. Balik untuk menengking dan makan saja”
Alangkah terkejutnya apabila mendengarkan jawapan itu. Belenggu yang melingkari hidup Tursina memang lebih dari yang tergambarkan.
Saya merenungi sepelusuk ruang dapur. Bilik air dan bilik tidur masing-masing langsung tidak berpintu. Dapurnya dapur arang tetapi lebih cantik lagi dapur arang nenek saya. Dinding rumahnya banyak yang berlubang dan lantai papan kalau silap jejak pasti akan berkeriut seribu. Saya tergambarkan suatu ketika dulu betapa beginilah rupanya rumah tumpangan keluarga kami di kampung baru.
Diruang tamu langsung tiadaTV ataupun radio, menyebabkan saya sedikit kempunan kerana tidak dapat menonton siaran langsung piala dunia. Malam itu tentunya sedang berlangsung perlawanan sengit diantara pasukan negara Brazil menentang Belanda.
Sepanjang malam diranjang bertilam lunyai, tidur ini hampir tidak lena seluruhnya. Mimpi yang dicipta telah retak sepenuhnya.
Dinihari yang bisu, dalam pukul dua pula saya dikejutkan oleh suara orang mengerang kesakitan. Dengan mengendap dicelahan langsir pintu bilik tidur saya dapati Dik Tina sedang memicit-micit sambil menyapu sejenis minyak dibelakang badan mak cik Zaleha. Pasti sekali wanita itu telah diterajang oleh suami kerana lalai sehingga menyebabkan Tursina melarikan diri.
Saya tertidur semula setelah puas merisaukan kemanakah haluan tuju Tursina. Seorang remaja perempuan dilandasan pelarian tentu sahaja berhadapan dengan risiko yang membahayakan.
Ya Allah, kau lindungilah orang yang aku kasihi itu..


„YA ALLAH, ya Tuhanku, kau lindungilah Tursina dari segala bahaya“
Pagi kemudiannya sesudah mengerjakan solat subuh disusuli doa, saya meredah kabus pagi menuju ke arah pondok telefon yang terletak di hadapan Sekolah Rendah Kota Pelangi 2. Sekolah inilah yang dimaklumkan oleh Tursina yang pernah bekerja sebagai seorang guru sandaran.
Menerusi alat telekomunikasi yang hampir tumbang itu, saya terus mengkhabarkan pada ibu tentang kehilangan orang yang disayang.
Subhanallah, Tursina tak hilang, nak..Tursina ada di sini..”
“Apa?..betul ke mak? Mak jangan main-main”
“Demi Allah!. Tursina ada dirumah kita..kau khabarkan pada keluarganya, dia selamat disini. Tak usah bimbang, Dan kau Shah, cepat pulang..’
“Baiklah mak,..saya pulang sekarang juga..”


REMAJA bagaikan satu permainan. Hidup adalah satu pusingan roda. Belum hilang penat perjalanan semalam, awal tengahari itu juga saya mesti berangkat semula ke Kuala Lumpur. Kepada keluarga Tursina saya terus menjelaskan kedudukan yang sebenarnya. Dan pada saat pulang itu juga ayah Tursina muncul semula lalu menunjukkan sifat baik yang masih ada padanya.
Dengan meramas perlahan bahu saya, mak cik Zaleha pun bersuara lemah dengan maksud meletakkan tanggungjawab pada diri saya untuk menjaga Tursina di sana.
“Walaupun Sina anak tiri pakcik, tapi pakciklah yang bersusah payah mencari rezeki membesarkannya..”
Bicara Pak cik Shuib memang penuh dengan keangkuhan.
“Kau jaga dia baik-baik jangan tinggal lama-lama disana..Kuala Lumpur tu besar, ramai orang-orang yang tak betul disana..”
Saya hanya anggukkan kepala. Didalam hati saya membangkang nasihat terakhir lelaki itu. Orang yang tak betul lagi banyak berada di Pahang.
Mak cik Zaleha memandang dengan penuh pengharapan.
“Pak cik dan makcik jangan bimbang, saya rasa biarlah Tursina tinggal sebulan dua dengan kami..lagipun cuti sekolah baru saja bermula, nanti saya sendiri akan hantar Sina pulang ke sini..saya janji’


SETELAH berjaya dihubungi, teksi yang sama menghantar saya semalam tiba lewat setengah jam. Mak cik Zaleha sempat membisikkan pesan – bahawa memandangkan Tursina tak berapa pandai dalam pelajaran nanti sesudah SPM nanti dia ingin menyerahkan tanggungjawab menjaga tursina pada saya nanti.
“Kau jagalah anak makcik baik-baik…Sina memang tak sesuai tinggal di sini..”
Begitu sekali pandangan masa depan ibu Tursina terhadap anak sulungnya. Apakah kerana kemiskinan atau perangai ayah tirinya, Tursina diibaratkan sebagai beban lantas mahu diserahkan tanggungjawab pada seorang lelaki yang tidak mempunyai apa-apa ikatan selain secebis keluhuran. Padahal bicara Tursina lewat salah satu suratnya masih segar dalam ingatan.
“Sina tahu Sina tak berapa pandai..tapi Sina ingin berjaya dalam cita-cita..Sina ingin menjadi guru, seorang pendidik..nanti bila Sina sudah berjaya, Sina akan balas jasa ibu bapa Sina..Sina akan jaga dan ingin senangkan hati ibu…sudah terlalu lama ibu sina hidup dalam derita. Sina akan berusaha selagi mampu, percayalah…’
“Sudah jumpa dengan buah hati lu?”
Lamunan terlampau itu terputus sebegitu. Teksi terus menderu laju.
“Belum..dia pergi ke rumah saya di KL.sebetulnya.”
Lu pergi sini..dia pergi sana..macammana lu janji dengan dia?”
Goh ketawa lalu menggeleng kepala.
“Entahlah…barangkali tak ada jodoh agaknya..”
“Hei, lu jangan cakap begitu..makan boleh sebarang makan, cakap jangan sebarang cakap. Jodoh itukan kerja Tuhan.”
Wajah Goh sentiasa senyum tetapi erti senyuman itu tidak mengandungi erti yang lama. Segalanya telah terbongkar apabila kami berhenti makan di warung bersebelahan perhentian bas sementara menunggu waktu bas berlepas.
Disitulah tanpa rasa segan dan silu, Goh berkisah tentang keruntuhan rumahtangganya. Isterinya bekerja sebagai seorang operator kilang, berkawan dengan seorang vendor yang kemudiannya telah menuntut cerai tetapi dia enggan melepaskan.
Akhirnya dia telah disaman sebanyak 10 ribu apabila kesnya telah dibawa mahkamah. Dia dituduh kerana mengabaikan keluarga tanpa nafkah.
Gua memang orang yang lurus…tak boleh tengok orang susah…tak sangka gua boleh dipermainkan”
“Selama hidup saya, saya tak pernah dengar seorang isteri telah menyaman suaminya…”
“Bekas isteri gua memang seorang yang bercita-cita tinggi, sungguh tak sepadan dengan gua…maklumlah gua hanya seorang drebar teksi…”
“Jadi awak kena bayar juga saman itu?”
“Sudahlah kena bayar…rumah yang saya beli terpaksa diserahkan padanya”
Goh mengalirkan air mata dihadapan saya.
“Sekarang kamu tinggal dimana?”
“Kadang-kadang tidur didalam teksi, kadang-kadang di bus stop..”
Terasa dirinya terlalu dekat pada saya. Meski pun berlainan bangsa, kekecewaan yang dialami menyebabkan dia tidak menghiraukan itu semua.


DIPERHENTIAN bas Jerantut, kelibat Tursina seakan-akan bermain-main dicelah-celah kesesakan manusia. Saya rindukan padanya dengan cahaya wajah dibalik kerudungnya, yang mengundang kejelitaan. Saya rindukan semangat hidupnya yang membakar egois kelakian ini hingga kehangusan rasa.
Saya terbayangkan juga bagaimanakah keadaan Tursina dalam usaha menjejak alamat rumah saya seorang diri dimalam hari. Kenapa Tursina tidak menghubungi terlebih awal. Dan tidak terbayang juga bagaimanakah perasaan ibu dan ayah ketika membuka pintu lalu mendapati Tursina tercegat lesu bersama beg pakaian dan bau hamis peluh dibadan.
Bas ekspress bergerak pada tepat jam 2 petang. Bandar kecil Jerantut berubah muram, disisinya terdapat seorang pemandu teksi yang sugul. Rasanya sayalah orang yang paling gelisah didunia ini. Saya semakin tidak sabar lagi untuk menemui Tursina dirumah saya sendiri.
Teringat pula tentang zaman kanak-kanak dimana kami berdua pernah tinggal dan bersekolah bersama-sama. Teringat pula bagaimana kami pernah dikejar ibu ayam yang takut anak-anaknya diapa-apakan. Saya teringatkan fenomena kelucahan tentang bagaimana tursina ketakutan hinggakan terkencing basah seluar dalam.

TIBA di rumah barulah saya ketahui asas cerita yang sebenar.
Tursina melarikan diri dari rumah tepat pada jam 10 pagi, satu waktu yang sama ketika saya mengucapkan selamat jalan kepada orangtua. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui betapa akan adanya kebarangkalian bas ekspress yang mereka naiki telah berselisahan pada sebatang jalan di tengah haluan yang bertentangan.
Punyai tujuan jauh berbeza. Satu hati dipenuhi kerinduan untuk berjumpa. Satu hati dipenuhi duri-duri yang perlu dibuang.

Tunjukkan dimana Tuhan!

Ada seorang pemuda yang lama sekolah di luar negeri, kembali
> > > ke tanah air. Sesampainya di rumah ia meminta kepada orang
> > > tuanya untuk mencari seorang guru agama, kiyai atau sesiapa
> > > sahaja yang boleh menjawab 3 pertanyaannya.
> > >
> > > Akhirnya orang tua pemuda itu mendapatkan orang tersebut,
> > > seorang kiyai.
> > >
> > > Pemuda: Anda siapa? Dan apakah bisa menjawab pertanyaan-
> > > pertanyaan saya?
> > > Kiyai : Saya hamba Allah dan dengan izin-Nya saya akan menjawab
> > > pertanyaan anda.
> > > Pemuda: Anda yakin? Sedangkan Profesor dan ramai orang yang
> > > pintar tidak mampu menjawab pertanyaan saya.
> > > Kiyai : Saya akan mencuba sejauh kemampuan saya.
> > > Pemuda: Saya ada 3 pertanyaan:-
> > >
> > > 1. Kalau memang Tuhan itu ada, tunjukan wujud Tuhan kepada saya
> > > 2. Apakah yang dinamakan takdir
> > > 3. Kalau syaitan diciptakan dari api kenapa dimasukan ke neraka
> > > yang dibuat dari api, tentu tidak menyakitkan buat syaitan. Sebab
> > > mereka memiliki unsur yang sama. Apakah Tuhan  tidak pernah
> > > berfikir sejauh itu?
> > >
> > > Tiba-tiba kyai tersebut menampar pipi pemuda tadi dengan keras.
> > >
> > > Pemuda (sambil menahan sakit): Kenapa anda marah kepada saya?
> > > Kiyai : Saya tidak marah...Tamparan itu adalah jawaban saya
> > > atas 3 pertanyaan yang anda ajukan kepada saya.
> > > Pemuda: Saya sungguh-sungguh tidak mengerti.
> > > Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?
> > > Pemuda: Tentu saja saya merasakan sakit.
> > > Kiyai : Jadi anda percaya bahwa sakit itu ada?
> > > Pemuda: Ya!
> > > Kiyai : Tunjukan pada saya wujud sakit itu!
> > > Pemuda: Saya tidak boleh.
> > > Kiyai : Itulah jawaban pertanyaan pertama...kita semua merasakan
> > > kewujudan Tuhan tanpa mampu melihat wujudnya.
> > > Kiyai : Apakah tadi malam anda bermimpi akan ditampar oleh saya?
> > > Pemuda: Tidak.
> > > Kiyai : Apakah pernah terfikir oleh anda akan menerima sebuah
> > > tamparan dari saya hari ini?
> > > Pemuda: Tidak.
> > > Kiyai : Itulah yang dinamakan takdir.
> > > Kiyai : Terbuat dari apa tangan yang saya gunakan untuk menampar
> > > anda?
> > > Pemuda: Kulit.
> > > Kiyai : Terbuat dari apa pipi anda?
> > > Pemuda: Kulit.
> > > Kiyai : Bagaimana rasanya tamparan saya?
> > > Pemuda: Sakit.
> > > Kiyai : Walaupun syaitan dijadikan dari api dan neraka juga terbuat
> > > dari api, jika Tuhan menghendaki maka neraka akan menjadi tempat
> > > yang menyakitkan untuk syaitan.
> > >
> > > Kawan kawan, sekarang anda mempunyai dua pilihan:
> > > 1.    Biarkan E-mail ini tetap dalam mailbox anda (..dan kena
> > > pulak tamparan dari 'u know who')
> > > 2.    Forward E-mail ini kepada orang yang anda kenali dan Insya
> > > Allah keredhaan Allah akan dianugerahkan kepada setiap orang
> > > yang anda kirimi.
> > >
> > > Wassalam.

Tiga Anak Pengsan Semasa Urus Jenazah Bapa

PERISTIWA yang ingin saya ceritakan adalah mengenai satu
      jenazah yang  bagi saya cukup aneh. Darah tak putus-putus
      keluar daripada seluruh  tubuhnya. Tak tahulah kenapa... tapi
      dari sejak Allahyarham meninggal  dunia, darah tak
      berhenti-henti keluar.


        Allahyarham ini meninggalnya kerana sakit, bukan sebab
      kemalangan.  Doktor pun mengesahkan tidak ada penyakit yang
      boleh sebabkan jenazah  berdarah macam itu sekali. Apakah yang
      berlaku kepada Allahyarham?


        Peristiwa tersebut berlaku beberapa tahun lalu di sebuah tempat
      di  Selangor. Tapi maaflah, nama orang dan nama tempat kejadian
      tak dapat  saya ceritakan ialah Allahyarham ini adalah seorang
      lelaki, meninggal  ketika berumur 50-an atau 60-an tahun dan
      semasa hidupnya,
        Allahyarham bolehlah kita golongkan sebagai orang kaya. Dia
      pegawai  kerajaan dan pernah menjadi penolong pengarah agensi
      tempat dia  bekerja.


        Allahyarham ini ada beberapa orang anak. Beliau meninggal dunia
      di rumahnya pada pukul 8.30 malam kerana sakit biasa.Tapi saya
      diberitahu doktor pun tak tahu apa penyakit yang dihadapinya.


        Tapi yang menimbulkan pertanyaan dan keinsafan ialah apabila
      Allahyarham habis saja nazak dan lepas itu menghembuskan
      nafasnya  yang terakhir, tiba-tiba saja darah mula keluar
      daripada seluruh  tubuhnya, khususnya dari liang-liang dan
      rongga-rongga. ..dari mulut,  telinga, hidung, mata, celah-celah
      bulu roma dan celah-celah kuku.  Mula-mula sedikit, tapi makin
      lama makin banyak sampai mayat itu  dipenuhi darah. Darah itu
      pun tak putus-putus keluar. Cukup

      mengerikan.. .dan menyedihkan.


        Apabila tengok mayat ayahnya itu lain macam, anak Allahyarham
      pergi  ke rumah saya. Masa itu kira-kira pukul 11.00 malam.
      Kebetulan pula  anak Allahyarham itu murid saya yang memang
      saya kenal sangat.


        Dalam keadaan yang sedih bercampur panik dia berkata, "Ustaz,
      ayah  saya meninggal dunia. Ustaz boleh tolong tak?"


        Saya kata, "Boleh, tapi kenapa pula? Ada masalah ke?"


        "Mayat ayat saya ni agak lain sikitlah ustaz. Saya minta
      sangatlah  ustaz dapat tolong kami," kata anak Allahyarham
      tadi. Bagaimanapun  dia tidak ceritakan pada saya apa yang
      terjadi pada mayat ayahnya  itu.


        Saya pun pergi ke rumahnya. Apabila sampai di rumahnya baru dia
      ceritakan apa yang sebenarnya berlaku. Saya naik ke atas rumah
      dan  terus pergi ke tempat Allahyarham diletakkan dan...
      masya-Allah, saya  tengok darah sudah penuh di seluruh badan
      Allahyarham. Baunya pun  semakin hanyir. Busuk. Dan busuknya
      pun lain dari yang lain...sukar  untuk saya gambarkan hinggakan
      kemenyan yang dibakar dan bau-bauan  pun tak boleh mengurangkan
      bau busuk mayat itu.


        Apabila saya pandang wajah Allahyarham, saya lihat ia seperti
      dalam  keadaan cemas, takut... langsung tidak ada tanda-tanda
      kejernihan dan  nur di wajahnya. Apa yang sebenarnya dialami
      dan dirasai oleh  Allahyarham ketika itu wallahuaklam. Allah
      yang lebih mengetahui.


        Maha suci Allah, mayat ini cukup pelik sebab baru dua jam lebih
      dia  meninggal tapi begitu aib sekali keadaannya. Dalam hati
      saya berdoa  dan beristighfar supaya saya dapat uruskannya
      dengan cara terbaik dan  tidak berlaku lagi sesuatu yang
      mengaibkan Allahyarham.


        Saya pelawa beberapa orang kawan untuk uruskan jenazah tadi.
      Kami  ambil kapas dan tutup mulut, hidung, mata, telinga dan
      rongga-rongga  besar pada mayat. Tapi Allah itu Maha Berkuasa,
      kapas itu tidak mampu  menahan darah yang keluar.


        Apabila dicabut kapas yang sudah basah dengan darah utuk
      diganti  dengan kapas yang lain, darah meleleh keluar dari
      rongga-rongga tadi.  Menjejes hingga kain dan tikar tempat kami
      baringkan mayat itu  menjadi merah. Tidak tahulah berapa banyak
      kapas yang kami gunakan,  tapi tak berkesan.


        Allah jua yang menentukan. Tidak cukup dengan darah, tambah
        menyedihkan saya ialah muka dan kulit di seluruh tubuh
      Allahyarham  tadi tiba-tiba menggerutu. Keluar satu bahan
      berlendir, menggerutu  macam cacar yang berbonjol-bonjol di
      muka dan badannya.


        Bonjol-bonjol kecil itu seperti bernanah dan busuk baunya.
      Makin lama  bonjol-bonjol itu makin banyak hingga tidak
      keterlaluan kalau saya  katakan di sini iaitu wajah jenazah
      tersebut sudah tidak menyerupai  wajah manusia lagi.


        Melihat keadaan mayat yang sebegitu rupa, saya pun katakan
      kepada  semua kaum keluarga Allahyarham dan pembantu saya,
      "Kita mesti  kebumikan jenazah ini malam ini juga." Mereka
      bersetuju. Selain  daripada dua orang pembantu, tiga orang anak
      Allahyarham juga  menolong saya menguruskan jenazah bapanya.
      Tapi sedih, seorang demi  seorang anak Allahyarham itu pengsan
      kerana tidak sanggup melihat  keadaan mayat bapa mereka itu.
      Akhirnya tinggallah saya dengan dua  pembantu saya tadi.


        Bagi mengelakkan tohmahan orang dan tak mahu kain kapan menjadi
      merah, saya ambil keputusan untuk membalut Allahyarham dengan
      plastik...plastik alas meja yang berwarna putih. Selepas itu
      barulah  kami balut mayat tadi seperti biasa dengan kain putih.
      Mengikut  syarak, mayat tidak digalakkan dikebumi malam-malam.
      Tapi dalam  keadaan darurat seperti itu saya tidak boleh tunggu
      lama-lama.  Kebetulan pula kawasan perkuburan terletak tidak
      jauh dari rumah  Allahyarham, kira-kira dua kilometer sahaja,
      jadi kami cari lampu dan  spotlight. Dalam waktu dinihari yang
      gelap dan sejuk itu kami suluh  jalan dan kawasan kubur
      Allahyarham. Kami mula kebumikan Allahyarham  itu kira-kira
      pukul 1.30 pagi.


         Sampai saja ke kuburnya , berlaku sekali lagi peristiwa aneh,
      yang  amat mengharukan. Kuburnya dipenuhi air! Air itu macam
      air biasa tapi  tak putus-putus keluar dari celah bumi. Ini
      memang aneh sebab hari  itu tidak hujan. Kalau hendak dikatakan
      kawasan kubur itu rendah,  lembah.. tak juga sebab sudah banyak
      kubur di situ tapi tak pernah  pula terjadi macam ini.
      Memandangkan orang ramai sudah mula kecoh,  kami ambil
      keputusan mengebumikan juga mayat itu dalam keadaan ia
      ditenggelami air.


        Menyedihkan. Apabila mayat mencecah saja ke air, maka air itu
      bertukar menjadi merah kerana bercampur dengan darah. Hanyir,
      busuk....susah saya nak cakap macam mana baunya ketika itu.
      Makin  lama warna air itu makin merah. Mujur waktu itu tengah
      dinihari,  orang yang datang ke kubur tak nampak sangat. Kalau
      siang...


        Kami pun benamkan jenazah tadi, endal betul-betul dan kemudian
      tutup  dengan papan. Kami buat betul-betul supaya jenazah tidak
      terlungkup.  selepas selesai semuanya. kubur pun dikambus.
      Selesai ditalkinkan,  saya dan semua yang menghantar
      Allahyarham ke kubur kembali semula ke  rumah masing-masing dan
      saya menenangkan keluarga Allahyarham yang  bersedih.


        Entah apa kesalahan yang telah Allahyarham lakukan saya tak
      tahulah.  Yang tahu cuma Allah dan Allahyarham. Bagaimanapun
      saya yakin ia  adalah balasan Allah kepada Allahyarham. Bagi
      saya ini satu iktibar.  Saya tidak mengatakan Allahyarham telah
      melakukan sesuatu kesalahan  besar tapi bagi saya, darah ini
      mempunyai tiga kaitan dan mungkin apa  yang berlaku pada
      Allahyarham ada kaitan dengan salah satu
        daripadanya. Saya kata mungkin...bukan menuduh.


        PERTAMA, janganlah sekali-kali kita membunuh orang.Membunuh
      pula  banyak caranya. Saya bukan kata Allahyarham ada membunuh
      orang tapi  perlu diingat darah itu mahal harganya.


        KEDUA, ia mungkin ada kaitan dengan makanan dan minuman.
      Janganlah  kita memakan makanan dan minuman yang haram sebab ia
      menjadi sumber  darah yang mengalir dalam tubuh kita ini.
      Jauhkanlah diri daripada  rasuah, makan harta anak yatim atau
      duit masjid, harta pusaka dan  sebagainya yang bukan milik
      kita.


        KETIGA, hormatilah darah. Kalau ada darah di rumah atau di
      jalan raya  akibat kemalangan, bersihkan;ah dengan air. Bagi
      perempuan, ingin  saya ingatkan. Cucilah tuala wanita (semasa
      haid dan nifas) selepas  anda menggunakannya. Bersihkan darah
      dengan air bersih baru dibuang  tuala itu. Jangan buang begitu
      saja selagi masih ada darah kotor yang  melekat pada tuala itu.
      Walaupun darah itu kotor, tapi ia juga  makhluk Tuhan yang
      perlu dihormati.


        Renungkanlah diri kita dan jadikanlah kisah ini sebagai
      iktibar.  Ingatlah, suatu hari nanti kita juga kan menghadap
      Allah S.W.T.  Berdoalah supaya perkara-perkara aib macam ini
      tidak terjadi pada  kita.

HIMPUNAN DOA2 SIRI 1










BAB AKHIR 24 NOVEL SIRNA MELAYU



BAGAIKAN Christopher Columbus pulang ke Itali semula. Dalam redup cuaca dia terperangkap dalam gelora meronda.
Puas dia mencari simpang dan penanda jalan arah ke pintu masuk desa tercinta. Masih diingati simpang kecil yang dulunya bertanah merah dan penuh lopak berlumpur atau berkerikil-kerikil tajam. Kalau ada perubahan pun pastinya laluan itu telah diturap dengan tar. Selain itu ada dua buah kedai – masing-masing dimiliki oleh peniaga melayu dan cina yang mengapit simpang. Ada juga sebuah perhentian bas dan teksi yang jika bertukar pun pasti dikecam lagi. Dia beranggapan begitu kerana walaupun sudah terlalu lama gambaran itu masih dikenalnya. Yang pasti sekali nama lorong Sina tidak mungkin boleh berubah nama. Dan terlalu mustahil juga jika dikatakan cuaca semurung begini dapat mengakibatkan longlai daya ingatannya pula.
Ternyata selepas itu, dia telah terperangkap dalam satu bentuk labyrinth yang aneh semacam. Beberapa kali dia berpusing di setiap simpang selekoh dan apa saja lorong yang disyaki itu hanya tempat situ saja yang masih dikecaminya. Apakah dia telah diperangkap oleh satu bentuk permainan video yang terbatas pada keluasan monitor? Dia bertelagah dengan firasat diri betapa dalam kesamaran petanda alam yang muram itu dia adalah insan yang lemah dan dungu. Perkataan insan itu yang berasal dari bahasa arab yang bermakna pelupa. Apatah dengan dirinya pula.
Masakan ingatannya setumpul begitu. Lagipun tempoh 12 tahun bukan tempoh yang lama untuk menenggelamkan seluruh ingatan terhadap haluan yang pernah ditempuhi.
Sebenarnya dia perlu bergegas pulang kerana selepas sembahyang jumaat nanti dia perlu kembali ke pejabatnya semula. Persiapan untuk ke Pulau jajahan Francis Light harus diselesaikan juga. Kini dia cuba menyelesaikan sekaligus mengubati penyakit hati yang sedang melarat. Tegasnya lagi cukuplah sekiranya dia dapat menatap wajah desa yang kian meresahkan hati dengan pelbagai hipotesis negatif. Sekurang-kurangnya hatinya bertukar gembira dengan dapat menunaikan nawaitu awal peringkat pertama.
Lambaian gontai desa yang telah terlalu berusia sedang menggamit. Telah terbayang beberapa lambaian tangan dari penduduk desa yang masih mengenali dirinya. Lambaian dari tangan-tangan kering yang berkedut milik wajah-wajah yang berkerut dibalik pakaian tradisi yang lusuh. Dia tersenyum sendirian didalam kereta itu sambil sesekali terhumban ke realiti oleh siaran radio ERA yang mencuit hati. Juruhebah Halim Osman telah pun berceloteh sedari setengah jam tadi. Keinginan untuk menatap seketika tanah tumpah darahnya itu semakin membara, semakin berapi.
Running in cirle!
Penyataan itu adalah fasa ketiga yang pernah dilalui oleh pekerja bawahannya yang bergabung dalam kumpulan SMT yang bernama Q-Far itu. Pekerja-pekerja kini tentunya masih lagi kekal didalam kekucar-kaciran Dia tahu betapa dirinya walaupun mahir dalam bidang elektronik tetapi masih mentah dalam soal kepimpinan. Ilmu penyeliaan yang ada tidak cukup untuk dia mengatasi kelemahan yang satu itu. Dia faham benar akan kekucar-kaciran pekerja bawahannya itu, sedikit sebanyak salahnya juga.

BADRUL menguap panjang.
Sambil menggosok kedua belah kelopak mata kerana sedikit mengantuk, akhirnya dia menurut desakan hati. Mundar-mandir tanpa henti adalah satu tanda kesombongan kerana tidak mahu bertanya akibat kesesatan. Ada baiknya dia bertanyakan pada penduduk kampung berhampiran. Perasaan malu yang menebal untuk bertanya diterajang ke tepi kerana dalam penyerapan semula melayu jati dia tidak seharusnya menyimpan paradigma seburuk itu.
Keretanya berhenti betul-betul dihadapan disebuah gerai menjual buah cempedak dan jering. Bau kedua-dua buah itu terus menyucuk ruang nafas walaupun belum dia keluar dari perut kereta. Di belakang gerai itu ada sebuah warung dijagai barangkali oleh suami kepada wanita tua penjual gerai yang didatangi 9 orang tua yang sedang menjamu sarapan pagi.
Badrul keluar dari kereta lalu menerpa ke arah wanita tua si penjual buah cempedak.
“Nak beli buah cempedak?”
“Oh, tidak.sebenarnya saya nak tanya sesuatu..Mak cik tahu jalan arah ke Desa Sina..”
“Desa Sina?.Tak pernah pun dengar nama itu..”
“Ha? Bukankah jalan memasuki ke kampung itu berhampiran dengan tempat ini?”
”Kalau tanah perkuburan Sina adalah nak oi..Nama kampung desa sina memang tak pernah makcik dengar!”.
“Hah?..Betul ke begitu?..” Biji mata Badrul bagaikan tersembul keluar. Dia meneguk air liur. Rasa seperti orang asing yang sedang dibuli orang warga tempatan. “..rasa macam tak percaya pula” Badrul teringatkan pertanyaan tergantungnya pada Nurzaiti tempoh hari. Kunci kereta digenggamannya terjatuh ke tanah lalu diambil kembali.
“Kalau anak tak percaya tanyalah pada orang-orang kampung berdekatan disini..”
“Tapi kampung itu memang berdekatan disini tempatnya..saya masih ingat lagi”
“Mungkin anak dah lupa jalannya…Anak datang dari mana?..”
“Saya bekerja di Batu Berendam..saya dilahirkan dikampung itu. Saya adalah anak jati kampung desa sina itu..” balas Badrul dalam satu nafas.
“Mungkin anak dah lama tak pulang…sekarang ini pembangunan disini begitu pesat sekali...di sana-sini ada saja kilang-kilang,bangunan-bangunan dan jalan-jalan baru telah dibina …Daerah ini dah tak macam dulu lagi….”
“Saya yakin Desa Sina tidak jauh dari sini…”
“Anak cuba ikut lebuh raya baru yang ada dihadapan sana itu..mungkin ada tanda-tanda yang boleh di cari di sana…”sampuk seorang lelaki, barangkali suami kepada wanita tersebut yang tiba-tiba muncul dari belakang.
Didalam warung kopi yang bersaiz sederhana, atapnya didapati begitu senget. Disitu dia meneliti setiap wajah penduduk yang ada  – turut memerhati gerak-gerinya dengan pandangan bimbang berbaur curiga. Dia tahu. Dia boleh membaca erti renungan mata-mata yang penuh keraguan akan erti kedatangan orang luar.
Ada diantara mereka sedang bercakap sesama sendiri dan gerakan kelopak mata yang lambat berkerlipan seperti cuba merahsiakan sesuatu dengan ugutan secara senyap.
Setelah mengucapkan terima kasih, dia mula mengerakkan tayar hadapan hasil dari putaran stering. Dari cermin biasan dia dapat melihat lelaki dan wanita tua penjual cempedak itu mulai mendapatkan orang-orang yang sedang berkumpul diwarung. Beberapa perbalahan seakan berlaku dan dalam sekelip mata kesemua orang-orang kampung diwarung tersebut mulai beredar satu persatu secara tergesa-gesa. Gelagat mereka seperti orang kerasukan syaitan.
Apakah perubahan itu disebabkan oleh kehadiran diiringi pertanyaan anehnya? Firasat lemahnya mula terasa ada sesuatu yang tidak kena. Sesekali ada dirasanya bulu roma ditengkuk telah meremang tinggi. Atau barangkali ada kaitannya dengan identiti Desa sina yang sengaja disembunyikan rahsia lokasinya?

IKLIM khatulistiwa masih diselaputi mendung. Satu fenomena yang jarang berlaku selama dia tinggal di Melaka.
Setelah gagal mencari sebarang clue, ada baiknya untuk Badrul terus berpatah balik ke pangkal jalan. Memecut laju Nissan Sentra berwarna hijau metallic, tali asanya terasa telah pun putus. Tiada lain petunjuk yang boleh digapai kecuali dia perlu berjumpa semula dengan Nurzaiti demi sebuah kepastian. Tentunya ada satu rahsia besar yang sedang berselindung ngeri dan kemas dari pengetahuan ceteknya kini.
Mungkinkah dia sedang berhalusinasi? Atau sememangnya Desa Sina telah pun hilang dari muka bumi tuhan?.Atau tempoh lebih sedekad berlalu menyebabkan ingatannya tenggelam penuh kekeliruan? Segala itu tidak dapat dijelaskan oleh mindanya sekarang.
Hanya selepas odometer bertukar tiga angka keretanya terasa berat sebelah,  bergoyang bagaikan hanyut dilautan. Di pinggir jalan bersebelahan sebuah bendang yang baru saja dituai dia memberhentikan kereta lalu keluar memeriksa keadaan tayar.
Pancit rupanya!, desusnya dalam hati lalu terus mengeluarkan tayar ganti. Sambil melihat kekiri dan kekanan dia turut berharap jika ada sesiapa penghuni kampung yang boleh menolongnya menggunakan jet tayar. Alangkah jahil kerana selama memandukan kereta dia tidak pernah mengambil tahu akan selok-belok penukaran tayar.

KERINDUAN untuk menatap wajah kampung begitu menekan. Seperti samanya untuk menatap kubur arwah ibunya pada setiap kali hari pertama lebaran di Ipoh. Kalaulah benar duganya begitu maka tidak mustahillah dia merupakan si nahkoda tanggang alaf baru dalam versi tahun 2000 yang berakhir hidupnya dengan sumpahan moden. Tanggang dan dirinya memang banyak persamaan konsepnya. Dia adalah anak derhaka yang tidak mengenang jasa sebuah desa yang membesarkan dirinya dahulu. Dan sesudah itu begitu senang melupakan suatu kenangan yang terpencil demi keasyikan hidup serba moden menghala kearah masa depan dengan bancuhan prinsip sendiri.
Tetapi tanggang mungkin lebih berakhlak darinya. Sekurang-kurang si Tanggang berkahwin dan tahu erti pentingnya sebuah keluarga dan zuriat. Tanggang hanya malu kerana dirinya berasal dari perut ibu yang dibelenggu kefakiran. Dia lebih dajal dari itu. Hanyut dalam kesesatan ideology yang akhirnya menyedarkan dia betapa jati melayu yang senipis kulit bawang itu pun tidak terbancuh oleh rempah keagungan islam.
Itulah bentuk dirinya sekarang.
Ketika menyambung pemanduan ingin pulang, telefon bimbitnya berbunyi. Memberhentikan kereta di bahu jalan mindanya masih lagi bergantungan tanpa pedoman yang baru. Panggilan dari Yan terus memacu akan berita yang begitu menggemparkan. Dengan berat mulut penuh kegagapan akhirnya terpacullah setitis nestapa dari neraka. Lebai malang alaf baru adalah jolokan terbaru baginya.
Proses pemindahan produk Optocoupler telah dibatalkan. Produk itu akan dipindahkan secara keseluruhan kepada cawangan lain yang terletak di negeri China. Alasan yang diberikan oleh pengurus-pengurus besar berbangsa Jerman itu ialah tentang kos penyelenggaraan di masa depan. Optocoupler tidak memberikan banyak keuntungan malah sering mengundang malapetaka yang tak terduga. Lokasi Wuxi di pilih kerana kos perbelanjaan di negeri itu lebih menjimatkan. Antara contoh dikemukakan – kos seorang operator di Malaysia bersamaan dengan 7 orang operator di China.
Namun pemindahan produk LED ke OSPEC tetap berjalan seperti biasa walaupun tidak dilanjutkan. Dengan itu bermakna lebih 400 pekerja termasuk dirinya akan kehilangan mata pencarian.
Badrul menepuk dahi lalu mengeluh panjang.
Pedal minyak ditekan lama. Dia teringatkan kereta import yang dinahkodai sekarang. Kalau manusia melayu sepertinya tidak membeli proton atau perodua sampai bila-bila pun industri tempatan tidak berkembang. Dan kini selagi dia memperhambakan intelek diri pada syarikat negara asing, segala kepakaran anak-anak jati tempatan tidak akan berkembang sampai bila-bila pun. Dia mesti menyahut cabran Hafiz dengan sesungguhnya. Dia keliru berserta pilu. Namun yang lebih penting dari itu semua ialah konsep jati diri yang sedang dibaik-pulih perlu ditamatkan dengan sempurna. Pertemuan dengan Desa Sina adalah titik akhir dan pemula.
Are sure about this, Mr. Yan?” Soal Badrul seraya terbayangkan sebuah kilang baru yang sayup megah di pinggiran selatan China.
Wuxi!
Pengurusnya itu tidak menjawab apatah lagi melanjutan syarah nestapa. Suatu berita yang menduka citakan yang sedikit sebanyak akan turut menjejaskan periuk nasinya.
Telefon bimbitnya berbunyi lagi dan Idah sedang bertangisan ditalian.
“Saya rasa encik Badrul sudah pun tahu..Kita semua akan hilang mata pencarian, Encik Badrul!..”
“Bertenang Idah..jangan ikutkan perasaan..Tenangkan fikiran. Segala-galanya masih belum jelas lagi…”
“Sudah jelas!…semua orang dah tahu..ramai yang sedih dengan berita itu… Bagaimana dengan anak-anak saya nanti..Suami saya hanya bekerja sebagai askar saja..kalau saya diberhenti teruklah nanti…”
Talian terputus lagi dan kira-kira sepuluh rantai dihadapannya kelihatan sebuah lubang besar sedang menanti keligatan tayarnya. Telefon bimbit ditangan terus dilemparkan ke kusyen bersebelahan dan kakinya kanannya begitu pantas mencengkam brek.

SEKARANG dia tidak mahu memikirkan itu semua.
Ada perkara yang lebih penting sedang dirisaukannya. Dia hanya memungkin selepas itu kredibiliti dia dan pekerja-pekerja bawahannya pastinya akan diadili. Soal pemindahan ke jabatan lain mungkin akan terjadi. Soal perberhentian pekerja mengikut senoiriti pasti akan disusuli nanti. Walau apa pun yang bakal terjadi ianya mustahil diubah lagi.
Sedang dia menuju semula ke bandar Tampin dengan niat untuk terus memasuki tol Simpang Empat selepas itu, dia terlihat satu papan tanda menunjukkan sebuah lebuh raya yang telah siap dan boleh digunakan oleh semua kecuali kenderaan berat pada keesokan hari. Entah mengapa hatinya tiba-tiba tergerak untuk melencong ke arah lebuh raya itu. Sebuah palang kayu yang panjang terentang diantara dua buah tong drum berwarna hitam dialihkan.
Dia menghidupkan semula kereta lalu menetapkan kelajuan pada 80 km. Duganya pula dia adalah pemandu pertama yang sedang merasmikan lebuh raya itu. Zaman semakin maju dan lebuhraya turut berselirat di sana-sini sehinggakan menenggelamkan pertumbuhan kampung-kampung di persekitaran tempat. Itulah bauran interior monolog ketika itu. Tiba-tiba tayar keretanya sekali lagi terlanggar lubang. Lubang kali ini gagal dielakkan menyebabkan keretanya terbabas lalu melanggar sebatang banir tanpa pohon dipinggir jalan. Oleh kerana dia terlupa mengenakan tali pinggang semula kepalanya terhantuk di cermin hadapan. Dia pun pengsan buat beberapa ketika.

DENTUMAN guruh dilangit akhirnya menyedarkannya semula. Sambil meninjau ke jam tangan didapati lebih dari 3 jam dia tidak sedarkan diri. Dengan memicit-micit dahi yang membengkak sakit sehingga terasa ada sedikit darah mengering di calitan dahi sebelah kiri. Sakit terasa dikebanyakan sendi.
Setelah keluar sambil membelek hadapan kereta yang remuk didapati dia telah ketinggalan solat jumaat. Barulah disedari hari yang baru menjenguk petang begitu kelam oleh mendung yang enggan melebatkan hujan.
Terperanjat hatinya bukan kepalang kerana dipinggir jalan itu dia melihat ada sebuah jejeran perkampungan yang terbiar begitu lama ditinggalkan oleh penghuni-penghuni asalnya. Dari jarak cuma 100 meter penglihatan ianya diliputi oleh semak samun dan lalang berdaun tinggi sehingga membentuk sebuah belukar yang menyeramkan. Dicelah-celah dedaunan lebar dan bunyi serangga yang membingit berserakan beberapa keping zink yang belum terkopak – masih belum hancur dimamah bumi.
Beberapa rangka rumah yang hanya kelihatan tiangnya juga diamatinya. Beberapa buah petak sawah dilonggoki batang-batang kayu yang berarang. Ada seperti bayangan anak sungai yang melingkari tetapi dipenuhi lalang-lalang dan tumbuhan menjalar. Diantara bekas-bekas tiang rumah itu ada sebuah rumah beratap zink merak dengan bentuk minangkabau, seolah-olah masih teguh berdiri menantikan pewaris terakhirnya untuk melihat kali yang penghabisan.
Desa Sina?
Desa sinakah itu?
Dimanakah penghuni setia desa tercinta?
Benarkah apa yang dilihatnya kini?
Sambil menggosok kelopak matanya beberapa kali dia beristigfar panjang ke hadrat Tuhan.
Dia lupa yang dirinya adalah seorang anak hartawan.
Dia lupa yang dirinya adalah anak metropolis.
Dia lupa dirinya adalah bekas seorang mahasiswa berijazah 4th pointer.
Dia lupa yang dirinya seorang jurutera kualiti.
Dia sedar dirinya adalah seorang pekerja yang bakal diberhentikan.
Dia sedar dirinya adalah anak sirna kemelayuan.

Desa Sina!
Akulah pewaris terakhir rumah itu!
Akulah cucu pewaris desa terbiar itu!..
Akulah pewaris terakhir desa yang tenggelem dihadapan mataku.
Nafasnya tersendu dan bulu romanya meremang tinggi. Airmata yang lebih dua puluh tahun terpendam diam itu pun mengalir sepuas-puasnya.
Sederas-derasnya!
Hujan pun turun mendadak bersama sabungan petir dan guruh tanpa henti. Begitu tersendu, telefon bimbitnya pun berlagu. Dia teringatkan beberapa email yang memberi amaran agar menutup talian telefon ketika petir menyambar bumi. Secara teragak-agak namun berani telefon bimbit itu dirapatkan ke cuping kiri.
“Badrul..dimana kau sekarang ini?”
Petir berkerlipan lagi. Guruh berdentuman mengegar bumi.
“Aku…aku sedang berada dihadapan kepupusan kampung kita..”
“Badrul..kau jangan berguraulah… kau dimana sekarang ini? Kau dah dengar berita terbaru tentang transfer produk itu?
“Aku tidak bergurau Zetty…aku sedang berada di hadapan bangkai Desa Sina …Aku ingin tahu apa yang sebenarnya terjadi pada kampung kita..aku mahu berjumpa dengan kau, Zetty..aku ingin!”
“Astagfirullah..Kau…kau…”
Talian terputus serentak dengan kerlipan besar petir berselirat betul-betul dihadapan anak matanya.
“Zetty…nanti dulu Zetty…”
Mindanya beralih pada talian lain.

Badrul:
Maafkan aku Hafiz…aku terpaksa menangguh permintaan dan janji kita itu, Ada satu masalah peribadi yang mesti aku selesaikan terlebih dahulu 

 

  


Tanpa berlengah SMS itu terus saja dihantarkan ke telefon bimbit Hafiz.
Hujan guruh dan petir kini telahpun bersatu dalam kebasahan tubuh dan kelopak matanya itu. Didalam hati yang mulai hangat berapi, dia segera menanam satu wawasan baru yang tidak pernah difikir malah dirancangkan sebelum ini. Dia ingin menjadi seorang pembangun manusia melayu dengan jati diri yang cukup berkualiti.

Blog Archive