Wednesday, October 10, 2012

BAB 5 NOVEL PERMATA BERDURI


Bab 5
Dunia kanak-kanak begitulah keadaannya.
Bergaduhan seketika
kemudiannya bermain-main girang semula.



1971

HANYA yang saya ingat bermula di sebuah rumah panjang di sebuah sudut di Kampung Baru itulah bagai benih mengenal tunas, kami bercambah dalam alunan irama kejiranan yang terancang. Sepohon hidup kian subur merendang terjaga kemas dalam taman keharmonian.
Selain abang Rashdan yang gemar bermain dengan kawan-kawannya, saya dan Tursina telah memulakan jalinan ikatan kecil sebuah persahabatan. Dalam diam-diam secara berseloroh Pak cik Majid telah pun menyarankan agar kami bertunang sedari kecil. Ibu-bapa saya tidak berkata apa-apa. Barangkali timbul juga umpatan dihati betapa dah buang tebiat agaknya bapa si Tursina itu.
Dari alam buaian hinggalah tahu berjalan, sayalah pemenang. Jarang demam, selsema ataupun menangis malam. Kesemua perkembangan bayi dalam mengenal hidup dan peradaban telah dimenangi saya tanpa saingan yang kuat. Paling menakjubkan saya menjadi seorang kanak-kanak yang petah bercakap. Sedang Tursina masih lagi dengan pelatnya tak sudah-sudah.

1972
DITANGGA usia 2, yang paling sukar untuk dilupa, bagaikan sepasang kembar, kami pernah demam serentak. Masing-masing menangis tak tidur malam pun. Para ibu cukup merisaukan lalu mengejut bapa-bapa agar melakukan sesuatu. Klinik 24 jam terletak jauh sebatu. Kenderaan pula hanya sepasang kaki yang masih lesu.
Oleh kerana sudah tiada pilihan kami ditatang oleh bapa masing-masing lalu berpergian ke klinik bersama-sama. Tiba di sana terpaksa pula beratur panjang. Bilangan pesakit yang berbilang usia dan bangsa hampir sama dengan bilangan penyakit. Tiada seiapa pun berwajah gembira. Tiada sesiapa pun yang ingin ketawa. Termasuk kami berdua kecuali anak-anak kecil yang berjumlah separuh hanya tahu menangis lara.

1973

LAGI 2 bulan, Kami akan berusia genap tiga tahun. Keluarga kami masih tinggal berjiran. Ibu masing-masing tidak bekerja dan selalulah mereka berdua bertemu. Apabila petang menyusul ibu-ibu yang sering bertemu diluar laman akan bercerita tentang apa saja.
Menurut celoteh ibu lagi, semasa kecil saya suka sangat mengusik Tursina. Sehingga apa saja yang dilakukan oleh Tursina akan ditiru.Apa saja yang dicakap oleh Tursina akan saya ulang. Mulanya mengadu pada si ibu untuk membuang air kecil lalu membuka seluar dalam dan menyangkunglah di tepi longkang. Sedang melihat perlakuan itu saya pun menyertai sama dan berpura-pura mengerang untuk membuang air besar. Melihatkan saya ketawa disebelah Tursina pun menggugu akibat disakat.
Jika Tursina bermain basikal roda tiga, saya juga akan turut menyibuk hinggalah pada tahap maksima saya bertindak menyorok anak patungnya. Hampir seharian dengan bantuan ibu bapanya barulah ditemuinya. Memang nakal betul saya.
Dihari yang seterusnya pun begitu juga. Pantang melihat Tursina bermain seorang diluar dengan pintu pagar yang terkunci, saya akan datang sambil mengikuti perlakuan Tursina.Melihatkan kejadian yang semakin berulang itu lalu Tursina pun mengadu lagi pada ibu dan bapanya.
“Shah..kenapa kau suka sangat sakat si Sina?”,
Setelah mencuri dengar, ibu bertindak memarahi anak sendiri sambil bercekak pinggang. Saya tahu ibu sengaja berlakon. Oleh itu saya tidak merasa takut sedikit pun.
“Sebabnya Sina lawa”
Saya pun terkekek-kekeklah tak terhenti-henti. Adakala saya akan terlonjak-lonjak girang apabila Tusina berjaya disakat.
“Kalau kau buat lagi ibu kahwinkan kamu berdua nanti..Mahu?”marah ibu lagi dan saya pun ketawa sambil menggelengkan kepala.
“Budak kecik mana boleh kahwin!..Boooo!”
Saya menjelirkan lidah dengan gaya kedua belah tangan, mengejek Tursina yang sedang erat memeluk ibunya. Makcik Zaleha hanya tersengih saja.
“Budak kecil tak boleh kahwin, boooo!”
Tursina menguatkan tangis dicelah ketiak ibunya.
Kebetulan Pak cik Majid yang turut berada disitu hanya turut tumpang ketawa melihat telatah anak-anak kecil. Dunia kanak-kanak begitulah keadaannya. Bergaduh seketika kemudiannya bermain-main girang semula.


HUBUNGAN antara kedua buah keluarga itu memang baik.Malah lebih akrab dari adik-beradik. Maklum saja jika tinggal diperantauan, jiranlah yang menjadi tempat mengadu. Susah senang dikongsi bersama. Jatuh bangun diharungi sentiasa. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Namun perpisahan adalah lumrah bagi setiap manusia walau dimana jua. Ianya terjadi kerana masing-masing perlu mencari kelangsungan hidup yang lebih teguh, masa depan yan lebih sempurna.
Apabila Pak Cik Majid mendapat tawaran untuk menjadi peneroka di tanah rancangan felda, Mak Cik Zaleha langsung tidak berkata apa-apa.Bagi mereka kesenangan di hari tua lebih penting dari segala. Memandangkan corak hidup di ibu kota besar begitu mencabar, mereka sekeluarga akhirnya mencapai kata putus untuk berpindah ke Jengka.
Saya tidak sempat melihat mereka sekeluarga bertolak dengan sebuah lori kecil kerana pagi itu hawanya membuatkan saya enggan menolak selimut. Hanya yang diperasankan saya dapati rumah disebelah sudahpun kekosongan. Jerit-tangis Tursina meminta susu tidak mendesing ke telinga lagi. Saya ternganga dengan suara hampir menangis lalu bertanya:
“Sina mana?”
Ibu pun mampir lalu mengusap sebelum mencium ubun-ubun saya.
“Sina dah pindah..”
“Sina mana mak?”
“Dah pindah…faham?”
Mata saya terkebil-kebil memandang sebuah kehilangan.


SEMENJAK pemergian Tursina, pada setiap pagi setelah mencelikkan mata, saya pasti bertanyakan soalan yang serupa :
“Sina pergi mana mak ?” 
“Sina dah pergi jauh dan tak akan balik lagi..”
“Kenapa ?”
“Shah selalu usik dia..sebab itu Sina pergi..”
Percayalah, walau senakal manapun saya sanggup menumpahkan airmata kerana kehilangan seorang kawan. Ibu mengusap ubun-ubun sebelum menyeka linangan airmata di pipi saya.
„Nah, lain kali jangan nakal-nakal lagi..kalau kita nakal, orang tak mahu kawan dengan kita lagi“
„Shah tak nak nakal lagi, mak“
„Shah janji pada mak..“
„Shah janji..“
Semenjak itu setiap pagi sesudah bangun menyusu, saya akan termenung ditangga pintu sambil memerhati rumah sebelah.
Ibu tidak tipu. Sina memang tidak kelihatan lagi sampai bila-bila.
Sehinggalah genap sebulan kehilangan, pagi berikutnya saya terdengar bunyi bising di rumah sebelah. Ada kedengaran bunyi tangisan anak kecil. Barangkali Tursina sudah pulang, duga saya dalam hati.
„Mak, mak..Sina dah balik, mak..“
„Sina dah pergi jauh, Shah...Sina takkan datang ke sini lagi..“
„Cuba mak dengar...Sina nangis minta susu“
„Itu bukan Sina, Shah...itu jiran baru kita...“
Saya masih tidak percaya lantas mendesak ibu agar melihat dengan mata sendiri. Yang muncul dihadapan mata adalah jiran baru dengan anak kecilnya bernama Maria. Seorang kanak-kanak berambut kerinting halus yang paling selekeh pernah saya jumpa. Saya sangkakan Tursina datang kembali tetapi hampa belaka.

SUATU pagi dihari minggu, saya mengikut ibu ke Pasar Besar di Lebuh Ampang bersama Maria dan ibunya.
Di pasar besar itu pula sekali lagi keributan melanda. Bagaikan orang dilamun cinta, saya terserempak dengan seorang budak seiras Tursina.
“Mak,..mak..itu Sinalah..itu..itu...“
Saya menghulurkan jari telunjuk pada seorang kanak-kanak perempuan dalam jarak lima meter.
“Mana?...Shah salah oranglah....pelanduk dua serupa“
„Saya memerhati gelagat budak perempuan itu lagi. Putih kulitnya memang sama macam Tursina. Ikal rambutnya pun serupa.
„Mak..itu Sinalah...itu Sina..“
„Bukanlah...itu bukan Sina..percayalah cakap mak ni. Sina tak ada di Kuala Lumpur ini lagi...Sina dah pergi jauh..jauh sangat.., faham!“

Hati ini terasa begitu hampa sekali.

KEESOKAN hari saya demam panas selama lebih dari tiga hari.


Blog Archive