Thursday, October 11, 2012

WUDHUK

Seperti biasa, Che'gu Berahim nie mengajar pelajar di Sekolah Agama.Che'gu Berahim mengajar budak tahun satuPada hari tersebut, beliau mengajar bab"cara berwudhuk"Selepas mengajar, beliau (Che'gu) selalu meminta
muridnya bertanyakan soalan jika terdapat kemusykilan.

Che'gu : Ada sesiapa hendak bertanyakan soalan?
Tiba² seorang anak muridnye mengangkat tangan, nama murid tu adalah Man Dol
Man : Ada Che'gu. saya ada satu kemusykilan. Boleh tak kita ambil wudhuk dua kali?
Che'gu : Boleh, tapi kenapa sampai dua kali ambil wudhuk?
Man : Saya ambil dua kali sebab kalau saya terkentut, wudhuk lagi satu tu boleh buat spare part!
Che'gu : Allahhuakbarr!!!

BAB 10 NOVEL SIRNA MELAYU


BAB 10


 

LIMA hari yang sudah dia jaki untuk bersahur. Deringan loceng jam dari bilik hadapan memang turut membantu. Mata terbuka dan telinga terjaga namun pintu mindanya tetap bermangga, tubuhnya akan sambung berkerekot, tangan kembali menarik ekor selimut. Tahrim yang berkumandang difantasikan sebagai sepasang tangan yang menepuk punggung mendodoikan lagu ‘Tidurlah Permaisuri’. Bunyi ayam jantan berkokok sudah menjadi sebahagian iringan pancaragam mimpi yang diadakan mesra sengaja.
Memang itulah kelemahannya. Intiusi sikap itu masih diwarisi semenjak di awal bangku sekolah menengah. Kecuali di dekad sekolah rendah dia mesti mengalas perut terlebih dahulu jika tidak mahu berpuasa hingga ke tengahari. Dia faham benar kenapa perubahan itu adalah harus.
Malah lima tahun yang lalu sejak bergelar jurutera kualiti, kualiti sahur adalah satu kemestian yang kabur baginya. Sahur itu adalah suruhan sunat bagi pengalas lapar siang dan kenyataan ini sesiapa pun maklum. Dunia ilmu tanpa sempadan menyukarkan seseorang untuk menggeleng tanda bebal. Tetapi sekadar tahu dikepala tidak cukup untuknya mengikut apa yang sepatutnya diamali.
Seingatnya di tahun yang lalu hanya dua kali dia berlagak hipokrit – pertamanya ketika orang tua Mazrul bertandang dan tidur dirumah mereka dan keduanya apabila bapa serta adik perempuan tunggalnya turut melakukan perkara yang sama. Bangun dan membuat persiapan sahur ketika itu hanyalah satu keterpaksaan. Satu perbuatan yang tidak ikhlas yang hanya semata-mata ingin menutup keaiban sikap.
Dan ini memang begitu berlainan sekali dengan tanggapan hidup Mazrul. Atapun boleh diambil kira falsafah hidup yang berdiri teguh pada lima tiang ajaran islam. Sudah semestinya itu juga satu warisan hasil asuhan.
Entah bagaimana kali itu seluruh jiwanya cukup segar terbangun bukan kerana kejutan suara garau Mazrul yang sudah lali dek cuping telinga. Surah Ar-Rahman yang paling senang dikecam itu begitu membangkitkan nubari muda. Menerpa dari celahan kekaca tingkap bilik gegendang telinganya diusik merdu sebuah ngajian. Perantaraannya adalah suara seorang wanita yang mendayu-dayu bak buluh perindu. Suara itu telah mencelikkan kelopak mata yang berat lalu ada pergerakan yang meronta - menolak selimut nipis hingga ke hujung kuku kaki.
Tanpa disedari emosi diri didapati telah terkebil-kebil didepan cermin muka bilik air sementara pendengarannya sudah pun merantau diluar perkarangan rumah. Berkali-kali dia bertindak mencuci muka sebelum menyangap panjang, mengumpul sebanyak mana oksigen yang diperlukan.  Bermimpikah dia? Atau di alam halusianasikah kini? Interor monolog ringkas itu menjadi bukti ketidakpercayaan hati yang telah terpaut pada kemurnian bacaan surah mukjizat Tuhan. Telah lama tak terdengar oleh akal yang mula ingin menafsir ataupun barangkali oleh nafsu sejati bulan Ramadhan yang terpikat pada kelunakan intonasi sang pembaca.
Dia mencapai tuala, mengesat lembap muka lalu mengetatkan tali tracksuit yang longgar. Baju T putih yang dipakai berbau peluh, menyedarkannya akan kipas siling yang berputar pada kadar minima gagal menghalau selubung bahang. Langit dipenuhi awan Nimbus barangkali.
Suara yang begitu menawan hati kecilnya itu kembali memaksa diri untuk menyelak kekaca tingkap – mengintip dengan tanda tanya berulang yang meluap-luap - mencari penghuni yang berani mengejuti menerusi psikologi bertaraf tinggi.
Dalam pejam-celik yang tidak teratur mindanya hampir celik semua. Walaupun belum seratus-peratus, hasil penganalisaan milik suara dan rawangan mata liar yang serba kacau telah dipastikan ianya datang dari rumah arwah Cikgu Harun.
Khabaran dari Mazrul tentang wujudnya seorang gadis bernama Syuhadah menghambatnya selepas itu sebelum terasa sedikit janggal dengan aneh laku tiba-tibanya itu. Dapat dirasa dirinya benar-benar melayu ketika itu.
Kelakuannya itu difikirnya benar-benar memiripi sebuah kisah yang berlaku di zaman awal pengistiharaan kerasulan nabi terakhir. Dia masih ingat Hafizlah orang bertanggungjawab berdakwah tentang itu.
Menurut sejarah tertulis setiap malam entahkan pukul berapa dan diusia berapa Nabi junjungan SAW. akan membaca al-quran dengan suara merdu kurniaan Tuhan. Abu Jahal dan dua orang rakannya yang lain akan menghendap secara sembunyi-sembunyi tetapi berasingan tanpa diketahui setiap satu diantaranya – dengan tujuan mencuri dengar akan betapa indahnya surah Al-Quran.
Akhirnya dengan kehendak Tuhan musyrikin bertiga itu telah terserempak sesama sendiri. Simpang tiga akhirnya bercantum dibawah bulatan bumbung lantai. Rahsia pun bocor sehingga masing-masing dihempap rasa malu tak terperi.
Badrul bergerak ke bilik air untuk mencuci mukanya sekali lagi kerana masih tidak berpuas hati dengan kesegaran mindanya yang kali ini benar-benar tersindir pula oleh riwayat zaman awal kebangkitan islam.
Dengusan malas pun mendesah apabila segar menyusup dicelahan basah. Air paip dilalukan pula keseluruh rambut lurus halus sambil matanya tertutup. Dalam keadaan sedikit terbongkok tanpa setitis cahaya, tahulah kini ada segumpal nyala resah yang melanda tidurnya tadi sambil menyelindungkan berbagai makna. Makna tentang islam dan kemelayuan. Kestabilan jiwa yang tidak kekal kerana adanya gangguan yang tidak pasti apakah judulnya. Entahkan bagaimana boleh tercipta. Segalanya bermula dengan suatu kehadiran itu. Suatu pertemuan yang mewujudkan satu bentuk fluctuation17 dalam jiwa.
Fluctuation?
Sudah lama dia alpa akan wujudnya erti perkataan itu. Walhal fluctuation itu sering mengganggu ketidakstabilan mesin-mesin penguji di makmal ujian reliability. Yang peliknya fenomena ganjil itu hanya kerap terjadi hanya pada mesin-mesin dibawah jagaannya dan tidak pada Gan SY, Tung SP dan Tan ST. Menghairankan sungguh! Seperkara lagi perkataan distortion mulai mengambil tempat resahnya kini dengan satu makna yang kurang ingat tetapi tetap diyakini akan persamaan makna yang melingkungi.
Arghh…!!
Dia mengeliat panjang. Menghayun kepala beberapa kali seraya menghalau gangguan situasi kerja, dia diserangi pula imbasan wajah Nurzaiti sedang tertawa manis dek kelakuan anehnya. Terbayang pula gadis itu sedang memasak sesuatu yang enak pada pagi-pagi begini.
Terasa rambut yang melebat lurus itu seperti berkipas macam sayap helikopter dan menempias kesegenap penjuru jubin. Dihadapan cermin wajahnya nampak remuk diatas kaca berbintik air. Inilah wajahnya di waktu imsak. Wajah seorang pemuda muslimkah itu? Dan selepas itu dia termenung tanpa sebarang fikir untuk waktu hampir lima minit lamanya kecuali degupan jantung yang cukup kasar berselang-seli dengan dendangan Surah Ar-rahman.


“MIMPI apa kau bangun pagi ini?” soal Mazrul secara berjenaka setelah terperanjat mendengar bunyi telapak kaki menderap papan lantai tangga penghubung tingkat.
Badrul tiba di anak tangga terakhir dengan sedikit gayang, berbantukan palang.
“Misteri mimpi Syakilla..”
Dia sempat bergurau sementara Mazrul sudah pun menolong membubuh nasi di pinggan kosong lalu diletakkan dihadapan Badrul.
Dengan situasi mengadap ruang meja dan makanan sahur dia fahami lagi betapa sifatnya yang jarang bersahur itu adalah rentetan dari kehidupan tanpa asuhan seorang ibu. Sepalitan sejarah yang amat menyebakkan tetapi tidak pernah ditangiskan. Itulah corak keyatiman hidup yang diwarisi. Kasih sayang seorang bapa juga jarang mengajari. Orang gaji rumahnya pula malas sekali diteguri. Malah dengan Badariah hanya bertegur-sapa sekadar syarat bahawa mereka itu bersaudara – tinggal sebumbung haruslah mengambil tahu sedikit sebanyak perkembangan harian sesama sendiri. Barangkali dari situlah datangnya ketidak-peramahan diri, kera sumbang yang hidup dalam dunia yang sumbing.
Itu daripada sudut sosial pembentukan diri. Itulah juga satu bentuk egois yang merajai hati. Satu kehidupan yang akhirnya banyak dibantu oleh peralatan moden yang sehingga kini diterimanya tanpa sebarang komen. Punya kesan negatif ataupun tidak. Corak kehidupan yang lalu dirasainya tidaklah secocok lagi dengan tuntutan alaf baru. Satu tuntutan dimana dia perlu memperbaiki jalan hidup agar tidak terus sirna di alam melayu.
Seperti ada sesuatu yang tidak kena, tetap statik sampai bila-bila. Sepatutnya dia adalah manusia berdarah melayu, darah yang mengalir dari sinambungan warisan bangsa – yang seharusnya tidak tenggelam dalam arus majmuk bangsa dan kebanjiran sekularisme sarwajagat tetapi mendayunginya tanpa kebasahan apatahlagi kelemasan. Samalah hakikat seekor ikan yang tak berdaging masin dilautan bergaram. Namun hakikatnya dia kini telah terumbang-ambing digelorai gelombang globalisasi. Dia seharusnya menjinakkan arus itu lalu memanfatkannya didalam perjalanan maya melayu tanpa henti.  
Corak kehidupannya yang lalu masih tetap berpeta didalam mindanya sekaligus menafikan dirinya bukanlah seorang lelaki intelektual yang tidak mempunyai sebarang memori dalam simpanan minda.
Umpamanya di pagi hari mereka sekeluarga menggunakan coffee maker, toaster dan pembakar roti dan sebotol lady’s choice untuk pengalas perut. Tiada langsung unsur nasi lemak, lontong atau roti canai yang dicernakannya. Sementara tengahari barulah nasi disua. Berganjak ke petang dan malam langsung tidak dijumpai. Dan kini nasi seolah-olah tidak lagi menjadi makanan ruji padanya walau sehari sekali? Kenapa begitu sekali? Bukankah dia masih lagi manusia Asia?
Sesuatu yang menjadi kebiasaannya ialah dia akan jamah hidangan tengahari dengan McChicken atau Big Mac untuk hari sabtu dan minggu. Jika perasaan bosan mengganggu kerana kempunan untuk menukar selera cepat-cepat dia menelefon Pizza Hut atau Kenny Roger’s Roaster untuk dihantarkan segera. Itupun memang tidak pernah habis ditelan, selebihnya dibuang pada seekor kucing jiran yang menumpang hidup di halaman belakang.
Dan malamnya dia lebih berminat untuk menyuap apa saja jenis Mee ke dalam mulut untuk penghadaman demi secupak tenaga sebelum tidur. Citarasanya memang begitu sejak dulu lagi dan kini semakin melarat sehinggalah berhari-hari dia tidak lagi menjamah nasi. Apakah kehilangan makanan ruji itu adalah satu sebab timbulnya kehilangan jati diri? Nasi begitu sinonim sekali dengan kehidupan melayu itu.
Demikian pula semasa di sekolah asrama, semakin terpisah dia dari pergaulan masyarakat. Masyarakat yang ditemuinya hanya terkumpul di dalam buku sejarah dan geografi.
Dengan minda yang terlalu kacau kini dia merasakan pula bahawa sekolah asrama tidak salah pembentukannya. Bukanlah satu daerah pengasingan yang berniat jahat. Yang dajal adalah kealpaan dirinya juga.
Sejarah hidup dirumahnya dulu, tahap sosial memang tidak berganjak. Mereka sekeluarga hanya memesrai masyarakat menerusi televisyen, radio, telefon dan ditempat kerja bagi bapanya. Dengan kehadiran internet tabiat yang semakin memuncak itu kian dipupuk dengan lebih dahsyat.
Begitu juga yang terjadi pada Badariah - keluar dari rumah sesudah sarapan lalu diturutkan bapa dengan S Class di hadapan pagar sekolah dan pulangnya memerapkan diri didalam mini pustaka mengadap ilmu yang dididik sebagai satu budaya termahal. Budaya Iqraq telah pun merutini dari kecil oleh bapanya dan kini dia tidak pasti bagaimanakah bentuk yang pasti akan budaya hidup orang melayu secara total. Memang iqraq adalah budaya mulia dan semestinya dikekalkan kalau perlu. Bapanya tidak pernah mengajar sejauh itu. Dan ternyata kini budaya ilmu sebenarnya lebih menjangkau jauh daripada hanya sekadar menelaah cetakan huruf, angka atau formula. Masih banyak lagi yang perlu dibaca dalam kehidupan ini. Alam juga adalah sejenis buku yang tidak terbaca olehnya sehingga kini?
“Waktu imsak tinggal lima minit lagi…”
Mazrul memperingatkan, sengaja menghentak botol kicap dengan kuat kemudiannya sambil melebarkan senyuman yang pudar.
Badrul mengangkat dagu yang tidak berdaya. Sepasang mata kuyu dan tangan lesu mulai bergerak mencari makanan dengan keserabutan fikiran yang kian. Jarinya tersentuh secawan air kopi panas lantas cepat-cepat ditarik semula. Satu tindakan refleks yang bermujarab membantu menyegar ruang pandang, menyedari akan kekinian situasi dini yang sunyi.
“Kau masak apa hari ini?”
“Ikan masin dan telur goreng. Sayur tak ada…tapi kuah kari petang semalam masih ada..aku panaskan.dan masih boleh dimakan ”
“Berselera nampak?”
“Inilah yang terbaik berbanding sahur-sahur yang lepas…lagipun memang dari dulu memang begini..kau yang tak mahu nak biasakan diri..”
Dihadapan datar meja itu adalah nasi putih yang sudah lama tidak dilihat. Seolah-olah terbayang pula akan berkhasiatnya hidangan Yong Tow foo atau Wan Tan Hor atau Yong Chow atau Wan Tan Mee yang selalu dijamahi sewaktu makan tengahari di waktu bekerja pada bulan selain Ramadhan. Terbayang juga akan kuih muih dan burger Ramlee yang begitu menyelerakan pada tiap waktu berbuka puasa.
“Siapa yang mengaji tadi?”
Tangan yang menyuap ke mulut itu terhenti kerana mulut itu sudah pun meledakkan tawa penuh sindiran.
“Syuhadah…bunga bongsu arwah cikgu yang baru meninggal itu..” jelas Mazrul masih didalam kegirangan yang menyakitkan hati.
“Syuhadah?”
Dia tidak dapat menafikan betapa selama tinggal serumah dengan Mazrul sifat dan tanggapan tentang hidup di alaf baru itu ada sesuatu yang menginsafkan. Kenapa baru sekarang? Kenapa baru kini dia perlu menganalisa tentang rapuh diri yang rangup? Dan persoalan jati diri kembali mengambil tempat dalam fluctuation yang semakin meresahi. 
Menyambung tidur setelah hanya meneguk habis secawan kopi dan sekunyah nasi dengan niat kembali untuk bangun sembahyang subuh, dia menyakini perubahan yang mendesaki nuraninya kini ada kaitan rapat dengan kehadiran Nurzaiti. Dia yakin ada sesuatu yang tinggal misteri masih berahsia disebalik identiti seorang gadis yang baru dikenal, yang belum dinekadi sepenuh hati.
Dia tidak syak lagi!

SUBUHNYA terlepas dari tambatan alarm.
Badrul mengutuk diri kerana terlalu lena walau mengunci waktu pada telefon bimbit. Tatkala mencelikkan mata dengan bantuan geseran pagar pintu jiran yang berkeriut nyaring, diyakini Mazrul telah lesap. Ruang rumah sewa senyap-sepi. Komputer, televisyen, telefon dan radio disekelilingnya masih tidur lagi. Barangkali diluar laman pun para manusia masih ramai yang bermimpi.
Ini menyedarkan lagi sahabatnya itu mengambil kerja lebih masa di syif pagi hari sabtu ataupun bertandang ke rumah tunang. Satu diantara dua betul duganya mesti tak lari.
Dihadapan meja tempat tidurnya dikerusi sofa jingga itu terlihat sebuah buku berjudul ‘Mutiara Perkahwinan’, pastinya milik orang yang ingin berumahtangga. Badrul tersenyum sendirian, membayangkan sejenak akan intipati buku yang paling berperanan sebelum mengeliat panjang.

SETELAH siap berpakaian ringkas dia menutup pintu rumah lalu menghidupkan enjin kereta. Ke perpustakaan negeri adalah hala tujunya kini
Satu kekecohan berbisik didengar pula sedang berlaku datangnya dari rumah jiran sebelah kiri. Di pintu pagar kelihatan seorang gadis tinggi lampai (barangkali Syuhadah) sedang mengadukan satu perkara pada makcik sebelah rumah dengan wajah yang cemas dengan gerakan tangan yang tidak kemas. Makcik itu sedang memegang penyapu lidi bagaikan sedang memegang sepucuk revolver. Gerakan bibir tidak berhenti berkicau itu menceritakan sesuatu dengan anggukan dan gelengan silih berganti. Kedua-dua jiran wanita itu dengan anak mata yang membulat besar akhirnya berpaling ketika dia menjenguk-hampirkan muka.
“Apa yang terjadi?” soal Badrul dalam hati.
“Nampak ular tak?..”, jiran sebelah rumah bertanya dengan separuh jeritan dan Syuhadah tersenyum gelisah.
Pertanyaan hati terjawab sudah.
“Ular?..”Badrul bertanya kembali, mematikan enjin kereta, sebelum berganjak beberapa tapak ke hadapan pintu pagar. Jantungnya berdegup sedikit kencang. Matanya bergilir-gilir merenung dua wajah dihadapan dalam jarak sepanjang meja ping pong. Jauh disudut hati yang mulai digeruni oleh kemunculan reptilia berbisa itu disamping turut kempunan melihat secara dekat wajah gadis yang sedang hangat digalakkan oleh lelaki yang sudah bertunang. Didapati gadis bertudung itu memiliki dagu runcing, bulu kening tebal serta pipi putih yang tembam. Kesemuanya menjelaskan betapa benarlah Syuhadah adalah seorang gadis yang cukup mengayukan. Teringin juga dia bertanya benarkah gadis itu yang ikhlas mengaji tanpa malu diawal pagi Ramadhan yang syahdu?
“Nampak dimana?” soal Badrul dengan lantang kerana jarak bual yang masih jauh.
“Baru sebentar tadi…Syuhadah nampak seekor ular sedang berlingkar di atas pagar rumah kakak…tetapi sekarang dah hilang..entah mana perginya..”, terang jiran sebelah lagi sambil mengukuhkan pegangan penyapu ditangan kanan. Sementara Badrul mula merimaskan gerakan anak mata ke serata arah.
“Dari mana datang ular itu?”
“Entahlah…agaknya datang dari hujung sana”. Tangan jiran itu menunjuk ke arah tenggara.  “..tempat pekerja-pekerja sedang membesarkan tambak untuk membina lebuhraya..”
“Lebuhraya?” Badrul begitu terkejut kerana setahunya hanya di Kuala Lumpur sahaja ada lebuhraya didalam kota.  Melakakan bandaraya bersejarah, pintas warasnya pantas, membetulkan tanggapan.
“Takkan awak tak tahu..sekarang ini heboh betul pasal cerita ini..awak tak ada baca Harian Metro?..Pasal para penduduk taman mawar yang membuat demonsrasi bantahan terhadapan penebangan pohon-pohon jati yang terdapat disepanjang jalan yang nak dibina lebuhraya itu?”
“Pohon jati?”
Jiran wanita dan Syuhadah ketawa sesama sendiri sebelum Badrul turut ketawakan kejahilan dirinya tentang perkembangan sekitar perumahan mereka.
“Saya tahu yang awak berdua cuba membuat kesimpulan yang ular tadi berkemungkinan datangnya dari kawasan pohon jati yang ditebang itu..saya tahu …Cuma saya agak terlelap ..maklumlah baru terjaga dari tidur..”
“Memang awak masih tidur..Kakak tak cakap pun pokok-pokok jati itu sudah ditebang…”
Kali ini mereka bertiga sama-sama ketawa. Seraya melupakan kerisauan tentang ular, Badrul sempat menjeling asyik ke arah Syuhadah yang sedang membariskan susunan gigi dan gusi yang secantik wajah dibalik tudung putih.
“Apa salahnya kalau mereka nak tebang pokok jati itu?..lagipun nak dibina lebuhraya untuk kegunaan semua juga. Sekarang ini kereta semakin melambak …Lagipun pokok itu bukannya berguna sangat selain dari membekalkan oksigen kepada kita..pokok-pokok lainkan ada..”
“Nak bina lebuhraya itu memng ramai setuju…tapi fasal nak tebang pokok-pokok yang sudah hidup lebih seratus tahun itulah ramai yang tak puas hati..pokok-pokok itu berharga sebenarnya, dah beratus-ratus tahun usianya, sayang kalau nak tebang tinggalan warisan nenek-moyang kita…”
Diruang ingatnya mula terbayangkan wajah sepohon jati yang tinggi menjulang sebelum terpercik pada replica pohon yang telah dibonzaikan.

PARA jiran entah yang dari mana tiba-tiba datang dan kian berlonggok, akhirnya telah pun surut ke rumah masing-masing apabila soal ular yang halimunan sudah tiba ke tahap membosankan. Soal keselamatan terus saja diserahkan bulat-bulat kepada Tuhan dengan kata sepakat yang diambil untuk membuat gerakan kebersihan.

SEHINGGA setengah jam enjin kereta tidak berjaya dihidupkan semula. Dia kehilangan akal untuk mencari punca kerosakan. Memandangkan semenjak beli inilah yang kali pertama. Hendak meminta bantuan jiran dia terasa malu dan kalau ingin telefon kemana-mana bengkel kereta dia sendiri tidak tahu. Dengan menggunakan konsep begin with the end in mind18, akhirnya dia mendapat idea – menelefoni Mazrul meminta jasa baik rakannya itu agar dapat mengirimkan seorang makenik seberapa segera. Mahu saja berbuat sedemikian baru diingatnya yang prepaidnya sudah kehabisan sen.
Mahu tidak mahu dia terpaksa memasuki rumah kembali, menghanyutkan fikir pada berita utama yang berlangsung didepan mata. Helai demi helai lembaran akhbar dibuka hingga tibanya pada sebuah cerpen “ Malam di Manchester”. Setelah lima minit membaca, kisahnya berlegar tentang dilemma seorang siswazah luar negara. Watak utama mengalami krisis jati diri apabila enggan pulang berhari-raya meskipun sudah dua tahun tidak pulang. Kisah itu seolah-olah ada nada sindiran terhadap dirinya. Entahlah kenapa tiba-tiba saja dia beranggapan seyakin itu.
Punggung Mazrul sememangnya telah tergam pada sofa di rumah tunang. Ini bukanlah kali pertama berlaku. Sebelum bertunang pun Mazrul sering berlaku demikian. Begitulah yang difahaminya sejak kebelakang ini. Darah manis yang mengalir seperti tidak sabar lagi untuk ditawarkan pada tempat yang sepatutnya.
Mazrul akan sering menghilangkan diri pada setiap hujung minggu – seolah-olah sudah tidak sabar lagi untuk berumahtangga. Dan yang dimarahi bukanlah itu tetapi kesunyian yang mengelilingi ruang dan diri. Memerhati sekitar secara jemu dia akhirnya menyedari inilah yang bakal terjadi apabila berakhirnya cuti hari raya nanti.
Bersendirian adalah tidak lain dari satu kebosanan. Entahkan mengapa hatinya begitu berat untuk mendekati komputer dan internet didalam. Tetapi dia tidak mahu oleh dek tindakan Mazrul untuk berumahtangga menyebabkan hatinya mula gelisah untuk menjejak langkah penyambung. Dia tidak mahu dipengaruhi kerana selama ini pun dia tidak pernah mengendahkan soal hidup berpasangan. Haiwan pun hidup berpasangan kecualilah Harimau. Harimaukah dia?
Badrul ketawa seorang menyedari fikirannya telah menjangkau sejauh itu. Berkahwin baginya bila sudah tiba masanya untuk berkeluarga setelah berjaya dalam pengejaran kerjaya. Tetapi soal kerjaya adalah terlalu subjektif . Tiada titik akhir dan peringkat kepuasannya tidak berhenti sampai bila-bila.
Dia menelurkan diri dihadapan TV 21 inci. CD berjudul American Beauty dibuka, memaparkan satu filem yang telah dinobatkan sebagai filem terbaik oleh pihak Academy Award. Satu jam berlalu apa yang bermain-main difikirannya ialah, filem itu seperti tiada langsung yang istimewanya selain satu pendedahan terbaru jiwa orang Amerika yang berkeinginan berlaku curang. Seolah-olah karyawan Amerika sudah ketandusan idea untuk menampilkan cerita-cerita yang bermutu dari persoalan berbentuk negatif. Barangkali itulah sejenis penyakit di alaf baru. Penonjolan manusia berpenyakit telah banyak dilakonkan diawali oleh Rain Man, Philadelphia dan Forest Gump
Penyakit alaf baru?
Nubarinya begitu terkejut sekali. Terlalu banyak filem-filem yang membelakangkan suruhan agama dihasilkan.
Kenapa baru sekarang dia dirasuki pendirian bermutu begitu? Bukankah selama ini filem-filem sedemikian dan lagu-lagu rancak dari negara barat itu yang disanjungi selalu. Bukankah lagu-lagu dari Back Street Boy, Boyzone dan Westlife yang menjadi siulan di bilik mandi dan dikala memandu? Tetapi semua itu masih tidak dapat melenyapkan kemelayuan diri secara tuntas.
Dia masih melayu lagi rupanya.
Bagaimana pula dengan filem Leftenan Adnan yang berlatar belakangkan sejarah perjuangan kemerdekaan negara dan lagu irama Malaysia yang sering menjadi juara pertandingan Juara Lagu Malaysia anjuran TV3?
American beauty dan seangkatannya itu sekadar mengambarkan realiti hidup negara maju yang menyongsangkan. Dimanakah erti kemajuan yang sering dipertahankan?

TAHAP kebosanannya sudah tiba pada kemuncak Himalaya. Keretanya dilihat bagaikan tidak berharga lagi. Untuk meredakan, dia berjalan kaki ke arah kedai Tionghua Ah Sat hanya semata-mata membeli kad prabayar. Sambil itu dia menggerutu, menyalahkan diri yang kedekut – bukankah senang kalau dia menggunakan talian ‘online’ sahaja? 
Ada jual maxis prepaid?”
Ada, tapi baru saja habis, cubalah tanya kedai disebelah..” Taukeh Ah Sat memberikan saranan.
“Kedai sebelah?”
“Baru buka…orang melayu punya…cubalah tanya…”
Sedang bercadang untuk ke kedai sebelah, dihadapannya tiba-tiba muncul Syuhadah.
“Tidak kerja ke hari ini?” soal Syuhadah.
“Tidak…sabtu memang hari cuti”
“Kawan saya pun kerja kilang juga jurutera tapi hari ini dia kerja..”
“Ooo begitu..maksud saya hanya kilang-kilang yang datangnya dari Eropah dan US saja yang cuti hari sabtu….kebanyakan kilang Jepun tidak begitu..”
“Tak tahu pula saya tentang itu..ingatkan semua kilang sama ”
Badrul membelek wajah gadis itu.
“Study dimana?”
“Universiti Telekom..”
“Berulang-alik?”
“Ya..” jawab Syuhadah ringkas.
Badrul sedang memegang telefon bimbit disaku seluar, masih bercadang untuk ke kedai sebelah.
“Awak tak kenal pak cik yang baru pindah disebelah kedai ini?”
Pertanyaan Syuhadah kali ini menghentikan langkah teragak-agaknya.
“Tidak..kenapa awak cakap begitu?”
“Saya agak saja..sebab wajah awak saling tak tumpah dengan pakcik yang buka kedai baru itu..”
“Awak adalah orang kedua yang cakap begitu..tetapi saya yakin dalam dunia ini ada 7 orang yang berwajah hampir serupa..”
“Selama ini saya ingatkan awak seorang pendiam, tetapi rajin bercerita juga ya..”
Badrul tersipu malu. Sindiran itu bagaikan terlekatnya seterika panas pada sepasang kulit pipi sawo matangnya itu.
 Telefon bimbitnya berbunyi, didapati Mazrul sedang berada ditalian.

Blog Archive